Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Showing posts with label MH370. Show all posts
Showing posts with label MH370. Show all posts

Serpihan Dijumpai Sah Milik MH370 : DS Najib

on Thursday, 6 August 2015


PETALING JAYA: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac 2014 akhir terjawab apabila serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion, Lautan Hindi pada 29 Julai lalu disahkan milik pesawat berkenaan.
Keputusan hasil siasatan mengenai serpihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 2 pagi, Khamis.
"Sejak kehilangan selama 515 hari lalu, saya dengan berat hati mengesahkan hasil siasatan pasukan pakar antarabangsa bahawa serpihan yang ditemui itu milik MH370. Kini kita ada bukti kukuh ia berakhir di Lautan Hindi.
"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses siasatan dan membantu dalam operasi mencari selama ini dan kepada keluarga serta waris penumpang pesawat, pengesahan ini walaupun ia sesuatu yang menyedihkan tetapi akhirnya ia dapat merungkai nasib 239 penumpang dalam pesawat itu," katanya pada sidang media khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Najib berkata, kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan apakah punca sebenar kehilangan pesawat MH370.
"Dengan semangat satu bangsa, Malaysia pastinya akan mengingati insiden MH370," katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Pada 29 Julai lalu, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai seorang pekerja pembersih pantai di Pulau La Reunion.
Individu berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu kepada pihak berkuasa Perancis untuk memulakan siasatan.
Pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytleman tidak menolak serpihan itu mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
"Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan. Kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 - pesawat yang sama seperti MH370," katanya.
Serpihan tersebut dipenuhi cangkerang dan berkarat.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Twitter Fox News, keadaan serpihan itu menunjukkan ia mungkin berada terlalu lama di dalam air laut.
Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.
Operasi pencarian yang diketuai Australia diteruskan di selatan Lautan Hindi sehingga hari ini tetapi tiada bukti ditemui sebelum penemuan terbaharu di Pulau La Reunion ini.

Memori MH370: Kronologi

on Sunday, 8 March 2015


KRONOLOGI 365 Hari Kehilangan MH370

8 Mac 2014
12.41 pagi: Pesawat MAS Boeing 777-200ER berlepas dari KLIA ke Beijing membawa 239 penumpang dan kru.
1.19 pagi: "Goodnight Malaysian three seven zero" - ayat terakhir daripada kokpit MH370 kepada bahagian kawalan udara KLIA.
1.21 pagi: Transponder MH370 yang bertindak balas kepada radar awam dimatikan. Pesawat hilang daripada daripada kawalan trafik udara (ATC) dan gagal mendaftar masuk dengan  ATC Vietnam.
2.15 pagi: Radar tentera mengesan pergerakan tidak dikenali (kemudiannya disahkan MH370) pada kedudukan 322km ke barat laut Pulau Pinang.
6:30 pagi: MH370 gagal mendarat di Beijing seperti yang dijadualkan..
7:24 pagi:  MAS mengumumkan penerbangan MH370 hilang dari kawalan.
8:11 pagi:  Satelit data menjejaki menerima isyarat terakhir daripada MH370. (Berdasarkan maklumat yang diperolehi kemudian, pesawat itu terbang sama ada di sepanjang koridor utara dari Thailand ke Kazakhstan, atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan selatan India.)
1:41 petang: Laporan media Vietnam menyatakan bahawa pesawat itu terhempas ke dalam laut berhampiran pulau Tho Chu; ternyata kemudiannya bahawa ia adalah laporan palsu.
2.40 petang: Sidang media oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
6.28 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa ahli keluarga serta waris penumpang pesawat MH370 di KLIA.
7.05 malam: Najib mengumumkan pesawat MH370 belum ditemui. Operasi mencari diperluas dengan kerjasama Vietnam, China, Singapura dan Amerika Syarikat.

9 Mac
9.05 pagi: Sidang media oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azaharuddin Abdul Rahman. Beliau menyatakan bahawa usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 akan diperluas hingga meliputi Selat Melaka mengikut prosedur operasi standard (SOP).
3 petang: Azaharuddin berkata, tiada laporan terbaharu mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 setakat ini.
* Azaharuddin mengesahkan hanya dua penumpang pesawat MH370 menggunakan pasport palsu, bukan empat seperti dilaporkan sebelum ini.
* Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud tidak menolak kemungkinan pesawat MH370 berpatah balik dalam perjalanan ke Beijing, berdasarkan signal radar TUDM selepas ia hilang.
*Operasi mencari pesawat MH370 yang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui beberapa tompok minyak berwarna kuning kira-kira jarak 20 batu nautika daripada lokasi yang dilaporkan hilang.

10 Mac
* Keputusan ujian yang dilakukan ke atas tompok minyak berwarna kuning yang ditemui dijangka akan diperoleh.
* Keluarga penumpang pesawat MH370 warga China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Beijing.
* Keputusan ujian makmal ke atas tompok minyak di perairan Vietnam disahkan bukan milik pesawat MH370.

11 Mac

* Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka ialah warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delvar Seyed Mohammad Erza, 29 tahun. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayia cuba berhijrah ke Eropah.

14 Mac
* Hishamuddin berkata, usaha mencari MH370 terus dipergiatkan dan kini diperluaskan sehingga ke lautan Hindi.

15 Mac

* Najib mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama adalah MH370, sambil berkata ia telah menyimpang dari laluan penerbangan asal ke Beijing. Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit kemungkinan sewaktu berada dalam satu daripada dua koridor. Dua koridor itu adalah koridor utara yang dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand atau koridor selatan yang dianggarkan dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.

16 Mac

* Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130 (C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

* Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.



17 Mac
* Operasi pencarian mutinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.

20 Mac
* Satelit Australia mengesan dua objek, dengan satu daripadanya bersaiz 24 meter di Lautan Hindi dianggap petunjuk baharu dan kukuh yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370.
* Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menghubungi  Najib pada pukul 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang.

22 Mac
* Satelit China mencerap imej objek terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.

23 Mac

* Polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga termasuk keluarga juruterbang MH370.

24 Mac
* Pada pukul 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

25 Mac

* Pengerusi MAS berkata syarikat penerbangan itu mengisytiharkan pesawatnya bagi penerbangan MH370 bersama-sama 239 penumpang serta anak kapal 'hilang' berdasarkan bukti daripada Inmarsat dan AAIB

* Najib berkata Perdana Menteri Australia Tony Abbot memberi jaminan negara itu akan meneruskan usaha mencari MH370.

* Hishammuddin berkata kedudukan terakhir MH370 akan dikenal pasti menerusi kaedah 'Kesan Doppler' oleh AAIB dan pencarian MH370 di koridor utara ditamatkan.

* Muka depan akhbar arus perdana Malaysia dicetak hitam putih sebagai tanda media berkabung dengan berita tragedi yang menimpa pesawat malang MAS itu.

26 Mac

* Najib berkata Malaysia dan China akan terus menjalin kerjasama rapat dalam pencarian MH370.

* Hishammuddin berkata imej satelit mengesan 122 objek berpotensi yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370, kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Australia.

27 Mac

* Hishammuddin berkata Malaysia sedia menghantar satu pasukan ke Perth, Australia yang terdiri daripada DCA, MAS, TLDM dan TUDM.

* Satu satelit Thailand mengesan 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,700 kilometer (1,680 batu) di barat daya Perth.

28 Mac

* Hishammuddin berkata operasi pencarian bagi menjejaki pesawat MH370 memfokus kepada mendapatkan serpihan yang dikesan di selatan Lautan Hindi berikutan laporan beberapa negara.

* Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia T.S. Tirumurti berkata kerajaan India menzahirkan penghargaan kepada Malaysia berhubung cara ia mengendali tragedi pesawat MH370, yang disifatkannya sebagai "tugas amat penting."

29 Mac

* Hishammuddin berkata wujud keperluan untuk Malaysia meningkatkan kekuatan aset ketenteraan bermula dengan sistem radar hinggalah kepada keupayaan teknologi. Beliau turut menasihati media, terutama media antarabangsa, agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi berhubung kehilangan MH370.

30 Mac

* Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata beberapa objek yang diperoleh kapal HMAS Success dan Haixun 01 pada Sabtu, dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 selepas diperiksa.

* Anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 menggesa kerajaan menunjukkan bukti bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.

31 Mac

* Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai pegawai khas Malaysia ke China bagi bertemu anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang.

* Transkrip perbualan terakhir antara pengawal trafik udara dan kokpit pesawat MH370 pada jam 0119 (waktu Malaysia) pada 8 Mac iaitu "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong", dikeluarkan.

* PM Australia menyokong pandangan Datuk Seri Najib bahawa penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi yang terpencil.

1 April

* Kementerian Pengangkutan mengeluarkan transkrip penuh perbualan radiotelefon antara juruterbang MH370 dan pengawal trafik udara, tanpa petunjuk terdapat sebarang perkara yang tidak normal.

* MAS berkata ia dimaklumkan bahawa satu petisyen yang difail bagi pihak seorang penumpang pesawat MH370 ditolak oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat.

2 April

* Sebuah kapal selam kelas Trafalgar, HMS Tireless, tiba di selatan Lautan Hindi tatkala misi mencari pesawat MH370 di kawasan itu masuk hari ke-26.

* Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi namun masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

* Pihak berkuasa mengendalikan penyiasatan dan pencarian pesawat MH370 bertemu lebih 40 anggota keluarga penumpang di Hotel Bangi-Putrajaya, di mana mereka ditempatkan, kebanyakannya warga China.

* Perkataan "berakhir" di selatan Lautan Hindi yang dipilih Najib untuk menerangkan nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 adalah pilihan terbaik, kata Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang.

3 April

* Operasi mencari pesawat Malaysia yang hilang masuk hari ke-27, dengan kawasan pencarian meliputi kira-kira 223,000 kilometer persegi kira-kira 1,680 kilometer di barat laut Perth, Australia.

* Operasi pusat media mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur akan dihentikan mulai 8 April.

* Najib berkata teknologi dron bawah air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan di selatan Lautan Hindi memandangkan hayat pinger bateri kotak hitam akan kehabisan dalam tempoh empat hari.

* Malaysia dan Australia berikrar akan meneruskan usaha mencari pesawat MH370 tanpa garis masa.

* Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) menyatakan tiada sebarang objek dikesan di kawasan pencarian hari ini.

4 April

* Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr Hasan Mad meminta media tempatan agar proaktif menangkis semua laporan negatif dan tidak tepat oleh media asing berhubung kehilangan pesawat Mh370 sejak 8 Mac lepas.

* Australia berkata pihaknya sedang merangka satu perjanjian komprehensif untuk berkhidmat sebagai 'wakil bertauliah' dalam penyiasatan mengenai kehilangan pesawat MAS.

* Angus Houston, ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth berkata perjanjian itu akan membolehkan Australia membantu Malaysia dalam menjalankan penyiasatan mengenai Penerbangan MH370 dengan berlandaskan undang-undang antarabangsa.

* Usaha menjejaki pesawat MH370 kini diperluas kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi itu.

5 April

* Hishammuddin mengumumkan bahawa Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertanggungjawab' yang bebas bagi mengetuai pasukan penyiasatan merangkumi kumpulan layak terbang, kumpulan operasi serta kumpulan perubatan dan faktor manusia bagi menyiasat kehilangan MH370. Pasukan itu akan turut disertai negara bertauliah seperti Australia, China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.

* Kerajaan juga mewujudkan tiga jawatankuasa peringkat menteri iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penempatan Aset dalam usaha memperkemas serta memperkukuh usaha berterusan pencarian pesawat itu.

* Hishamuddin juga berkata penyiasatan ke atas anak kapal penerbangan MH370 masih berjalan dan tiada siapa telah dibersihkan.

* Alat pengesan kotak hitam yang digunakan kapal peronda China Haixun 01, mengesan isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.

6 April

* Pencarian MH370 dipertingkat di selatan Lautan Hindi membabitkan 112 pesawat dan 13 kapal meliputi kawasan seluas 134,000 batu persegi.

* Satu lagi isyarat detik dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield kira-kira 300 batu nautika dari isyarat detik yang dikesan oleh Haixun 01

* Pusat Penyelerasan Agensi Bersama (JACC) bagaimanapun belum dapat mengesahkan sama ada isyarat detik yang dikesan oleh Haixun 01 dan Ocean Shield adalah dari pesawat MAS penerbangan MH370.

28 Ogos

* Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa Australia dan Malaysia menanggung kos fasa baharu pencarian yang dianggarkan bernilai sehingga RM153.28mil.

29 September

* Biro Keselamatan Pengangkutan Australia  mengumumkan fasa carian di bawah air baru.

31 Oktober

* MAS melihat tuntutan mahkamah yang pertama berkaitan dengan penerbangan MH370 hilang difailkan oleh anak-anak penumpang Jee Jing Hang, 41. Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Ketua Pengarah Imigresen, Panglima Tentera Udara dan Kerajaan.

1 Disember

* Mahkamah Tinggi KL mengarahkan MAS dan empat defendan yang lain unto memfailkan pernyataan pembelaan mereka sebelum 15 Disember.

18 Disember

* Biro Keselamatan Pengangkutan Australia berkata carian di bawah air boleh selesai pada Mei 2015.

2015

29 Januari
* Azharuddin mengisytiharkan kehilangan penerbangan MAS MH370 sebagai “kemalangan”. Ia membuka jalan bagi syarikat penerbangan itu untuk membayar pampasan kepada waris dan ahli keluarga mangsa. Bagaimanapun pencarian pesawat yang hilang itu akan terus dijalankan.

17 Februari
* Mahkamah Tinggi KL mencadangkan bahawa MAS, Kerajaan dan keluarga penumpang MH370 Jee Jing Hang mendapatkan penyelesaian untuk menyelesaikan saman itu.

2 Mac
* Kerajaan Australia mengumumkan bahawa carian akan terus dijalankan. Setakat ini yakin bahawa sebanyak 40 peratus kawasan carian utama selesai.

6 Mac
* Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pakar akan melakukan penilaian data dan angka untuk memberi panduan sekiranya MH370 tidak dapat dikesan di zon yang ditetapkan menjelang Mei.

Wartawan Ketepi Kehidupan Peribadi Demi Membawa Berita Terkini Mengenai MH370

on Sunday, 23 March 2014


PESAWAT MH370 yang hilang kini memasuki hari ke-16. Seluruh penduduk dunia dan ahli keluarga kepada 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan itu berdoa bagi mendapatkan maklumat baharu yang dapat memberi penjelasan berhubung misteri kehilangannya.

Kerajaan dan agensi perisikan berusaha untuk merungkai misteri kehilangan pesawat itu dan pasukan tentera meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka.

Satu lagi kumpulan yang menjadi sangat sibuk sejak kehilangan pesawat adalah wartawan, sesetengah daripada mereka bekerja sepanjang masa untuk membawa berita terkini kepada orang ramai.

Ramai daripada mereka yang berkhemah di hotel, yang bertukar menjadi pusat media, di Cyberview Lodge dan Hotel Everly Putrajaya, di mana menempatkan kebanyakan keluarga penumpang.

Satu lagi hotel iaitu Hotel Sama-Sama yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menjadi tempat sidang media setiap hari oleh wakil kerajaan.

Lebih 300 kakitangan pemberita dari 99 agensi berita asing dan 43 agensi tempatan yang membuat liputan berita dari hotel ini.

Walaupun auditorium di aras bawah (LG) menjadi bilik sidang media, ruang legar turut berfungsi sebagai pusat media sementara dan dewan digunakan oleh syarikat penerbangan itu bagi menghidangkan makanan kepada wartawan dan mengadakan mesyuaratnya.

Kenderaan media diletakkan di tepi jalan, piring satelit beroperasi di ruang terbuka di seberang hotel dan wartawan penyiaran boleh dilihat membuat ulasan mengenai perkembangan berita secara langsung.

Beliau tinggal di hotel berkenaan dan rutin hariannya termasuk bangun awal untuk menonton berita di televisyen, menikmati sarapan dengan segera sebelum berjalan ke lapangan terbang untuk mendapatkan semua akhbar yang berbeza.

Selepas membacanya, beliau akan bercakap dengan rakan-rakan wartawan di bilik menunggu media.

"Kadang-kadang wartawan begitu teruja untuk mendapatkan bahan berita sedangkan mereka lupa ia sebenarnya mengenai orang lain.

"Saya tidak boleh bayangkan sekiranya perkara ini berlaku kepada bapa saya, abang saya atau sesiapa sahaja yang rapat dengan saya.

"Saya akui apabila saya melihat Wall of Hope di KLIA dengan mesej untuk penumpang penerbangan itu, saya berasa amat sedih," kata Hale, yang melaporkan mengenai pengeboman Bali di Indonesia pada 2002.

"Apabila anda menulis berita, anda lupa tentang menjadi selesa. Anda tidak mampu untuk kehilangan apa-apa maklumat penting," katanya.

Walaupun terdapat kritikan dari pelbagai pihak dalam cara pihak berkuasa tempatan mengendalikan keadaan itu, Hale mempunyai pandangan yang berbeza.

"Saya rasa kerajaan telah melakukannya dengan baik. Orang ramai sering mempunyai persepsi bahawa Kerajaan merupakan seorang yang dapat melihat segala-galanya. Bukan cara itu," katanya.

Hale berkata, beliau memahami kerajaan terpaksa berhati-hati, kerana pengumuman yang salah boleh membawa masalah besar.

Wartawan The Star Nadirah H. Rodzi yang berada di situ bagi membuat liputan berita sejak hari pertama, yang baharu sahaja menjadi ibu dan masih menyusukan anaknya yang baru lahir.

Beliau berada di sini pada pukul 7 pagi dan pulang selepas pukul 11 malam setiap hari.

Seorang wartawan dengan perkhidmatan berita tempatan, yang hanya mahu dikenali sebagai Farah berkata, Cyberview Lodge menyediakan Wifi percuma, bilik persidangan dan air minuman untuk wartawan.

Wartawan penyiaran dari RTM, Shadila Abdul Malek berkata, pasukannya bekerja mengukit syif untuk membuat liputan berita mengenai MH370.

"Saya tinggal di Subang, jadi saya perlu keluar rumah pukul 4 pagi dan sampai ke sini pada pukul 6 pagi untuk memulakan persiapan untuk ' makanan cross' hidup kita setiap pagi , 7 pagi ," kata Shadila , yang kadang-kadang hanya mendapat rumah pada kira-kira 11 malam.

Beliau membuat liputan berita MH370 sejak Selasa lalu, dan berkata ia memerlukan komitmen 100% terhadap kerja.

Wartawan Cina Yan Hao , yang bekerja untuk yakhbar harian yang berpangkalan di Shanghai, Oriental Morning Post, tinggal di Cyberview Lodge sejak beberapa hari lalu dan bergerak ke Hotel Sama-Sama untuk menghadiri sidang media setiap hari.

"Ia menjadi minggu yang sibuk," katanya sambil menambah bahawa beberapa media Cina yang lain akan menghabiskan masa berjalan di sekitar lapangan terbang sementara menunggu.

Mengenai kesukaran yang dihadapinya dalam melaporkan berita, Yan berkata, terdapat halangan dari segi bahasa.

"Adalah sukar untuk akhbar asing semasa sidang media kerana kadang-kadang soalan itu ditanyakan dalam Bahasa Melayu," katanya , sambil menambah bahawa ia akan menjadi lebih baik sekiranya penterjemah Cina disediakan.

Kira-kira 140 bilik disediakan untuk keluarga penumpang dan pasukan yang memberi perhatian terhadap mereka.

Pada beberapa hari pertama ketibaan keluarga penumpang pesawat MH370, kenderaan penyiaran dengan piring satelit merupakan pemandangan biasa. Walau bagaimanapun, liputan lintas langsung semakin berkurangan apabila tidak banyak perkembangan baharu.

Semakin lama, semakin ramai ahli keluargadilihat bersedia untuk bercakap dengan media, berkongsi cerita dan harapan mereka untuk orang yang tersayang yang menaiki pesawat itu.

Polis bantuan dan anggota pertahanan awam mula beramah mesra dengan wartawan.

Makan tengah hari dan minuman turut disediakan untuk media sejak beberapa hari lalu oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sumber

Hattan & Nash Ziarah Keluarga Penumpang MH370

on Wednesday, 19 March 2014


PUTRAJAYA: Atas dasar prihatin, beberapa artis tanah air mengambil inisiatif mengunjungi keluarga penumpang dan kru MH370 yang ditempatkan di sebuah hotel di sini, bagi berkongsi kesedihan keluarga terbabit.

Penyanyi Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin dan isteri, Arianie Mohd Abidin , Nash (Nashruddin Elias) serta Datuk Malek Ridzuan meluangkan masa bersama-sama keluarga terbabit bagi mententeramkan keresahan mereka.

"Kami juga membawa mesej daripada Rohana Jalil dan Nassier Wahab yang kini berada di tanah suci Makkah mengerjakan umrah serta (pelawak) Abon, meyampaikan rasa simpati mereka," kata Nash ketika ditemui pemberita.

Menurut penyanyi itu, mereka sudah datang ke hotel tersebut sejak hari ketiga insiden atas kapasiti sebagai pegawai kehormat dan pegawai bersekutu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, Arianie yang pernah berkhidmat sebagai pramugari Malaysia Airlines (MAS) selama 24 tahun sebelum bersara pada Januari lepas, turut berkongsi kesedihannya.
"Saya mengenali rapat beberapa anak kapal di dalam pesawat itu dan kami pernah kerja bersama, kami di dalam MAS seperti satu keluarga," katanya dengan nada sebak.

Penerbangan MH370 yang dikendalikan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lepas.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.- BERNAMA