Sekadar Hiasan |
ADA
si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu
jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya dengan seorang wanita yang
tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami
namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.
Tiada
larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang
layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat
dengan soal lambat menzahirkan lamaran.
Perigi
mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki
untuk dijadikan teman hidup. Namun dalam masyarakat kita perkara
berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. Mungkin ‘tugas’ itu
sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat
kita.
Lihat
saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi
Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya
dengan Rasulullah agak jauh. Bagaimana dengan wanita moden yang mahu
mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah
berketurunan bangsawan yang kaya-raya.
Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.
Bagaimana
jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan
orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya? Mungkin kaum wanita
menganggap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia
gagal dilaksanakan. Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya
untuk merubah budaya.
Wanita
meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah
meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu
Bakar untuk puterinya Siti Habsah.
Jika
mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah
peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa
malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang
lebih baik untuk mereka.
Pernah
pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar tetapi penolakan itu dilakukan
dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang
lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah. Jelas Allah
tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya.
Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.
Sebuah
hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang
menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah
kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan
wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan
rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada
puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada
Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)
Pendakwah
dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol
Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.
“Tidak
seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk
melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.“Malah, tiada tentangan
dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara
berkenaan,” katanya.
Beliau
berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan
matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.“Umpamanya, wanita perlu
menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh
dipercayainya untuk tujuan melamar.
“Jika
diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah
tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah
melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.
Pahrol
berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah
Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah
sebaliknya.“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada
wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup
ia adalah usaha yang sangat terpuji.
“Berjaya
atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan
sesekali berasa diri direndahkan. Mereka perlu berasa malu jika terbabit
dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk
mendapatkan pasangan hidup,” katanya.
Beliau
berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk
keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi
ini.
“Ini
misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah
masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada
lelaki kepada wanita.
“Wanita
tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang
dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah
aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap
hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.
“Bagaimana
umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita
yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai
pasangannya,” katanya.
Berdasarkan
sejarah yang masyhur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan
keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika
menjalankan perniagaan.
“Semua
maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan
membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.“Sepanjang
bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad
memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya
Siti Khadijah.
“Khadijah
mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang
diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa
saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi
Muhammad.
“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.
Beliau
menasihatkan perkara utama untuk mencari pasangan ialah menjaga akhlak
dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.
“Carilah
saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat dengan lelaki pilihan
kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk
meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk
membuat keputusan yang belum ada.
“Orang
yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja
mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi
turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.
“Selepas
menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian
segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan
meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.
Pahrol
berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih
belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.“Penangguhan itu satu
ujian yang pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah hendak selamatkan mereka
daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.
“Jadi,
berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat
keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia
bertentangan dengan syariat dan fitrah.“Golongan yang menentang
peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam
apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk
melakukan maksiat,” katanya.
Beliau
berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya
dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.“Orang yang
diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam
sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat
mereka,” katanya.
Wallahualam..
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment