Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Showing posts with label bas jatuh gaung. Show all posts
Showing posts with label bas jatuh gaung. Show all posts

Terkini : Nahas Bas Di Genting Highlands: 37 Termasuk Pemandu Maut, 16 Cedera

on Thursday, 22 August 2013

Situasi di Tempat Kejadian

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Seramai 37 terkorban manakala 16 cedera, dalam nahas bas ekspres yang membawa 53 orang, terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands Rabu.

Mangsa yang maut terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita, kata Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid.

Antara yang terbunuh dalam tragedi itu ialah warga Bangladesh, Thailand dan China.

Mereka yang cedera termasuk yang dilaporkan kritikal kini dirawat di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (lima), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa.

Kemalangan kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Soiman berkata mangsa yang ditemui meninggal dunia sehingga 8 malam ialah 18 lelaki dan 12 wanita.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui.

"Kami akan menggunakan unit pengesan K9 untuk mencari mangsa yang kemungkinan tercampak keluar dari bas bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah gaung sana," katanya.

Beliau berkata seramai 450 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi itu.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berada di lokasi kejadian.

Seramai 16 lagi mangsa telah berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan dan ada yang dilaporkan kritikal.

Hospital Selayang menerima lapan pesakit, Hospital Kuala Lumpur (lima) , Hospital Sungai Buloh (dua) dan seorang mangsa di Hospital Bentong.

Sementara itu Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL Datuk Seri Dr Abu Hassan Assari Abdullah pada sidang media berkata kesemua mangsa yang dirawat di hospital itu dilaporkan stabil.

Antara warga asing yang cedera dalam nahas itu ialah dari Bangladesh dan Thailand.

Berikut senarai yang menerima rawatan di HKL: 1. Wong Teraphong, 63 - Thailand 2. Ali Haider Syed Haider , 46 - Bangladesh 3. Saidah, 19 - Malaysia 4. Razif, 26 - Malaysia 5. Tan Ming Shing, 26 - Malaysia

Berikut nama mangsa dirawat di Hospital Selayang 1. Raawnok Arefin, 14 - Bangladesh 2. Nur Syamimi Ja'afar, 25 - Malaysia 3. Nur Fathiah Ja'afar, 21 - Malaysia 4. Rashidah Buyah, 50 - Bangladesh 5. Andri Purwadi, 25 - Indonesia 6. Nurul Quraitul Aini, 19 - Malaysia 7. Rezyan Arefin, 24 - Bangladesh 8. Nur Fridil Gusman, 23 - Indonesia

- BERNAMA

Abang terkejut lihat adik terjunam ke gaung

Pasukan Penyelamat Sedang Berusaha Menyelamatkan Mangsa Kemalangan

KUALA LUMPUR - Seorang abang tidak menyangka percutian adiknya ke Genting Highlands semalam, berakhir dengan tragedi apabila bas yang dinaiki terjunam ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands, hari ini.
  
Mohd Nor Fazli Sharuddin, 26, abang kepada Nor Maizatul Shazana berkata beliau mendapat berita sedih itu kira-kira 3 petang daripada ayahnya dan bergegas ke lokasi kejadian untuk mengesahkan status adiknya.
  
"Saya adalah waris yang pertama sampai di lokasi kejadian dan ketika itu difahamkan hanya 16 orang sahaja yang hidup. Saya cuba menghubungi Hospital Bentong, Kuala Lumpur, Selayang dan Sungai Buloh untuk mengetahui di mana adik saya.
  
"Pukul 6.30 petang saya dapat maklumat bahawa adik saya berada di Sungai Buloh. Mak hampir pengsan apabila mengetahui bahawa adik terlibat dalam kemalangan sedemikian," katanya kepada Bernama di Hospital Sungai Buloh di sini, malam ini.
  
Mangsa Nor Maizatul, 23, yang mengikuti empat rakannya bercuti ke Genting Highlands dilaporkan stabil dan mengalami patah tulang betis serta pergelangan kaki.

Nor Maizatul merupakan anak saudara kepada Wartawan Meja Sukan Bernama Ahmad Muliady Abdul Majid.
  
Turut ditempatkan di Hospital Sungai Buloh ialah seorang warganegara Korea Selatan, Kang Byoung Yuk, 60, yang dilaporkan patah tulang rusuk serta tulang pelvik selain mengalami pendarahan pundi kencing. Beliau bagaimana pun dilaporkan stabil.
  
Difahamkan Byoung Yuk sedang bercuti di negara ini.
  
Sementara itu, kaunter pendaftaran wad kecemasan Hospital Sungai Buloh sesak dipenuhi anggota keluarga mangsa sejak 7 petang untuk pengesahan status anggota keluarga masing-masing.
  
Kebanyakan mereka kelihatan sedih dan ada yang menangis teresak-esak sambil ditenteramkan anggota keluarga malah kebanyakan mereka juga enggan ditemubual wartawan.
  
Bagaimana pun, kawasan zon kecemasan hospital ini mulai lengang apabila anggota keluarga mangsa nahas mula beredar selepas menyedari waris mereka tidak ditempatkan di hospital ini. - Bernama