Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Nad Zainal Perjelas Isu Sombong Dengan Peminat

on Thursday 20 August 2015


PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah peminat sehingga ada segelintir daripada mereka membuat permintaan yang tidak mampu ditunaikannya.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 25, berkata, disebabkan perkara itu dia dituduh bersikap sombong dan tidak mesra dengan peminat.

"Kadang-kadang permintaan ada di antara mereka agak melampau dan saya tidak boleh toleransi dengan karenah sebegitu.

"Saya bukan seorang yang tidak mesra dan sombong dengan peminat sekiranya mereka mendekati secara baik, saya juga akan layan dengan biasa," katanya kepada mStar Online.

Pelakon itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama calon lima terbaik Festival Filem Malaysia Ke 27 di Menara Kuala Lumpur dekat sini, Selasa lalu.
 Nad tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita menerusi filem Kami Histeria.

Calon lain turut bertanding dalam kategori sama adalah Dawn Cheong (Cuak), Adiba Yunus (Nasi Tangas), Aisya Hasnaa (Dollah Superstar) dan Izara Aisyah (Sejoli).

Tambah Nad, isu peminat yang betindak diluar kawalan bukan suatu isu baharu kerana sepanjang bergelar artis dia sudah berhadapan dengan pelbagai situasi.

"Mereka mengharapkan sesuatu yang lebih daripada seseorang artis dan saya sendiri tidak mampu untuk memberi perhatian tertentu kepada kerenah segelintir peminat ini.

"Malah sebelum ini ada yang berkeras mahu saya bercinta dengan Remy Ishak sehingga saya berasa segan untuk bertemunya kerana permintaan bukan-bukan daripada peminat," jelasnya.

Usaha Rujuk Gagal, Bekas Suami Terkejut Raja Farah Bakal Kahwin

on Monday 10 August 2015


PETALING JAYA: Hasrat bekas suami Raja Farah iaitu Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, mahu memulihkan rumah tangga mereka dengan rujuk semula tidak kesampaian apabila aktres itu mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Megat, 30, berkata, walaupun dia mahu berbaik dengan bekas isterinya itu, dia tetap menerima berita tersebut selain menyifatkan mungkin sudah tiada jodoh  antara mereka.

"Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Mula-mula terkejut juga dengan berita (Raja Farah bakal berkahwin) tersebut, tetapi itu hak dia.

"Kita hanya merancang dan berusaha, selebihnya Allah yang mentukan. Jodoh pertemuan, rezeki kesejahteraan, ajal maut semua sudah ditentukan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 27, membuat pengumuman bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang ahli perniagaan yang berusia 33 tahun tidak lama lagi menerusi satu sidang media khas yang berlangsung di kediamannya di Shah Alam dekat sini pada petang Ahad.

Aktres itu telah melangsungkan majlis pertunangannya pada sebelah pagi di kediamannya yang hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja.

Bagaimanapun, Raja Farah enggan mendedahkan identiti bakal suaminya sehinggalah pada hari pernikahan mereka iaitu pada satu tarikh yang akan akan diberitahu kemudian.

Sementara itu, Megat turut menasihatkan kepada orang ramai terutamanya netizen untuk tidak berprasangka buruk terhadap aktres itu.

"Jodoh dan pertemuan sudah ditentukan. Saya ambil yang positif. Diharap orang ramai juga berprasangka baik dan mendoakan untuknya dan bakal suami. Hormat keputusannya," ujarnya.

Terdahulu, Raja Farah dan Megat telah bercerai pada 25 Mei lalu selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Pelakon itu kini melalui tempoh edah selama tiga bulan.


Sumber 

Terkini : Anime Naruto Versi Hollywood Bakal Dibikin

on Thursday 6 August 2015


ANIME Jepun popular iaitu Naruto bakal difilem semula di Hollywood dalam masa terdekat ini.

Menurut laporan Screenrant, produksi Lionsgate yang popular dengan terbitan filemThe Hunger Games telah mendapatkan hak cipta daripada francais komik Manga dan Anime daripada syarikat penerbitan Naruto.

Lionsgate dikhabarkan sedang menawarkan seorang pakar efek visual iaitu Michael Gracey untuk menjadi pengarah bagi filem Naruto tersebut.

Naruto merupakan satu siri manga yang dihasilkan oleh seorang kartunis bernama Masashi Kishimoto yang turut mempunyai rancangan anime atau animasi televisyen tersendiri dengan judul yang sama.

Manga ini membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1999 dan telah diterbitkan oleh Shueisha di dalam majalah Shōnen Jump isu ke-43.

Versi Bahasa Inggeris pula telah diterbitkan oleh Viz Media dalam Shōnen Jump versi Amerika Syarikat di mana ia menjadi jualan siri manga tertinggi syarikat tersebut.

Di Malaysia, siri manga Naruto versi Bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Comics House yang telah mengeluarkan 70 buah jilid pada Oktober 2014.

Siri komik manga Naruto telah tamat sehingga bab 700 pada 3 November 2014 dan keluaran terakhir, jilid 72 pada Februari 2015.

Sumber

Mia Sara Masih Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah


KUALA LUMPUR: Pelakon kanak-kanak Mia Sara mendedahkan dia sering dibuli rakan-rakan sekolah termasuk diejek dek kerana popularitinya sebagai seorang artis.

Mia, 10, berkata,  terdapat juga rakan-rakan yang memukul malah pernah membaling batu ke arahnya namun dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu sensitif dengan sikap mereka itu.

Ini kerana perbuatan itu tidak mendatangkan kecederaan.

"Mereka buli saya, mengejek, baling batu dan pernah juga pukul saya. Saya sedih juga dan kadang-kala rasa geram. Tetapi ayah pesan, biar orang buat kita, tetapi jangan kita buat orang," katanya kepada mStar Online.
Mia ditemui pada majlis rumah terbuka TV3 di Hotel Hilton di sini pada Rabu.

Sementara itu, bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berkata, walaupun dia tahu anaknya mengalami nasib sedemikian namun dia enggan masuk campur mengenainya kerana ingin Mia melalui proses berdikari.

"Bagi saya apa-apa yang berlaku di sekolah, biar cikgu yang uruskan, saya tak mahu masuk campur.

"Saya nak Mia melalui proses seperti kanak-kanak lain. Lagipun dia seorang selebriti dan bukan mudah untuknya melalui pengalaman itu. Biarlah dia berdikari dan belajar selesaikan masalahnya sendiri.

"Jangan sampai anak saya cedera teruk kena belasah, sudahlah. Bagaimanapun saya akan pastikan dia mendapat nasihat dan motivasi setiap hari. Saya tak mahu dia pulang ke rumah dengan emosi terganggu," ujarnya.

Muhammad Ridhuan bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan nama sekolah tempat Mia belajar.

Dalam perkembangan lain, Mia bakal terlibat dengan penggambaran drama Super Game Boy, untuk siaran Astro Ceria.

Sumber

Isu Derma RM2.6 Bilion: SPRM Minta PM Beri Penjelasan


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadinya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Rabu, langkah susulan itu perlu selepas pihaknya mendapat penjelasan dan pengesahan penderma dari Timur Tengah yang menyalurkan dana berkenaan.
"SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri.
"Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM," kenyataan itu dipetik.

Menjelaskan lebih lanjut, SPRM berkata, butiran penderma diketahui melalui dokumen yang diambil dari bank.

"Terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

"Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma," menurut kenyataan itu.
Tambah SPRM lagi, Peguam Negara turut meminta suruhanjaya itu membuat penjelasan berhubung perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.
"Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," kata SPRM lagi.

Serpihan Dijumpai Sah Milik MH370 : DS Najib


PETALING JAYA: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac 2014 akhir terjawab apabila serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion, Lautan Hindi pada 29 Julai lalu disahkan milik pesawat berkenaan.
Keputusan hasil siasatan mengenai serpihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 2 pagi, Khamis.
"Sejak kehilangan selama 515 hari lalu, saya dengan berat hati mengesahkan hasil siasatan pasukan pakar antarabangsa bahawa serpihan yang ditemui itu milik MH370. Kini kita ada bukti kukuh ia berakhir di Lautan Hindi.
"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses siasatan dan membantu dalam operasi mencari selama ini dan kepada keluarga serta waris penumpang pesawat, pengesahan ini walaupun ia sesuatu yang menyedihkan tetapi akhirnya ia dapat merungkai nasib 239 penumpang dalam pesawat itu," katanya pada sidang media khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Najib berkata, kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan apakah punca sebenar kehilangan pesawat MH370.
"Dengan semangat satu bangsa, Malaysia pastinya akan mengingati insiden MH370," katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Pada 29 Julai lalu, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai seorang pekerja pembersih pantai di Pulau La Reunion.
Individu berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu kepada pihak berkuasa Perancis untuk memulakan siasatan.
Pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytleman tidak menolak serpihan itu mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
"Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan. Kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 - pesawat yang sama seperti MH370," katanya.
Serpihan tersebut dipenuhi cangkerang dan berkarat.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Twitter Fox News, keadaan serpihan itu menunjukkan ia mungkin berada terlalu lama di dalam air laut.
Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.
Operasi pencarian yang diketuai Australia diteruskan di selatan Lautan Hindi sehingga hari ini tetapi tiada bukti ditemui sebelum penemuan terbaharu di Pulau La Reunion ini.

Yana Samsudin: Rezeki Bertambah selepas berhijab

on Wednesday 5 August 2015

AKTRES Yana Samsudin mengakui bidang pengacaraan membawa satu kelainan dalam kerjaya seninya.

Ini kerana, bidang itu memerlukan pelakon Wawa Semput ini melakukan persiapan dengan membuat rujukan serta mencari maklumat tambahan.

"Jika dilihat ramai pengacara sekarang juga daripada latar belakang berlainan. 

"Jadi, saya juga ingin menceburi bidang lain bagi memperluaskan pengalaman. Kini, saya seronok mengacara. Sudah selesa berbanding sebelum ini yang agak takut-takut. Lagipun, bidang pengacaraan memerlukan masa yang pendek," katanya.

Sekalipun selesa menjadi pengacara, namun isteri Fadzil Zahari ini tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan.

Luah pengacara program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang dan Galaksi ini, biarlah kedua-dua bidang itu berlangsung seiring dan sejalan.

"Tapi itu bukanlah bermakna, saya tinggalkan terus bidang lakonan. Saya masih lagi terima tawaran berlakon cuma tidak ada masa yang bersesuaian. Apabila sudah berhijab, saya perlu memilih karakter yang bersesuaian.

"Tapi, Alhamdulillah, ALLAH SWT meluaskan lagi pintu rezeki saya dalam pelbagai bidang yang lain seperti pengacaraan dan perniagaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yana baru saja mengeluarkan jenama tudungnya sendiri, Ayana by Yana Samsudin.

Selain itu, dia juga bakal melancarkan jenama pakaiannya sendiri tidak lama lagi.
 

Zahiril Adzim Nafikan Jadi Ustaz Di Majlis Agama


PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan kehadirannya di majlis-majlis keagamaan adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman tentang agama Islam dari sudut seorang manusia dan bukan untuk mengajar orang ramai tentang ajaran itu.

Zahiril, 30, berkata, dia sendiri menyedari masih belum layak untuk mengajar dan bercakap tentang Islam secara lebih mendalam kerana pengetahuan yang terbatas.

"Saya tahu perlu ada tauliah untuk memberi ceramah agama namun saya bercerita mengenai pengalaman sebagai manusia yang dalam proses berubah ke arah yang lebih baik.

"Kalau orang panggil suruh saya bercakap dan duduk sebaris dengan ustaz-ustaz pun saya sudah gementar kerana saya sedar ilmu agama saya sendiri tidak tinggi, namun niat saya kuat untuk mengajak golongan muda ikut majlis ilmu seperti itu," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.

Zahiril diminta mengulas tentang segelintir pihak yang mempertikaikan kelayakannya untuk bercakap tentang Islam di majlis agama baru-baru ini.

Zahiril terlibat dengan forum 1 Love-Do We Care Enough?  anjuran pelakon Yatt Hamzah dan berkongsi pengalaman pada majlis yang diberi nama Hamba Allah Sepenuh Masa atau Separuh Masa?=
Sementara itu, Zahiril berkata, dia turut berasa pelik apabila hatinya terbuka untuk melakukan perkara berkaitan agama Islam tanpa berfikir panjang.

"Selalunya saya seorang yang suka berfikir panjang sama ada saya ini layak atau tidak dalam satu-satu perkara, contohnya ramai yang panggil saya untuk beri ceramah dalam bidang teater yang mana memang menjadi kepakaran saya tetapi saya menolak.

"Saya akan beri tugas itu pada orang lebih layak tetapi ketika dipelawa untuk bercakap tentang agama, hati saya terbuka dan terus bersetuju walaupun saya sedar ilmu agama tidak tinggi," ujarnya.


Dalam pada itu, Zahiril turut mengakui dia kini dalam proses untuk berubah mendalami agama itu.

"Saya masih terus berlakon kerana ini mata pencarian dan rezeki saya, tetapi saya juga sedang merancang untuk mencari mata pencarian lain yang lebih tetap.

"Sampai bila saya nak berlakon? Sekarang pun sudah banyak pelakon-pelakon baru muncul. Saya merancang untuk menjual pakaian fesyen jalanan islamik buat golongan muda yang ingin bergaya tetapi masih mementingkan ciri-ciri lelaki Islam.


Sumber