Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Liga Juara-Juara: Chelsea Tersingkir, PSG Mara Suku Akhir

on Thursday, 12 March 2015


CHELSEA tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah selepas Paris Saint-German (PSG) dengan hanya 10 pemain berjaya memasuki suku akhir liga.
Dalam pertemuan pertama di Paris, PSG bermain dengan skor terikat 1-1 ketika melawan Chelsea. Oleh itu, perlawanan timbal balik di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis menjadi penentu yang layak ke suku akhir.
Di awal pertandingan, PSG dilihat tampil secara agresif dalam melakukan serangan. 
Bagaimanapun pada masa separuh kedua, pasukan The Blues mendominasi pertandingan, namun PSG tetap berupaya untuk memberikan serangan balas.
Permainan mula panas apabila masuk minit ke-81 menerusi jaringan Gary Cahill. Namun lima minit selepas itu sebelum permainan tamat PSG berjaya memaksa The Blues memanjangkan masa sebaik sahaja tandukan David Luiz menyamai mata 1-1, menerusi umpan sepakan Ezequiel Lavezzi.
Thiago Silva melakukan kesilapan apabila bola terkena tangannya di dalam kotak penalti pada minit ke-96. Hasilnya, Chelsea mendapat 'imbuhan' tendangan penalti dan Eden Hazard tampil sebagai jaguh dengan mengembalikan keunggulan jaringan dengan 2-1.
Namun Silva membayar kesilapannya itu dengan melakukan tandukan pada minit ke-114.
Permainan berakhir dengan skor berimbang 202. Hasil jaringan itu melayakkan PSG memasuki suku akhir Liga Juara-Juara Eropah meskipun dengan agregat 3-3 memandangkan jaringan dicatatkan di kubu pasukan lawan.

Pasangan Tidak Cemburu Gandingan Kembali Hafiz, Adira


KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira Suhaimi memberitahu kekasihnya iaitu Shahrul Nasrun memahami dan tidak cemburu apabila digandingkan semua bersama bekas kekasihnya Hafiz Suip dalam lagu baharu mereka berjudul Untuk Cinta.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, teman lelakinya yang juga Pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia itu memahami bahawa apa yang dilakukan itu adalah atas dasar kerja semata-mata.
"Setakat ini dia tiada masalah dengan kerja saya dan faham apa yang saya lakukan ini adalah atas dasar profesional.
"Saya pun tidak fikir apa-apa melainkan tentang kerja sahaja," ujarnya kepada mStar Online.  
Adira ditemui ketika penggambaran muzik video lagu duet terbaharunya dengan Hafiz Suip berjudul Untuk Cinta merupakan lagu tema filem Pilot Cafe yang bakal ditayangkan pada 30 April depan.
Dalam pada itu, Adira berkata dia juga tidak mempunyai masalah untuk berkerjasama dengan penyanyi lelaki itu biarpun pernah mempunyai sejarah dalam percintaan.
Katanya, keserasian yang dibina untuk lagu terbaharu mereka ini masih sama seperti lagu hit terdahulu iaitu Ombak Rindu.

"Kami masih boleh berkawan dan tiada masalah untuk bekerjasama secara profesional kerana bagi saya ini adalah kerja.

"Keserasian kami juga masih sama macam dulu, malah kali ini kami buat lebih baik daripada lagu Ombak Rindu," ujarnya kepada mStar Online.
Sementara itu, Adira berkata, dia enggan memikirkan lagi tentang sejarah masa silam hubungan mereka memandangkan kedua-duanya mempunyai pasangan masing-masing.
Adira turut mendoakan yang terbaik dan berharap agar hubungan pertunangan Hafiz dan pasangannya Nureffy Jasreel yang diikat pada 27 Februari lalu hingga ke jinjang pelamin.
"Saya gembira untuk dia kerana telah berjumpa wanita yang betul-betul sesuai untuk dijadikan teman hidup.

"Saya doakan yang terbaik dan berharap hubungan itu hingga ke akhir hayat," ujarnya.
Sementara itu, Hafiz berkata, tunangnya Noreffy tidak mahu mengikut ke lokasi penggambaran tersebut kerana memahami dan memberi kepercayaan penuh kepadanya.
Jelasnya, wanita itu tidak mahu mencampuri segala urusan berkaitan kerjanya dalam hubungan tersebut.
"Tadi saya memang mahu bawa dia sekali datang, tetapi dia tidak mahu kerana dia memahami apa yang saya lakukan ini untuk kerja. Dia juga tidak mahu saya rasa tidak selesa jika dia ada di situ. 

"Alhamdulillah, kalau dia faham tidaklah dia marah atau mudah terasa," katanya.

Sumber

Ustaz Kazim dan Mufti Perlis berdamai

on Monday, 9 March 2015


KANGAR – Perselisihan faham membabitkan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan pendakwah terkenal, Da­tuk Mohd. Kazim Elias akhirnya selesai selepas satu per­temuan muhibah di Restoran Blackwood di sini semalam.
Mohd. Kazim berkata, beliau berharap polemik dengan Mutfi Perlis itu selesai dengan segera kerana golongan agama adalah contoh dan ikutan umat Islam di negara ini.
“Kami berjaya menyelesaikan isu berbangkit dengan suasana yang harmoni.
“Selain itu, kami akan bersama-sama menjadi ahli panel bagi sebuah forum yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Kuala Lumpur yang disiarkan secara langsung oleh TV Hijrah pada Selasa ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Baru-baru ini, Mohd. Kazim menyifatkan tindakan Mohd. Asri yang tidak bersetuju beliau dipilih menganggotai panel Forum Perdana Ehwal Islam kerana menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya sebagai tidak adil dan memalukan dirinya.
Mohd. Asri kemudian merujuk bukti riwayat palsu itu berdasarkan rakaman di laman perkongsian video YouTube daripada salah satu ceramah Mohd. Kazim yang antara lain mengatakan kenduri Rasulullah menghidang­kan roti jala dengan kuah kari.
Dalam pada itu, Mohd. Asri berkata, perbezaan pen­dapat merupakan satu perkara biasa.
“Berbeza pandangan dan pendapat bukan bererti bermusuh kerana saya dan Ustaz Kazim masih bersahabat baik,” katanya. 

Inovasi wau lipat


WAU merupakan salah satu permainan tradisional orang Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu. Wau juga dikenali sebagai layang-layang bagi sesetengah negeri di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor.

Kebiasaannya, wau yang dijual di pasaran boleh dilihat secara fizikal dari segi reka bentuk dan coraknya.

 Fizikal wau adalah besar dan sangat sukar untuk dibawa ke mana-mana terutama bagi pelancong yang mahu membawa pulang wau tradisi Malaysia ke negara masing-masing.

Melihat masalah itu, pemilik produk inovasi wau lipat, Kasmin Abdul Jabar mencari idea untuk menghasilkan wau lipat menggunakan bahan tradisi seperti buluh, rotan, kertas dan kain organza, pada 1994.

“Idea membuat wau lipat ini tercetus apabila saya sendiri menghadapi masalah setiap kali menyertai pertandingan wau kerana sukar untuk membawanya. Saya buat wau lipat ini untuk menyertai pertandingan peringkat kebangsaan yang saya sertai sejak 1947 lagi.

“Ia bagi memudahkan saya membawanya, tidak perlu lagi menyewa van untuk bawa wau ke pertandingan dan ia lebih mudah untuk saya menaiki pesawat,” katanya.

Kasmin berkata, ilham membuat penyelidikan sendiri menghasilkan wau lipat ciptaannya selepas melihat kreativiti peserta luar negara menghasilkan wau moden dan boleh dipasang siap dalam masa beberapa minit.

“Saya buat penyelidikan sendiri, cuba buat dan uji kesesuaiannya. Saya mula mainkan di halaman sendiri.

“Akhirnya, saya berjaya menciptanya dan membawa wau lipat ini untuk menyertai pertandingan,” katanya.

Istimewanya, wau lipat inovasi yang dihasilkan Kasmin itu membolehkan wau tersebut dilipat dengan rapi dan disimpan di dalam kotak khas yang kompak, selamat serta ringan.

Apabila kotak itu dibuka, wau itu masih kekal utuh dan boleh diterbangkan, selain kelihatan cantik sebagai perhiasan.

Dek kerana ciri-ciri istimewa itu, wau lipat Kasmin pernah mendapat pengiktirafan inovator Akar-Umbi oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menerusi program Jejak Inovasi pada 2002.

Tumpu jualan wau lipat

Selepas beberapa kali Kasmin menyertai pertandingan wau, jawatankuasa pengadilan dan teknikal tidak lagi membenarkan sebarang wau tradisi pasang siap atau wau lipat digunakan dalam pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan.

Disebabkan sekatan itu, Kasmin mula memfokuskan pembuatan wau untuk jualan.

“Sebelum ini, saya buat dan jual wau secara sambilan di rumah, namun kini saya sudah memiliki sebuah bengkel khas pembuatan wau di Baling, Kedah.

“Dengan bimbingan dan bantuan daripada Perbadanan Kraftangan Malaysia, saya dapat memodenkan teknik membuat wau dan mendapatkan pasaran,” katanya.

Namun, fokus jualan Kasmin hanyalah tertumpu kepada wau lipat tradisi sahaja seperti wau bulan, wau kucing, wau jalabudi dan wau tradisi negeri di seluruh Malaysia.

“Pembuatannya adalah 100 peratus buatan tangan dan tidak menggunakan mesin. Corak wau juga kami kekalkan dengan corak tradisi awan larat bermotifkan tumbuhan menjalar dengan corak dilukis menggunakan teknik sobek (tebuk dan tampal).

“Untuk jualan, kami hanya membuat wau untuk hiasan dan wau yang boleh diterbangkan sahaja,” katanya.

Kasmin juga menjual wau lipat ciptaannya ke negara luar. Pelanggannya pula terdiri daripada orang perseorangan sehinggalah individu korporat.

Beliau pernah dipilih sebagai duta khas Malaysia untuk memperkenalkan seni permainan tradisional orang Melayu dan diberi kepercayaan apabila menerima undangan untuk memberi ceramah kepada penuntut universiti di luar negara.

Malah, Kasmin juga mendapat pengiktirafan  Kementerian Pelancongan Malaysia dan mula mengikat kontrak dengan kementerian itu pada 2003 untuk membekalkan wau lipat jenama Wau Baling untuk pejabat cawangan kementerian di seluruh dunia.

Kini, wau lipat yang dihasilkan Kasmin boleh didapati di Central Market dan Karyaneka, Kuala Lumpur serta Pulau Pinang pada harga bermula RM22 mengikut saiz, kategori serta gred.

Sumber

Jalan kaki 361KM cuci masjid, ada yang menangis


SHAH ALAM - “Kami sekarang berada di Masjid Kampung Melayu, Bukit Batu, Kulai, Johor, kami sudah berjalan kaki sejauh 361KM dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam,” demikian respon jurucakap ‘geng cuci masjid’ Annas Aiman Jaffry, 27, mengenai perkembangan kembara membersih masjid seluruh Malaysia yang dilakukan dia dan ‘gengnya’.

Jelasnya sepanjang perjalanan beliau bersama gengnya layanan masyarakat terhadap mereka sangat baik sekali.

“Sambutan masyarakat amat memberangsangkan serta mesra dengan kami, ada yang sanggup membawa kami keluar makan dan membelikan makanan sepanjang kami berada di kampung mereka.

“Kami terharu dengan layanan masyarakat setempat, Alhamdullilah setakat ini kami sudah kunjungi 26 buah masjid,” katanya kepada Sinar Online.

