Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Lapan tips jika anda makan gaji

on Monday 9 February 2015


ADAKAH seronok bila kita mendapat gaji ketika hujung bulan? Mestilah seronok, kerja 20-24 hari sebulan then sehari dapat gaji! Tapi, persoalannya adakah keseronokan itu mampu berpanjangan hingga selepas kita bersara? Jika panjang umur.

Masa saya kerja dulu-dulu pun, seronok bila dapat gaji apatah lagi selepas “kekeringan wang” lebih separuh bulan. Tapi, dapat sahaja gaji yang sehari itu, masuk pagi duit dalam account, bila petang atau paling lewat esoknya, insya-ALLAH dah “game over” bayar hutang. Itu pun ada lagi belum selesai.

Itu tahun 1995-97. Gaji RM1,500. Bekerja di firma stockbroking.

Hari ini saya nak tanya soalan-soalan penting ini:-

• Adakah anda rasa nilai wang anda semakin bagus?

• Adakah anda rasa kuasa membeli duit anda semakin tinggi?

• Adakah anda rasa dengan pendapatan dari gaji semata-mata adalah cukup untuk bersara dengan semakin sihat dan tenang (Jika panjang umur)?

Ramai hari ini seronok kerana masih ada gaji kan. Siapa tidak?

Cuma tidak ramai yang mempunyai pelan kewangan dan pelaburan yang bagus dan teratur untuk mereka lebih bersedia samada untuk bertahan di dalam ekonomi hari ini atau untuk persaraan mereka. Tidak kisahlah anda bekerja atau berniaga. Sebenarnya peluang untuk setiap daripada anda hidup dalam keadaan kewangan yang tertekan adalah tinggi.

Gaji anda sama ada rendah atau sederhana pasti akan terkesan dengan kos sara hidup semakin meningkat. Hutang yang tidak putus-putus dan makin banyak tertunggak.

• Kos sara hidup meningkat.

• Kos membesarkan anak-anak meningkat.

• Harga hartanah/ rumah yang meningkat walaupun rumah kos rendah.

• Kos bahan binaan juga semakin meningkat.

• Kos pendidikan semakin mahal sedangkan tahap gaji kelayakan yang tinggi pun semakin rendah.

• Kos perubatan meningkat.

Dalam banyak-banyak kos di atas, cuba bayangkan satu daripadanya, sebagai contoh kos perubatan yang hari ini sudah meningkat ke tahap yang luar biasa 20-30 tahun lagi. Waktu itu, kita yang hari ini umur dalam lingkungan 30-40an akan berumur di antara 50-70an.

Adakah kos tersebut masih sama dengan hari ini. Jangan sampai tahap, hari ini kita guna kesihatan untuk mengejar kewangan, malangnya kewangan tersebut tak mampu nak beli kembali kesihatan ketika kita di ambang usia suatu hari nanti.

Sebab itu saya tertarik dengan amaran yang tertulis di sebuah billboard di Jakarta yang menyebut: “Jika anda tidak ada duit, anda perlu pastikan anda tidak sakit.”

Sesiapa yang ada terbaca berita semalam, 88% pekerja bimbang tak cukup duit bila bersara.

Jangan fikir pasal orang lain. Lihat dalam-dalam ke dalam diri kita hari ini. Adakah kita juga tergolong di kalangan 88 peratus tersebut? Masalah itu tidak akan selesai sehingga kita belajar dan bertindak mencari jalan selesaikannya.

Apa “jalan” yang ada? Kerana jika teruskan meminjam bukanlah pilihan yang terbaik, jangka pendek, OK tetapi lama-kelamaan beban hutang kita akan sesak ke kepala.

Sebagai respon pada berita semalam, ada 8 cadangan yang saya ingin berikan:-

1. Jika anda bekerja, tambah baik diri supaya dinaikkan gaji. Sama ada sambung belajar secara part-time sambil bekerja. Faktor kelulusan banyak mempengaruhi gaji seseorang di banyak syarikat atau sektor kerajaan.

2. Tukar kerja yang lebih tinggi gajinya, cuma masalah ini hanya berbentuk strategi jangka pendek atau tambah baik ilmu atau kemahiran diri untuk melayakkan diri mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

3. Berniaga atau membuat pelaburan sama ada secara sepenuh masa atau sampingan. Cuma jangan mula dengan modal yang besar serta mestilah sedia untuk belajar ilmu berniaga dan melabur sama ada melalui membaca buku yang bagus atau hadir seminar yang terbukti melahirkan ramai yang berjaya.

4. Yang paling penting adalah belajar uruskan duit kerana duit sikit boleh jadi banyak jika diurus dengan baik. Begitu juga sebaliknya, banyak boleh jadi sedikit atau habis jika tidak pandai uruskan.

5. Tahan nafsu. Stop belanja makan di luar. Kurangkan window shopping. Kurangkan ke tempat yang mampu “menggalakkan” kita berbelanja mengikut “nafsu”. Kurangkan kos, kurangkan kos dan kurangkan kos.

6. Simpan duit, simpan duit dan simpan duit.  Ini nasihat yang paling asas sebelum anda ada ilmu “memberanakkan” duit. Walaupun belum tahu berniaga atau melabur, anda mesti simpan sedikit duit secara berdisiplin. Set sasaran atau target berapa anda mesti simpan setiap bulan dan duit itu TIDAK BOLEH digunakan langsung melainkan bila ada ilmu pelaburan.

7. Jangan sertai skim cepat kaya atau meminjam untuk masuk skim cepat kaya. Berhati-hati dengan pelbagai skim yang boleh “menghilangkan” duit anda apatah lagi jika ianya di senarai hitam oleh Bank Negara.

8.  Sedekah sedikit. Sebab sedekah telah terbukti memberikan keberkatan kepada rezeki kita. Cuba mulakan dengan jumlah yang paling kecil yang kita mampu dan lakukan secara konsisten. Anda akan merasai keberkatannya nanti.

Semua orang ingin ubah hidup tetapi ramai orang tidak mahu ubah sikap serta belajar.

Sudah masanya untuk anda berfikir tentang masa depan dan bagaimana mengatur serta meningkatkan kewangan anda secara serius.

DR AZIZAN OSMAN


Sumber 

Johan As'ari Akui Wujud Cinta Lokasi Dengan Puteri Najwa


PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari mengakui wujudnya 'cinta lokasi' diantaranya dengan aktres Puteri Najwa ketika mereka sama-sama menjayakan drama bersiri terbitan Temenggong Pictures Sdn Bhd iaitu Waris Kasih.
Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari, 29, bagaimanapun berkata, perasaan itu wujud hanya semata-mata untuk menjiwai watak memandangkan mereka bergandingan sebagai pasangan kekasih dalam drama bersiri itu.

"Sebagai seorang pelakon, 'cinta lokasi' itu perlu ada dalam memberikan komitmen kepada watak yang dijayakan bersama heroin sesebuah drama atau pun filem.

"Saya akui wujud hubungan itu dengan Puteri Najwa tetapi ia sekadar untuk kami mendapatkan keserasian dalam mendalami watak yang diamanahkan," katanya kepadamStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Johan mengulas laporan ruangan gosip sebuah akhbar pada Ahad yang mendakwa Johan cuba bermain cinta dengan Puteri Najwa dan tindakannya itu mendapat perhatian daripada produksi.

Drama bersiri Waris Kasih bakal bersiaran menerusi slot Azalea di TV3 tidak lama lagi.
Dalam pada itu, menjelaskan mengenai perkara itu, Johan berkata, hubungannya dengan Puteri Najwa kelihatan akrab berkemungkinan faktor hanya mereka berdua terlibat ketika penggambaran diadakan di Sungai Lembing, Kuantan Pahang.

Jelas Johan, dia tidak mempunyai sebarang niat tidak baik terhadap aktres itu apatah lagi cuba memikatnya kerana menghormati wanita berkenaan.

"Kami rapat sebab tiada pelakon lain ketika penggambaran di sana kerana banyak babak hanya melibatkan kami sahaja. Itu pun Puteri Najwa tidak berada lama di Sungai Lembing.

"Mungkin apa yang orang lain lihat cuma tanggapan mereka sahaja wahal tiada apa-apa berlaku diantara kami," jelasnya lagi.

Johan turut menegaskan 'cinta lokasi' itu tidak terbawa-bawa sehingga ke luar lokasi dan menjelaskan hubungannya mereka sekadar teman biasa sahaja.

Malah kata Johan, selepas beberapa kali kecundang dalam percintaan dia kini tidak terlalu memikirkan soal cinta sebaliknya ingin memberi fokus kepada kerjaya lakonannya.

"Banyak pengajaran yang saya dapat daripada pengalaman lalu dan saya sekarang tidak mempunyai teman istimewa dengan mana-mana wanita termasuk Puteri Najwa.

"Selepas selesai penggambaran Waris Kasih kami juga tidak ada berjumpa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan berkata, dia kini sedang berehat seketika sebelum memasuki set penggambaran drama berjudul Megat Panji Alam untuk siaran TV Al-Hijrah.

Selain itu katanya, empat buah filem lakonannya iaitu Juvana 2, Juvana 3, Tujuh danKanang Anak Langkau: The Iban Warrior bakal ditayangkan dipawagam pada tahun ini.

Cinta baharu Juliana Evans


KALI terakhir penulis bertemu aktres cantik ini adalah ketika tayangan perdana filem lakonannya, Hantu Bonceng, sekitar penghujung tahun 2011.

Kemudian pada tahun 2012, pemilik nama Juliana Sophie Johari Evans ini membawa diri ke Amerika Syarikat bagi menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Western Michigan University, Amerika Syarikat (AS).

Sejak itu penulis hanya mengikuti perkembangannya menerusi laman sosial dan sesekali kisah mengenai bintang yang lebih dikenali dengan nama Juliana Evans ini dimainkan di media.

Kemudian sebaik pulang ke sini, nama Juliana atau mesra disapa Jue menjadi sebutan. Semuanya gara-gara 'keretakan' hubungan antara Zizan Razak dan Emma Maembong yang hangat diperkatakan awal tahun lalu.

Dek kerana 'keretakan' tersebut, Jue dikatakan menjadi punca hubungan cinta Emma dan Zizan mula goyah. Namun perkara itu sudah dijawab Jue menerusi akaun Instagramnya, bahkan Jue sendiri menyukai Emma bersama Zizan.

Justeru kesempatan penulis untuk bertemu Jue di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya, 7 Dimensi Aliff di di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Rabu lalu digunakan sepenuhnya untuk bertanya perkembangan gadis kacukan ini.

Tidak dapat lari dari soalan cinta, Jue menegaskan, cintanya kini adalah kepada kariernya yang baru sahaja bermula semula.

"Saya sendiri sekarang dan fokus saya kini 100 peratus kepada karier. Apatah lagi, saya baru sahaja kembali aktif di dalam bidang seni. Sebelum ini bukan tidak aktif tapi saya tak dapat memberi fokus 100 peratus kerana terikat dengan pelajaran dan sebagainya.
"Jadi sekarang bila dah tamat pengajian, tibalah masanya saya memberi fokus pada karier. Perkara lain saya letak ke tepi dahulu," katanya.

Jue yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Uprising Entertainment Sdn Bhd bersama Ummi Nezeera, Keith Foo, Kaka Azraff, Johan As’ari, Nazrief Nazri, Hafreez Adam dan Raja Syahiran berkata, dia mengikat kontrak selama enam bulan dengan syarikat tersebut.

"Buat masa ini saya akan berada di Malaysia dan jadual saya diuruskan oleh Uprising Entertainment Sdn Bhd.

"Namun saya berada di sini bukan secara tetap kerana saya tetap akan pulang ke Los Angeles (L.A) kerana masih ada beberapa barang saya berada di sana.

"Malah saya juga sudah mengikat kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan artis di sana dan sekiranya ada tawaran saya perlu kembali ke L.A," jelasnya.

Sedar akan saingan di luar negara, Jue berkata, dia membuat keputusan untuk melebarkan sayap di luar negara selepas melihat ada banyak peluang dan dia sendiri pernah beberapa kali ditawarkan sebagai pelakon dan model di sana.
“Ia adalah sebahagian daripada impian saya sebagai anak seni dan saya sedar walaupun persaingan sengit tetapi saya mahu lihat sejauh mana diri saya boleh pergi ke Hollywood dengan bakat yang saya ada.

"Bukan mahu popular atau menjadi artis gred A di Hollywood kerana sedar perkara itu memakan masa yang lama. Apa yang saya mahukan cuma pengalaman,” jelasya.

Populariti menurun?

Berkongsi perkembangannya di sini, Jue berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran 7 Dimensi Aliff dan mengakui populariti kini sudah menurun sejak dia ke AS.

Namun bagi Jue, dia melihat situasi itu sebagai perkara biasa bagi seseorang artis yang sudah lama menyepi. Dek kerana itu, wanita berusia 26 tahun ini tidak menunggu lama untuk kembali aktif di dalam bidang lakonan.

Mengakui kekok pada mulanya untuk kembali berlakon, namun perasaan rindu untuk berlakon menjadi penguat semangat untuk dia kembali aktif di dalam bidang seni.

"Sejak balik dari AS, boleh dikatakan setiap hari saya ada sesi fotografi. Kemudian habis sahaja fotografi, saya terus terlibat dengan penggambaran filem ini.

"Pada mulanya memang penat sebab dah tiga tahun saya 'bercuti', jadi bila mula balik bekerja tidak tentu masa dan ada ketikanya satu hari suntuk, saya jadi penat.

"Cuma mula-mula badan terperanjat adalah tak sihat, tapi bila dah masuk minggu ketiga penggambaran, saya dah ok sebab saya fikir inilah kerja saya dulu," katanya yang mengakui beratnya sedikit susut sejak berlakon.

Bercerita lanjut mengenai filem lakonan terbarunya ini, Jue berkata, dia cukup teruja untuk berlakon di bawah arahan Faizal Ishak, apatah lagi, pelakon lain yang terlibat terdiri dari kawan-kawan lamanya.

"Sejujurnya saya memang gemarkan genre seram, jadi bila dapat tawaran filem seram, memang saya teruja untuk lakukan. Malah tawaran filem ini juga saya dapat sebelum saya balik ke sini lagi.

"Saya suka watak saya sebagai Anna kerana dia lain dari watak yang pernah saya jayakan sebelum ini. Kalau nak tahu lebih lanjut, kenalah tonton filem ini nanti," katanya yang kelihatan semakin jelita.

Muzik - Muzik : Fara ganti Scha

on Sunday 8 February 2015


Selepas Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) berakhir, sempena edisi ke-30 penerbitan program Muzik Muzik di TV3, pihak produksi memperkenalkan pengacara baru menggantikan pelakon Scha Al-Yahya.

Tanpa disangka, kekosongan ditinggalkan Scha untuk bergandingan bersama penyampai radio Hot FM, AG Selamat itu diisi Fara Fauzana. Pemenang anugerah Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sembilan kali berturut-turut itu dipilih berdasarkan kredibiliti dimilikinya.

Sehubungan itu, kemunculan sulung Fara bersama AG dapat disaksikan penonton dalam Muzik Muzik 30, jam 6 petang ini yang disiarkan TV3.

Bukan hanya gandingan pengacara, tetapi Muzik Muzik 30 turut bertukar wajah meliputi set studio baru dan paparan kandu­ngan program lebih padat dan menghiburkan.

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik, Nurhul Huda Khalid berkata, pemilihan Fara dibuat kerana penyampai radio wanita di HOt FM itu memiliki pengetahuan mendalam mengenai muzik.

"Mengambil kira usia Muzik Muzik yang sudah mencecah tiga dekad penerbitannya, kami memerlukan gandingan pengacara yang serasi untuk saling bekerjasama.

"Ditambah AG dan Fara pun memang sudah biasa bekerja bersama, jadi semestinya gandingan mereka dalam program Muzik Muzik 30 lebih memudahkan," katanya.

Berbicara persaingan pengacara lain, Nurhul Huda berkata, pemilihan Fara dianggap sesuai untuk me­nyuntik dimensi baru dalam program Muzik Muzik 30 ini.

"Apatah lagi, tahun lalu kami melihat Scha agak sibuk dengan banyak komitmen. Dia perlu masa menguruskan anak dan keluarga. Jadi, sejak itu kami mula mencari-cari pengacara yang sesuai.

"Memang Fara dilihat sebagai calon tepat untuk diganding bersama AG me­ngendalikan Muzik Muzik 30, tetapi ketika itu tiada sebarang keputusan dilakukan.

"Namun, selepas pelbagai penilaian dibuat dan melihat kelapangan jadual Fara, maka produksi mencadangkan namanya kepada pihak pengurusan dan mereka bersetuju," katanya.

Dalam usaha memantap­kan lagi pengisian program Muzik Muzik 30 kali ini, beberapa segmen baru turut diperkenalkan iaitu 'Launching at Muzik Muzik', Projek Muzik Hot FM dan 'Story of the Month'.
Bagi segmen 'Launching at Muzik Muzik' akan menyaksikan pihak produksi menjalani sesi rakaman atau siaran langsung pada majlis pelancaran album atau acara muzik dianjurkan syarikat rakaman dan artis.
Segmen EP Hot FM pula memberi ruang kepada penggiat muzik baru untuk mengetengahkan karya mereka dan disiarkan. Namun, penyertaan perlu dihantar dalam bentuk klip video sama ada rakaman kamera atau telefon pintar.

Lagu-lagu diterima melalui segmen Projek EP Hot FM yang begitu mendapat sambutan ramai ini akan disiarkan dalam Muzik Muzik 30 untuk diundi masuk dalam carta.
Manakala 'Story of The Month' pula adalah projek bulanan Muzik Muzik 30 untuk memaparkan perbincangan secara santai bersama ahli panel terdiri daripada penggiat seni iaitu penyanyi, komposer dan penulis lirik.

Selain pengacara, Muzik Muzik 30 juga dikendalikan gandingan dua penerbit ­iaitu Mohd Jamira Ramli dan Mohd Zamzuri Mohd Zaini.


Sumber

Kisah Dari Kemangkatan Raja Abdullah


SESUNGGUHNYA kita adalah milik Allah dan kepadaNya jua kita akan kembali. Innalillah wa inna ilayhi rajiun.
Demikian dilafazkan umat Islam di seluruh dunia -  seperti lazimnya bila maklumat mengenai sesuatu kematian disampaikan -  tatkala mendengar berita Raja Abdullah Abdulaziz telah mangkat awal pagi 22 Januari lalu.
Almarhum Raja Arab Saudi meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi akibat radang-radang paru. Baginda berusia 90 tahun.
Walaupun memiliki harta dan kemewahan yang berlimpahan di samping kedudukan kuasa yang sangat tinggi, Almarhum dikebumikan secara sederhana saja keesokan hari di sebuah kawasan perkuburan awam di pinggir kota  Riyadh.

Pemakaman Raja Abdullah memangnya menjadi sorotan dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
Walaupun sudah memasuki dua minggu sejak kemangkatannya; namun penulis memerhati di beberapa laman media sosial dan portal berita, dua perkara berkaitan dengan pemergian baginda masih rancak dibincangkan.
Pertama adalah mengenai upacara pemakaman Almarhum dan kedua – yang lebih “hot” dan topik yang penulis rasa penting untuk berkongsi dengan pembaca – ialah mengenai sikap isteri Presiden Barack Obama semasa pasangan utama dari Amerika Syarikat itu membuat kunjungan takziah ke atas keluarga DiRaja Saudi.
Michelle Obama dikecam oleh media sosial dan beberapa media arus perdana kerana membiarkan rambutnya terurai dalam pertemuan dengan keluarga DiRaja itu.
Barack Obama yang berada di India, telah berlepas ke Arab Saudi empat hari kemudian untuk menyampaikan salam takziah kepada keluarga DiRaja Saudi ke atas kemangkatan Raja Abdullah.
Tindakan memendekkan lawatannya ke India itu kemudian telah mendapat keceman dari media Amerika. Ini kerana beliau tidak menghadiri perarakan di Paris pada 11 Januari bersama beberapa pemimpin negara luar yang lain untuk memprotes kematian para petugas di majalah humor Charlie Hebdo sebab mencerca Nabi Muhammad s.a.w. oleh dua orang anggota militan.
Upacara pemakaman Raja Abdullah dilaksanakan selepas solat Jumaat dengan jenazah Almarhum ditutup dengan kain kafan putih; kemudian dibawa ke sebuah kubur tidak bertanda di Al-Aoud selepas jenazahnya disembahyangkan di Masjid Imam Turki bin Abdullah.

