Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Showing posts with label Aktres. Show all posts
Showing posts with label Aktres. Show all posts

Zila Bakarin Kesal Dituduh Jadi Penghasut

on Tuesday, 25 March 2014


PETALING JAYA: Pelakon Zila Bakarin berasa kesal apabila mendapat tahu dia kononnya cuba memburukkan seorang produser yang tidak menjelaskan bayaran lakonan kepada artis -artis lain.

Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 39, berkata, dia juga terkejut apabila dituduh menyampaikan berita tersebut kepada media sehingga ia keluar di ruangan pojok di sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu.

"Bertahun-tahun bekerja di bidang ini (lakonan), saya tidak pernah memburukkan sesiapa dan kenapa tiba-tiba cerita ini timbul?

"Saya seorang yang berterus terang jika tidak berpuas hati dengan sesiapa. Tidak perlu untuk saya sampaikan kepada mana-mana pihak semata-mata mahu memburukkan orang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Ahad lalu, Zila telah memuat naik sebuah foto di akaun Instagram miliknya yang menunjukkan perbualan Whatsapp seorang produser dan rakan artisnya yang  menuduh dia menyebarkan cerita buruk lelaki berkenaan kepada pihak media.

Berita tersebut telah dikeluarkan di ruangan pojok akhbar mingguan berkenaan mengatakan produser tersebut tidak menjelaskan bayaran lakonan kepada pelakon-pelakon yang terlibat dengan sebuah drama terbitannya di mana ia yang sepatutnya telah dijelaskan Januari lalu.

Tambah Zila, sepatutnya produser yang enggan didedahkan identiti itu yang patut berasa serba salah kerana tidak menjelaskan bayaran kepada pelakon-pelakon yang terlibat, sebaliknya dia pula yang dipersalahkan.

"Saya malas nak beri komen sebenarnya kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa. Nak bawa kes ini ke mahkamah pun saya tidak ada duit.

"Diakui memang sebelum ini saya sering mendesak produser berkenaan untuk menjelaskan bayaran saya. Sehingga saya dah letih nak mesej dia. Jadi sejak Februari lalu kalau tak silap saya sehinggalah sekarang saya tidak menghubunginya langsung.

"Tiba-tiba dia nak salahkan saya kerana buat cerita. Secara logiknya, siapa yang perlu dipersalahkan? Saya hanya meminta hak saya itu sahaja," tegasnya.

Sumber

Hanez Suraya Bersyukur Kontroversi Cinta Makin Reda

on Monday, 24 March 2014


PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya meluahkan rasa syukur apabila kontroversi percintaannya dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha yang masih bergelar suami orang semakin reda.

Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 29, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa lega untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa tanpa memikirkan isu tersebut.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat apabila kontroversi ini semakin surut. Walaupun masih ada lagi segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan saya, tidak apa.

"Yang penting saya dapat mengharungi kehidupan dengan lebih positif berbanding sebelum ini," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Kontroversi mula tercetus selepas Hanez membuat pengakuan dia bakal berkahwin dengan seorang lelaki kononnya berstatus duda yang dikenali sebagai Mr.R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha, 34, sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.

Situasi bertambah tegang apabila isteri Romie membuat kenyataan kepada media 2 Mac lalu menuduh Hanez sebagai punca pergolakan rumah tangganya.

Bagaimanapun Hanez menafikan dia sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.

Sementara itu, Hanez memberitahu, walaupun ramai yang mahu dia disingkirkan daripada melibatkan diri dengan teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 6 hingga 14 Jun depan, namun dia nekad untuk meneruskan pementasan tersebut tanpa ragu-ragu.

"Sebelum ini, saya pernah berniat untuk menarik diri tetapi pihak penerbit iaitu Mask Team tidak membenarkan saya berbuat demikian.

"Dan saya ambil semangat dengan menyifatkan ia sebagai salah satu peluang untuk membuktikan bakat saya yang pertama kali melibatkan diri di pentas teater.

"Sebelum bermulanya latihan pada bulan Mei ini, saya akan persiapkan diri dulu dengan berlatih dengan seorang guru teater. Setakat ini saya belum memutuskan siapa yang akan mengajar saya," ujarnya.

Projek Kahwin bakal menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Tiket untuk menyaksikan pementasan teater itu dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM185 dan RM225 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi AirAsiaRedTix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Amirul di talian 013-3962612.

Sumber

Jaga Anak Buatkan Wawa Zainal Makin Kurus


PETALING JAYA: Pelakon Wawa Zainal mengakui berat badannya semakin kurus gara-gara menjaga anak sulungnya, Ahmad Fakharuddin Attar, yang kini berusia enam bulan.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 23, berkata, berat badannya yang sebelum ini 48 kilogram turun mendadak kepada 40 kilogram dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja dan ini membuatkan wajahnya turut dilihat lebih cengkung.

"Anak tengah aktif sekarang ini. Berat badan saya turun lapan kilogram gara-gara menjaga anak.

"Badan terlalu penat juga membuatkan saya susut mendadak. Risau juga sekiranya ia menganggu kesihatan saya. Bagaimanapun Alhamdulillah, saya sihat seperti biasa," katanya kepada mStar Online.

Tambah Wawa, memandangkan dia kini kembali sibuk sebagai pelakon, dia bersyukur kerana ibunya sudi membantu menjaga anaknya itu ketika dia keluar bekerja.

Sementara itu, beritahu Wawa, Ahmad telah mengajarnya banyak perkara dalam menjadi seorang ibu, malah dia turut menyedari bahawa sikapnya yang sebelum ini sedikit keanak-anakan kini lebih matang.

"Rasanya sekarang ini saya lebih matang dan perubahan itu berlaku selepas saya bergelar ibu.

"Alhamdulillah, mempunyai anak memberi banyak nikmatnya dan pada masa sama mengubah seseorang wanita itu menjadi lebih matang tanpa kita sedar," ujarnya.

Wawa kini bernaung di bawah syarikat pengurusan suaminya, Aeril Zafrel, 26, iaitu Respected Citizen Communication.

Selain itu Wawa juga kini menjadi duta kepada sebuah butik pakaian muslimah iaitu Minaz Boutique sejak Januari lalu.

Sumber