Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

'Sharnaaz buanglah perangai Gangster' : Fauzi

on Thursday 27 February 2014


NAMPAKNYA perang dingin antara pasangan suami isteri, Fauzi Nawawi, Lisdawati bersama aktor Sharnaaz Ahmad, masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menerusi sebuah akhbar (bukan Sinar Harian), Sharnaaz telah memberi kata dua agar Lisda dan Fauzi memohon maaf dalam tempoh seminggu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika pasangan itu gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, Fauzi tetap dengan pendiriannya dan tidak akan akur dengan permintaan pelakon Juvana itu.

“Kenapa saya perlu minta maaf, ada sebab saya keluarkan kata seperti itu, tahap kesabaran saya pun ada batasnya. Tetapi saya tak pernah memaki hamun serta mengaitkan keluarganya,” kata Fauzi.

Tegasnya, Sharnaaz juga sepatutnya berhenti mengugutnya dan membawa kes tersebut ke muka pengadilan. Jelasnya, Sharnaaz yang terlebih dahulu memulakan persengketaan dengan memaki serta memarahi isterinya di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta, minggu lalu.

Kata Fauzi, dia tidak menghalang sekiranya Sharnaaz berkeras membawa kes ini ke mahkamah.

“Jika dia mahu teruskan juga, silakanlah, sebab saya rasa saya tak buat salah, untuk apa dia nak saman? Saman malu atau apa?," soal Fauzi kembali.

Tegas Fauzi, dia juga tidak pernah melibatkan keluarga Sharnaaz dalam perseteruan mereka, apatah lagi untuk memaki hamun mereka yang tidak bersalah.

“Saya cuma cakap, apa perasaan dia jika saya tengking ibu dia seperti mana dia tengking isteri saya. Itu sahaja. SMS (khidmat pesanan ringkas) itu saya boleh ‘print’ sebagai bukti. Saya pun waras juga, takkanlah saya nak maki hamun keluarga dia,” katanya.

Ditanya, tidakkah ada jalan damai antara mereka, Fauzi berkata, dia pernah menghubungi Sharnaaz untuk berbincang dan menyelesaikan perseteruan mereka, namun tidak diendahkan Sharnaaz.

"Saya bagi tempoh sehari untuk dia minta maaf pada 20 Februari lalu, namun dia tak minta maaf. Saya ambil keputusan maafkan sahaja tindakannya, tapi dia macam tak puas hati.

"Saya minta dia jumpa untuk berdamai tapi dia tak mahu dan abaikan panggilan saya. Kalaulah dia nak minta maaf, saya boleh maafkan. Tapi saya minta lepas ni dia tinggalkan sikap gangster dia.

"Saya tak nafikan peminat Sharnaaz ramai, tapi rasa dia tak perlu kekalkan sikap gangster yang ada dalam diri dia kerana ia tiada jalan penyelesaian," kata Fauzi.

Lisda jatuh sakit

Fauzi, berkongsi keadaan Lisda yang dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat pergaduhan ini.

"Dia mengalami tekanan darah tinggi dan saya sangat risau dengan keadaannya yang hamil. Jika berterusan saya tak teragak-agak ambil tindakan lebih tegas selepas ini," katanya.
Sebelum ini, Fauzi dan Lisdawati membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas mendakwa Sharnaaz menghantar satu SMS berbaur ugutan terhadapnya.

Katanya, kiriman SMS diterima 21 Februari lalu, kira-kira jam 9.42 pagi dan dia percaya ia berkaitan insiden Sharnaaz mengamuk serta cuba menyerang isterinya, Lisdawati Nazaruddin, 35.

Tegas Fauzi, keputusan membuat laporan polis bukanlah kerana mahu mencari publisiti murahan atau kontroversi. Sebaliknya kerana mahu melindungi Lisda selepas ditengking dan diserang Sharnaaz.

Sementara itu, Ziela Jalil yang merupakan penerbit drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, mengaku akan cuba bertanggungjawab mendamaikan pertelingkahan antara Lisda dan Sharnaaz Ahmad.

Ziela Jalil berkata, dia pasti apa yang berlaku hanya salah faham kecil kerana sebelum ini selama lebih 3 bulan penggambaran, kedua-dua pelakon itu tidak menunjukkan sebarang masalah.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta, turut dibintangi Nelydia Senrose dan kini sedang ditayangkan di Astro Mustika HD.

Sumber

Kes Serang: 'Tuduhan Lisdawati, Suami Mengarut' - Sharnaaz

on Tuesday 25 February 2014


PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad menganggap kenyataan Lisdawati yang mendakwa diserang sehingga menyebabkannya mengalami tekanan darah tinggi adalah tuduhan mengarut.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, berkata, dia enggan mengulas panjang berhubung perkara tersebut namun menganggap Lisdawati bersama suaminya, Fauzi Nawawi sengaja memanipulasi keadaan apabila mengeluarkan tuduhan sedemikian.

"Mereka memang sengaja memanipulasikan keadaan. Biarlah apa mereka nak cakap... cakaplah.

"Buat masa ini saya tidak mahu beritahu apa-apa. Tunggulah... bila saya bersedia untuk menjawab persoalan semua," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini petang Isnin.

Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan Sharnaaz telah menyerang Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.

Peristiwa itu menjadi tegang apabila suami Lisdawati iaitu Fauzi Nawawi, 40, dikatakan menerima khidmat ringkas (SMS) daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.

Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.

Sementara itu, Shaarnaz menambah, dia tidak gentar dengan laporan polis dibuat mereka kerana dia percaya berada di pihak yang benar.

"Senang saja. Kalau dia main cara polis, kita pun main cara polis," ujarnya dalam nada tegas.

Lisdawati yang dihubungi mStar Online pada Isnin pula berkata, sebagai ibu mengandung, dia tidak mungkin akan memanipulasikan keadaan kerana dirinya sememangnya diserang Sharnaaz secara mengejut.

"Buat apa saya nak manipulasikan keadaan. Dia yang mula dulu. Saya pun terkejut. Kalau tak percaya, tanyalah pelakon-pelakon yang ada pada kejadian itu. Saya tak sangka dia berperwatakan begitu," tuturnya yang mengandung lapan bulan.

Sumber

Julia Ziegler nanti lamaran

on Monday 24 February 2014


SETIAP manusia yang hidup, pasti mengimpikan mempunyai pasangan. Lebih-lebih lagi bagi kaum Hawa, tiada apa lagi yang diinginkan selain mempunyai satu keluarga yang sempurna.

Begitu jugalah yang dirasai oleh aktres tinggi lampai, Julia Ziegler tatkala diasak mengenai kehidupan peribadinya kini.

Akui Julia, apatah lagi dalam usia yang menginjak ke angka 30, tidak lama lagi, dia memang berharapkan untuk mendirikan rumah tangga secepat mungkin.

“Tipulah kalau saya kata tiada keinginan untuk berkahwin. Bahkan kawan-kawan, keluarga dan wartawan sendiri selalu bertanya bila saya mahu mendirikan rumah tangga.

“Tapi sebagai wanita apalah yang boleh saya buat. Takkan saya pula yang kena melamar lelaki tersebut, “ katanya kepada media, baru-baru ini.

Ditebak soal pasangan, akui pemilik nama sebenar, Julia Bob Fauzi Ziegler ini, dia kini sedang menjalinkan hubungan yang serius dengan sahabat lamanya sendiri.

“Kami dah bercinta lebih kurang setahun. Tapi sebenarnya saya dah kenal dia lama sebelum saya masuk industri lagi. Kiranya, dia bukan nak saya sebab saya glamor atau saya artis. Saya nampak keikhlasan dan sangat mengenali sikap dia.

“Namun buat masa ini, biarlah kami berkawan dahulu dan tak perlulah saya perkenalkan dia kepada umum. Saya tak mahulah nampak beria-ia sangat, kerana andai hubungan itu tidak menjadi nanti, yang ia akan memalukan saya dan keluarga juga.

"Saya berharap semua pihak doakanlah yang terbaik untuk saya,” ujarnya.

Masih aktif

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Julia berkata, dia kini kembali aktif di pentas peragaan dan akan muncul dalam filem berjudul ‘Aku Akan Muncul’ yang akan ditayangkan di pawagam mulai 27 Februari ini.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Amerika ini juga akan berangkat ke Indonesia bagi menjalani penggambaran filem seram popular Indonesia berjudul Kuntilanak.

“Saya akui sejak kebelakangan ini kelibat saya jarang dilihat. Tapi saya masih aktif, ada kalanya saya menghadiri majlis hiburan dan kalau tak dijemput saya tak datanglah (ketawa).
“Cuma orang macam tak tahu saya masih aktif dan ada saya dengar takut ambil saya berlakon kerana saya sibuklah. Apa pun saya berharap tahun 2014 ini tuah yang baik untuk saya.

“Apatah lagi saya akan ke Indonesia tidak lama lagi selepas mendapat tawaran berlakon di bawah produksi negara tersebut,” katanya.

Rindu dunia peragaan

Sementara itu, kelangsingan tubuh Julia baru-baru ini membuatkan teman media tertanya-tanya adakah Julia dalam proses berdiet atau tidak sihat.

Akui Julia, dia sememangnya mengamalkan diet sejak kebelakangan ini dan tidak mengambil nasi kerana rindu dengan dunia peragaan.

“Alhamdulillah sekarang ini saya sedang berusaha untuk mendapatkan bentuk badan saya seperti mana ketika saya aktif dalam dunia peragaan dulu. Saya dah mula berdiet dan melakukan senaman.

“Saya juga dah beberapa bulan tidak ambil nasi dan hanya makan lauk. Tetapi jika teringin, saya hanya makan dalam kuantiti yang sedikit.

“Apatah lagi saya rindu nak beraksi di pentas peragaan. Lebih gembira dan teruja baru-baru ini saya telah mendapat satu tawaran untuk catwalk di satu acara fesyen di Kuching, Sarawak,” katanya.

Sumber

'Kerana Badan Besarlah Saya Dikenali' - Abam (Bocey)


PETALING JAYA: Pelawak Abam (Bocey) memberitahu ada beberapa pihak meminta dia menguruskan badan sebagai langkah untuk kekal lama dalam industri hiburan tempatan.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, bagaimanapun berkata, dia enggan berbuat demikian kerana menganggap tubuh badannya yang besar itu telah memberi rezeki dalam kerjayanya sebagai seorang pelawak.

"Ada pihak yang meminta saya untuk kuruskan badan, kononnya agar saya dapat bertahan lama dalam industri.

"Tetapi buat masa ini saya enggan mengubah imej saya kerana badan besar inilah membuatkan saya dikenali ramai," katanya kepada mStar Online.

Abam bagaimanapun tidak bersedia berkongsi berapakah berat badannya sekarang.

Dalam pada itu tambah Abam, dia juga tidak sangka, sejak memenangi tempat ketiga Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro Warna, dia bersama ahli-ahli kumpulannya iaitu Acey dan Fard tidak putus-putus menerima tawaran lakonan.

Malah, dia dan ahli-ahli Bocey juga telah berbincang tidak akan menyekat rezeki anggota kumpulannya yang lain jika salah seorang daripada mereka sahaja menerima tawaran berlakon.

"Kami tidak menghalang jika salah seorang daripada Bocey ditawarkan berlakon tanpa memerlukan ahli-ahli lain kerana ia juga sebagai salah satu cara untuk mempromosikan kumpulan Bocey.

"Bagaimanapun Bocey bakal muncul dengan filem terbitan MIG (Metrowealth International Group) berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa," ujar Abam.

Dalam perkembangan lain, lakonan Abam juga dapat ditonton menerusi filem terbaharu arahan Roy Krishnan iaitu Aku Akan Muncul, yang akan ditayangkan pada 27 Februari ini.

Antara pelakon-pelakon lain yang terlibat ialah Julia Ziegler, Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Abdullah.

Sumber

Makhluk Halus Merupa Julia Ziegler - Pengarah


PETALING JAYA: Pengarah filem Aku Akan Muncul iaitu Roy Krishnan berkata, dia dan kru produksi diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem tersebut di sebuah hutan di Kota Tinggi, Johor pada Oktober 2012.

Roy berkata, atas faktor keselamatan, pihak produksi telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil seorang ustaz untuk menghalau makhluk-makhluk halus itu agar penggambaran dapat dijalankan dengan lancar.

"Bayangkan, ketika mula-mula menjalani penggambaran, ada saja benda pelik yang kami lihat sehingga menimbulkan rasa seram.

"Malah ada kru produksi melihat kelibat pelakon kami iaitu Julia Ziegler pada pukul 3 pagi sedangkan ketika itu dia sudah pun pulang ke hotel. Tanpa membuang masa kami terus memanggil seorang ustaz memasang 'pagar' agar kami tidak diganggu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Roy, dia juga bersyukur walaupun melihat kelibat makhluk tersebut, namun pelakon-pelakon yang terlibat tidak diganggu termasuklah dirasuk ataupun mengalami histeria.

Selain Julia Ziegler, filem seram terbitan RM Vision Film Production Sdn. Bhd itu turut dibarisi pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Mutalib (Allahtyarham), Liza Abdullah, Zulkifli Ismail, Noor Akma, Zaibo dan Musly Ramly.

Barisan pelakon-pelakon baharu pula terdiri daripada Abam (Bochey), Syafiq, Megat Samsuddin, Alfie, Firah, Shairah dan Azura.

Ia mengisahkan tentang Kesuma (Julia) yang memiliki raut wajah yang cantik, tetapi gemar membandingkan kecantikannya itu dengan rakannya Mawar sehingga membuatkan rakan-rakannya yang lain seperti bosan dengan tingkah lakunya.

Bagaimanapun, kecantikan yang dimiliki Kesuma tidak bertahan lama apabila dia terlibat dengan kemalangan ketika mencari inai.

Akibatnya, wajah Kesuma telah menjadi buruk dan untuk memulihkan wajahnya itu, Kesuma meminta bantuan Mak Yam (Maimon) yang cukup terkenal sebagai seorang dukun yang hebat.

Dalam pada itu Beritahu Roy, karyanya akan dilihat berbeza berbanding filem lain di mana kesemua babak yang melibatkan hantu telah disunting dalam bentuk teknik pengimejan berkomputer (CGI) oleh pakar penyunting di India.

"Saya tampilkan filem ini dengan pengarahan yang sangat lain daripada yang lain. Bukan setakat CGI yang kami fokuskan tetapi juga penggunaan teknik kamera dan sinematografi supaya filem ini nampak lebih cantik," ujarnya.

Aku Akan Muncul bakal ditayangkan bermula 27 Februari 2014.

Sumber

Isu Kahwin : Nora Danish beri penjelasan

on Sunday 23 February 2014


“MANA semua dapat cerita ini? Saya kan dah kata, kalau saya nak kahwin, saya akan beritahu. Cerita ini semua tak betul dan jangan cepat percaya pada khabar-khabar angin ini,” jelas aktres, Nora Danish tatkala ditebak mengenai khabar angin yang mengatakan dia dan kekasihnya, Nadim Nazri sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 31, berkata, dia dan Nadim tidak pernah membuat apa-apa persiapan waima berbincang hal perkahwinan.

“Buat masa ini kami hanya selesa berkawan baik.

"Jodoh adalah sesuatu yang baik dan siapa kita untuk menolak. Tapi jodoh kami belum tiba tahun ini.

"Malah kami tidak pernah bercerita lagi soal perkahwinan dan fokus kami kini adalah untuk kerjaya dan anak masing-masing,” katanya.

Apatah lagi ujar Nora, sekiranya dia mahu berkahwin kelak, dia mahu majlis pernikahan diadakan seringkas mungkin tanpa barangan hantaran.

“Saya sudah pernah berkahwin, jadi tak perlu lagi barang-barang hantaran. Cukuplah dengan majlis akad nikah sahaja,” katanya.

Bagaimanapun akui Nora, selepas majlis akad nikah, dia mengimpikan majlis resepsi secara sederhana di mana-mana pulau di luar negara seperti Phuket atau Bali untuk meraikan hari bahagianya itu bersama keluarga tercinta.

“Lagipun saya memang dah lama teringin nak buat majlis ala ‘beach wedding’.

"Saya suka berkunjung ke Bali malah ia dah seperti rumah kedua saya.

"Saya sukakan tempat-tempatnya dan makanan di sana sedap-sedap,” katanya yang ditemui pada majlis Doa Selamat sempena penggambaran filem terbaharu terbitan MIG, ‘Hantu Bungkus Ikat Tepi’, bertempat di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, kelmarin.


Fikir positif

Dalam pada itu, ditanya mengenai kekerapannya berkongsi gambar bersama Nedim di laman Instagram dan penerimaan dirinya andai suatu hari nanti hubungan mereka tidak berkekalan, Nora menjawab;

“Saya cumalah manusia biasa seperti orang lain yang suka kongsi momen-momen indah yang dilalui.

“Namun seandainya hubungan kami tidak berkekalan, saya sudah dewasa, dia juga sudah dewasa, jadi pastinya kami berdua akan dapat menerima semua itu.

"Saya harap semua dapat doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Berkongsi mengenai hubungannya dengan anak Nadim, Nora berkata Nedre baharu berusia dua tahun dan anak kecil itu tidak mempunyai masalah untuk rapat dengan sesiapa pun.

“Begitu juga dengan hubungan Rayqal dan yang lain-lain.

"Dia amat penyayang dan kadangkala bila jumpa kanak-kanak yang lebih kecil, dia akan peluk dan menciumnya,” katanya.

Letak syarat

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Nora berkata, dia bakal sibuk di lokasi penggambaran filem komedi seram berjudul Hantu Bonceng Ikat Tepi.

Filem arahan Hashim Rejab itu, akan memulakan penggambaran di sekitar lembah Klang pada 23 Februari ini.

Selain Nora, antara barisan pelakon lain yang turut menjayakan filem ini seperti kumpulan Jambu iaitu Taukeh dan Yus, Abam (Bocey), Farid Kamil, Kartina Aziz, Zalif Sidek, Atikah Suhaime, Ruminah Sidek, Niezam Zaidi dan ramai lagi.

“Selepas selesai penggambaran ini saya akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri dan memang target saya untuk buat drama bersiri setahun sekali,” katanya.

Nora berkata, dia baharu sahaja pulang dari bercuti di Bali bersama anaknya susulan mempunyai masa yang begitu lapang untuk dia bersama Rayqal.

“Saya sepatutnya terlibat dengan penggambaran bersama produksi luar dan saya telah blok bulan Februari dan Mac kerana mereka.

"Apatah lagi mereka telah meminta saya berbuat demikian semenjak akhir tahun lepas.

“Tapi alih-alih kini pelbagai alasan diberikan dan saya juga terpaksa ambil projek lain.

"Tapi agak rugi juga kerana pendapatan saya untuk bulan ini tiada setelah saya blok bulan ini untuk mereka.

“Dulu saya selalu dengar keluh kesah artis lain, kini ia terjadi pula pada saya.

"Jadi sekiranya selepas ini ada yang menawarkan saya berlakon, termasuk produksi terbabit, selepas mereka beri deposit baharu saya blok tarikh.

“Kalau blok sekadar dari mulut sahaja agak susah untuk saya terima,” katanya kesal.

Puteri Sarah terkilan

on Thursday 20 February 2014


BIARPUN sedang membuat persiapan perkahwinan, namun Puteri Sarah Liyana, bagaimanapun masih lagi dihimpit dengan cerita kontroversi dengan bekas teman lelakinya, Ammar Alfian.

Ammar menerusi sebuah portal hiburan bukan sengaja masih tidak berpuas hati dengan hubungan mereka yang tidak kesampaian, bahkan turut membuat dakwaan keterlaluan dan boleh menjejaskan imej pelakon Kawan ini.

Terkilan dengan dakwaan yang tidak berasas itu, Puteri Sarah menerusi Twitternya, menepis dakwaan itu sekeras-kerasnya. Malah dia turut menegaskan, tidak pernah memberi kenyataan kepada mana-mana media berhubung isu tersebut. Apa lagi membuat
kenyataan bahawa dia tidak ambil kisah terhadap tuduhan yang dilemparkan bekas kekasihnya itu.