Sesuai dengan cara Islam, orang yang meninggal akan segera mungkin dimandikan, dikafan lalu disolatkan sebelum dikuburkan.
Begitu juga dengan Raja Abdullah. Kaum kerabat baginda tidak membuang masa dan segera memandi dan mengkafankannya; lalu jenazahnya disolatkan dan dibawa untuk peristirihatan yang terakhir.
Adik Raja Abdullah, Putra Mahkota Salman Abdulaziz, yang menggantikan beliau sebagai Raja Arab Saudi, turut mengusung jenazah Almarhum bersama ahli keluarga yang lain ke tapak pemakaman.
Kalangan orang Islam yang menulis di dalam blog dan media sosial mengenai pengkebumian Almarhum Raja Abdullah, meluahkan rasa terharu dan insaf kerana pemakaman bagi seorang pemimpin negara yang juga insan yang di antara paling kaya di dunia dilaksanakan secara sederhana sekali.
Dilaporkan oleh beberapa portal dan akhbar bahawa pemakaman Raja Abdullah juga menyentuh perasaan seramai kira-kira 500 orang dari negara China hingga mereka memutuskan untuk menjadi mualaf.
Sebuah harian Arab Saudi merakamkan video yang menunjukkan warga-warga China itu mengucapkan dua kalimat syahadat dan memancarkan peristiwa itu melalui YouTube.
Sementara itu, ramai pemimpin dunia bergegas ke Riyadh untuk upacara pemakaman Raja Abdullah di samping melakukan kunjungan kormat ke atas pemerintah baru, Raja Salman, 79.
Namun, ketibaan presiden AS dan isterinya  di bumi Saudi terus mengundang kontroversi.
Michelle isteri Obama dianggap tidak menghormati adat resam masyarakat Islam dan Arab, dengan tidak mengenakan penutup kepala ketika mengunjungi Raja Salman.
Sekitar 1,500 cuitan di Twitter dengan tag #Michele Obama Unveiled telah 'menyerbu' Wanita Pertama AS itu.
Pelbagai spekulasi diutarakan melalui media sosial mengapa Michelle memilih untuk mengenakan saja pakaian secara kasual; iaitu pakaian biasa yang ditutup baju labuh berlengan penuh, seluar panjang dan rambut yang dibiarkan terurai.
Pada hal, Michelle dikenali sebagai seorang wanita yang peka mengenai fesyen masakini dan mudah menyesuaikan pakaian mengikut majlis atau lawatan rasmi - sama ada bersama suaminya atau secara sendirian.
Bahkan, bila dia mengiringi Barack ketika membuat kunjungan ke atas Pope Francis di Vatican City, Michelle menghormati pemimpin agong Kristian itu dengan memakai niqab (pelindung muka).
Malah, semasa beliau mengunjungi Malaysia dan Indonesia, Michelle juga kelihatan menggunakan kerudung.
Media barat seperti CNN, Washington Post dan New York Times, menyebelahi Michelle kerana, menurut mereka, beberapa wanita ternama telah menemui kaum kerabat DiRaja Arab Saudi tanpa perlu menutup rambut.
Di antara yang dinamakan mereka ialah mantan Wanita Pertama Laura Bush; bekas Setiausaha Negara Hilary Clinton dan seorang lagi bekas Setiausaha Negara, Condoleeza Rice.
Apa yang media Barat tidak sebut ialah, Michelle telah pergi ke Riyadh atas dasar kunjungan takziah dan ketika rakyat negara itu dalam kesedihan kerana kehilangan pemimpin mereka.
Dilaporkan ini bukan pertama kali sikap Michelle ditegur; dan bukan saja di bumi pemerintahan kerajaan Islam.
Ketika pasangan utama Amerika itu megunjungi Britain pada tahun 2009, Michelle terus memeluk Ratu Elizabeth II ketika bertemu dengan baginda - satu perbuatan yang melanggar protokol diraja.
Ada beberapa insident lagi yang turut melibatkan Barack yang menunjukkan warga Amerika lebih pentingkan budaya liberalnya daripada budaya beradab masyarakat di negara lain.
Misalnya, media Amerika mengecam presiden mereka yang dilihat berbongkok dan menunduk ketika berjabat tangan dengan Almarhum Raja Abdullah di pertemuan G20 pada tahun 2009.
Barack juga dikritik ketika membongkok semasa bertemu dengan Emperor Akihito dari Jepun.
Bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney dilaporkan sebagai berkata selepas peristiwa itu, pemimpin Amerika tidak seharusnya tunduk hormat kepada sesiapapun.
Anehnya, pihak Sekretariat Luar Negara AS punyai pesanan kepada rakyatnya yang ingin berkunjung ke negara-negara Arab.. atau mana-mana negara … jagai dan hormatilah adat dan perundangan setempat.