KANGAR – Perselisihan faham membabitkan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias akhirnya selesai selepas satu pertemuan muhibah di Restoran Blackwood di sini semalam.
Mohd. Kazim berkata, beliau berharap polemik dengan Mutfi Perlis itu selesai dengan segera kerana golongan agama adalah contoh dan ikutan umat Islam di negara ini.
“Kami berjaya menyelesaikan isu berbangkit dengan suasana yang harmoni.
“Selain itu, kami akan bersama-sama menjadi ahli panel bagi sebuah forum yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Kuala Lumpur yang disiarkan secara langsung oleh TV Hijrah pada Selasa ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Baru-baru ini, Mohd. Kazim menyifatkan tindakan Mohd. Asri yang tidak bersetuju beliau dipilih menganggotai panel Forum Perdana Ehwal Islam kerana menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya sebagai tidak adil dan memalukan dirinya.
Mohd. Asri kemudian merujuk bukti riwayat palsu itu berdasarkan rakaman di laman perkongsian video YouTube daripada salah satu ceramah Mohd. Kazim yang antara lain mengatakan kenduri Rasulullah menghidangkan roti jala dengan kuah kari.
Dalam pada itu, Mohd. Asri berkata, perbezaan pendapat merupakan satu perkara biasa.
“Berbeza pandangan dan pendapat bukan bererti bermusuh kerana saya dan Ustaz Kazim masih bersahabat baik,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment