AYER KEROH - Seorang bapa tujuh anak menangis ketika merayu agar hukuman
penjara yang dijatuhkan mahkamah sesyen di sini, semalam dikurangkan,
sebaliknya meminta hukuman sebatan ditambah.
Tertuduh, Zainuddin Mohamed, 45, dari Semanggol, Perak, dijatuhi
hukuman penjara 90 bulan dan 12 sebatan selepas dia mengaku bersalah
atas dua pertuduhan merompak pejabat pos menggunakan senjata tiruan.
Hukuman diputuskan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap tertuduh yang
melakukan kesalahan itu di Pejabat Pos Cawangan Telok Mas, Taman Seri
Telok Mas, kira-kira 12.40 tengah hari pada 22 Februari lalu,
membabitkan kerugian RM1,774.
Dia turut melakukan kesalahan sama dengan merompak wang berjumlah
RM8,259 di Pejabat Pos Cawangan Padang Temu, Taman Pertam Jaya,
kira-kira 12.45 tengah hari pada 14 Ogos 2012.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh denda
atau sebat, jika sabit kesalahan.
Ketika rayuan, Zainudin tidak dapat mengawal perasaan sambil mengesat
air mata kerana menyesali perbuatannya yang sanggup merompak semata-mata
untuk memberi wang belanja kepada anak-anaknya.
Bekas perunding pembangunan syarikat itu merayu hukuman penjara
disingkatkan, sebaliknya meminta hukuman sebatan lebih tinggi supaya
dapat segera kembali menjalankan tanggungjawab kepada keluarga.
“Kesilapan yang dilakukan berpunca apabila saya bekerja tapi tak dapat
gaji. Saya berusaha cari kerja lain namun diberi dugaan, dua hingga tiga
kali ditipu. Yuran anak-anak mahal. Sampai satu tahap saya tiada
apa-apa dalam poket.
“Saya sedar saya buat pilihan salah apabila hanya mahu mahu melihat
anak-anak berjaya. Saya benar-benar insaf,” katanya yang mempunyai enam
anak sedang belajar termasuk dua buah universiti tempatan dan sebuah
sekolah berasrama penuh, selain anak bongsu berusia dua tahun lapan
bulan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhana Ahmad dan Haslida
Isamail memohon hukuman sewajarnya diberikan terhadap tertuduh yang
turut memberi kesan trauma terhadap mangsa yang berada pejabat pos
ketika kejadian.
“Saya bersimpati terhadap pilihan yang salah oleh tertuduh. Namun, atas
faktor kepentingan awam dan trauma mangsa akibat senjata digunakan.
Walaupun ia mainan atau tiruan tapi ia sedikit sebanyak mengancam
mangsa,” kata Nurfarhana.
Selepas mengambil kira faktor fakta kes termasuk trauma mangsa serta
menimbang rayuan tertuduh, Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman
penjara 36 bulan dari tarikh ditangkap pada 26 Mei lalu dan lima sebatan
bagi pertuduhan pertama serta 54 bulan dari tarikh 16 Jun dan tujuh
sebatan, pertuduhan kedua.
“Saya hairan, kamu ada anak-anak yang bijak tapi macam mana boleh ambil
pilihan begini? Pertama kali saya jumpa (kes) ada keluarga yang baik.
Kamu betul-betul hilang punca dan lakukan perkara yang salah sedangkan
tuhan bagi kita akal untuk hadapi ujian-Nya. Andai ada polis (ketika
kejadian), saya tak tahu bagaimana nasib kamu,” katanya.
Sumber : Sinarharian