Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Yasmin Hani Tepis Kononnya Hanya Syok Sendiri

on Thursday, 30 January 2014


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Yasmin Hani menepis tuduhan dikatakan ‘syok sendiri’ apabila menyertai rancangan Selebriti Materniti, terbitan Blublack Production milik suaminya.
Selebriti Materniti merupakan sebuah dokumentari mengisahkan ibu-ibu mengandung dan penjagaan bayi.
Yasmin, 35, berkata, program itu diterbitkan untuk berkongsi pengalaman serta informasi berguna kepada penonton terutamanya golongan wanita.
"Saya dan suami tidak pernah merancang untuk menerbitkan program tersebut kerana pada asalnya kami mengambil gambar dan video sekadar simpanan untuk ditunjukkan kepada anak kami apabila dia dewasa nanti.
"Idea menerbitkan program itu timbul selepas menyedari rakaman peribadi yang kami rakamkan sendiri sepanjang kehamilan sangat menarik dan berpotensi untuk dikongsi kepada umum dan memberi manfaat kepada orang lain," katanya kepada mStar Online.
Yasmin ditemui pada pelancaran program tersebut yang diadakan di TGV One Utama, di sini pada Rabu.
Program itu bakal bersiaran pada 3 Februari depan pada setiap hari Isnin. Ia memaparkan pengalaman Yasmin dan suaminya, Sha'arin Razali menyambut kelahiran anak sulung mereka, Noah Ismail Wong, yang kini sudah berusia tiga bulan.
Ia akan disiarkan secara eksklusif di saluran Maya HD pada pukul 9.30 malam.
Dalam pada itu, Yasmin berkata, program itu bakal ditayangkan sebanyak empat episod yang memaparkan pelbagai detik sepanjang kehamilannya seperti 'baby shower', pengalaman mengandung, saat di bilik bersalin, majlis cukur dan aqiqah.
"Setiap wanita mengalami situasi berbeza apabila mengandung dan begitu juga saya.
"Paparan dalam empat episod itu adalah lebih kepada kisah saya di samping informasi berguna bukan sahaja untuk wanita mengandung tetapi orang-orang di sekeliling mereka," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Yasmin berkata, dia menjaga sendiri Noah tanpa bantuan pengasuh dan lebih selesa berbuat demikian.
Tambah Yasmin, dia juga beruntung apabila suaminya sangat ringan tulang membantu menguruskan anak mereka apabila dia keluar bekerja.

Bront dan Maya Karin bercinta?


“AKHIRNYA saya dapat bercinta dengan Maya,” kata aktor, Bront Palarae mengenai lakonannya menerusi filem Sejoli terbitan Grand Briliance, kelmarin.

Biarpun bukan kali pertama bekerjasama dalam sesebuah lakonan, namun menerusi filem terbaru Sejoli dua pelakon ini buat pertama kalinya digandingkan sebagai pasangan.

“Sebelum ini, kami hanya berkawan dalam lakonan dan inilah kali pertama saya dapat rasa bercinta dengan Maya,” katanya berseloroh.

Pada masa sama, Maya turut akui lakonannya bersama Bront kali ini tidak memiliki sebarang masalah kerana mereka pernah digandingkan sebelum ini.

“Saya seronok dapat berlakon bersamanya tambahan pula kami memang berkawan di luar set.

“Jadi untuk dapatkan keserasian dalam hidupkan watak memang tidak ada masalah,” ujarnya yang pernah membintangi filem Halal di samping aktor itu.

Bront makin selektif

Selain teruja digandingkan bersama pelakon hebat yang lain seperti Maya, Remy Ishak, Izara Aishah, Azad Jazmin, alasan utamanya menerima tawaran lakonan filem ini adalah disebabkan jalan cerita Sejoli yang menarik.

“Saya percaya cerita ini ada sesuatu mesej yang hendak disampaikan. Saya memang tertarik dengan keseluruhan jalan cerita ini.

“Barisan pelakonnya juga hebat, jadi agak mustahil untuk saya tolak tawaran ini.

“Tambahan pula sebelum ini saya hanya dikenali dengan watak-watak yang berat, jadi inilah peluang saya untuk beri kelainan dalam lakonan,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai karier lakonannya,  Bront akui dirinya agak selektif dalam menerima tawaran lakonan.

“Memang saya agak selektif dalam menerima tawaran. Sesuatu tawaran yang datang itu, saya akan lihat dari sudut keseluruhannya.

“Saya mahu libatkan diri dengan projek yang berbaloi di mana seperti yang kita tahu peminat filem bukan semuanya mewah. Jadi saya mahu pastikan bayaran yang mereka buat untuk menyaksikan filem di panggung berbaloi,” katanya yang bakal tampil dengan filem Anak Jantan bersama pelakon, Farid Kamil.

Beralih kepada kisah peribadinya, Bront akui dirinya masih dalam proses untuk bersedia bergelar seorang bapa.

“Sebenarnya tahun ini saya masih fokus dengan kerja. Memang ada keinginan untuk memiliki cahaya mata, tapi biarlah ia berlaku secara natural,” katanya.

Maya dilamun cinta

Tidak mahu kisah peribadinya menjadi tumpuan, aktres cantik ini bagaimanapun tidak menafikan dirinya kini sedang mengenali seseorang.

“Alhamdulillah, saya cukup gembira dengan kehidupan sekarang.  Memang saya sudah ada teman istimewa, dan sudah enam bulan kami mengenali.

“Cukuplah sampai situ sahaja. Saya tidak selesa jika hal seperti ini dijadikan tumpuan,” jelasnya.

Tidak pernah serik untuk bercinta, Maya tidak menafikan bahawa dirinya mahu perhubungan ini ke tahap yang lebih serius.

“Memang saya selalu terfikir untuk pergi ke tahap yang lebih serius.

“InsyaALLAH saya akan maklumkan kepada semua kalau sudah ke tahap itu.

“Lagi pun kalau sorok-sorok memang tidak seronok. Tapi buat masa ini kita belum tahu lagi, tunggulah nanti,” katanya.

Bertanyakan mengenai perkembangan karier lakonannya, Maya memberitahu, selain Sejoli dia memiliki tiga filem yang masih belum ditayangkan.

“Buat masa ini yang sudah confirm ditayangkan cuma Sejoli.

“Yang lain  seperti  Juwanita, Lagenda Budak Setan 3 dan Nota masih belum diketahui bila akan ditayangkan walaupun penggambaran sudah lama tamat,” katanya yang bakal sertai penggambaran filem Penculikan Amar Affendi arahan Syed Hussien (Sein) April ini.

Melihatkan keadaan itu, Maya akui agak kecewa dengan tindakan beberapa pihak penerbit yang lebih gemar ‘memerap’ filem daripada ditayangkan.

“Memang kecewa sedikit sebab filem-filem ini tidak boleh disimpan terlalu lama kerana kalau kita lihat sekarang ini trend bertukar dengan pantas.

“Takut nanti, filem-filem itu tidak relevan dan penonton juga tidak akan rasa ia segar,” katanya yang turut akui keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap popularitinya sebagai pelakon.

Sumber

Zamir Juara Masterchef Malaysia All Star Pertama

on Wednesday, 29 January 2014


PETALING JAYA: Peluang kedua yang diberikan tidak disia-siakan oleh peserta paling muda iaitu Zamir apabila diumumkan sebagai juara Masterchef Malaysia All Star sekaligus menumpaskan pesaingnya, pengacara Celina Khor.

Kemenangan itu melayakkan Zamir atau nama sebenarnya, Arshad Zamir Mohd Azmi, 21, menerima wang tunai bernilai RM55,000 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan Rumah Teduhan Kasih.

Zamir sebelum ini pernah menyertai Masterchef Malaysia musim pertama pada 2012 dan menjadi peserta empat terbaik.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli selepas Majlis Tayangan Episod Kemuncak MasterChef Selebriti Malaysia yang diadakan di First Avenue, Bandar Utama di sini.

Ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Maya HD pada malam Selasa.

Zamir ketika ditemui berkata, tidak menyangka kemenangan tersebut namun ia adalah antara pengalaman manis sepanjang kariernya dalam bidang kulinari.

Malah katanya, dia sebenarnya berasa gementar perlu berhadapan dengan Celina yang disifatkan sebagai tukang masak berbakat.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka kemenangan ini kerana tidak menjangka yang dapat pergi sejauh ini.

"Saya banyak belajar mengenai dunia masakan dalam pertandingan ini,” katanya pada sidang media di sini sebaik selesai siaran tersebut.

Dalam pertandingan tersebut Zamir tampil dengan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.

Pada episod terakhir itu, Zamir memilih untuk menghidangkan Sup Cendawan sebagai pembuka selera, Sea Bass Gone Wild (hidangan utama) dan Kek Angle (pencuci mulut).

Manakala Celina menghidangkan Fiesta Makanan Laut (pembuka selera), Dua Benua (hidangan utama) dan Kek Coklat Lava (pencuci mulut).

Barisan juri yang mengadili hidangan kedua-dua peserta itu adalah Chef Johari Edrus, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran.

Program sebanyak 40 episod itu disertai 20 peserta daripada musimterdahulu termasuk Masterchef Selebriti Malaysia.

Barisan peserta yang menyertai pertandingan itu ialah Azwan Ali, Soo Wincci, Raja Azmi, Kenchana Dewi, Celina Khor, Sharifah Shahora, Micheal Ang, Syanie, Enot, Brian, Imelda, dan Zamir.

Turut serta adalah Che Lah, Ah Hong, Along, Azlina, Azni, Ary Malik dan Shahirah.

Sumber

Atilia Tunda Perkahwinan Sebab Kematian Bekas Suami


KUALA LUMPUR: Penyanyi Atilia Haron pernah menunda perancangan untuk berkahwin pada tahun lalu kerana kematian bekas suaminya, Allahyarham Ariff Johan Abdul Jalil, 47, pada 7 Ogos 2013 akibat penyakit kanser hati.

Atilia atau nama sebenarnya Raja Puteri Atilia Raja Haron, 40, berkata, keputusan itu dibuat kerana menghormati pemergian Ariff selain peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam padanya.

"Saya pernah merancang untuk berkahwin selepas sambutan Hari Raya tahun lalu namun pemergian bekas suami sehari sebelum Aidilfitri telah menyebabkan ia ditangguhkan kerana menghormati kematian arwah.

"Hubungan saya dengan arwah sangat rapat walaupun kami telah bercerai dan selepas kematiannya ia amat meninggalkan kesan kepada saya dalam pelbagai sudut," katanya kepada mStar Online.

Atilia ditemui semasa pelancaran single terbaharu kumpulan Nico G di Khadijah's Kitchen di sini, Selasa.
Atilia mengakui sudah tiba masanya dia mengakhiri zaman solonya.

Dalam perkembangan sama, Atilia berkata, dia kini sudah bersedia untuk kembali berumah tangga dan berharap perancangan untuk berkahwin terlaksana pada tahun ini.

Jelas Atilia, pada usianya sekarang dia mula memikirkan tentang masa depan dan mahu menimang cahaya mata secepat mungkin.

"Saya sudah berusia 40 tahun dan perkahwinan adalah perkara yang saya fikirkan secara serius buat masa ini. Insya-Allah jika ada jodoh saya mahu berkahwin pada tahun ini," katanya yang mahu merahsiakan identiti teman lelakinya itu.

Tambah Atilia, dia mengakui cemburu apabila rakan-rakan seusianya sering bercakap mengenai kehidupan yang sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak.

Sementara itu, mengulas mengenai kolaborasinya bersama kumpulan Nico G menerusi lagu Belia Perwira, Atilia berkata, ia adalah sebagai satu penghormatan kepada perjuangan mereka yang ingin kembali memeriahkan industri muzik tempatan.

Ailia telah mengenali ketiga-tiga anggota kumpulan itu sejak tahun 90-an dan pernah melakukan kolaborasi dengan mereka sebagai penyanyi latar bersama ibunya, Salamiah Hassan.

"Mereka seperti abang kepada saya dan apabila diminta untuk melakukan kolaborasi bersama-sama dalam lagu tersebut saya tidak boleh untuk berkata tidak kerana kenangan kami bersama sangat banyak.

"Malah lagu itu juga memaparkan mesej baik kepada masyarakat dan ia adalah satu penghormatan dapat kembali bekerjasama dengan mereka," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Atilia berkata, dia kini sedang sibuk merakamkan album ketiganya yang dijangka berada di pasaran pada tahun ini.

Sumber

Julie Dahlan Luah Perasaan Rasa Dirinya Dipinggirkan

on Tuesday, 28 January 2014


KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon veteran Julie Dahlan berasa terpinggir dan diketepikan daripada industri seni tanah air selepas kurang aktif akibat menghidapi beberapa penyakit.

Julie atau nama sebenar Junaidah Dahlan, 62, berkata, beberapa pihak termasuk stesen televisyen tempatan tidak pernah memberi keistimewaan kepadanya dalam menerbitkan drama bagi menampung kehidupannya.

"Saya rasa terpinggir bila pihak stesen televisyen seperti RTM tidak memberi keutamaan dalam memberi slot-slot drama kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Saya seorang penerbit veteran dan ibu tunggal, mereka sepatutnya beri keutamaan kerana itu sahaja yang saya mampu lakukan untuk meneruskan hidup," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis kunjungan mesra Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), di kediamannya, di Ampang pada Isnin.

Hadir sama Presiden PFM, Datuk Yusof Haslam, Ketua Pegawai Eksekutif PFM, N. Panchacharam dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez.

Dalam pada itu Julie berkata, biarpun menderita penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi, dia masih mampu untuk bekerja bagi menampung kos rawatan hemodialisis daripada menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

Julie mendapatkan rawatan dialisis di Pusat Dialisis Prince Court sejak April tahun lalu dan memerlukan kos rawatan sebanyak RM600 sebulan.

Dalam pada itu, Julie berkata, dia bersyukur kerana masih ada beberapa pihak yang tampil memberi bantuan.

"Saya ada sedikit duit simpanan untuk belanja dan kalau tidak cukup saya berhutang hingga dapat duit telefilem yang saya terbitkan, baru saya bayar balik.

"Selain itu, Sharifah Aini juga banyak memberi sumbangan dan bayarkan beberapa kali kos rawatan dialisis saya," katanya.

Sementara itu, Presiden PFM, Datuk Yusof Haslam berkata persatuan itu memberi bantuan sebanyak RM5,000 dalam usaha meringankan beban Julie dalam menanggung kos perbelanjaan rawatannya.

Tambahnya, Julie merupakan seorang ahli yang aktif ketika menyertai persatuan tersebut iaitu sekitar tahun 80-an.

Sumber

Ibnor Riza Izinkan Anak Perempuannya Jadi Bintang K-Pop


PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an, Ibnor Riza tidak terkejut apabila anaknya, Putri Norizah mendapat tempat kedua dalam pertandingan akhir program realiti K-Pop Star Hunt musim ketiga pada Sabtu lalu.

Ibnor, 52, berkata, sejak berusia tujuh tahun lagi anaknya menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sehinggalah dia berjaya mengikat kontrak bersama syarikat pengurusan artis terkenal Korea iaitu CJ E&M selepas pertandingan berkenaan.

"Jika dia kalah pun saya tidak terkejut kerana ini bukan kali pertama dia menyertai pertandingan seperti ini malah ia adalah cubaan ketiga dia memasuki program tersebut.

"Ternyata sikap tidak berputus asa akhirnya membuahkan hasil yang positif," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Putri, 22, mendapat tempat kedua dalam program realiti itu pada pertandingan akhir yang diadakan di Singapura.

Menyampaikan dua buah lagu iaitu There is No Love nyanyian asal penyanyi Korea, Gummy dan sebuah lagu berbahasa Inggeris daripada Leona Lewis berjudul Homeless.

Bagaimanapun Putri tewas kepada peserta Taiwan Andy Su, 15, yang menyampaikan lagu dendangan kumpulan G-Dragon.

Sebagai bapa, Ibnor sentiasa menyokong minat anaknya dalam bidang muzik.
K-Pop Star Hunt 3 adalah sebuah program pencarian bakat dari seluruh rantau Asia termasuk Hong Kong, Singapura, Filipina, Taiwan, Thailand dan Indonesia untuk dididik menjadi bintang K-Pop.

Putri dipilih untuk mewakili Malaysia bersama seorang lagi peserta iaitu Ryan Thoo, 23, selepas berjaya dalam satu uji bakat di Kuala Lumpur tahun lalu.

Kedua-dua mereka telah diterbangkan ke Seoul untuk menjalani latihan di bawah syarikat rakaman, FNC Entertainment yang menguruskan bintang K-Pop iaitu CN Blue dan FT Island.

Putri adalah salah satu daripada empat finalis yang terselamat bersama-sama dengan Any termasuk Stephanie Koh, 21, (Singapura) dan Siriburee Chananan, 18 (Thailand).

Dalam pada itu, Ibnor berkata, Putri ada meminta nasihatnya sebagai seorang artis lama dalam memberikan persembahan terbaik selain sentiasa meminta komen tentang nyanyiannya.

Jelas Ibnor, sikap Puteri yang sentiasa ingin memperbaiki kelemahan diri membuatkan dia yakin anaknya itu akan berjaya suatu hari nanti.

"Saya sering beritahu dia supaya jangan cepat berputus asa dalam melakukan sesuatu dan saya lihat dia selalu cuba memperbaiki diri dan meminta pandangan saya mengenai persembahannya," katanya.

Tambah Ibnor, dia tidak keberatan untuk melepaskan anaknya ke Korea Selatan bagi membolehkan wanita itu mengejar cita-citanya.

Sementara itu, Puteri berkata, dia berasa sangat rendah diri apabila mendapat pujian daripada penyanyi terkenal, Psy yang menyifatkan persembahannya pada peringkat akhir itu sebagai 'cukup indah'.

"Selain Psy, juri lain pada pertandingan akhir itu adalah penyanyi Lee Seung-chul dan Baek Ji-muda. Komen yang mereka berikan cukup membuatkan saya berasa rendah diri," katanya.

Malah kata Puteri, dia tidak menyangka sambutan peminat Korea terhadapnya cukup luar biasa dan berharap dapat menawan industri muzik di negara itu suatu hari nanti.

"Saya tidak pernah mengimpikan untuk menang tetapi hanya ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang di luar kemampuan saya dan saya berjaya melepasi halangan itu," katanya.

Sumber

Papadom 2, jadi filem terakhir Afdlin Shauki?

on Monday, 27 January 2014


Siapa tak kenal Afdlin Shauki, malah pelakon, pengarah dan penerbit kelahiran, Johor Bahru, ini bukanlah nama picisan dalam industri seni tempatan.

Beberapa kali memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, di Festival Filem Malaysia (FFM), ini cukup membuktikan kehebatan anak seni ini.

Bukan sahaja dalam bidang lakonan, malah Afdlin, 42, juga merupakan salah seorang daripada pengarah dan penerbit tersohor dalam industri tempatan. Lihat sahajalah karyanya Baik Punya Cilok, Berani Punya Budak, Buli, Buli Balik, Los dan Faun, Misteri Jalan Lama, My Spy, Papadom dan Sumolah, ianya sudah cukup untuk menggambarkan kredibiliti pengarah ini.

Pada masa yang sama, Afdlin juga turut terlibat dalam bidang komedi dan penyertaannya di dalam rancangan realiti, Maharaja Lawak Mega, pada 2011, berjaya membawa kumpulan, Boboi, yang dianggotainya bersama Harun Salim Bachik, sebagai naib juara.

Hampir kesemua cabang seni disertai, Afdlin membuktikan kehadirannya dalam industri bukanlah sesuatu perkara dipandang enteng.

Malah, idea dan kreativiti yang ada pada Afdlin, tidak semua ada pada penggiat seni lain.

Baharu mempertaruhkan filem arahannya, Papadom 2, pada 12 Disember lalu, Afdlin berkongsi perkembangan terkini mengenainya.


Baharu sahaja selesai ditayangkan, bagaimana sambutan filem terbaharu anda di pawagam?

Sepanjang tempoh tayangan di pawagam, filem Papadom 2, hanya mampu mencatat kutipan serendah RM620,000 sahaja.

Pada pengamatan saya, ianya merupakan kutipan yang sangat teruk sepanjang penglibatan saya dalam industri seni selama 15 tahun.

Ia adalah pelaburan saya yang tidak balik modal dan paling menghampakan.


Jika diteliti, Papadom berjaya meraih kutipan setinggi RM3.8 juta, namun untuk Papadom 2, ia agak sukar...

Saya menyimpan Papadom 2, hampir dua tahun dan sebelum ini, saya teragak-agak untuk menghasilkan filem lagi setelah melihat masalah sambutan penonton terhadap karya tempatan.

Namun, ternyata usaha saya hanya sia-sia dan merugikan. Ketika tayangan perdana, saya menerima banyak maklum balas Papadom 2 lebih menarik daripada Papadom sebelum ini.

Namun, apabila melihat hasilnya, ia sangat mengecewakan saya! Pun begitu, saya berterima kasih dengan usaha Astro First dalam membawa filem saya ke kaca televisyen.

Secara tidak langsung, bakal meningkatkan jumlah kutipan sedia ada.


Pada pemerhatian anda, apakah faktor utama kegagalan filem ini di pawagam?

Mungkin peminat Papadom sudah meninggal dunia (ketawa kecil) jadi, Papadom 2 tidak mendapat sambutan lagi.

Mungkin juga ada antara peminat yang tidak tahu filem ini dan mungkin juga mereka (penonton) sudah tidak mahu menonton filem bercorak kekeluargaan.

Banyak kemungkinan yang saya fikirkan termasuklah soal kehambaran penonton untuk datang ke pawagam.

Mungkin juga mereka fikir, tidak perlu bersusah payah ke pawagam kerana mereka dapat mengakses filem ini di internet dengan cara yang mudah dan lebih murah.


Anda dilihat begitu kecewa...

Ya, memang saya kecewa dan hampa. Malah, saya sendiri buntu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kegagalan ini.

Saya telah membuat keputusan, di mana filem ini merupakan filem terakhir saya untuk pasaran industri tempatan. Saya sudah tiada hati untuk menghasilkan filem tempatan lagi.

Cukuplah Papadom 2 untuk menilai selera penonton kita. Ia adalah penanda aras di mana filem bukan lagi platform untuk menjana pendapatan bagi pemodal seperti saya.


Bagaimana pula dengan sekuel, Mamadom?

Kalau Papadom 2 pun hancur, macam mana nak buat Mamadom? Anggaplah ia hanyalah angan-angan saya sebelum ini yang terpaksa dikuburkan...


Selepas ini, adakah anda tidak akan mengarah atau menerbitkan filem lagi?

Kemungkinan besar, selepas ini saya hanya akan terlibat dalam projek luar negara sahaja. Tidak kiralah dalam pengarah ataupun penerbitan.

Sebagai penggiat seni, saya perlu mengambil kira banyak perkara termasuk dalam soal kewangan dan keuntungan.


Bagaimana pula dengan perniagaan dan aktiviti seni lain?

Buat masa ini, saya juga sibuk menguruskan perniagaan Pelikat Pants. Sejujurnya, jual seluar pelikat lebih menguntungkan daripada buat filem tempatan.

Saya juga terlibat dalam perniagaan kek coklat Boboi, malah ia mendapat sambutan cukup memberangsangkan.

Alhamdulillah, tahun lalu saja sebanyak 34,000 bekas kek coklat berjaya dijual dan tahun ini sambutan tidak kurang hebatnya.

Dalam aktiviti seni, saya masih menerima undangan lakonan seperti biasa. Saya akan muncul dalam Kami Histeria, tidak lama lagi.

Sumber

Kamal Adli Reda Belum Ada Rezeki Untuk Popular


PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli mengakui belum mempunyai rezeki untuk popular biarpun sudah hampir lima tahun berada dalam industri seni tanah air.
Kamal, 27, berkata, walaupun pelbagai watak dan karekter yang telah dilakonkan namun dia belum bertuah untuk mendapat drama atau filem yang benar-benar mampu mengangkat namanya.
"Itu semua tuah atau rezeki masing-masing, jika seseorang pelakon tersebut mendapat drama yang betul-betul popular dia juga secara tidak langsung akan popular.
"Saya sudah cuba banyak karakter termasuk komedi, aksi dan serius namun mungkin belum ada rezeki lagi," katanya kepada mStar Online.
Kamal berkata demikian ketika ditanya tentang kerjaya lakonannya yang masih belum mencapai satu tahap populariti setanding dengan pelakon-pelakon yang seangkatan dengannya.
Bagaimanpun, Kamal berkata, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh produser dan stesen televisyen tempatan untuk terus berada dalam industri.
Tambahnya, apa yang lebih penting, dia berjaya menunjukan bakat lakonannya kepada penonton.
"Saya tidak pernah memilih drama atau filem yang memnag sudah dijangka akan hit, sebaliknya saya hanya berlakon sahaja ikut tawaran yang datang.
"Tapi saya bersyukur dengan pelbagai karekter yang telah saya bawa ini, penonton sendiri dapat menilainya," katanya.

Farish Aziz Kini Telah Bergelar Bapa


Tahniah diucapkan kepada pelakon Farish Aziz yang kini bergelar bapa apabila isterinya, Zahrah Fowzi telah selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 9.23 pagi, Sabtu lalu.
 
Menerusi status yang dikongsi di Facebook milik Farish, bayi lelaki seberat 2.9 kilogram ini masih belum lagi diberikan nama.
 
"Salaam, _____________ bin Mohd Farish. Born this morning at 9.23am.Berat 2.9kg.  wuhooo! Sleepless night bermula sekarang! #ggmu #inmilowetrust #alhamdullilah," tulisnya. 
 
Untuk rekod, Farish dan isteri telah selamat diijabkabulkan di Resort Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 18 Februari 2011.

Mizz Nina hanya nyanyi depan penonton wanita sahaja


PENYANYI Shazrina Azman atau Mizz Nina membuat keputusan untuk mengadakan persembahan nyanyian di hadapan penonton wanita sahaja.

Isteri kepada vokalis kumpulan Hujan itu, memutuskan perkara itu sekembalinya selepas mengerjakan haji pada November lalu.

Katanya, keputusan untuk tidak melibatkan penonton lelaki ketika mengadakan persembahan dibuat atas kesedaran sendiri.

“Saya akan menyanyi di hadapan penonton wanita saja. Keputusan itu saya buat selepas berhijrah.

“Suami menyokong keputusan saya. Saya tidak menyesal meninggalkan bidang muzik kerana sudah puas mengecapinya.

“Kini, saya ingin memberikan perhatian kepada butik dan juga syarikat produksi yang ditubuhkan sejak setahun lalu,” katanya yang dipetik dalam satu portal berita hari ini.

Sumber

Hafiz pemenang AJL ke 28


BAHAGIAMU Deritaku muncul sebagai Juara Lagu ke-28 menewaskan 11 pesaing lain.

Lagu ciptaan LY dan lirik Baiduri itu disampaikan oleh penyanyi, Hafiz dalam persembahan yang begitu menyentuh perasaan.

Naib juara milik lagu Hanya Aku hasil ciptaan dan disampaikan sendiri kumpulan Hyper Act.

Lagu Kalau Aku Kaya nyanyian Awi Rafael dan Altimet yang dicipta komposer Omar K dan Audi Mok di tempat ketiga.

Sementara itu, Jaclyn Victor diumumkan pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Ikut Rentakku bagi AJL28 ini.

Persembahan Hafiz dengan lagu Bahagiamu Deritaku dipilih penonton sebagai Persembahan Terbaik.

Sumber

Uqasha Senrose pasang badan persediaan untuk kahwin

on Sunday, 26 January 2014


PASANGAN bahagia, Pekin Ibrahim dan Uqasha Senrose mendedahkan sudah mula membuat persiapan perkahwinan mereka yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Walaupun masih merahsiakan tarikh perkahwinan mereka, pasangan ini mengharapkan apa yang dirancang akan berjalan lancar.

Uqasha berkata, selain persiapan perkahwinannya yang sudah hampir suku peratus, dia turut mengakui kerap ke gimnasium dan mengurangkan pengambilan nasi dalam amalan diet hariannya bagi mengurangkan berat badan.

“Alhamdulillah, persiapan kahwin sudah 30 peratus selesai, sekarang ini saya juga sedang menurunkan berat badan memandangkan dah naik satu kilogram.

“Saya bukanlah nak nampak terlalu kurus sebab badan saya bukanlah besar sangat, cuma nak kelihatan ‘just nice’ saja,” katanya.

Memilih konsep perkahwinan dalam taman, pelakon Paku Pontianak ini berkata, dia bersetuju dengan idea bakal suaminya untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka secara lebih santai dan sederhana.

Menurutnya, dia juga tidak menolak untuk terima tajaan daripada mana mana pihak untuk majlis perkahwinan mereka namun semuanya tertakluk kepada hasil perbincangan dan kesesuaian majlis mereka.

“Saya bersetuju dengan Pekin, kami akan melakukannya secara sederhana tak mahu terlalu meriah.

“Kami juga sedang berbincang dengan penaja yang sesuai sahaja dengan konsep taman secara santai ini,” katanya.


Resepsi kedua di kawasan pantai

Bagi memastikan majlis yang dirancang berjalan lancar, Pekin mengambil pengurusan dan memilih lokasi manakala bakal isterinya, lebih kepada rekaan baju dan dekorasi.

“Walaupun sekarang ini sudah mula buat persiapan,  kami memilih untuk lebih santai dan sederhana, namun agak rumit juga. Banyak juga perkara yang perlukan perhatian lebih.

“Pada mulanya, kami ingin memilih konsep di pantai, namun bila difikirkan orang tua kami, tidak sanggup rasanya, kesian mereka nak ke sana nanti. Bagaimanapun, kami akan melakukannya juga dan hanya menjemput media atau rakan-rakan saja nanti,” katanya yang mahu melakukan resepsi kedua bersama rakan.

Pasangan ini mengakui kesibukan dengan kerjaya masing-masing melambatkan proses persiapan menjelang hari bahagia mereka namun ahli keluarga banyak membantu.
“Alhamdulillah, keluarga memahami kesibukan dan turut membantu kami dalam menyempurnakan persiapan ini,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya pasangan ini, mereka baharu sahaja selesai menjalani drama cerekarama berjudul Hitam yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi.

Sumber

Awie : Isteri Tidak Mahu Dengar Gosip Dengan Wanita Lain


Jika difikir balik, pastinya ia bukan sesuatu yang mudah untuk membenarkan suami kembali bercinta dengan bekas kekasih lama.  Tapi, itulah yang dilakukan oleh Rozana Misbun, isteri kepada Awie.
 
Menurut Rozana, dia tidak berfikir panjang untuk menyatakan persetujuan apabila suaminya meminta izin untuk berlakon kembali dengan Erra Fazira di dalam Konsert Teaterikal Suara Kita pada Mac akan datang.
 
"Mula-mula agak terperanjat juga bila Awie nyatakan hal itu.  Saya ada tanya tidakkah nanti akan terdetik atau terimbau kisah lama.  Tapi, bila saya fikir balik masing-masing sudah punya kehidupan sendiri.
 
"Jadi, saya terus kata OK dan tidak menghalang pun.  Saya tidak mahu fikir benda lain, kerana percayakan suami.  Lagi pula, itu kan urusan kerja.  Selama ini pun, saya menyokong setiap apa yang dilakukannya," ujar Rozana yang ditemui di sidang media konsert itu semalam.
 
Namun, satu perkara yang tidak diingini berlaku dalam perhubungan mereka ialah gosip dengan wanita lain.
 
"Sepanjang kami bersama, saya tidak pernah kacau kerja dia.  Gosip lain saya tidak kisah, tapi jangan gosip fasal perempuan.  Dari mula kahwin lagi saya sudah cakap tentang hal itu," kongsinya.
 
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga menambah, dia tidak meletakkan syarat tertentu untuk suaminya kembali bergandingan bersama Erra.
 
"Saya kenal siapa suami saya dan saya percayakannya 100 peratus.  Lagi pun, saya juga merupakan peminat Erra Fazira," ujarnya lagi.
 
Ditanyakan tentang penerimaan ahli keluarganya, Rozana berkata;
 
"Keluarga saya semua OK.  Ibu saya tak banyak cakap, cuma kakak sulung sahaja yang sedikit provok.  Tapi, macam yang saya katakan saya lebih percayakan suami."
 
Untuk rekod, sejak mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu, Awie dan Rozana sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata masing-masing berusia tujuh, enam dan empat tahun.  Selain itu, dua anak hasil pekahwinan terdahulu Awie juga tinggal bersama mereka.

Nina Iskandar diminati anak Datuk K

on Saturday, 25 January 2014


MEMILIKI paras rupa cantik sudah tentu menjadi pakej paling berharga buat pelakon Nur Akmalina Iskandar atau lebih dikenali dengan panggilan Nina Iskandar untuk terjun ke dunia seni.

Ternyata, keputusannya untuk cuba menembusi dunia lakonan di Malaysia merupakan satu langkah yang tepat, tambahan pula dilamar untuk bernaung di bawah syarikat Metrowealth (MIG).

Bagaimanapun, sudah lumrah menjadi seorang artis apabila tidak dapat lari daripada dilanda dengan gosip hangat. Hakikatnya, itulah cabaran yang perlu dilalui terutamanya membabitkan pelakon-pelakon baharu.

Gadis jelita berusia 23 tahun yang ditemui pada majlis kesyukuran dan sambutan Tahun Baru Cina anjuran MIG yang berlangsung di N'Dah Catering & Services, Shah Alam, Selangor baru-baru ini berkata, dia mengakui agak takut apabila berhadapan dengan gosip.

"Kalau boleh saya tidak mahu terlibat dengan cerita yang negatif, terutamanya membabitkan tentang peribadi serta gosip yang yang kurang baik sehingga menjejaskan matlamat asal untuk mencipta nama sebagai pelakon.

"Apabila saya memilih lakonan sebagai karier utama dan berhijrah ke Malaysia, saya mahu dikenali dengan nama yang bersih dan ingin peminat lebih menilai bakat yang saya miliki ini berbanding cerita peribadi," jelasnya yang baru sahaja tampil dalam filem sulung berjudul Muka Surat Cinta.

Ujarnya, gosip juga sebenarnya merupakan sesuatu yang cukup asing buat dirinya memandangkan di negara kelahirannya, tidak ramai artis yang dikaitkan dengan gosip lantaran industri hiburan di sana yang tidak besar.

FIGURA jelita ini cuba mengelakkan diri daripada terbabit dengan gosip negatif.

Berhubung dengan gosip yang melanda dirinya berkenaan hubungan yang terjalin dengan salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu Muhammad Adib, 24, ujar Nina, mereka berdua tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan istimewa.

Jelasnya, perkenalan mereka hanya bermula ketika dia bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo menghadiri majlis ulang tahun ke-35 Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Restoran Marini's On 57, Menara Petronas, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.

"Saya hanya diberitahu (untuk ke sana) oleh David pada saat-saat terakhir sebelum majlis itu berlangsung dan kehadiran kami adalah bagi memenuhi undangan yang diterima oleh pihak MIG.

"David turut mengajak saya kerana ia merupakan permintaan daripada Adib yang meminta saya agar turut hadir.

"Lagipun, saya sendiri tidak tahu mengenai perkara berkenaan sehinggalah saya hadir ke majlis itu dan diberitahu yang Adib ini merupakan peminat saya," luahnya.

Dalam pada itu, Nina meminta supaya peminat tidak terus membuat andaian yang dia mempunyai hubungan istimewa dengan Adib, biarpun mereka duduk bersebelahan pada majlis pratonton filem Muka Surat Cinta di TGV Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

"Saya anggap ia merupakan gosip semata-mata dan selepas majlis pratonton itu kami tidak berhubungan lagi antara satu sama lain.

"Mengenai maklum balas daripada keluarga saya di Brunei pula berkenaan gosip ini, mereka sekadar berpesan agar dapat membiasakan diri untuk berhadapan dengan sebarang gosip yang akan dilalui saya pada masa akan datang," tuturnya lagi.

Mengulas mengenai status Twitter milik Adib yang dilihat yang seolah-olah menafikan dirinya merupakan peminat Nina seperti yang laporkan oleh beberapa portal sebelum ini, pelakon itu enggan mengulas lanjut.

Ini kerana dia tidak membaca apa yang ditulis memandangkan dirinya tiada dalam senarai rakan Twitter kepada jejaka kacak tersebut.

Cabaran

Mengulas lanjut mengenai situasi yang melanda dirinya sekarang ini apabila terpalit dengan gosip cinta, Nina menyatakan bahawa ia merupakan satu cabaran yang terpaksa ditempuhi sebagai seorang pelakon.

Ujarnya, perjalanan yang perlu ditempuhi untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya masih lagi panjang dan apa yang menimpa dirinya sekarang ini langsung tidak mematahkan semangatnya.

"Setiap orang ada pandangan dan persepsi masing-masing terhadap sesuatu perkara itu dan saya tidak boleh menutup mulut mereka yang memperkatakan tentang diri saya.

"Dalam keadaan sekarang ini, saya berasa sangat lega kerana bernaung di bawah sebuah syarikat seperti MIG yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan para pelakon, selain peluang yang diberikan untuk mengembangkan lagi karier lakonan saya," ujarnya.

Berkenaan dengan karier lakonannya pula, ujar Nina, selepas Muka Surat Cinta, terdapat beberapa buah lagi filem lakonannya yang akan ditayangkan pada tahun ini seperti Pengantin Malam, Sniper dan Lu Gua Bro.

Sumber

Uqasha Senrose Sedia Terima Tajaan Untuk Majlis Kahwinnya


PETALING JAYA: Pelakon Uqasha Senrose sudi menerima apa juga tajaan mana-mana pihak untuk majlis perkahwinannya dengan aktor Pekin Ibrahim yang dijadualkan pada tahun ini.

Uqasha, 21, berkata, sejak berita perkahwinan mereka diketahui umum ada beberapa pihak telah tampil untuk memberikan tajaan namun dia masih belum membuat sebarang keputusan.

"Alhamdulillah ia adalah satu rezeki apabila ada pihak yang sudi untuk menaja perkahwinan kami tetapi perbincangan secara serius perlu dibuat terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah pada kemudian hari," katanya kepada mStar Online.

Uqasha bagaimanapun memberitahu dia masih belum dapat memberitahu tarikh sebenar perkahwinannya dengan Pekin buat masa ini.

Dalam pada itu, Uqasha berkata, dia berhasrat untuk mengadakan majlis resepsinya berkonsepkan dalam taman tetapi dalam suasana sederhana sahaja.
Pasangan ini masih belum bersedia untuk mengumumkan tarikh pernikahan mereka kepada umum buat masa ini.

Jelas Uqasha, dia dan bakal suaminya telah mula membuat persiapan untuk perkahwinan mereka kerana mahu memastikan majlis yang bakal diadakan itu berjalan lancar tanpa masalah.

"Persiapan kena mula daripada awal kerana tidak mahu kelam kabut nanti. Malah keluarga juga banyak membantu menguruskan perkahwinan kami.

"Jadi tidaklah rasa tertekan sangat kerana ketika ini kami berdua sibuk dengan aktiviti masing-masing," katanya.

Tambah Uqasha, walaupun berasa bimbang untuk menempuh alam perkahwinan nanti namun dia telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu itu nanti.

Dalam perkembangan lain, Uqasha berkata, dia kini lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri selepas kontrak bersama syarikat Metrowealth International Group (MIG) tamat.

Kata Uqasha, walaupun tidak mempunyai syarikat pengurusan namun dia mengambil peluang ini untuk mempelajari menguruskan kariernya sendiri dan menjadi lebih matang.

Sumber

Yusof Haslam : 'Resepsi Perkahwinan Syamsul & Syafiq Serentak'

on Wednesday, 22 January 2014


KUALA LUMPUR: Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam merancang untuk mengadakan majlis resepsi persandingan anak-anaknya Syamsul dan Syafiq secara serentak iaitu pada Jun depan, beberapa bulan selepas kedua-dua mereka sah bernikah.

Yusof, 60, berkata, majlis resepsi berkenaan dirancang untuk diadakan dalam suasana sederhana bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran.

"Setelah berbincang, kami bersetuju untuk mengadakan sebuah majlis sahaja melibatkan perkahwinan Syamsul dan adiknya Syafiq. Itu pun cukuplah sekadar secara sederhana agar tidak membazir.

“Bagaimanapun hasrat ini belum dibincangkan lagi dengan Syamsul,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama Gerak Khas musim baharu, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Selasa.

Syamsul bakal bernikah dengan pelakon Puteri Sarah pada penghujung Mac ini, manakala adiknya Syafiq pada sekitar April iaitu sebulan kemudian.

Sementara itu, bercakap tentang bakal menantunya, Yusof berkata kedua-duanya adalah berasal daripada keluarga yang ‘baik-baik’ dan berpendidikan tinggi.

"Alhamdulillah kedua-dua pilihan mereka daripada keluarga yang bagus. Puteri Sarah pun seorang yang baik dan sentiasa ingin berubah ke arah menjadi lebih baik.

"Pilihan Syafiq pula daripada keluarga yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi, bagus juga untuk dia, saya hanya doa yang terbaik," katanya.

Walaupun sentiasa berasa bimbang melepaskan anak-anaknya untuk membina keluarga, namun dia yakin mereka mampu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua rumah tangga dengan baik.

"Saya harap lepas ini kehidupan mereka lebih terurus, kalau nak kata bimbang itu ada juga, tapi kalau fikir balik dalam hubungan suami isteri tidak semua indah sahaja.

"Apa yang penting mereka akan berubah menjadi orang yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, selepas berkahwin Syamsul akan tinggal di rumah berasingan, sementara Syafiq memilih untuk menetap bersama keluarga di Taman Melawati di sini.

Pada 12 Januari lalu, Syamsul telah merisik Puteri Sarah dalam satu majlis yang diadakan di kediamannya di Sri Damansara, dekat sini.

Sumber

Hafiz badan kurus kerana kecewa?


KALI terakhir penulis bertemu Hafiz pada Shout! Awards baru-baru ini, tidak ada sebarang perubahan ketara dilihat pada penyanyi yang kini popular dengan lagu, Bahagiamu Deritaku.

Namun lain pula ceritanya apabila penulis bertemu dengan Hafiz pada sidang media Top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME) di Zouk, Jalan Ampang, Khamis lalu, penyanyi yang berasal dari Kuching, Sarawak ini kelihatan lebih kurus, sehingga menimbulkan persoalan, adakah dia kurus kerana kecewa atau sakit?

Lalu, kesempatan bertemu Hafiz sebaik tamat sidang media itu digunakan beberapa media untuk bertanyakan perkembangan dirinya.

"Saya kurus bukan kerana sakit atau putus cinta. Tetapi lebih kepada stamina dan saya mahu nampak kurus di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti (ketawa).

"Rancangan untuk mengurangkan berat badan ini memang sudah lama saya fikirkan. Cuma masa saya agak terhad, jadi bila ada masa terluang, saya akan workout di gim, jika tidak saya hanya kawal makan sahaja," katanya.

Mengulas mengenai persiapannya menjelang AJL, Ahad ini, Hafiz berkata, dia masih lagi membuat latihan dan persiapan akhir dan berharap segalanya berjalan dengan lancar.

"Buat masa ini saya memang fokus dengan AJL, di samping sibuk mempromosikan single bersama Datuk Rossa, Salahkah.

"Mengenai persembahan pada AME, 8 Februari ini pula, saya sudah dapat judul lagu, tetapi persembahan macam mana yang akan saya buat, itu rahsia," katanya.

Ditanya, adakah dia hanya berduet dengan nama-nama besar dalam industri nyanyian, Hafiz menjelaskan: "Saya tidak pernah letak syarat untuk berduet dengan artis terkenal seperti Datuk Siti dan Rossa.

"Cuma saya ada sasaran untuk berduet dengan penyanyi lama bagi menghidupkan kembali lagu-lagu lama yang masih jadi pilihan anak muda sekarang," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjaya seninya, Hafiz berkata, fokus utamanya sememangnya lebih kepada bidang muzik, namun sedia mempertimbangkan andai ada tawaran berlakon.

Sumber