Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Showing posts with label fasha sandha. Show all posts
Showing posts with label fasha sandha. Show all posts

Mengaku Sudah Didekati Lelaki, Fasha Belum Sedia Kahwin

on Thursday, 25 August 2016


KUALA LUMPUR: Aktres Fasha Sandha berkata, hatinya belum terbuka untuk mencari pengganti selepas berpisah dengan bekas suami Rizal Ashram Ramli pada 20 Januari lalu.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 32, bagaimanapun, tidak menafikan sebagai wanita berstatus single, dia ada didekati dengan beberapa lelaki.

"Bukan mudah untuk cari pengganti pada ketika ini saya hanya mahu fokus kepada anak-anak yang sedang membesar sahaja kerana itu lebih penting.

"Ada beberapa lelaki yang cuba ingin berkawan dan saya selesa untuk berkawan sahaja dengan mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Fasha ditemui pada majlis pelancaran drama Lara Aishah yang diadakan di sini, Selasa.

Tambahnya, dia mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada kerjaya dan anak-anaknya iaitu  Putra Rayfal Ramli, 2, dan Putri Raysha Jemyma yang kini berusia setahun.

Fasha berkata, dia bersyukur anak-anaknya tidak menimbulkan banyak masalah dan meragam sepanjang dia keluar bekerja.
"Alhamdulillah mereka jarang sakit dan seperti tahu ibunya sedang bekerja. Mereka juga tidak ada bertanya tentang bapanya, mungkin mereka lebih dekat dengan saya sejak kecil," ujarnya. 

Fasha dan Rizal mendirikan rumah tangga pada 27 April 2012 dan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutan pada 20 Januari lalu.

Sementara itu, bercerita tentang Lara Aishah, Fasha yang membawakan watak utama mengakui banyak bermain dengan emosi. 

Tambahnya, jalan cerita tentang hubungan dua darjat mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan kehidupan yang pernah dilaluinya dahulu. 

"Saya dipilih oleh pihak Astro mungkin kerana mereka melihat saya sebagai seorang wanita yang kuat dalam menghadapi dugaan rumah tangga. 

"Secara jujurnya bukan senang untuk membawa watak ini dan say terima tawaran ini juga kerana kekuatan jalan cerita dan watak tersebut," ujarnya. 

Drama bersiri 100 episod itu merupakan adaptasi daripada siri telenovela Mexico popular La Loba yang diarahkan oleh Riza Baharudin. 

Lara Aishah turut melibatkan pelakon terkenal seperti Nazim Othman, Jasmin Hamid, Datuk Eizlan Yusof, Shah Jaszle dan Dian P Ramlee. 

Ia akan ditayangkan bermula 29 Ogos ini pada Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di Astro Prima dan Maya HD. 

Berselfie sama bukti Fazura Dan Fasha Sandha Tidak Bergaduh

on Sunday, 21 August 2016


Mungkin menjadi trend hari ini para selebriti mahupun artis memberitahu peminat bahawa mereka tidak bergaduh atau bermusuhan perlu berselfie dan memuat naiknya di laman media sosial. Ia sebagai langkah mudah barangkali menutup mulut netizen yang tidak henti-henti bergosip perihal tidak sahih.

Jika dahulu anda pernah mendengar perselisihan faham di antara Nur Fazura dan Fasha Sandha yang bermasam muka. Namun baru-baru ini dilihat sekeping gambar selfie mesra diantara mereka dimuat naik oleh Fasha Sandha, sekaligus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat. Ada antaranya mempersoalkan persahabatan yang terjalin diantara mereka berikutan kontroversi dulu.

“Saya dan Fasha sudah lama berkawan, cerita kami bergaduh yang diungkit itu pun saya sudah dengar sejak berbelas tahun dulu. Kami tidak pernah ada masalah dan kerap juga keluar bersama. Dia banyak menyokong saya dan baru-baru ini, dia turut membeli koleksi baju raya saya,” katanya kepada Berita Harian Online. 

Fasha Sandha turut memberi penjelasan mengenai kritikan orang ramai yang mempertikaikan persahabatan mereka berdua, beliau juga turut bersependapat dengan rakannya itu. Tegasnya, mereka berdua tidak pernah mempunyai masalah, seterusnya menafikan segala dakwaan mengaitkan mereka berdua.

Sementara itu, Fasha memberitahu bahawa perkenalan beliau bersama Fazura sejak 12 tahun lalu membuatkan mereka sebenarnya sering sahaja bertemu dan berkongsi pandangan sebagai sahabat didalam industri seni. Jadi tambahnya lagi, semua dakwaan yang tersebar sebelum ini adalah tidak benar dan berharap orang ramai tidak beranggapan sedemikian.

Sumber

Sibuk Uruskan Keluarga, Fasha Sandha Tetap Jaga Disiplin Kerja

on Wednesday, 1 January 2014


PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha menegaskan tetap menjaga disiplin kerja yang telah diamalkan sejak dahulu lagi walaupun dia kini sibuk menguruskan rumah tangga dan anaknya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, lapan bulan.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 29, berkata, dia tidak mahu statusnya sebagai isteri dan ibu dijadikan alasan untuk tidak memberikan terbaik kepada tumpuannya ketika berada di lokasi.

"Sejak dahulu lagi saya memang amalkan disiplin dalam bekerja dan walaupun saya sudah mempunyai komitmen lain tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjaga perkara itu.

"Jika kita susun masa dengan baik, Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, Fasha berkata, pada tahap ini dia tidak lagi memikirkan tentang populariti sebagai selebriti sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada lakonan yang kini dianggap sebagai hobinya.

Jelas Fasha, keluarga adalah keutamaannya kini dan mengakui sudah puas mengecap populariti semasa zaman solonya sebelum ini.

"Tiada apa ingin saya kejarkan lagi dan kehidupan yang saya lalui kini adalah impian sejak dahulu. Tentang populariti itu saya tidak kisah lagi kerana ia bukan lagi keutamaan saya.

"Apa yang lebih penting saya menjaga keluarga dan melunaskan tanggungjawab dalam kerjaya dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Fasha berkata, dia juga bersikap lebih selektif dalam tawaran yang datang kepadanya kerana ingin menyesuaikan dengan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri.

"Dari dulu lagi saya memang selektif tetapi kini saya turut menimbangkan sama ada sesuatu penggambaran itu terlalu lama atau perlu berjauhan dengan keluarga," katanya.

Pun begitu kata Fasha, jadualnya sepanjang 2014 telah pun penuh dan memudahkannya untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga.

Sumber

Fasha Sandha sentiasa 'jaga pantang'

on Wednesday, 20 November 2013


PELAKON cantik, Fasha Sandha mendedahkan dia mengamalkan nasihat dan pantang larang yang diberikan ibunya, tatkala terlibat dengan penggambaran di kawasan hutan atau di rumah kosong.

Dek kerana menjaga pantang atau menjaga tatatertib, akui Fasha dia bersyukur kerana tidak pernah mengalami apa-apa gangguan pelik atau gangguan makhluk halus dari mula penggambaran hingga akhir.

“Penanggal adalah filem seram kedua saya selepas Gong. Alhamdulillah dari Gong sehingga ke Penanggal saya tidak pernah mengalami peristiwa misteri atau mistik.

“Ini kerana saya mengikut pesanan mak saya iaitu minta izin dan jaga tatatertib. Jadi bila sepanjang di dalam hutan, apa saja yang saya buat saya akan minta izin kerana kita pergi ke tempat orang.

“Dalam hutan, pokok-pokok semuanya hidup, tanah pun hidup. Biasanya saya akan cakap:  ‘Saya minta izin. Saya datang sini nak bekerja. Tolong jangan ganggu saya.’ Saya pastikan, tisu pun saya tak buang merata-rata,”  katanya ketika ditemui pada malam previu Penanggal, di e@Curve, baru-baru ini.

Penggambaran Penanggal dijalankan di sekitar Kuala Kangsar, Perak pada Disember 2011. Ketika itu hanya beberapa bulan saja lagi sebelum Fasha berkahwin dengan Rizal Ashram (Jejai).

