PETALING JAYA: Pelawak Nabil Ahmad berkata dia tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk tubuh badannya yang semakin sasa di laman sosial sehingga ia menjadi bualan ramai.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 31, memberitahu foto imej barunya telah dimuat naik oleh jurulatih peribadinya iaitu Cash Razak di Instagram.
"Saya bukan sengaja nak tayang badan, cuma foto itu tersebar kerana ia dimuat naik oleh jurularih peribadi saya. Sedangkan sebelum ini saya tidak pernah memuat naik foto seperti itu.
"Apa-apapun saya tidak akan topless (tidak berbaju) dengan sengaja untuk menayang badan seperti kebanyakan lelaki lain melainkan ada sebab-sebab tertentu," katanya kepada mStar Online.
Nabil diminta mengulas mengenai fotonya tidak berbaju menunjukkan tubuh badannya yang sasa bersama dua lagi rakan pelawak itu yang disebarkan di laman-laman sosial.
Foto tersebut membuatkan ramai yang terkejut dengan perubahan ketara Nabil. Malah pelawak itu mendapat pujian daripada peminat-peminatnya. Bagaimanapun ada juga pihak yang memberi pandangan negatif terhadap penampilan itu.
Sementara itu, Nabil berkata dia telah menghabiskan wang kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua bulan demi mendapatkan tubuh sasa itu.
Katanya, kebanyakan wangnya itu digunakan bagi membeli barangan penjagaan pemakanan hariannya.
"Nampak besar jumlahnya tetapi ia sangat berbaloi apabila melihat hasilnya. Jika dahulu berat saya 74 kilogram (kg), kini sudah naik kepada 88 kg.
"Tujuan saya mahu mengubah imej adalah untuk meningkatkan keyakinan diri dalam bekerja di luar mahupun di pentas hiburan selain atas sebab perniagaan. Alhamdulillah, isteri saya turut memberi sokongan untuk melihat perubahan ini.
"Isteri saya juga mula bersenam selepas habis pantang bersalin. Kalau boleh, saya ingin menjadi contoh kepada masyarakat sebagai keluarga yang mengamalkan kehidupan yang sihat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nabil kini dilantik menjadi hos terbaharu HBO Sentral musim kedua menggantikan pengacara asal iaitu Lisa Surihani. Program tersebut disiarkan bermula pada 26 April 2015 pukul 3 petang menerusi saluran Astro, HBO (411) dan HBO HD (431) yang akan disiarkan sebanyak 12 episod.
Sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment