MUNGKIN rata-rata masyarakat dan peminat sudah tidak
sabar menyaksikan detik bahagia pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan
Zain Saidin, diijabkabulkan.
Memilih Disember tahun ini sebagai tarikh untuk disatukan, baik Zain
mahupun Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 40, masing-masing
inginkan persiapan yang terbaik untuk majlis itu.
Pun begitu, sebagai selebriti terkenal, mereka tidak terlepas daripada
sebarang dugaan mahupun kata-kata orang yang tidak merestui hubungan
mereka.
Malah sebelum ini, Zain, 29, pernah didatangi individu yang
terang-terangan membuka aib Che Ta dan menceritakan keburukan aktres itu
untuk menggagalkan perkahwinan mereka.
Bertanya kepada Che Ta mengenai perkara itu, pelakon Kiah Pekasam ini
tidak cepat melatah, malah seakan sudah lali dengan kontroversi yang
menimpa dirinya.
"Sebenarnya, mereka semua tu dengki. Saya sendiri tak tahu apa motif dia untuk memburukkan saya kepada Zain.
"Apa yang penting, semua itu tak pernah menjadi 'kudis' buat kami.
Malah, saya percaya, kesetiaan dan kepercayaan Zain pada saya tidak
pernah berubah.
"Kami dah letih nak layan karenah manusia yang macam ni. Tak boleh
lihat orang lain bahagia. Namun, apa nak buat, manusia ni rambut sama
hitam, hati lain-lain," katanya.
Hak berfesyen
Bukan sahaja sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, malah Che Ta
juga turut dilabel sebagai selebriti yang sering menggayakan pakaian
sendat dan seksi.
Tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara itu, Che Ta menganggap
ianya sebagai lumrah dunia selebriti yang sentiasa dilihat dari sudut
negatif.
"Biarlah apa orang kata pasal saya, saya malas nak komen banyak-banyak. Yang penting saya tahu apa yang saya buat.
"Ini adalah hak masing-masing dalam berfesyen. Saya akui, memang saya sering menggayakan pakaian sendat tapi bersebab.
"Menerusi baju yang saya pakai, saya dapat monitor diri saya sama ada
berat saya naik, ideal atau makin kurus. Kalau saya rasa ketat, maknanya
saya semakin gemuk dan perlu menurunkan berat badan asal.
"Lebih-lebih lagi, rumah saya tak ada penimbang, jadi dengan cara
inilah saya boleh tahu mengenai perubahan bentuk badan saya," katanya
yang begitu teliti mengenai penjagaan badan dan kesihatan.
Bertanya mengenai persiapan perkahwinan, akui Che Ta, masing-masing
belum berkesempatan untuk meluangkan masa bersama untuk berbincang
mengenai perkara ini.
"Buat masa ini, memang kami tak sempat nak berbincang lagi. Masing-masing sibuk dengan penggambaran.
"Saya serahkan semua tugas-tugas dan kerja perkahwinan ini kepada
pengurus saya. Mungkin kami akan curi-curi masa yang ada untuk duduk
berbincang
memandangkan masa yang ada tinggal beberapa bulan lagi," katanya yang
bakal menunaikan umrah di Makkah bersama Zain selepas berkahwin nanti.
Sumber : Sinarharian