Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Showing posts with label sirul. Show all posts
Showing posts with label sirul. Show all posts

Hakim : Keterangan tak cukup untuk sabit Azilah, Sirul

on Tuesday, 27 August 2013

Kes Pembunuhan Altantuya

PUTRAJAYA - Keterangan mengikut keadaan adalah tidak mencukupi dan tidak cukup kukuh untuk mengekalkan sabitan kesalahan dua anggota unit tindakan khas polis membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, menurut penghakiman Mahkamah Rayuan.
  
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman 47 muka surat yang dikeluarkan hari ini berkata mahkamah dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korperal Sirul Azhar Umar kerana kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan.
  
"Kami sedar akan jenayah kejam yang telah dilakukan tetapi kesalahan perayu (Azilah dan Sirul Azhar) telah tidak dibuktikan secara memuaskan, (maka) kami dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada perayu," katanya.
  
Beliau berkata mahkamah sebelum ini telah mengabaikan dan terlepas pandang fakta-fakta penting dan bukti yang memihak kepada perayu yang menyebabkan kegagalan pelaksanaan keadilan yang serius dan ketara terhadap perayu sambil menambah bahawa kesan kumulatif terhadap beberapa bukan arahan menjadikan pensabitan terhadap perayu tidak selamat.
  
Hakim Tengku Maimun juga berkata DSP Musa Safri merupakan saksi penting yang boleh mengungkap kejadian yang berlaku dan boleh memberikan penjelasan terhadap fakta-fakta dan boleh merapatkan jurang dalam penceritaan kes pendakwaan.

"Kami memutuskan bahawa berdasarkan fakta kes ini, iaitu peranan DSP Musa dalam membawa kedua-dua perayu ke dalam gambaran keseluruhan episod ini, keterangan beliau adalah penting untuk membentangkan penceritaan yang dijadikan asas kes pendakwaan," katanya.
  
Pada Jumaat lepas, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka.
  
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Tengku Maimun.
  
Mereka (Azilah dan Sirul Azhar) telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan mengenakan hukuman mati terhadap mereka atas kesalahan membunuh Altantuya.
  
Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt, dan 1 pagi 20 Okt 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 terhadap pertuduhan bersubahat dengan mereka selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie ke atasnya. Pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan.
  
Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun berkata afidavit Abdul Razak yang diambil oleh hakim perbicaraan sebagai sebahagian daripada keterangan pendakwaan mengandungi perkara-perkara memudaratkan terhadap perayu dan ia cenderung untuk mencadangkan perayu adalah bersalah.
  
"Malah, sejak tertuduh ketiga (Abdul Razak) dibebaskan dan dilepaskan dengan tiada rayuan dibuat pihak pendakwaan, ternyata bahawa apa sahaja yang dilakukan perayu dalam melakukan jenayah sepenuhnya adalah atas kehendak mereka sendiri.
  
"Bagaimanapun, ia tidak boleh terlepas pandang bahawa episod yang buruk dan dahsyat ini bermula dengan permintaan tertuduh ketiga kepada DSP Musa sebelum perayu muncul.
  
"Keterangan menunjukkan tanggungjawab perayu adalah untuk meronda di sekitar rumah tertuduh ketiga dan kehadiran perayu di rumah tertuduh ketiga pada malam 19.10.2006 adalah atas permintaan untuk apa-apa bantuan daripada tertuduh ketiga kepada Azilah," katanya.

Musa ialah pengawal peribadi timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu (kini perdana menteri).
     
Tengku Maimun berkata hakim perbicaraan juga gagal mempertimbang pembelaan alibi oleh Azilah yang mendedahkan bahawa dia tidak mungkin berada di dua tempat pada masa yang sama pada malam pembunuhan Altantuya.
  
Katanya hakim perbicaraan gagal menangani fikirannya kepada cabaran pihak pembelaan ke atas eksibit seperti log panggilan dan ramalan liputan dan membuat dapatan mengenai kesahihan data yang merupakan bahan keterangan penting bagi menunjukkan kehadiran Azilah di tempat kejadian jenayah.
  
Menurut eksibit-eksibit berkenaan, Azilah berada di Pekan Subang pada 10.15 malam dan di Kampung Melayu Subang pada 10.19 malam. Bagaimanapun. diari balai polis di Bukit Aman menunjukkan bahawa Azilah berada di sana untuk mengambil senjatanya, Glock EAH 387 dan dua magazin peluru, pada 10.18 malam.
     
Mengenai Sirul Azhar, Tengku Maimun berkata terdapat percanggahan dan tidak membawa kepada sebarang keputusan tentang peristiwa berhubung penemuan jaket hitam dan barang kemas (barang kemas Altantuya).

Katanya menurut seorang daripada saksi-saksi polis, Sirul Azhar telah memberitahu supaya dia menyimpan barangan itu (barang kemas) dalam jaket, tetapi testimoni daripada pegawai yang lain tidak mendedahkan sebarang kenyataan sedemikian dibuat.
  
Tengku Maimun berkata tangggungjawab pihak pendakwaan di mana keterangan mengikut keadaan sebenarnya adalah sangat berat.
  
"Keadaan mesti sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan, rantaian keterangan mesti lengkap, bukti mesti menunjukkan mendesak kepada kesimpulan tertuduh bersalah dan tidak boleh ada sebarang jurang dalam kes pendakwaan dan jika wujud jurang di dalamnya, maka ia tidak mencukupi," katanya.
  
Katanya pendakwaan telah mencadangkan bahawa kehadiran perayu (Azilah dan Sirul Azhar) di Hotel Malaya pada 18 Okt, 2006 adalah bukti niat mereka untuk melakukan jenayah.
  
"Bagaimanapun, kesimpulan memihak kepada perayu juga boleh disediakan iaitu bahawa kehadiran mereka adalah semata-mata untuk mengesahkan bahawa di mati (Altantuya) adalah memang menginap di hotel itu sebagai satu maklumat yang diberikan oleh penyiasat persendirian kepada Abdul Razak dan oleh Abdul Razak kepada Azilah," katanya.

Tengku Maimun berkata kehadiran perayu di Hotel Malaya tidak menunjukkan rantaian keterangan yang lengkap ke atas mereka untuk mendapati mereka bersalah.
  
Katanya pendakwaan juga mengakui bahawa terdapat pelbagai bukan arahan oleh hakim perbicaraan dan meminta mahkamah untuk menggunakan proviso Seksyen 60 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk membetulkan kecacatan untuk menegakkan sabitan komando polis itu.
 
 "Melihat kepada keseluruhan keterangan dan hal keadaan kes ini, kita berpandangan bahawa ini bukan kes yang layak dan sesuai untuk kita menggunakan proviso itu.
  
Keadaan yang digunakan oleh pihak pendakwaan tidak sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan dan rantaian bukti tidak lengkap.
  
"Kita tidak boleh mengatakan jika tribunal yang munasabah diarah dengan betul boleh mensabitkan perayu berdasarkan keterangan yang ada," katanya. - Bernama

8 alasan mahkamah beri untuk bebaskan Azilah, Sirul

on Saturday, 24 August 2013


Bebas Sudah Semua
Hakim mahkamah Tinggi tersilap arah

Kuala Lumpur: Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar semalam dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Tiga Hakim Mahkamah Rayuan memberi lapan alasan utama bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin pada 29 April 2009.
Hakim gagal beri pendapat

Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Mohd Zaki dalam keputusannya gagal memberi pendapat terhadap beberapa faktor penting sebelum mensabitkan kedua-dua perayu.

Penghakiman penuh pembebasan

Ini adalah keputusan sebulat suara kami. Bagi maksud keputusan kami hari ini supaya dapat menjimatkan masa mahkamah, kami hanya akan mengemukakan alasan ringkas terhadap perkara utama yang dibangkitkan dalam rayuan seperti berikut:

Berhubung pembelaan membabitkan alibi perayu pertama (Azilah Hadri), kami tidak mendapati apa-apa dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan bijaksana bahawa beliau menimbangkan sama ada diari balai menunjukkan atau cenderung untuk menunjukkan atas alasan kehadiran perayu pertama di Bukit Aman pada masa material, dia tidak boleh atau tidak mungkin boleh berada di tempat kejadian.
Hakim perbicaraan bijaksana tersalah arah dengan cara tanpa arahan apabila gagal menimbangkan bahawa diari balai selain gagal membuat penemuan sama ada pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa perayu pertama berada di tempat kejadian.

Berhubung log panggilan dan ramalan liputan, kami mendapati bahawa keterangan saksi pendakwaan ke-61, 62 dan 63 menimbulkan isu kredibiliti dan ketepatan log panggilan serta ramalan liputan. Dalam penghakiman kami adalah penting bagi hakim perbicaraan bijaksana menyatakan pemikirannya kepada cabaran yang dibangkitkan pembelaan terhadap eksibit dan membuat penemuan sama ada secara nyatanya terdapat pengubahan dan gangguan kepada data dan sama ada ketulenan data dipersoalkan atau sebaliknya. Dengan kecewanya, hakim gagal membuat, yang mana dalam penghakiman kami ia membawa kepada tersalah arah serius menyebabkan eksibit berkenaan tidak selamat untuk dipertimbangkan.

Maklumat penemuan

Berhubung maklumat yang membawa kepada penemuan, hakim yang perbicaraan bijaksana tidak mengarahkan pemikirannya dan tidak memeriksa sama ada percanggahan dan keterangan tidak konsisten saksi pendakwaan adalah material; tidak memeriksa kredibiliti saksi pendakwaan dan tidak mengarahkan pemikirannya sama ada perayu menimbulkan keraguan berhubung ketepatan 27 keterangan dan sama ada penemuan dibuat secara eksklusifnya hasil daripada maklumat yang disampaikan oleh perayu dan bukan daripada sumber lain. Kami mendapati terdapat tiada arahan daripada hakim perbicaraan bijaksana dalam menilai keterangan sebelum menerima pakai keterangan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Pemilikan bahan letupan

Berhubung isu pemilikan dan kawalan bahan letupan, selepas membuat penemuan berhubung kaitan di antara bahan letupan dan kematian mangsa, hakim perbicaraan bijaksana sepatutnya, pada penghakiman kami, membuat penemuan lanjut untuk mengaitkan bahan letupan terbabit dengan perayu. Dengan tidak membuat sebarang penemuan berhubung pemilikan bahan letupan yang digunakan dalam pembunuhan oleh perayu, hakim perbicaraan bijaksana gagal mengarahkan pemikirannya terhadap rangkaian yang hilang, menyebabkan terdapat satu salah arah berlaku.

Sejauh mana kegagalan memanggil Deputi Superintendan Musa Safri, penghakiman kami berhubung fakta kes, keterangan Musa adalah penting untuk merungkai cerita pendakwaan. Kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil atau menawarkan beliau untuk disoal balas, dalam keadaan keadaan keterangan secara keseluruhannya, akan menimbulkan inferens yang sebaliknya mengikut Seksyen 114(g) Akta Keterangan, terhadap kes pendakwaan.

Seterusnya pada isu sepasang selipar, kami mendapati tiada bukti yang menunjukkan terdapat kaitan dua antara selipar terbabit dengan perayu kedua. Pihak pendakwaan tidak menutup sebarang lompang dalam kesnya.

Begitu juga dengan katrij terpakai yang dijumpai dalam kereta perayu kedua, kami mendapati terdapat jurang dalam kes pendakwaan dan dalam aspek ini hakim gagal mengarahkan pemikirannya terhadap isu itu.

Akhirnya, berhubung niat bersama. Kami mendapati hakim tidak membuat penemuan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan bahawa terdapat perancangan awal oleh kedua perayu untuk melakukan pembunuhan dan pembunuhan itu dilakukan berikutan daripada perancangan awal berkenaan. Dalam penghakiman kami, ketiadaan penemuan sedemikian oleh hakim perbicaraan bijaksana berhubung ramuan niat bersama menyebabkan berlaku tersalah arah disebabkan tanpa arahan.

Dengan melihat kepada keseluruhan keadaan kes, penghakiman kami adalah kesan pengumpulan tanpa arahan oleh hakim perbicaraan bijaksana menyebabkan sabitan ke atas perayu adalah tidak selamat.

Kami, dengan sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini. Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dengan ini diketepikan. Kedua-dua perayu dengan ini dilepas dan dibebaskan.

INFO

Hakim Mahkamah Rayuan

- Datuk Seri Mohamed Apandi Ali
- Datuk Linton Albert
- Datuk Tengku Maimun Tuan Mat

Hakim Mahkamah Tinggi

- Datuk Mohd Zaki Md Yasin

Pendakwa Raya

- Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah

Peguam Bela Azilah

- Hazman Ahmad
- J Kuldeep Kumar

Peguam Bela Sirul

- Kamarul Hisham Kamaruddin
- Hasnal Rezua Merican
- Mohd Ruzaini Zulkifli

Peguam Pemerhati
(Keluarga Altantuya)

- Karpal Singh


PERTUDUHAN: Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar

Didakwa membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di lokasi antara lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Sumber : Berita Harian

Kes Altantuya: Azilah, Sirul Bebas Akhirnya..Siapa Pembunuh Sebenar???

on Friday, 23 August 2013

Altantuya Shaariibuu

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, melepas dan membebaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang disabitkan kesalahan membunuh seorang wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.

Koperal Sirul Azhar Omar dan Cif Inspektor Azilah Hadri meraup wajah dan mengucapkan terima kasih kepada panel hakim selepas keputusan itu diumumkan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali,  Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu.

Mahkamah Tinggi pada 2009 telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka atas kesalahan membunuh Altantuya, yang ketika itu berumur 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawahakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.

"Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini," kata Hakim Tengku Maimun.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

p/s : So persoalan sekarang siapa pembunuh sebenar???

Sumber : Sinar Harian.