Enggan terus terpalit dengan kontroversi tersebut, pelakon yang sudah hampir setahun berhijab ini lebih selesa berdiam diri dan menguruskan persiapan majlis perkahwinannya nanti.

Malah menerusi Twitternya, juga jelas menunjukkan bakal isteri Syamsul Yusof ini sudah tidak sabar untuk melangkah ke alam perkahwinan yang hanya tinggal lebih kurang 16 hari sahaja lagi.

Sarah dan Syamsul bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada pagi 8 Mac 2014 di Masjid Sri Damansara. Majlis resepsi pula diadakan pada sebelah malam hari yang sama dengan bertemakan Islamik Arabian Night.

Sumber

Norish Karman Halang Anak Bongsu Jumpa Bapa Kandung


KUALA LUMPUR: Pelakon Norish Karman tidak akan membenarkan bapa kepada anak bongsunya iaitu Haq Lutfie Alexander yang berusia dua tahun bertemu dengan kanak-kanak itu.
Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 39, berkata, dia tidak melihat sebarang keperluan untuk mereka ditemukan kerana sejak awal lagi keluarga bekas suaminya itu tidak menerima kehadiran kanak-kanak berkenaan.
"Mereka pernah memberitahu saya anak saya itu tiada kena mengena dengan mereka jadi saya tidak melihat Haq Lutfie perlu berjumpa dengan bapa kandungnya," katanya kepadamStar Online.
Bagaimanapun Norish masih dengan pendirian enggan mendedahkan identiti bekas suaminya itu kerana lebih senang ia dirahsiakan namun mengakui lelaki berkenaan lebih muda daripadanya.
Dalam pada itu, Norish berakta, hubungannya dengan bekas suami pertama, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir tidak mempunyai masalah malah mereka akrab sebagai sahabat.
Jelas Norish, bekas suaminya itu sangat mengutamakan keperluan tiga anak-anak mereka yang lain iaitu Muhammad Haqiem Armany, 14, Muhammad Hardy Amieran, 10, dan Putri Hany Amanda, 9.
"Sejak bercerai kami tiada masalah dan saya tidak pernah menghalang bekas suami untuk berjumpa dengan anak-anak kerana beliau menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya.
Pasangan itu berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini pada 15 Julai 2008.
Sementara itu, Norish berkata, buat masa ini dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti walaupun ada lelaki yang cuba mendekatinya kerana ingin memberi tumpuan kepada anak-anak dan perniagaan.
Kata Norish, dia bagaimanapun mengakui kadang-kala berasa sunyi tanpa seseorang di sisinya namun dia kini lebih bahagia.
"Ada yang menghantar rombongan meminang tetapi saya tolak dengan cara baik kerana buat masa ini saya sibuk dengan kerjaya dan anak-anak.
"Sunyi itu menang ada tetapi kesibukan dengan pelbagai aktiviti membuatkan saya lupa mengenai perkara itu dan saya lebih bahagia sekarang," katanya.
Pun begitu kata Norish, jika ditakdirkan bertemu jodoh, dia mahu mencari seorang lelaki yang bukan sahaja boleh menerimanya tetapi keempat-empat anakya dengan penuh kasih sayang.
Malah kata Norish, dia juga tidak mahu bergantung harap kepada bakal suaminya nanti dan ingin berjaya terlebih dahulu dalam bidang perniagaan.
"Saya pernah berkahwin dengan lelaki berusia dan muda yang mana kedua-duanya tidak kekal lama. Kini apa lebih penting calon itu nanti mestilah dapat menerima anak-anak saya dengan sepenuh hati.
"Jika ada lelaki yang dapat berbuat demikian mungkin saya akan terbuka hati untuk berkahwin semula," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Norish berkata, dia kini semakin aktif dalam bidang nyanyian selain berlakon serta memberikan tumpuan kepada perniagaan katering yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Erra Fazira pasrah


SETIAP pasangan yang berkahwin, pasti tidak pernah mengimpikan perkahwinan yang di bina, lebih-lebih lagi atas dasar cinta akan berakhir dengan penceraian.

Dan mungkin itu jugalah yang dirasai oleh Primadona Filem Malaysia, Erra Fazira, 40 yang telah sah bercerai dengan Engku Emran Engku Zainal Abidil, 39, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, kelmarin.

Apatah lagi, perkahwinan Erra bersama Emran merupakan perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan Yusry Abdul Halim pada 2006.

Menerusi akaun Facebook miliknya, Erra tampak pasrah dan meninggalkan komen ringkas mengenai penceraiannya itu.

"Jodoh, ajal, maut di tangan ALLAH. Alhamdulillah. Semuanya sudah selesai. Amin"

Pelakon yang terkenal menerusi filem Sembilu itu diwakili oleh peguam, Ahmad Nazib Johari, memfailkan permohonan penceraian dan hak penjagaan anak pada 17 Februari 2013.

Ketika prosiding, Erra dan Emran mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung selama setahun enam bulan.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, lima tahun yang kini hak jagaan diberikan kepada Emran.

Sumber

Sari lawan rasa takut

on Wednesday 19 February 2014


Mengakui bukan seorang yang lasak dan berani melakukan aktiviti ekstrem, pelakon kecil molek, Sari Yanti mencabar diri menyertai program Fear Factor Malaysia terbitan Astro.

Program yang mula menemui penonton sejak 15 Februari lalu itu turut menggandingkan 16 peserta dalam kalangan peminat bersama 16 selebriti antaranya Norman Hakim, Yana Samsudin, Zain Saidin, Dira Abu Zahar dan Shah Iskandar.

Bercerita pengalamannya menyertai program berkenaan, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui seorang yang jarang melakukan aktiviti lasak, namun apabila ditawarkan pihak Astro untuk terbabit dia bersetuju.

“Apa yang saya lakukan adalah mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang jarang saya lakukan. Memang pada awalnya rasa macam kurang yakin, tetapi selepas fikir masak-masak saya mahu lakukannya.


“Suami juga tidak menghalang dan sentiasa memberi galakan atas apa yang ingin saya lakukan. Jika tidak mencuba, saya tidak tahu sejauh mana kebolehan saya dalam melakukan aksi ekstrem ini.


“Biasanya orang akan tanya bolehkah saya melakukan cabaran ini sedangkan saya tidak pernah melakukannya. Saya mahu dengan percubaan ini orang bertanya bagaimana saya boleh melakukannya,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran sukar yang dilakukan dalam Fear Factor Malaysia, Sari berkata, dia paling sukar melakukan cabaran makanan kerana ia memerlukan kekuatan mental.

“Kalau bercakap soal makan semua orang fikirkan makanan yang sedap-sedap. Namun di dalam Fear Factor Malaysia, kami diberikan makanan yang pelik dan menjijikkan.

“Bayangkan saja apabila anda dipaksa menjamah makanan jijik yang akan menjadi darah daging. Jika mahu meneruskan cabaran, kita terpaksa melakukannya. Bagi saya cabaran ini bukan semua orang mampu dan berani melakukannya.

“Pada saya cabaran makan adalah satu ­penyeksaan dan jika tidak mempunyai mental yang kuat, agak sukar untuk melakukannya,” katanya yang ­bergandingan dengan peserta dari Melaka iaitu Anbia.


Kurang berlakon buat sementara waktu

Pelakon yang popular menerusi drama Kisah Kaisara ini lebih fokus terhadap keluarga walaupun menerima banyak tawaran berlakon.

Mengakui banyak menolak tawaran berlakon, Sari tidak kecewa dengan keputusan yang diambil.

“Saya akui kurang berlakon dan ada beberapa tawaran yang terpaksa ditolak kerana ketika tawaran tiba, saya sibuk dengan tugasan lain. Fokus saya juga kini lebih tertumpu pada anak-anak.

“Mungkin kerana seronok menguruskan sendiri anak-anak membuatkan saya mengehadkan lakonan. Dalam pada itu, saya juga berjinak-jinak dengan kerja di belakang tabir.

“Banyak perkara baru sedang saya pelajari sejak menubuhkan produksi Mediaglo Sdn Bhd, kerjasama dengan beberapa rakan artis seperti Tam Suhaimi, Farish Aziz dan Intan Ladyana.

“Banyak projek yang sedang kami rancang dan saya semakin seronok mempelajari kerja di belakang tabir. Namun saya akan pastikan tawaran berlakon tetap ada. Bukan bermakna kerana sibuk di balik tabir, saya mengabaikan bidang lakonan,” katanya.

Sumber

Bekas isteri dakwa Jimmy tak mampu jaga anak mereka


SHAH ALAM - Bekas isteri kepada pengacara, Jimmy Shanley, Nur Suhaila Eliani Suhaimy, 25, memberitahu mahkamah bahawa bekas suaminya itu tidak mampu menjaga anak mereka dengan baik.

Nur Suhaila Eliani berkata, keadaan anak mereka, Zahra  Rania Shanley, 3, yang masih kecil menjadikan hak bermalam tidak sesuai diberikan kepada bekas suaminya.

“Jadi, saya bimbang tanpa bantuan orang lain, defendan tidak mampu menjaga anak dengan baik,” katanya.

Selain itu, wanita itu turut bimbang anaknya trauma jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, selain terpaksa berjauhan dengannya.

Dalam afidavit keterangannya, Nur Suhaila Eliani memberitahu mahkamah, anaknya turut mengidap penyakit Bronchiolitis iaitu penyakit yang menyebabkannya demam, batuk, selesema dan sesak nafas.

“Dia pernah dimasukkan ke hospital gara- gara penyakit yang dihadapi sejak Oktober 2012,” katanya.

Nur Suhaila Eliani turut mempersoalkan cara bekas suaminya meluangkan masa memandangkan lelaki itu bekerja di stesen radio UFM pada setiap Rabu dan Khamis.

“Defendan memulakan kerjanya bermula jam 6 sehingga 10 pagi, jadi adalah mustahil dia dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak kami.

Bagaimanapun, Nur Suhaila Eliani tidak menafikan hak Jimmy Shanley atau nama sebenarnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 34, melawat dan bersama- sama anak mereka pada masa yang dipersetujui iaitu 10 pagi sehingga 6 petang.

“Saya percaya ia tidak menjadi masalah kepadanya kerana jarak rumah kami adalah sekitar 45 minit sahaja,” katanya.

Nur Suhaila Eliani berkata, masa yang sesuai untuk bermalam apabila anak ini sudah berumur tujuh tahun.

“Ini kerana dia sudah pandai berkomunikasi dan berdikari serta pandai menjaga kebersihan dirinya,” katanya.

Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mawardi Che Mat ditangguh sehingga 21 Mei depan.

Sumber

Bekas Model Felixia jatuh hati pada busana Muslimah

on Tuesday 18 February 2014


SHAH ALAM - Bekas model Playboy dari Ipoh, Felixia Yeap yang dulu hanya tertarik untuk mengenakan hijab, kini mula jatuh hati dengan pakaian yang lebih longgar dan menepati syariat Islam.

Jelas Felixia beliau kini sudah mula menyimpan pakaian yang bersaiz kecil, dan berharap selepas ini beliau tidak akan mengenakan lagi pakaian yang bersaiz 'kanak-kanak'.

 "Pada mulanya,saya jatuh hati pada hijab.

"...sekarang, saya sedar yang saya telah jatuh cinta dengan baju-baju yang longgar dan labuh... seperti jubah, abaya dan semestinya baju kurung.

"...lipat dan simpan skinny jeans, harap-harap tak payah nak pakai skinny jeans dah. (Ini pun sebab saya tak ada seluar lain buat masa ni, huhuhu...)," katanya di laman Facebooknya.

Tahun lepas, Felixia mengambil keputusan untuk memakai tudung sebagai fesyen tanpa memeluk Islam.

Felixia berkata, beliau mula jatuh cinta dengan fesyen tudung apabila beliau dipanggil untuk uji bakat iklan Raya Haji Celcom.

Jelitawan 27 tahun dari Ipoh yang memulakan karier sebagai model sejak usia 19 tahun itu bagaimanapun tidak mengendahkan sebarang kesangsian dan kritikan yang dilemparkan kepadanya sejak beliau mula memakai hijab beberapa bulan lalu.

"Mereka berkata saya lakukan ini bertujuan mencari Datuk Melayu kaya untuk berkahwin.

 "Jika saya mahu mencari seorang lelaki kaya, saya sudah lakukannya sejak dahulu lagi ketika saya masih aktif sebagai model yang sentiasa memberi pose seksi. Kritikan mereka tidak logik. Apa yang saya mahu lakukan ialah untuk lebih banyak menutup dan melakukan peragaan yang lebih sopan," kata beliau kepada sebuah laman portal.

Menjelaskan tindakan beliau lagi, Yeap berkata, walaupun ia satu kejutan kepada peminatnya, cinta beliau terhadap pakaian Islam telah bermula ketika di bangku sekolah lagi.

Beliau berkata, walaupun ada umat Islam mengkritik, kebanyakan komen negatif datang daripada bukan Islam.

Katanya beliau sangat suka dengan baju kurung dan pakaian tradisi masyarakat Melayu-Islam.

Sumber

Hanez Suraya Akui Bakal Suami Memang Kuat Cemburu


PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya memberitahu sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan membataskan aktiviti kerjaya lakonan selepas berumah tangga bagi menjaga perasaan suami.
Hanez, 29, berkata, biarpun belum membincangkan tentang perjalanan kerjaya seninya selepas berkahwin, namun dia akur andainya terpaksa menarik diri dari dunia seni.
"Lepas berkahwin nanti kenalah hormat keputusan suami, sekarang sahaja dia agak cemburu kalau ada sesi fotografi yang memerlukan saya bergambar mesra dengan lelaki, inikan pula berlakon berpelukkan.
"Sejak bercinta dengannya, saya juga sudah tidak boleh keluar malam, kalau keluar siang sekalipun kena balik awal.
"Setakat ini belum ada perbincangan tentang kerjaya, tetapi kalau dia tidak benarkan saya berlakon pasti dia akan gantikan saya dengan sesuatu yang lain untuk dilakukan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Pelakon Autumn Di Hatiku ini mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Kuala Lumpur yang berusia 34 tahun pada tahun ini.
Tambah Hanez, dia kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan tersebut dan mencari lokasi yang sesuai untuk majlis 'raja sehari' itu.
"Insya-Allah pada tahun ini kami akan berkahwin, tarikh sudah ada tetapi belum boleh diumumkan kerana masih lagi mencari lokasi yang sesuai.
"Kalau boleh saya tidak mahu bertunang tetapi tengok macam mana keputusan keluarga nanti," katanya.
Dalam pada itu, Hanez berkata, dia mengimpikan untuk mengadakan majlis bertemakan perkahwinan dalam taman.
Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan bakal suaminya itu, Hanez berkata, lelaki itu menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengambilnya sebagai isteri.
"Dia bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab kepada saya, tetapi juga kepada keluarga saya.
"Dia seorang yang matang biarpun tidak romantik, namun saya rasa selamat berada di sisinya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hanez bakal keluar dengan drama bersiri Autumn Di Hatikumusim kedua di Tonton tidak lama lagi.

Rabecca jual semua baju seksi

on Monday 17 February 2014


SIAPA sangka, sebelum ini pelakon sensasi, Rabecca Nur Al Islam, sememangnya terkenal dengan imej seksi dan menggoda.

Namun, pemergiannya ke kota suci bagi menunaikan umrah buat kali pertama bersama keluarga, akhirnya memberi kejutan apabila pelakon ini pulang dengan berita penghijrahan.

Walaupun hanya 12 hari berada di kota Makkah, namun ternyata pelakon drama, Jangan Tegur Lagi, ini, mendapat hidayah ALLAH SWT.

Bukan hanya cuba-cuba, Rabecca nekad dengan keputusannya itu apabila dia turut menjual kesemua koleksi pakaiannya sebelum ini.

Menurut Rabecca, tindakan ini adalah perlu kerana dia tidak mungkin akan memakainya lagi di masa akan datang.

Sejujurnya, saya tiada koleksi baju-baju yang menutup aurat. Almari pakaian saya dipenuhi dengan pakaian seksi.

"Jadi, setelah fikir masak-masak, saya membuat keputusan untuk menjual kesemua koleksi itu kepada orang ramai dan turut menguar-uarkannya menerusi laman sosial.

"Sesiapa yang mahukan baju saya mahupun peminat, bolehlah berurusan dengan pembantu peribadi saya," katanya yang kini telah mengosongkan kesemua almari pakaiannya.

Tambah Rabecca, tidak semua koleksi itu dijual kerana ada sebahagian daripadanya hanya diberikan secara percuma.

"Untuk pakaian yang bernilai RM700 ke bawah, saya hanya beri percuma sahaja kerana niat saya juga adalah untuk bersedekah.

"Namun, bagi koleksi yang mencecah ribuan ringgit serta direka khas pereka terkenal, saya akan jual dengan potongan harga sehingga 70 peratus," katanya.


Suami terkejut

Bercerita mengenai penghijrahan itu, Rabecca mengakui, dia tidak merancang untuk bertudung setelah pulang dari menunaikan umrah.

Malah, hidayah itu datang dengan sendiri dan akui Rabecca, suaminya, Nor Azam Datuk Sulaiman, juga turut terkejut dengan perubahan dirinya.

"Kami tiba di Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu setelah 12 hari di sana (Makkah). Pagi Selasa, saya bersiap untuk menemui seseorang.

"Namun, hati saya tidak berpuas hati dengan penampilan ketika itu lalu saya menunaikan solat Zohor sebelum keluar rumah. Selepas itu, saya cuba mengenakan tudung, barulah lega.

"Ketika itu, saya tidak memiliki pin. Saya minta daripada pembantu rumah, dia berikan pin lain kerana dia sendiri tak sangka saya mahu pin tudung," katanya yang meminjam pin daripada ibu yang ketika itu berada di rumahnya.

Tambah Rabecca, ibunya terkejut dengan perubahan itu namun turut menyokong penghijrahannya.

"Sehingga hari ini, saya masih memakai pin ibu saya kerana tidak sempat untuk membelinya lagi.

"Suami saya, lagilah terkejut kerana dia sendiri tidak tahu yang saya akan berhijrah secepat itu.

"Buat masa ini, saya lebih selesa mengenakan selendang kerana saya mempunyai banyak koleksi selendang yang disediakan untuk majlis amal," katanya


Khatam al-Quran

Berkongsi kisah sepanjang berada di kota suci, Rabecca mengakui penghijrahan itu sedikit sebanyak dipengaruhi penampilannya ketika berada di sana.

Katanya, ketika menunaikan umrah, dia memakai jubah dan bertudung. Malah, setiap waktu solat tidak pernah diabaikan.

"Apabila masuk sahaja waktu solat, kami akan sembahyang dan perkara itu menjadi rutin apabila saya pulang ke rumah.

"Malah, ketika berada di sana, saya turut memasang niat untuk khatam al-Quran. Namun, ada beberapa juzuk lagi yang belum habis.

"Jadi, saya berhasrat untuk menghabiskannya di rumah. Bila fikirkan tentang itu, mungkin ia adalah salah satu sebab kenapa saya nekad dengan penampilan ini," katanya yang kini sedang mempelajari ilmu agama menerusi bahan bacaan dan sumber internet.

Walaupun tampil dengan imej berbeza, namun dia tidak menolak sekiranya ada tawaran dalam bidang lakonan.

"Saya cintakan dunia seni dan tidak mungkin tinggalkan begitu sahaja. Saya akan mempertimbangkan setiap tawaran.

"Malah, saya juga tidak akan tolak sekiranya perlu bawa watak jahat. Namun, ianya haruslah bersesuaian dan menutup aurat," katanya yang turut terlibat dalam bidang perniagaan perancang majlis perkahwinan.

Katanya, perniagaan itu akan diperkenalkan pada Jun ini dan ianya melibatkan perkhidmatan pelamin dan pengurusan majlis perkahwinan.

Sumber

Johan As'ari cari calon isteri

on Sunday 16 February 2014


DALAM pada Fizz Fairuz umum untuk mengakhiri zaman bujangnya bersama pelakon genit, Almy Nadia, ada juga seorang aktor lelaki yang satu ini sibuk nak cari calon isteri.
Kalau Diva tak sebut nama pun pasti ramai yang sudah tahu siapakah gerangan yang dimaksudkan. Pelakon itu tak lain dan tak bukan tentulah Johan As'ari.
Selepas hubungan cinta tiga hari bersama aktres seksi Lana Nodin berakhir kira-kira sebulan lalu, nama Johan tiba-tiba sepi. Haruslah sepi, Diva kalau kena gelar lelaki psiko dengan Lana pun boleh termalu sebulan okey.
Mungkin rasa dirinya tidak mendapat perhatian media atau sedih tiada pasangan untuk sama-sama meraikan Hari Kekasih pada 14 Februari lalu, Johan terus umum kononnya kali ini dia benar-benar serius mahu mencari wanita untuk diperisterikan.
Geli tekak Diva nak percaya kenyataan yang dikeluarkan Johan.
Bukan apa, terlalu banyak kisah percintaan suam-suam kuku antara Johan dan aktres yang tak perlulah disebutkan nama mereka di sini. Tak gentleman kata kawan Diva si Kepohlina.
Diva pun kalau sudah dua, tiga kali asyik terkena batang hidung sendiri sahaja, susah nak percaya kata-kata orang.
Apa pun, Diva ambil pendekatan tunggu dan lihat tentang siapakah wanita sudi menadah hati terima cinta suci Johan selepas ini. Kalau betul sampai ke jenjang pelamin, barulah boleh percaya ketulusan serta keikhlasan hati Johan.
Diva: Tak sabar nak tahu jantina anak sulung Liyana Jasmay
Sumber

Luluh lihat isteri, anak kaku


Melaka: “Hati lelaki mana tidak luluh apabila melihat isteri dan anak yang baru beberapa minit ditinggalkan kaku di depan mata, namun saya gagahkan diri untuk keluarkan mayat anak bongsu dari dalam kereta berkenaan.”

Begitu kata Jalal Yusof, 48, selepas isterinya Rossita Roslan, 42, bersama anak bongsu mereka Siti Norsyahira, 11, maut apabila PERODUA Myvi dinaiki bersama seorang lagi anak mereka, Siti Aishah, 16, melanggar sebatang pokok di Jalan Bukit Lintang, Ayer Molek, di sini, semalam.


Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, apabila kereta dipandu Rossita dari arah Persimpangan Bukit Lintang-Tiang Dua menghala ke Persimpangan Ayer Molek dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.

Rempuhan mengakibatkan Rossita dan Siti Norsyahira meninggal dunia di tempat kejadian manakala Siti Aishah yang duduk di bahagian penumpang belakang parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Jalal berkata, ketika kejadian, isteri dan dua anaknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Telok Mas ke rumah ibu mentuanya di Duyong manakala dia menunggang motosikal.


“Ketika tiba di Bukit Larang, saya lihat cermin sisi namun kereta dipandu isteri tidak kelihatan sebelum saya mengambil keputusan menunggu mereka di hadapan rumah ibu mentua.


"Selepas 10 minit menunggu, saya hubungi telefon bimbit isteri tiga kali tetapi tidak berjawab. “Namun panggilan kali keempat dijawab seorang lelaki memaklumkan isteri terbabit kemalangan melanggar sebatang pokok,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.


JALAL (kiri) bersama seorang ahli keluarga tidak dapat menahan sebak dalam kejadian meragut nyawa isteri dan anaknya, semalam.

Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila melihat keadaan isteri dan dua anaknya di dalam kereta berkenaan.


“Saya lihat Siti Aishah yang duduk di bahagian belakang dipercayai tercampak menghempap ibunya di tempat duduk pemandu, manakala Siti Norsyahira yang duduk di sebelah pemandu sudah tidak bernyawa.

“Saya menguatkan diri mengeluarkan anak bongsu dan meletakkannya di tepi kereta, manakala adik ipar membantu mengeluarkan Siti Aishah yang tidak sedarkan diri. Mayat isteri pula dikeluarkan pihak bomba,” katanya.


Menurutnya, dia tidak menyangka sikap Rossita yang tidak bercakap seminggu sebelum kemalangan dan tidak bersalaman dengannya ketika keluar rumah pagi itu seperti kebiasaan petanda isterinya akan meninggal dunia.


Saksi Muhammad Zainurin Md Daud, 24, yang menjadi individu pertama tiba di lokasi berkata, dia yang baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan di kawasan berhampiran dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.


“Apabila keluar dari kedai saya lihat kereta dinaiki mangsa merempuh sebatang pokok, disebabkan masih gelap saya gunakan lampu suluh untuk melihat keadaan mangsa sebelum terlihat penumpang di bahagian belakang melambai tangan meminta tolong.


“Penumpang itu menghempap pemandu, manakala pemandu dan seorang kanak-kanak di tempat duduk hadapan tidak sedarkan diri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber

Rozita Che Wan Tak Sanggup Bermadu


PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan mengakui dia tidak sanggup menerima kenyataan sekiranya dimadukan seperti yang dilalui segelintir wanita.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 41, bagaimanapun berkata, dia yakin suaminya, Zain Saidin, 30, seorang lelaki baik yang tidak mungkin terniat untuk berbuat demikian.

“Dalam kehidupan saya sebelum ini pun saya mengelak dan minta simpang dijauhkan untuk merampas suami orang. Tapi kalau ditakdirkan suatu hari nanti ia terjadi, saya terima.

"Nak buat macam mana kalau kita mengelak tetapi suami buat hal juga, reda saja. Tapi saya yakin Zain tak akan jadi sebegitu. Insya-Allah,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, dia hanya rela hidup berpoligami dalam kerjaya lakonannya sahaja menerusi sebuah telefilem khas terbitan Zeel Production berjudul Madu bersama barisan pelakon lain iaitu Zamarul Hisham, Shahrizal Jaszle, Syatilla Melvin, Aishah Ilias dan Ezzaty Abdullah.

Telefilem arahan Joeza itu mengisahkan Anita, lakonan Rozita, yang sanggup mencarikan calon isteri buat suaminya, lakonan Zamarul.

"Mungkin selama ini kita lihat ada golongan suami yang suka bermadu sama ada secara diam atau memohon kebenaran tetapi drama ini memaparkan kisah yang jarang terjadi apabila si isteri yang merelakan dirinya untuk dimadukan.

“Tapi syaratnya, Anita kena tentukan siapa calon madu yang sesuai untuk suaminya. Tapi yang dirancang tak menjadi seperti yang diharapkan," ujarnya.

Madu akan ditayangkan pada Ahad (hari ini) pada pukul 10 malam, di saluran TV3, menerusi slot Festival.

Sementara itu, ditanya pula mengenai perkembangan dirinya yang mungkin sudah berbadan dua, Rozita menafikannya dan menganggap dia dan Zain yang berkahwin pada 11 Disember lalu masih lagi belum mempunyai rezeki anak.

“Saya belum mengandung. Belum ada rezeki lagi. Tapi saya dan suami mengharapkan yang terbaik untuk itu. Kini pun kami masih dalam 'mood' berbulan madu," tuturnya.

Sumber

Nabila sudah serik?


JIKA sebelum ini dia sering dihimpit dengan pelbagai kontroversi, kini pelakon hebat, Nabila Huda akui lebih selesa menyimpan kisah peribadinya daripada pengetahuan orang ramai.

Ini kerana anak kepada otai rock tanah air, Amy Search ini mahu peminat lebih memberi fokus terhadap karier lakonannya berbanding kisah kehidupannya.

“Sebenarnya saya sendiri pun tidak perasan kehidupan saya mula berubah. Mungkin disebabkan umur yang semakin meningkat, secara tidak langsung ia beri kesan di mana saya lebih suka menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain.

“Saya bukan mahu berahsia tentang kehidupan peribadi termasuklah kisah cinta, tapi saya rasa peminat perlu fokus pada karier saya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif drama Ariana Rose.

Tambahnya, tuntutan kerja yang tidak putus-putus juga membuatkan dirinya letih untuk menghadapi perkara-perkara yang tidak diingini.

“Sejak akhir-akhir ini saya memang terlalu sibuk dengan kerja. Kalau boleh saya memang tidak mahu buka mulut untuk berkongsi kisah peribadi untuk elakkan perkara yang tidak diingini.

“Lagi pun saya penat mahu menjawab persoalan yang sama,” jelasnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama ‘Di Atas Kertas’ bersama Keith Foo dan Izreen Azminda.

Tak kisah dibenci

Beri apa sahaja watak, pasti lakonannya tidak akan mengecewakan. Namun itu bukanlah alasan utama buat dirinya untuk menjadi seorang pelakon yang ‘demand’.

“Berlakon adalah minat saya dan tidak pernah terlintas untuk saya berhenti daripada bidang ini.

“Bagi saya skrip yang baik dan pada masa sama berpeluang bekerjasama dengan pengarah berpengalaman sudah cukup untuk saya menerima sesuatu tawaran dan bukannya mengenai bayaran semata-mata.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang di mana saya berada sama tahap kehidupan dengan orang lain yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Jadi soal ‘demand’ itu tidak pernah timbul,” katanya.

Ditanya pula mengenai lakonannya menerusi drama hangat, Ariana Rose pula, Nabila gembira lakonannya diterima baik peminat.

“Memang tidak sangka sambutan drama ini begitu menggalakkan.

“Biarpun hanya memegang watak sokongan tapi saya gembira kerana ramai peminat yang benci dengan watak yang saya mainkan sebab itu membuktikan ia benar-benar menjadi,” ujarnya.

Sumber

Keguguran Tidak Buat Dira Serik Untuk Mengandung

on Wednesday 12 February 2014


PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar menyifatkan kandungannya gugur pada November tahun lalu sebagai pengajaran untuk dia lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 30, berkata, dia juga tidak serik untuk melalui proses sebagai wanita mengandung semula kerana terlalu menginginkan anak bersama suaminya Mohd Helmi Mohd Yusof.
"Saya memang dah berniat mahu anak pada tahun ini. Wanita mana yang tak kecewa apabila terpaksa melalui proses keguguran.
"Tetapi saya tak serik kerana ia mengajar saya untuk lebih berhati-hati mengenai perubahan yang dialami," katanya kepada mStar Online.
November tahun lalu, Dira disahkan keguguran di mana dia sendiri tidak sedar mengalami masalah itu memandangkan proses kitaran haidnya berjalan seperti biasa setiap bulan.
Kejadian berlaku ketika Dira menjalani penggambaran program Terengganu ku bersama Zizan Razak.
Tambah Dira, dia juga menambah bilangan anak kerana berasa puteri sulungnya iaitu Anggun, 7, yang merupakan anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (bercerai pada 8 April 2010) sudah perlu mempunyai seorang adik sebagai peneman.
"Saya lihat Anggun makin selesa sendiri dan itu sangat merisaukan saya kerana dia tidak suka berkongsi.
"Malah apabila ditanya adakah dia mahukan seorang adik, dia langsung tidak berminat. Keadaan itu membuatkan saya lagi mahukan anak agar Anggun dapat belajar erti berkongsi tidak kira dalam segala hal," ujarnya.
Dira bernikah dengan Mohd. Helmi yang juga pengarah fotografi pada11 November 2011 di Merlimau, Melaka.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Dira bersama peminatnya, Azura akan tampil menerusi program Fear Factor Malaysia bersama 15 pasangan peserta lain.
Rancangan itu akan mula bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 15 Februari ini menerusi saluran Astro Ria (104).

Baju dikritik: Neelofa hanya kunci mulut!


SEBELUM ini, Neelofa tidak pernah gagal menarik perhatian ramai menerusi fesyen yang cantik persis seorang puteri.

Bagaimanapun pemilihan busana bekas juara Dewi Remaja 2010/2011 ini menjadi perbualan hangat ramai.

Ia sekali gus membuatkan nama Neelofa Mohd Noor dikritik hebat oleh peminatnya kerana kelihatan pelik dengan busana yang digayakan pada Anugerah MeleTOP Era (AME) sehingga dipersendakan dalam laman sosial.

Dia yang bertindak sebagai pengacara pada majlis berkenaan mengenakan jump suit rona merah jambu disamakan dengan karakter adiwira Power Rangers.

Lebih memburukkan lagi, pakaian itu turut dikecam kerana didakwa seksi apabila menampakkan bentuk tubuh pelakon dan pengacara Nona itu.

Tidak setakat itu, gaun neon hijau yang digayakan bintang Azura 2012 pada majlis itu turut disamakan dengan karakter animasi sekali gus menambahkan lagi kutukan terhadapnya.

Difahamkan, jump suit itu direka oleh Wanpa manakala Hatta Dolmat mereka gaun neon hijau.

Walaupun mendapat kecaman hebat, Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa mengambil 'jalan selamat' apabila enggan komen mengenai isu ini dengan lebih lanjut.

"Saya tak mahu komen dengan lebih lanjut lagi sebab ia membabitkan banyak pihak. Jadi, banyak hati yang perlu dijaga.

"Lagipun, lebih baik begitu kerana saya tak nak memburukkan lagi keadaan sedia ada," katanya.

Tambah Lofa lagi, dia memilih untuk tidak membaca segala kritikan  yang dipaparkan di media sosial.

"Saya tak baca langsung, saya dapat lihat apabila orang hantar di WhatsApp," katanya.

Sumber