Dakwaan tersebut dikeluarkan sendiri oleh individu yang dikenali hanya sebagai Rashid yang mendakwa dirinya sebagai tunangan Wawa itu tersiar dalam sebuah akhbar mingguan, Ahad lalu.
Kosmo! berjaya menghubungi pelakon yang kini muncul dengan filem Longkai tersebut yang menegaskan ini merupakan kali pertama dia menjawab panggilan telefon pihak media selepas kali terakhir muncul bersama Aeril pada sidang akhbar, Jumaat 11 Oktober lalu.
Wawa tidak menafi atau mengiyakan status dirinya yang dikatakan masih 'tunang orang ' seperti yang didakwa Rashid, namun dia mempunyai sesuatu untuk dijelaskan kepada umum berhubung isu tersebut.
Kosmo!: Benarkah Wawa adalah tunangan seorang guru sekolah bernama Rashid semasa anda bernikah dengan Aeril seperti yang didakwa seorang lelaki pada Ahad lalu?
WAWA: Sebenarnya saya tidak mahu memberi apa-apa komen berkaitan dengan isu ini kerana saya sendiri juga tidak tahu untuk menjelaskan keadaan kami. Ini kerana perbincangan tersebut (hubungan) berlaku antara ibu bapa saya dan juga ibu bapa pihak lelaki itu.
Saya akui, saya memang mengenali lelaki tersebut, namun kami juga sudah hampir empat tahun tidak berhubung dan saya hairan kenapa baru sekarang dia muncul dan mengaku bahawa dia adalah tunang saya. Atau mungkin dia diminta untuk tampil secara sengaja dan diminta untuk timbulkan isu ini?
Adakah benar dakwaan Rashid bahawa anda pernah menumpang di rumah adik perempuannya semasa anda kali pertama jejakkan kaki di Kuala Lumpur?
Ya, saya mengaku pernah menumpang di rumah adik lelaki tersebut seperti yang didakwa. Saya memang datang ke Kuala Lumpur selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2010, sebelum saya menjadi artis. Bagaimanapun, sama seperti mana saya tidak berhubung dengan lelaki tersebut, begitu juga dengan adiknya. Kali terakhir saya berhubung dengan lelaki tersebut adalah kira-kira hampir empat tahun lalu dan kini memang telah terputus hubungan.
Beralih kepada soalan berkaitan perkahwinan Wawa dengan Aeril, apakah komen anda tentang kenyataan akhbar Penasihat Agama Johor, Datuk Noh Gadut yang mengatakan bahawa pasangan berkahwin hanya perlu hadir ke pejabat agama untuk mengesahkan pernikahan mereka (dengan membawa saksi termasuk wali dan bukti mengatakan mereka sudah bernikah) tanpa perlu bernikah kali kedua?
Saya minta maaf, saya tidak arif untuk memberi komen tentang isu ini. Jadi saya kira lebih baik merujuk terus kepada peguam saya, Zulhasmi Zakaria.
Bagaimanakah dengan kehidupan Wawa selepas pendedahan status perkahwinan kalian?
Sejujurnya, saya masih dalam trauma dengan wartawan selepas dihentam dengan teruk sekali pada majlis sidang akhbar pada Jumaat lepas. Bagaimanapun, saya rasa lega dan bahagia kini dengan kehidupan bersama Aeril dan anak kami, Ahmad Fakhruddin Attar.
Adakah Wawa masih dengan keputusan untuk memberi fokus terhadap anak dan akan kembali aktif dalam dunia seni pada satu tempoh yang ditetapkan?
Sebenarnya, saya ada mendapat tawaran berlakon daripada produksi luar (bukan MIG) dan drama daripada stesen televisyen TV3 dan TV9. Namun, seperti yang saya putuskan, saya akan tetap memberi fokus buat anak saya dulu dan merancang menjaganya sendiri sehingga dia berusia empat atau lima bulan sebelum kembali aktif.
Dari mana anda mendapat kekuatan berhadapan dengan kemelut ini?
Secara jujurnya, saya mendapat kekuatan untuk berhadapan dengan masalah ini daripada anak kami. Cuma, Aeril, buat masa ini, dia masih berada dalam keadaan yang sangat tertekan sehingga tidak keluar rumah kecuali untuk penggambaran. - HAIKAL RAMAN
Sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment