Sekadar Hiasan |
SYEIKH Abdul
Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan
mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan
tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh
celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan
Dalam erti
kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap
ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan
dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
2. Banyak bercakap
Allah
mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah
memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu
menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
3. Suka marah-marah
Kemarahan
boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan.
Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan
perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.
4. Hasad dengki
Seseorang
yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan
atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain
adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki.
Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat
Muslim).
5. Kedekut & bakhil
Rezeki
yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya.
Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan
sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat
kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
7. Cintakan dunia
Terlalu
menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan
ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu
akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah
kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Ego atau sombong
Sifat
membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak
perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang
bersifat maha besar.
9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan
ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang
dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah
diselaputi perasaan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia
jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap
baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas
membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan
kejujuran dan keikhlasan.
Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment