Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Konsert Search 35 Tahun Dapat Tajaan RM2 Juta

on Thursday 11 February 2016



SUBANG: Kumpulan rock legenda Search bakal mengadakan konsert sempena 35 tahun mereka dalam dunia seni di Stadium Merdeka dekat sini, pada 9 April depan.

Menurut vokalis utamanya Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, penganjuran konsert itu adalah untuk menghargai para peminat yang setia menyokong mereka selama lebih tiga dekad.

"Konsert ini merupakan salah satu konsert yang tidak pernah kami bayangkan sebelum ini dan sudah pasti ia berbeza daripada konsert yang pernah kita jayakan sebelum ini. 

"Rancangan ini sudah dilakukan sejak empat bulan lalu dan sudah pasti kami akan buat yang terbaik untuk konsert yang dijangka terbesar pernah dianjurkan di negara ini," ujarnya. 

Beliau ditemui pada sidang media Konsert Search 35 Tahun yang diadakan di Redland Terminal Centre & Hangar Complex, di sini, pada malam Rabu. 


Dalam pada itu, Amy berkata, susunan lagu yang akan dinyanyikan pada konsert tersebut juga berbeza daripada konsert sebelum ini iaitu dengan menampilkan beberapa lagu yang jarang mereka nyanyikan.

Jelasnya, lagu-lagu yang dinyanyian malam konsert itu juga akan menceritakan perjalanan selama 35 tahun kumpulan tersebut dalam industri seni tanah air.

"Kami masih lagi berbincang dan mencari lagu yang terbaik untuk dinyanyikan pada malam tersebut, sememangnya susunan lagu itu menceritakan perjalanan kami selama 35 tahun dalam industri.

"Kita sudah biasa bawa lagu-lagu yang sama pada setiap konsert, kali ini kita akan cuba bawa lagu yang jarang dibawa pula," ujarnya. 

Search dianggotai oleh Amy (vokalis),Yazid (dram), Nasir (bes), Nordin (gitaris) dan Kidd (gitaris).  

Majlis sidang media turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Bunkface, Hazama, Pita Hati dan Akim & The Majistret. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd., Amrul Nizar Anuar selaku penaja berkata, lebih RM 2 juta bakal dibelanjakan bagi menjayakan konsert istimewa tersebut.

Tambahnya, beberapa kejutan bakal diadakan pada malam itu yang semestinya memberikan sesuatu di luar jangkaan untuk diingati oleh peminat-peminat Search.

"Berlainan daripada konsert-konsert sebelumnya, diharapkan peminat-peminat bersabar dalam menantikan kejutan tersebut.

"Beberapa aktiviti yang berbentuk tribute flashback bersama peminat Search juga telah dirancangkan beserta hadiah-hadiah menarik bagi tujuan promosi untuk menjayakan konsert tersebut," ujarnya.

Pihaknya juga akan memastikan keselamatan berjalan lancar di bawah pengawasan ketat pihak polis sepanjang ia berlangsung.

Tiket dijual dengan harga RM135, RM288, dan RM899. Ia boleh dibeli mulai 11 Februari  ini dengan melayari www.tiketpro.com.my

Sumber

Shaheizy Sam & Syatilla Melvin Sah Bergelar Suami Isteri

on Wednesday 10 February 2016


PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin sah bergelar suami isteri kira-kira pukul 9 malam pada Isnin.
Upacara pernikahan itu berlangsung di Bukit Jawi Golf Club Pulau Pinang dengan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak termasuk teman rapat dan rakan artis.
Ijab kabul itu disempurnakan oleh Pengarah Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Datuk Prof Madya Ellias Zakaria berwakil walikan bapa pengantin perempuan iaitu Amirul Melvin Abdullah.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 34, menyerahkan wang tunai berjumlah RM10,082 sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Terdahulu, Sam menarik perhatian hadirin apabila tampil berjalan memimpin tangan ibunya, aktres Khaty Fauziah sebelum mendakap wanita berkenaan untuk menari dan mencium pipi ibunya sebagai meminta tanda restu.
Khaty yang tidak dapat menahan sebak memeluk anaknya itu sambil menitiskan air mata.
Sam dan Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 25, sebelum itu mengikat tali pertunangan sehari sebelum mereka dinikahkan dalam sebuah majlis sederhana tetapi meriah.
Pasangan itu mula berkenalan sejak enam tahun lalu sebelum keluarga pelakon filem Polis Evo itu menghantar rombongan merisik Syatilla pada 13 Disember tahun lalu di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Syatilla turut menerima tujuh dulang hantaran daripada Sam manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.
Perkahwinan Sam dan Syatilla menjadi sebutan sebagai 'wedding of the year' selepas mendapat jumlah tajaan berjumlah RM25 juta.
Sementara itu, pasangan itu bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada Selasa di lokasi sama manakala pihak lelaki akan mengadakan acara sama pada 14 Februari ini di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Nad Zainal Lebih Feminin Atas Permintaan Suami


PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal mengakui lebih feminin sejak mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember tahun lalu.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, berkata, perubahan tersebut dibuat atas permintaan suaminya yang mahu melihat sifat kewanitaannya memandangkan sebelum ini dia agak lasak.

"Alhamdulillah kehidupan selepas berkahwin semakin baik dan paling penting saya kini lebih feminin terutamanya dari segi penampilan dan imej.

"Faliq yang minta saya ubah gaya kerana sebelum berkahwin saya agak lasak dan demi suami saya perlahan-lahan mengubah gaya lebih kewanitaan," katanya.

Nad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra pelancaran produk kecantikan dan penjagaan kesihatan miliknya iaitu Audela di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya soal cahaya mata, Nad berkata, buat masa ini masih belum ada sebarang berita baik tentang perkara itu dan meletakkan ia kepada rezeki.

Bagaimanapun kata Nad, sebagai wanita dia berharap akan segera hamil kerana kehadiran anak dalam sesebuah perkahwinan adalah pelengkap kepada kehidupan mereka suami isteri.

"Saya berharap sebenarnya agar segera hamil kerana memang mahukan anak tetapi belum rezeki saya lagi.
"Saya berharap sebenarnya agar segera hamil kerana memang mahukan anak tetapi belum rezeki saya lagi.
"Tetapi tidak mengapa kami pun baharu sahaja berkahwin dan punya banyak masa lagi. Insya-Allah ada rezeki kami nanti," ujarnya.

Sementara itu, Nad berkata, walaupun sudah berumah tangga karier lakonannya tetap berjalan seperti biasa.

Malah kata Nad, dia tidak merancang untuk memperlahankan aktiviti seni buat masa ini malah mendapat sokongan daripada suami.

"Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan masih ada malah saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran beberapa buah drama dan sebuah filem.

"Buat masa ini tiada perancangan untuk perlahankan karier dan ia akan berjalan seperti biasa," katanya.

Nad bakal muncul dalam telefilem bertajuk Auta bersama Syukri Yahya di TV3 manakala filem Soul Mate menggandingkannya bersama Erra Fazira dan Raja Ilya.

Bercakap mengenai Audela, Nad berkata, idea mengeluarkan jenama miliknya tercetus selepas dia ingin mengurangkan berat badan namun produk jenama lain tidak bersesuaian dengannya.

Atas dasar itu, dia bersama rakan kongsi menghasilkan Audela yang ternyata memberi kesan positif kepadanya hanya dalam masa sebulan.

"Dalam menghasilkan produk ini saya meletakkan diri sebagai pengguna dan apa yang mereka mahukan dalam sesuatu produk.

"Audela bukan sahaja bertindak sebagai agen detox malah mengurangkan berat badan dan memutihkan kulit," katanya.

Tambah Nad, produk berkenaan akan dilancarkan dan dijual pada Mac depan.