Belajar bahasa Arab

 Berkongsi mengenai karakternya dalam filem sulung arahan Ellie Suriaty itu, Fasha yang memegang watak Sharifah Zahrah berkata, cabaran paling besarnya apabila dia perlu melakonkan karakter gadis berketurunan Arab.

“Kalau nak bercakap dalam bahasa Arab ikut skrip, semua orang boleh. Tapi disebabkan saya bukan datang dari keluarga berdarah Arab, jadi saya tak fasih dengan sebutan-sebutan perkataannya.

“Jadi saya kenalah usaha lebih sikit, saya ambil inisiatif ikuti kelas bahasa Arab selama lebih kurang dua bulan, " katanya.

Meskipun bukan seorang penggemar filem seram namun, Fasha sambil turut meluahkan rasa bangga dan teruja apabila diberi kepercayaan oleh Ellie menjadi sebahagian filem tersebut.

Malah, dia cukup mengagumi kesungguhan Ellie sepanjang penggambaran walaupun pengarahnya itu sedang hamil.

“Disebabkan dia juga seorang pelakon, jadi dia tahu naluri berlakon tu bagaimana. Dia seorang yang banyak idea, sangat teliti dan menjaga setiap inci lakonan saya,”  katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran telemovie Racun Ibu.

Selain Fasha, Penanggal dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Ummi Nazeera, Normah Damanhuri, Syed Yusof, Zul Ariffin, Nadia Mustafa, Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Kuswadinata dan ramai lagi.

 Filem seram klasik terbitan Tayangan Unggul dengan kerjasama Grand Brilliace ini akan mula ditayangkan dipawagam pada 28 November 2013.

Sumber

Fasha Sandha Tidak Kisah Populariti Menurun, Keluarga lebih utama

on Tuesday, 15 October 2013


PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha mengakui sejak mendirikan rumah tangga dan memiliki anak bernama Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 6 bulan, dia sudah tidak kisah dengan populariti sebagai selebriti seperti zaman solonya sebelum ini.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 29, berkata, keadaan itu langsung tidak merisaukan dirinya kerana dia kini meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

"Sekarang ini saya sudah berada di fasa lain dimana kerjaya jatuh pada nombor dua dan tidak kisah pun sekiranya publisiti dan populari yang diraih tidak seperti dulu.

"Sebab itu kalau ada media meminta saya untuk mengadakan sesi fotografi, saya akan pilih mengikut kesesuaian. Bagaimanapun Alhamdulillah, pihak produksi masih lagi sudi menawarkan saya berlakon sehingga sekarang," katanya kepada mStar Online.

Tambah Fasha, dia yakin, kepercayaan pihak produksi terhadap dirinya bagi menjayakan sesebuah drama atau filem adalah kerana disiplin kerja yang diterapkan sejak dulu lagi.

Malah kata pelakon drama Cinta Mat Semperit itu, kebanyakan pelakon kini gagal menjaga disiplin masa sehingga ia menjejaskan kepercayaan pihak produksi terhadap seseorang pelakon itu.

"Kena ingat, macam mana popular atau panas dengan kontroversi sekalipun seseorang artis itu, tanpa disiplin mereka tidak akan kemana. Memang sekarang ini ramai pelakon tetapi nak cari yang berdisiplin tak ramai," ujarnya.

Sementara itu, Fasha berkata, dia juga gembira apabila suaminya sering memberi sokongan dalam apa juga kerja yang dilakukan dan sebagai isteri, dia memastikan menjaga batas-batas lakonannya agar tidak membuatkan suaminya terasa.

"Walaupun suami tidak memberi sebarang syarat-syarat untuk saya berlakon, tetapi sebagai isteri dan ibu, saya perlulah jaga batas-batas yang sepatutnya.

"Malah saya tak perlu menjelaskan perkara-perkara yang saya enggan lakukan kepada pengarah kerana mereka juga pasti faham dengan status saya sekarang ini. Yang penting kualiti kerja yang dibawakan dalam lakonan," tegasnya.

Sumber