PADA label bungkusan pil yang penulis singkatkan jenamanya kepada ‘P’ ini tercatat perkataan paracetamol.
Ubat yang terkenal di 85 negara ini, menguasai lebih daripada 80
peratus pasaran tempatan bagi kategori ubatan yang sama biasa digunakan
sebagai analghesik iaitu untuk meredakan sakit kepala, sakit gigi,
sengal tubuh dan batuk. Ia juga bersifat antipiretik iaitu membantu
menurunkan suhu badan seperti yang dialami mereka yang demam.
Di Amerika Syarikat, paracetamol dikenali sebagai acetaminophen. Begitu
juga di Jepun. Nama bahan kimia asal bagi kedua-dua paracetamol dan
acetaminophen ialah N-acetyl-p-aminophenol.
Singkatan APAP digunakan pada sesetengah label ubatan yang mengandungi paracetamol atau acetaminophen.
Dalam keseluruhan artikel ini penulis akan berbicara mengenai
kemudaratan paracetamol. Untuk pengetahuan pembaca, penulis akan
menggunakan istilah paracetamol dan acetaminophen secara bertukar ganti
pada bahagian-bahagian tertentu ikut kesesuaian.
500 mati setiap tahun
Di Amerika Syarikat, pada dekad yang lalu dikatakan telah berlaku 1,500
kematian dikatakan berpunca daripada mengambil terlalu banyak
acetaminophen.
Di sana, 56 ribu orang dikatakan dikejarkan pusat rawatan kecemasan
setiap tahun berpunca daripada keracunan acetaminophen. Lebih kurang 500
orang daripada jumlah tersebut pula dikatakan meninggal dunia akibat
mengalami kegagalan hati.
Tylenol merupakan jenama utama di Amerika Syarikat yang menggunakan
acetaminophen sebagai bahan aktif. Jenama ini tidak dijual di negara
ini.
Berdasarkan semakan penulis di laman sawang www.tylenol.com, produk
jenama Tylenol mengandungi acetaminophen sebagai bahan aktif
masing-masing dalam julat berat 325 – 650 miligram.
FDA (Food and Drugs Administration) mengenai acetaminophen menyatakan
dos acetaminophen melebihi 325 miligram akan menyebabkan kerosakan hati.
Ia seperti dilaporkan oleh CNN pada Januari 16, 2013 dalam artikel
berjudul FDA: Acetaminophen doses over 325 mg might lead to liver
damage.
FDA mengarahkan golongan doktor di Amerika Syarikat agar tidak
mempreskripsikan ubat campuran yang mengandungi acetaminophen melebihi
325 miligram iaitu bahan yang biasa digandingkan dengan opioid.
Opioid ialah sebarang bahan kimia yang menyerupai opium atau opiate lain (derivatif opium) dari segi kesan farmakologi.
Ubat campuran ialah ubat yang mengandungi dua atau lebih bahan aktif.
Contohnya acetaminophen digabungkan dalam rumusan ubatan meredakan rasa
sakit dengan opioid seperti oxycodone (jenama Percocet), hydrocodone
(jenama Vicodin) dan codeine (jenama Tylenol with Codeine.
Pada January 13, 2011, FDA mengarahkan pengeluar ubat campuran yang
mengandungi acetaminophen agar mengehadkan kandungan bahan aktif ini
kepada 325 miligram sahaja.
Namun sehingga kini terdapat separuh pengeluar masih menambah acetaminophen melebihi had yang dibenarkan.
Bagaimanapun Tylenol iaitu ubat yang hanya mengandungi acetaminophen
sebagai bahan aktif terkecuali daripada arahan mengehadkan kandungan
acetaminophen.
Di Malaysia, pil jenama ‘P’ iaitu ubat merawat rasa sakit dan demam
yang biasa diambil penduduk di sini pula mengandungi 500 miligram
masing-masing untuk jenama biasa dan jenama yang dua kali ganda mudah
diserap tubuh.
Sebelum menulis artikel ini penulis telah membeli sepapan ubat jenama
‘P’ ini. Di belakang bungkusan tertera beberapa baris tulisan termasuk
12 tahun – dewasa. (Ambil) 2 kaplet setiap 4 atau enam jam bila perlu.
Maksimum 8 kaplet sepanjang tempoh 24 jam. Setiap kaplet mengandungi 500 miligram paracetamol dan 173 miligram natrium.
Tiada sebarang peringatan dan amaran ditulis pada bungkusan mungkin
kerana ruang terhad. Peringatan dan Amaran boleh didapati di laman
sesawang Panadol di
https://www.panadol.com/me/products/panadol-actifast.html.
Antara isi senarai peringatan dan amaran tersebut berbunyi begini
(maksudnya): ‘Jika anda mengalami masalah hati dan buah pinggang sila
berbincang dengan doktor sebelum mengambil Panadol (produk yang
dimaksudkan).
Pengambilan Panadol secara berlebihan boleh menyebabkan kegagalan hati.
Intervensi perubatan diperlukan sekiranya berlaku pengambilan
berlebihan sungguhpun simptom akibat pengambilan secara berlebihan tidak
dapat dikesan.’
Di Malaysia, jika seseorang mengalami simptom ketoksikan paracetamol
mungkin ia dianggap sebagai penyakit biasa dan mungkin didiagnosis
dengan keputusan punca tidak diketahui.
Tidak diketahui pula jika sebab susah untuk bersoal jawab dengan orang
atas dan mungkin mempengaruhi prestasi karier adalah punca mengapa
setiap masalah melibatkan kes ketoksikan ubatan (jika terdapat aduan)
seperti paracetamol tidak dihebahkan.
Alangkah baiknya jika kementerian Kesihatan bersikap terbuka
sebagaimana FDA yang mempunyai laman sawang cukup teratur serta
mendedahkan jumlah aduan pengguna/pesakit berkaitan kesan pengambilan
ubatan tertentu.
Mentaliti perlu berubah
Tahap kesedaran sebahagian besar penduduk negara ini mengenai bahaya
sesuatu jenis ubatan moden boleh dikatakan amat rendah. Sebahagian besar
tidak pernah tahu atau ingin mengambil tahu kandungan bahan kimia dalam
setiap ubatan yang dipreskripsi doktor apatah lagi kesan sampingan yang
mungkin dialami.
Tanya diri anda berapa ramai doktor yang memberitahu kesan sampingan setiap jenis ubatan yang mereka preskripsi secara telus?
Had maksimum pengambilan acetaminophen yang dibenarkan oleh FDA ialah
4,000 miligram sehari. Dan ini besar kemungkinan juga had maksima yang
dibenarkan kementerian Kesihatan negara ini.
Ia adalah deduksi (kesimpulan) penulis berdasarkan had maksimum yang
dicadangkan Glaxo Smith Kline pada label di belakang bungkusan Panadol
Actifast iaitu tidak melebihi 8 tablet (setiap kaplet mengandungi 500
miligram paracetamol) bagi setiap 24 jam.
Tanda-tanda ketoksikan hati berpunca daripada pengambilan paracetamol
secara berlebihan ialah ialah loya, muntah, berpeluh dan kesakitan
selepas beberapa jam pengambilannya. Ia dikatakan tidak menyebabkan
seseorang tidak sedarkan diri.
Jika tidak dirawat dengan segera ia akan menyebabkan kematian dalam tempoh 3-5 hari.
Ingatlah pengambilan dos secara berlebihan yang biasa dimaksudkan oleh
golongan perubatan moden ialah mengambil ubat melebihi sukatan yang
dicadangkan untuk tempoh tertentu.
Pada pandangan pakar perubatan alternatif yang berilmu pula, kekerapan
mengambil ubatan moden walau pun benar-benar menuruti dos yang
dicadangkan boleh menyebabkan kemudaratan termasuk ketoksikan pada
sesetengah individu!
Penulis percaya ketoksikan hati boleh berlaku hasil pengambilan
paracetamol walau ia hanya sebagai bahan aktif secara bersendirian
seperti dalam pil/kaplet ‘P’.
Mengapa? Setiap orang memiliki kecekapan detoksifikasi yang unik dan
ditambah dengan pelbagai faktor yang dipercayai mengganggu/melemahkan
kecekapan tubuh dalam detoksifikasi sesuatu bahan.
Ada masalah lain timbul akibat pengambilan paracetamol secara
berlebihan? Ya, ada iaitu kegagalan buah pinggang dan pelbagai masalah
kulit.
Sumber