Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Showing posts with label 1MDB. Show all posts
Showing posts with label 1MDB. Show all posts

Menteri Kewangan II : Pengurusan 1MDB sebenarnya yang 'mangkuk hayun'

on Tuesday, 23 August 2016


SHAH ALAM - Kegagalan pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam mengurus secara baik syarikat itu menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akhirnya terpaksa menangung beban.

Memetik laporan Malaysia Gazette, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dipetik sebagai berkata, beliau kesal dengan kegagalan itu hinggakan nama Najib tercalar.

"Yang sebenarnya, semua yang di dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah mereka yang tidak bertanggungjawab. Semuanya mangkuk hayun. Ini sebenarnya berkaitan bisnes dan apabila dalam bisnes, sudah tentulah ada jawatan-jawatan penting untuk menggerakkan bisnes tersebut.

"Mereka semua dibayar gaji yang besar dan sepatutnya tahu menjalankan operasi bisnes seperti yang diharapkan.

"Kalau bisnes bagus, sudah pastilah orang-orang berjawatan ini akan mendabik dada tetapi bila dah lingkup, tak ada pula yang nak bertanggungjawab sehingga Najib yang terpaksa menghadapi semua permasalahan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras di sini.

Jelas Johari lagi,  kelemahan pihak pengurusan adalah punca kepada kegagalan 1MDB.
"Sekarang ni, kita tunggulah siasatan yang dibuat oleh semua pihak yang terlibat baik dalam mahupun luar negara.

"Jangan buat spekulasi atau andaian yang belum tentu ada kebenarannya selagi hasil siasatan belum dikeluarkan," ujarnya.

Sambil menolak tuduhan pihak tertentu yang mengatakan beliau cuba melindungi kesalahan Najib, Johari berkata, maruahnya lebih penting daripada melindungi orang yang bersalah.

"Saya tahu Najib tak bersalah selagi belum ada bukti yang mengatakan beliau bersalah.
"Bukan sebab beliau Perdana Menteri tetapi saya tahu apa yang dilakukan oleh beliau semuanya benar belaka dan saya dan semua ahli Umno wajar mempertahankan beliau," katanya

Isu Derma RM2.6 Bilion: SPRM Minta PM Beri Penjelasan

on Thursday, 6 August 2015


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sumbangan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadinya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Rabu, langkah susulan itu perlu selepas pihaknya mendapat penjelasan dan pengesahan penderma dari Timur Tengah yang menyalurkan dana berkenaan.
"SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri.
"Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM," kenyataan itu dipetik.

Menjelaskan lebih lanjut, SPRM berkata, butiran penderma diketahui melalui dokumen yang diambil dari bank.

"Terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

"Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma," menurut kenyataan itu.
Tambah SPRM lagi, Peguam Negara turut meminta suruhanjaya itu membuat penjelasan berhubung perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.
"Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB," kata SPRM lagi.