Berbicara lanjut mengenai pengalaman sepanjang perjalanan mereka, Annas berkata, ada satu peristiwa yang benar-benar menyentuh hatinya.

“Ada seorang Mak Cik di Muar, dia berhenti untuk menghulurkan bantuan kepada kami, kemudian dia menangis tanda bangga dengan apa yang kami lakukan, peristiwa itu menjadi saat yang beremosi untuk kami ketika mengenangkan kembali perjalanan kami.

“Semalam pun ada satu lagi keluarga, dua wanita daripada keluarga itu menangis kerana terharu berjumpa kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annas berharap dengan jelajahnya ia dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama ‘menjaga’ masjid.

“Pesanan saya kepada rakyat Malaysia, supaya kita dapat sama-sama menjaga kebersihan masjid, jangan hanya harapkan pihak pengurusan masjid , masjid merupakan milik komuniti , ia adalah tempat tercetusnya hidayah dan tempat setiap komuniti berkumpul untuk merapatkan silaturahim , luangkanlah masa untuk ke masjid,” pintanya.

Sementara itu, mengulas lanjut Annas berkata mereka tiada niat untuk riak atau mencipta rekod dalam perjalanan kembara ini.

“Niat kami melakukan pengembaraan ini adalah untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat yang selama ini tidak kami kenali pun, kami ingin merapatkan silaturrahim dan menyampaikan salam dari Selangor untuk semua rakyat Malaysia.

“…kerja amal yang kami lakukan diharap dapat dicontohi oleh semua anak muda Malaysia, kami tiada niat langsung untuk mencipta apa-apa rekod,kerana apa yang kami lakukan semata-mata untuk saham akhirat kami Insha-ALLAH,” katanya.

Anas dan ‘gengnya’ iaitu adiknya Muhammad Aidil, 24, dan rakan mereka Hizamuddin Aliddin, 25, telah bertekad untuk berjalan kaki ke seluruh negara dengan niat untuk membersih masjid-masjid terpilih sepanjang perjalanan mereka itu.

Mengikut perancangan, dalam tempoh enam bulan pengembaraan, sebanyak 132 masjid di seluruh negara akan mereka kunjungi bagi tujuan itu.

Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, mereka yang sebelum ini bekerja masing-masing sebagai penyelia stor dan pengawal keselamatan, sanggup meletak jawatan demi untuk merealisasikan hasrat itu.

Mereka memulakan kembara sejak 24 Januari lalu dan telah mengunjungi 19 masjid di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Selepas ini ketiga-tiga pemuda itu akan memasuki Batu Pahat dan Mersing selain ke Pahang, Terengganu, Kelantan sehingga ke negeri di pantai barat semenanjung sebelum mengakhirinya di Shah Alam semula.

Sumber

Putri Mardiana Kunci Mulut Dakwaan Ditangkap Khalwat Kali Kedua


PETALING JAYA: Pelakon filem Ngangkung, Putri Mardiana Zainal Abidin enggan mengulas mengenai dakwaan ditangkap khalwat buat kali kedua bersama teman lelakinya, Shahrizam Abdullah pada pagi Sabtu lalu.
Putri Mardiana atau lebih mesra dengan sapaan Nina, 33, tidak menjawab panggilan yang dibuat kepadanya sebanyak beberapa kali sebelum menghantar mesej di aplikasi Whatsapp memberitahu dia tidak mempunyai sebarang komen.
"Tiada komen," katanya ringkas kepada mStar Online pada Ahad.
Pasangan itu didakwa dicekup oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 4 pagi di kediaman milik isterinya Shahrizam atau E-Jump di USJ 1, Subang Jaya di sini.
Malah wanita yang dikenali sebagai Nor Hasni Md Hashim itu turut mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

Terdahulu, pasangan berkenaan pertama kali diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Disember tahun lalu di sebuah kondominium dekat Ukay Perdana, Ampang dalam satu siri serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat orang awam.

Nina yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ketika itu mendakwa serbuan tersebut sengaja dirancang oleh bekas teman lelakinya dan isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya.

Oh My English Tercalon Dalam Anugerah Digital Emmy


PETALING JAYA: Program Oh My English mencipta sejarah apabila tampil sebagai satu-satunya program dari Asia Tenggara yang tercalon dalam Anugerah Digital Emmy 2015.
Tercalon menerusi kategori Children & Young People, program popular Astro itu turut berentap dengan beberapa pencalonan lain dari negara seperti United Kingdom, Jerman dan Brazil.

Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin memberitahu pihaknya tidak menyangka akan mendapat pencalonan dalam acara tersebut.

"Ini adalah kali pertama kami menghantar pencalonan untuk Oh My English untuk Anugerah Digital Emmy dan ini membuktikan biarpun kita adalah sebuah negara kecil namun dari segi inovasi kita setanding dengan mereka," katanya.

Anugerah Digital Emmy diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada program yang menggunakan platform digital. Calon lain termasuk daripada Japan, Kanada dan Netherlands.

Dalam pada itu, Putri Yasmin memberitahu, Oh My English menyerlah kerana ia turut menjadi fenomena dimedium digital meskipun disiarkan di televisyen.

"Pihak Astro telah menggunakan sebaik-baiknya platform digital untuk memastikan Oh My English mencapai matlamatnya dalam memberikan informasi kepada penonton dan bukan hanya sekadar hiburan.

"Sebagai contoh, penonton boleh mengutarakan soalan menerusi telefon pintar menerusi segmen Brainbox," katanya.

Sehingga kini, Oh My English mempunyai 15 juta tontontan di Youtube, 661,000 pengikut di Facebook, 100,000 (Twitter) dan 31,000 (Instagram).

Pertama kali disiarkan pada 2012, Oh My English menampilkan barisan pelakon seperti Zain Saidin, Adibah Noor dan Tiz Zaqyah.

Pemenang Anugerah Digital Emmys akan diumumkan pada 13 April ini di Cannes, Perancis.

Hijab Tidak Halang Che Ta Aktif Sebagai Pelakon


PELAKON Rozita Che Wan menjelaskan keputusannya untuk menutup aurat tidak akan menghalangnya daripada terus bergiat aktif dalam bidang hiburan terutamanya lakonan.
Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 42, berkata, dia tidak merasakan keputusannya untuk berhijab akan memperlahankan karier seninya kerana paling penting seseorang itu berusaha dan bertawakl terhadap rezeki yang ditentukan Allah.

"Insya-Allah saya akan terus bergiat aktif dalam bidang seni kerana ini adalah bidang yang saya minati tetapi bukan bererti saya boleh ligat seperti dahulu.

"Banyak atau kurang tawaran lakonan itu semua bergantung pada usaha dan rezeki masing-masing," katanya.

Che Ta mengambil keputusan untuk menutup aurat selepas pulang daripada mengerjakan Umrah di Mekah pada 5 Mac lalu.

Dalam pada itu, Che Ta berkata, seperti mana artis bertudung yang lain, dia juga tidak terkecuali akan lebih memilih watak agar bersesuaian dengan imej terkininya.

"Sudah tentu kena lebih selektif dalam pemilihan watak agar bersesuaian dengan imej sekarang seperti mana dilakukan oleh artis lain," katanya.

Sementara itu, Che Ta berkata, dia kini berasa lebih tenang dengan penampilan baharunya dan bersyukur diberi kesempatan untuk melakukan perubahan tersebut.

Malah katanya, suaminya, Zain Saidin adalah insan paling gembira apabila dia meluahkan hasrat untuk kekal berhijab.

"Sudah tentu Zain paling gembira dengan perubahan ini kerana dia memang sentiasa mendoakan agar saya terbuka hati untuk bertudung.

"Malah ketika sambutan hari jadinya sebelum berangkat ke tanah suci saya sudah mula menutup aurat dan dia sangat gembira," ujarnya.