Foto Sinar Harian |
BAGI sesetengah wanita, status ibu tunggal bukanlah satu status yang mudah dipikul. Apatah lagi apabila terpaksa membesarkan anak-anak yang masih kecil sendirian.
Namun bagi pelakon dan penyampai radio terkenal, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya atau Leya, sejak bercerai dengan Muhammad Ashraf Aasimudin tahun lalu, dia tidak merasakan dirinya adalah ibu tunggal.
“Saya masih ada ibu dan ayah, serta adik-beradik dan kawan-kawan yang sentiasa bersama-sama saya membesarkan anak saya dan saya tidak rasa kesusahannya.
“Harus akui, saya antara wanita yang bertuah berbanding kebanyakan ibu tunggal lain kerana masih mempunyai hubungan yang baik dengan bekas suami. Anak-anak juga tidak pernah kekurangan kasih sayang kerana bapa mereka sentiasa di samping bahkan disayangi setiap orang di sekeliling kami,” ujar Aleya ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran TV9 baru-baru ini.
Foto Sinar Harian |
Anak-anak bukan bebanan
Berbicara mengenai anak kembarnya itu, Aza Ameena dan Asha Ameena, 4 tahun, dia tidak pernah merasakan membesarkan anaknya itu sebagai satu bebanan.
“Anak-anak adalah sebahagian daripada diri saya dan menjadi rutin saya untuk menjaga mereka.
“Lagipun, saya perlu ingat ada orang yang lebih susah dan besar cabarannya dalam membesarkan anak-anak,” katanya.
Berkongsi pengalaman membesarkan anak kembar, Leya berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu membezakan anak-anaknya termasuklah dari segi pemakaian.
“Kalau berbeza pun cuma corak saja kerana saya tidak mahu dipersoalkan bila mereka besar nanti.
“Contohnya jika mereka lihat gambar masa kecil, salah seorang pasti akan terasa hati jika salah seorang daripada mereka bajunya lebih glamor berlabuci dan seorang lagi tidak. Jadi, saya pastikan layanan untuk anak sama rata, tiada lebih dan tiada kurang,” katanya.
Ingin berkahwin lagi
Terlanjur berbicara tentang kehidupan peribadi, Leya tidak terlepas daripada ditanya mengenai teman pengganti untuk menjadi ayah kepada anak-anaknya.
“Anak-anak saya tetap mendapat kasih-sayang seorang ayah, walaupun kami telah berpisah. Ashraf sering datang melawat dan menghabiskan masa dengan anak-anak.
“Buat masa ini saya tidak dapat berkongsi cerita tentang jejaka yang berada di dalam hati ini. Cukuplah saya katakan, keluarga dan kawan-kawan sudah maklum tentang kami. Sebagai seorang wanita, tidak mungkin saya tidak ingin berkahwin dan dapatkan anak lagi,” jelasnya.
Sempena Aidilfitri nanti, wajah Leya juga boleh disaksikan menerusi program Akustika Raya Datuk Siti Nurhaliza siaran Hot TV.
“Setiap kali dapat menemu bual Datuk Siti, ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Saya selalu buat cerita sedih tidak pernah dapat menemu bualnya walaupun sebenarnya sudah selalu juga,” katanya yang mengajukan soalan mengenai ponteng puasa kepada Siti.
Sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment