Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Gempar : Tukang urut lari berbogel

on Tuesday, 27 August 2013

Wanita warga Vietnam yang menjalankan perkhidmatan B2B ditahan.

SHAH ALAM - Sekumpulan gadis tukang urut warga asing sanggup berlari dalam keadaan bogel  selepas premis tempat mereka bekerja di Buki Tinggi, Klang, di sini,  diserbu sepasukan anggota Penguat kuasa Ibu Pejabat Imigresen Malaysia Putrajaya malam kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan kesemua tukang urut terbabit sedang leka melayan urutan badan ke badan (B2B) bersama pelanggan masing-masing di bahagian tingkat bawah premis terbabit.

Timbalan Penolong Pengarah 2 Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Nik Shahanizam Ahmad berkata, serbuan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat awam.

Menurut Shahanizam, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 14 wanita ditahan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Mereka cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan tingkat atas sebagai pusat urut kaki, namun di tingkat bawah mereka menjalankan kegiatan tidak bermoral ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Nik Shahanizam berkata, 10 pelanggan yang berada di premis terbabit turut diambil keterangan sebelum dibebaskan. Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan.

Difahamkan modus operandi kegiatan ini ialah pelanggan boleh membuat temu janji terus dengan menghubungi wanita yang diinginkan dengan bayaran RM135 bagi setiap sesi.

Kesemua ditahan dibawa ke depoh tahanan imigresen.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Sumber : Sinar Harian

Hakim : Keterangan tak cukup untuk sabit Azilah, Sirul

Kes Pembunuhan Altantuya

PUTRAJAYA - Keterangan mengikut keadaan adalah tidak mencukupi dan tidak cukup kukuh untuk mengekalkan sabitan kesalahan dua anggota unit tindakan khas polis membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, menurut penghakiman Mahkamah Rayuan.
  
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman 47 muka surat yang dikeluarkan hari ini berkata mahkamah dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korperal Sirul Azhar Umar kerana kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan.
  
"Kami sedar akan jenayah kejam yang telah dilakukan tetapi kesalahan perayu (Azilah dan Sirul Azhar) telah tidak dibuktikan secara memuaskan, (maka) kami dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada perayu," katanya.
  
Beliau berkata mahkamah sebelum ini telah mengabaikan dan terlepas pandang fakta-fakta penting dan bukti yang memihak kepada perayu yang menyebabkan kegagalan pelaksanaan keadilan yang serius dan ketara terhadap perayu sambil menambah bahawa kesan kumulatif terhadap beberapa bukan arahan menjadikan pensabitan terhadap perayu tidak selamat.
  
Hakim Tengku Maimun juga berkata DSP Musa Safri merupakan saksi penting yang boleh mengungkap kejadian yang berlaku dan boleh memberikan penjelasan terhadap fakta-fakta dan boleh merapatkan jurang dalam penceritaan kes pendakwaan.

"Kami memutuskan bahawa berdasarkan fakta kes ini, iaitu peranan DSP Musa dalam membawa kedua-dua perayu ke dalam gambaran keseluruhan episod ini, keterangan beliau adalah penting untuk membentangkan penceritaan yang dijadikan asas kes pendakwaan," katanya.
  
Pada Jumaat lepas, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka.
  
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Tengku Maimun.
  
Mereka (Azilah dan Sirul Azhar) telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan mengenakan hukuman mati terhadap mereka atas kesalahan membunuh Altantuya.
  
Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Okt, dan 1 pagi 20 Okt 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 terhadap pertuduhan bersubahat dengan mereka selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie ke atasnya. Pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan.
  
Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun berkata afidavit Abdul Razak yang diambil oleh hakim perbicaraan sebagai sebahagian daripada keterangan pendakwaan mengandungi perkara-perkara memudaratkan terhadap perayu dan ia cenderung untuk mencadangkan perayu adalah bersalah.
  
"Malah, sejak tertuduh ketiga (Abdul Razak) dibebaskan dan dilepaskan dengan tiada rayuan dibuat pihak pendakwaan, ternyata bahawa apa sahaja yang dilakukan perayu dalam melakukan jenayah sepenuhnya adalah atas kehendak mereka sendiri.
  
"Bagaimanapun, ia tidak boleh terlepas pandang bahawa episod yang buruk dan dahsyat ini bermula dengan permintaan tertuduh ketiga kepada DSP Musa sebelum perayu muncul.
  
"Keterangan menunjukkan tanggungjawab perayu adalah untuk meronda di sekitar rumah tertuduh ketiga dan kehadiran perayu di rumah tertuduh ketiga pada malam 19.10.2006 adalah atas permintaan untuk apa-apa bantuan daripada tertuduh ketiga kepada Azilah," katanya.

Musa ialah pengawal peribadi timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu (kini perdana menteri).
     
Tengku Maimun berkata hakim perbicaraan juga gagal mempertimbang pembelaan alibi oleh Azilah yang mendedahkan bahawa dia tidak mungkin berada di dua tempat pada masa yang sama pada malam pembunuhan Altantuya.
  
Katanya hakim perbicaraan gagal menangani fikirannya kepada cabaran pihak pembelaan ke atas eksibit seperti log panggilan dan ramalan liputan dan membuat dapatan mengenai kesahihan data yang merupakan bahan keterangan penting bagi menunjukkan kehadiran Azilah di tempat kejadian jenayah.
  
Menurut eksibit-eksibit berkenaan, Azilah berada di Pekan Subang pada 10.15 malam dan di Kampung Melayu Subang pada 10.19 malam. Bagaimanapun. diari balai polis di Bukit Aman menunjukkan bahawa Azilah berada di sana untuk mengambil senjatanya, Glock EAH 387 dan dua magazin peluru, pada 10.18 malam.
     
Mengenai Sirul Azhar, Tengku Maimun berkata terdapat percanggahan dan tidak membawa kepada sebarang keputusan tentang peristiwa berhubung penemuan jaket hitam dan barang kemas (barang kemas Altantuya).

Katanya menurut seorang daripada saksi-saksi polis, Sirul Azhar telah memberitahu supaya dia menyimpan barangan itu (barang kemas) dalam jaket, tetapi testimoni daripada pegawai yang lain tidak mendedahkan sebarang kenyataan sedemikian dibuat.
  
Tengku Maimun berkata tangggungjawab pihak pendakwaan di mana keterangan mengikut keadaan sebenarnya adalah sangat berat.
  
"Keadaan mesti sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan, rantaian keterangan mesti lengkap, bukti mesti menunjukkan mendesak kepada kesimpulan tertuduh bersalah dan tidak boleh ada sebarang jurang dalam kes pendakwaan dan jika wujud jurang di dalamnya, maka ia tidak mencukupi," katanya.
  
Katanya pendakwaan telah mencadangkan bahawa kehadiran perayu (Azilah dan Sirul Azhar) di Hotel Malaya pada 18 Okt, 2006 adalah bukti niat mereka untuk melakukan jenayah.
  
"Bagaimanapun, kesimpulan memihak kepada perayu juga boleh disediakan iaitu bahawa kehadiran mereka adalah semata-mata untuk mengesahkan bahawa di mati (Altantuya) adalah memang menginap di hotel itu sebagai satu maklumat yang diberikan oleh penyiasat persendirian kepada Abdul Razak dan oleh Abdul Razak kepada Azilah," katanya.

Tengku Maimun berkata kehadiran perayu di Hotel Malaya tidak menunjukkan rantaian keterangan yang lengkap ke atas mereka untuk mendapati mereka bersalah.
  
Katanya pendakwaan juga mengakui bahawa terdapat pelbagai bukan arahan oleh hakim perbicaraan dan meminta mahkamah untuk menggunakan proviso Seksyen 60 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk membetulkan kecacatan untuk menegakkan sabitan komando polis itu.
 
 "Melihat kepada keseluruhan keterangan dan hal keadaan kes ini, kita berpandangan bahawa ini bukan kes yang layak dan sesuai untuk kita menggunakan proviso itu.
  
Keadaan yang digunakan oleh pihak pendakwaan tidak sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan dan rantaian bukti tidak lengkap.
  
"Kita tidak boleh mengatakan jika tribunal yang munasabah diarah dengan betul boleh mensabitkan perayu berdasarkan keterangan yang ada," katanya. - Bernama

Nelydia Senrose Belum Bersedia Jadikan Qi Razali Suami




PETALING JAYA: Pelakon Nelydia Senrose belum bersedia untuk bergelar isteri kepada kekasihnya Qi Razali dalam usia yang begitu muda.

Nelydia, 19, atau lebih senang disapa Nely berkata, ini kerana masih banyak perkara terutama sekali tanggungjawab sebagai isteri tidak diketahuinya.

"Memang saya mengaku belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Bukannya mudah, banyak perkara yang harus kita tahu dan faham mengenai tanggungjawab seseorang isteri. Namun tidak ada masalah untuk mempelajarinya jika jodoh saya dan Qi sudah sampai.

"Cuma kalau boleh saya inginkan sedikit masa untuk mematangkan diri," katanya kepada mStar Online.
Nelydia ditemui pada majlis pra-tonton dan pelancaran drama bersiri Strawberi & Karipap di GSC The Gardens, di sini pada Isnin.

Tambah adik kepada Uqasha Senrose ini, dia dan Qi, 35, pernah berbincang mengenai ikatan perkahwinan mereka namun dia bersyukur kerana memiliki seorang teman lelaki yang memahami situasinya itu.

Dalam pada itu, Nelydia juga berpuas hati kerana kisah cintanya dengan Qi tidak terlalu diberi pendedahan oleh media seperti kakaknya yang bercinta dengan aktor Pekin.

"Kalau boleh kami mahu kisah percintaan kami tidak terlalu didedahkan pada umum. Cukuplah sekadar masyarakat tahu tentang perhubungan kami. Lebih elok jika kisah kerja kami sahaja yang dipaparkan," tuturnya.

Sementara itu, dalam Strawberi & Karipap, Nelydia bergandingan dengan Zizan Nin, Sein, Nur Fathia, Mia Sara dan Rykarl Iskandar.

Strawberi & Karipap bakal bersiaran bermula 1 September ini setiap Ahad pada pukul 11 pagi menerusi saluran Astro Ceria.

Sumber : Mstar

Info Kesihatan : Masalah 'tidak subur' boleh dirawat

on Monday, 26 August 2013

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Selepas tiga tahun mengharungi perkahwinan dan masih tidak mempunyai anak, David Ng dan isteri mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan bagi 'masalah' mereka.

"Kami membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan setelah isteri saya gagal mengandung selepas tiga tahun kami berkahwin manakala tekanan daripada ahli keluarga yang lebih tua sudah tentu memburukkan lagi keadaan.

"(Tetapi) kini saya adalah bapa kepada tiga anak IVF (Persenyawaan Dalam Vitro)," jelas Ng yang bertugas dalam industri telekomunikasi kepada media pada majlis pelancaran kempen ‘Harapan Dapatkan Anak’ di sini baru-baru ini.

Ng mengahwini Shirley Goh pada tahun 2006. 

Goh, yang juga bertugas dalam industri yang sama, menceritakan bahawa beliau jadi runsing kerana gagal mendapatkan anak selepas tiga tahun berkahwin.

Pasangan itu mula mencari rawatan alternatif dan Goh mencari maklumat mengenai cara mengatasi kemandulan. 

Beliau bernasib baik kerana mendapat satu pilihan.

Pasangan itu tidak membuang masa untuk mendapatkan bantuan perubatan.

“Kami dapatkan rawatan bagi kesuburan tetapi gagal pada awalnya. Kami diberitahu peluang berjaya hanya 50-50.

"Kami tidak berputus asa dan memilih satu lagi pilihan iaitu program ‘Persenyawaan Dalam Vitro' atau IVF. Kami mengambil peluang mencubanya dan kalaulah ia berhasil, itu adalah anugerah dari Tuhan,” Goh menjelaskan pengalamanya. 

Ng adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga dan itu menyebabkan tekanan yang dihadapinya dirasakan amat besar.

Selepas dua prosedur IVF yang berjaya, pasangan itu kini mempunyai anak perempuan yang berumur tiga tahun dan sepasang kembar berumur satu tahun.

"Tiga (anak) sudah cukup," jelas pasangan itu.

KOS

Terdapat 30 Pusat Kesuburan bagi pasangan yang gagal mendapatkan anak secara normal mendapatkan rawatan di seluruh negara.

Bagi masalah kesuburan, masa adalah faktor penting kerana jika seseorang yang 'mandul' itu lambat mendapatkan rawatan, peluang bagi pasangan itu mendapat anak akan lebih tipis.

Di dunia, dianggarkan 9.6 peratus daripada pasangan yang berkahwin mengalami masalah kesuburan. 

Pakar penjagaan kesihatan menyatakan trend lambat memulakan keluarga juga menyaksikan banyak pasangan mengalami masalah ketidaksuburan yang juga boleh dikaitkan dengan umur lanjut bagi pasangan wanita.

Menurut takrif Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ketidaksuburan adalah satu penyakit sistem reproduktif yang diukur dari segi kegagalan untuk mengandung secara klinikal selepas 12 bulan atau lebih hubungan seksual secara normal.

Masalah ini bukan hanya tertumpu kepada golongan wanita sahaja, malah ia melibatkan lelaki.

Wanita yang boleh mengandung tetapi 'gagal' melahirkan anak juga menghadapi masalah ini.

Kos bagi rawatan kaedah IVF adalah antara RM12,000 dan RM20,000 bagi satu prosedur. - Bernama

Terkini : PLUS akan beri rebat 20 peratus sempena Hari Kemerdekaan ke-56

Pengguna Lebuhraya Plus akan menikmati rebat merdeka

KUALA LUMPUR - Pengguna lebuh raya PLUS Malaysia Berhad ( PLUS ) berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20 peratus apabila membayar tol menggunakan sistem elektronik pada 31 Ogos sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-56.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid dalam kenyataan hari ini berkata rebat tol itu diberi kepada orang ramai yang menggunakan kad PLUSMiles, Touch ’n Go dan SmartTAG ketika membayar tol di lebuh raya kendalian PLUS.

"Ia merupakan satu daripada langkah PLUS menyemarakkan sambutan kemerdekaan akan datang. Selain itu, ia adalah antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan pantas.

"Rebat berkenaan boleh dituntut di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS apabila pengguna menambah nilai kad elektronik mereka bermula 16 Sept hingga 15 Dis ini,” katanya sambil memberitahu tuntutan rebat tol selepas tempoh itu tidak akan diterima.

Beliau menggesa orang ramai supaya membayar tol secara elektronik sebagai satu langkah untuk mempercepatkan transaksi tol dan membolehkan orang ramai melalui plaza tol dengan selesa.
Rebat itu tidak akan diberi kepada pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan jambatan Pulau Pinang, katanya. - Bernama


Rumahtangga : Tugas perempuan VS Tugas lelaki

Sekadar Hiasan

MENURUT Sosiologi, Arlir Hochschild, ada satu istilah iaitu ‘shift kedua’ yang menggambarkan pekerjaan wanita perlu dilakukan di rumah dan di luar rumah.

Istilah ‘home sweet home’ pun susah dirasakan kerana selepas seharian bekerja di pejabat dan kembali di rumah, wanita masih perlu terus bertugas.

Berdasarkan laporan Bureau of Labor Statistic pada Jun tahun ini, ‘shift kedua’ masih menjadi masalah bagi wanita kerana hanya 20 peratus lelaki yang membantu kerja rumah seperti bersih-membersih dan mencuci pakaian.

Sebelum berumahtangga, pernahkan anda terfikir kehidupan shift kedua ini?

Bermula dengan kehidupan seorang isteri dan kehidupan seorang ibu? Siapa lebih sibuk? Suami? Isteri? Ayah? Ibu?

Sebaik saja bergelar isteri dan ibu, tanggungjawab wanita bertambah berlipat gandan. Mana nak urus rumahtangga, suami, anak-anak dan kemudian ditambah pula dengan tugasan di pejabat.

Letih? Suami patut fikirkannya!


Mari kita bandingkan jadual harian yang ringkas ini:

PAGI:
PEREMPUAN selalunya akan bangun awal sekitar jam lima atau enam sebab banyak kerja rumah perlu diselesaikan. Contohnya, kemas rumah, basuh baju, sidai baju, sarapan, siapkan anak ke sekolah atau hantar. Kemudian barulah ke pejabat.

LELAKI sebaik sedar dari tidur terus mandi dan bersiap-siap, kemudian sarapan dan terus pergi kerja.

WAKTU BEKERJA:
(9 Pagi Hingga 6 Petang)

PEREMPUAN terpaksa bertungkus lumus siapkan segala kerja yang ada. Kalau tak disiapkan, kerja akan bertimbun dan kerja rumah menunggu bila pulang nanti.

LELAKI juga bekerja keras untuk sara keluarga. Tapi yang seronoknya lelaki tak perlu nak fi kir hal dekat rumah bila pulang nanti.


PETANG:

PEREMPUAN habis waktu pejabat terus pecut pulang ke rumah sebab nak jemput anak dari sekolah atau nursery.

Setibanya di rumah ada kalanya sampai tak sempat tukar baju kerja, isteri dah mula tanak nasi di dapur. Lepas mandi mulalah tergesa-gesa ke dapur untuk sediakan makan malam untuk keluarga.

LELAKI pula ada yang berseronok mengisi masa petang dengan bersukan…main badminton lah, pingpong, tenis, futsal pun ada. Lepas tu pulang ke rumah mandi, rehat dan tunggu untuk makan malam.

MALAM:

Selesai saja menjamu selera bersama keluarga…

PEREMPUAN perlu mengemas dapur. Kalau menonton TV sekalipun, tangan masih lagi melipat baju sambil tengok anak-anak buat kerja sekolah. Dalam masa sama, perlu juga menggosok baju untuk hari esok. Jam 10 malam perlu tidurkan anak sebab esok nak sekolah.

LELAKI pula, lepas makan malan duduk tergedang tengok TV sambil baca akhbar. Kadang-kadang ada juga yang suka luangkan masa untuk online.

MASA UNTUK BERSAMA:

PEREMPUAN lazimnya sudah keletihan, mana taknya bayangkanlah non-stop dari pagi dah macam gasing. Asal letak kepala aje terus lena…

LELAKI pula kadang-kadang asyik pandai merungut si isteri asik tidur awal dan tak melayan kehendak batin katanya… Salah siapa???


KES 1 : Perang besar bila mengadu penat
Zalika, 34.

PERKAHWINAN adalah perkongsian hidup antara suami isteri yang bukan sahaja menuntut sikap tolak ansur dan bekerjasama kedua-dua belah pihak.

Malah lebih tepat lagi segala susah dan senang perlu dipikul bersama-sama.

Begitulah juga yang menjadi harapan saya sebaik mengambil keputusan untuk berkahwin dengan suami yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi.

Namun apa yang diharapkan itu jauh tersasar sebaik sahaja memegang status isteri dan ibu.

Rutin saya berubah 360 darjah. Segala kerja rumah terpaksa bereskan sendirian, meskipun pada masa sama, saya turut bekerja bagi membantu meringankan bebanan ekonomi keluarga.

Saya bukan robot dan saya bukan seorang manusia yang tidak kenal erti penat.

Sudahlah seharian penat bekerja, pulang ke rumah terpaksa pula menyambung kerja-kerja memasak, mengemas, melayan anak-anak dan banyak lagi yang ada kalanya membuatkan saya terbeban dan menjejaskan emosi.

Sebelum berkahwin saya memang mempunyai pekerjaan dan mengimpikan untuk menjadi suri rumahtangga sepenuh masa selepas berkahwin.

Namun ia ternyata suatu angan-angan kerana  realitinya selepas bergelar isteri dan ibu, saya terpaksa membatalkan hasrat itu.

Saya perlu membantu meringankan beban suami dari sudut perbelanjaan rumahtangga yang saban hari saban meningkat.

Saya tak sampai hati membiarkan suami sendirian menanggung beban itu. Tapi sedihnya, setelah saya sendiri mengorbankan kepentingan diri demi membantu meringankan bebanan suami, sedangkan di sebelah pihak suami tidak pula berfikir seperti mana saya, dengan menyerah sepenuhnya tanggungjawab menguruskan rumahtangga kepada saya.

Lebih menyedihkan hati saya, ada kalanya tanpa sempat membuka pakaian kerja, saya terpaksa bergegas ke dapur untuk menyiapkan makanan untuk suami dan anak-anak.

Sedangkan suami pada ketika itu lebih memilih untuk bersantai dan menonton televisyen sementara menunggu makan malam, tanpa langsung rasa bersalah melihat diri saya umpama lipas kudung di dapur.

Ada kalanya saya agak sedih dan terkilan dengan sikap suami yang langsung tidak peduli dengan bebanan yang terpaksa saya ditanggung.

Selain penat di pejabat, saya terpaksa pula menyambung kerja-kerja rutin di rumah, malah tugas menghantar dan ambil anak di pusat asuhan juga diserah bulat-bulat kepada saya.

Itu belum lagi dikira dengan tugas-tugas lain di rumah termasuk membasuh kain, mengemas rumah, menggosok pakaian, semuanya di bawah 'bidang tugas-tugas  khas' saya tanpa langsung dibantu oleh suami.

Sedihnya, apabila diminta membantu, tanpa rasa bersalah, tanpa perasaan suami mengatakan itu tugas seorang isteri.

Jangan harap untuk mengemas dapur dan meja sebaik selesai makan, apabila diminta menguruskan anak-anak ketika saya sibuk di dapur juga boleh mencetuskan pergaduhan dengan suami.

Jadi saya lebih rela menguruskan sendiri. Saya pernah berperang besar dengan suami sebelum ini gara-gara saya mengungkit penat dengan dua tugas yang terpaksa dipikul.

Itupun setelah saya menyuarakan pendapat agar suami turut membantu menguruskan rumah tangga dan memintanya faham situasi saya yang bekerja untuk meringankan bebannya.

Hati saya kadangkala memberontak kerana perkara ini. Ada kalanya saya terfikir untuk apa berkahwin andai tidak mampu berkongsi segala kesusahan dan kepenatan bersama.

Bukan tidak bersyukur dan bukan hendak menolak tanggungjawab, tapi saya yakin ramai isteri lain mengalami nasib serupa seperti saya.

Tempoh 24 jam sehari bagaikan tidak cukup untuk menguruskan segala keperluan suami dan anak-anak sehinggakan keperluan sendiri terabai.

Tapi disebabkan saya sendiri telah sebati dengan situasi ini, saya sudah   alas untuk bertengkar dan meminta suami memahami kerana kesudahannya tetap sama.

Jauh dalam sudut hati saya berharap suatu masa nanti suami akan sedar tanggungjawabnya. Tidak banyak, sedikit pun memadai.

KES 2: Tidak pernah cuba bantu
Aisyah, 35.

BEBANAN yang dipikul bukan sahaja kepada tanggungjawab, tetapi situasi kewangan menjadi sangat meruncing bila suami tidak bekerja.

Bagi saya, suami seorang yang gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Apatah lagi dengan ketidaksediaannya untuk sama-sama membantu saya di rumah.

Sudahlah Suami tidak pandai mengemas rumah mahupun memasak, kalau sekadar itu saya faham. Tapi masalahnya dia tidak pernah cuba untuk ringankan beban saya. Saya tidak minta dia lakukan segala kerja yang lelaki tidak mampu lakukan.

Cukuplah kalau sekadar membantu menjaga anak-anak kami yang berusia tujuh dan lima tahun, sementara saya lakukan kerja rumah lain. Tapi, itu pun dia tak mahu.

Pulang dari bekerja, pasti tiada masa rehat bagi saya. Mana nak layan anak-anak, mengemas dan memasak untuk suami dan anak.

Saya sudah puas memberikannya pelbagai nasihat namun suami tidak pernah ambil peduli.
Malah, saya dipandang seperti sengaja mencari kesilapannya pula. Kadangkala, ia menjadi pencetus pergolakan rumah tangga kami apabila dia malas hendak melakukan sesuatu yang menyenangkan hati.

Dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah ibunya yang tinggal berhampiran kami berbanding menolong mengemas rumah.

Rutin harian saya bermula seawal jam 6 pagi sehingga waktu malam tanpa hentihenti. Dari tempoh itu, meski pun tidak bekerja dan duduk di rumah, tiada apa pun dilakukannya.

Dia seperti raja duduk di rumah. Bila balik rumah, saya dapati rumah berselerak dan serabut. Saya tertekan dan lemas.

Setiap masa saya ‘berleter’ menasihatinya dan berharap dia akan berubah ringan tulang membantu sekurang-kurangnya mengemas rumah bagi meringankan tekanan dan beban yang saya hadapi.

Tapi, entah esok atau bila... Saya hanya mampu bersabar dan berdoa mudah-mudahan hatinya terbuka untuk membantu saya, suatu hari nanti.



KES 3: Masa dihabiskan di luar
Abdul Razak Abdullah, 20-an

SEJAK mendirikan rumah tangga kirakira tiga tahun lalu, saya tidak pernah sekali pun membantu tugas di rumah malah menyerahkan sepenuhnya kepada isteri.

Disebabkan masa kerja yang banyak dihabiskan di luar, saya tidak berkesempatan mengambil tahu urusan di rumah.

Saya bekerja dengan syarikat pembalakan yang memerlukan tempoh masa tertentu berada dalam kawasan pembalakan.

Sesekali pulang ke rumah, sudah keletihan dan banyak masa hanya berehat sementara isteri sediakan keperluan saya dan anak kecil kami. Isteri saya menoreh getah sejak sebelum mereka berumah tangga lagi.

Tidak pernah sekali dia menyekat kemahuan isteri untuk bekerja di samping menggalakkannya melakukan perkara berfaedah semasa ketiadaannya di rumah.

Kami bukanlah daripada keluarga senang dan dia (isteri) juga tahu pendapatan saya yang tidak seberapa ini hanya mampu sediakan keperluan ala kadar sahaja.

Kesudian dia bekerja setidaknya dapat penuhi kemahuannya sendiri dan bantu saya tampung mana-mana keperluan di luar jangka.

Tetapi saya memang tidak dapat membantunya uruskan hal rumah memandangkan faktor kerja yang tidak menentu masa.


KES 4: Tugas sebagai pemandu lori membantaskan
Ahmad Kamil Mohamed, 40-an

BEKERJA sebagai pemandu lori tidak memberi peluang kepada saya memberi tumpuan kepada isteri dan empat anak di rumah.

Setiap kali pulang ke rumah, dia sudah keletihan dan masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk berehat sahaja.

Sepanjang 15 tahun berumahtangga, saya belum mampu lagi bantu isteri menguruskan kerja rumah.

Pernah juga isteri bersungut kepenatan kerana dia juga bekerja pembantu kedai makan untuk tampung kewangan kami, tetapi saya tidak boleh ambil risiko berhenti kerja kerana belum tentu dapat kerja yang lebih baik daripada ini.

Sebelum berumah tangga saya biasa lakukan sendiri kerja di rumah termasuk basuh baju kerana tidak ada pilihan lain. Apabila berumah tangga tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada isteri.

Anak-anak juga lebih rapat dengan isteri dan saya hanya dirujuk ketika memerlukan sokongan kewangan bagi persekolahan mereka.

Sekarang saya tidak betah lakukan kerja rumah tambahan pula sekiranya isteri dalam pantang, kerja diambil alih ibu atau ibu mertua yang tinggal berdekatan.

Sumber : Sinarharian

Perancang Perkahwinan Kesal dengan tuduhan Black: 'Saya teraniaya'

on Sunday, 25 August 2013

Black dan Tunang

Dalam keterujaan melangkah ke alam perkahwinan bulan depan, juara Mentor musim ketiga ini dan tunangnya berdepan dengan cabaran yang tidak disangka.

Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 26, dia berasa ditipu oleh perancang perkahwinan yang dilantiknya setelah tiada perkembangan walaupun sudah membayar RM30,000 menerusi dua transaksi iaitu RM18,000 pada bulan April dan RM12,000 pada bulan Jun.

Justeru demi memastikan majlis perkahwinannya berjalan lancar, Black mengambil keputusan untuk memberhentikan khidmat perancang perkahwinan tersebut dan menyerahkan tugas persiapan perkahwinannya kepada pihak pengurusan.

Tidak berakhir setakat itu, usaha Black untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibayar menemui jalan buntu apabila perancang perkahwinan tersebut dikatakan hanya berdiam diri.

Bagi memastikan nasibnya mendapat pembelaan sewajarnya, Black telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis dan juga bakal membawa isu ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Jika sebelum ini kita sering mendengar kenyataan Black, perancang perkahwinan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan WP (Wedding Planner) tampil memberi penjelasan secara eksklusif kepada Zass.

Bekas Perancang Perkahwinan Black

Ikuti temu bual berikut:

Setelah lama isu ini menjadi sebutan, apakah yang membuatkan anda tampil untuk memberi kenyataan?
Puan WP: Tujuan saya tampil memberi kenyataan ini bukan mahu memburukkan sesiapa atau cuba untuk mencari gaduh.

Saya hanya mahu membersihkan nama saya dan ingin menegaskan saya tidak melesapkan duit Black seperti didakwanya. Lagipun, ini bukan pertama kali saya menguruskan majlis perkahwinan artis dan selama ini tidak pernah ada masalah yang berbangkit.

Boleh anda jelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu ini?
Puan WP: Saya berjumpa Black dalam satu majlis awal tahun ini dan Black telah bersetuju untuk menggunakan perkhidmatan saya. Menerusi beberapa perjumpaan dan perbincangan, Black setuju untuk mengadakan majlis perkahwinannya di satu lokasi di Kuala Lumpur (nama lokasi dirahsiakan).

Selepas melakukan beberapa sesi rundingan, pihak lokasi perkahwinan tersebut bersetuju memberi potongan separuh harga daripada RM72,000 kepada RM36,000 dan saya telah membayar RM15,000 sebagai pendahuluan.

Kemudian saya juga sudah membayar RM7,000 kepada pihak katering. Selebihnya RM5,000 adalah bayaran untuk saya dan baki RM3,000 untuk saya uruskan mengenai perkara lain. Segala urusan tersebut bersama bukti resit dan e-mel daripada pihak berkenaan mengenai perbincangan kami.

Bagaimana pula dengan kenyataan Black bahawa anda sudah membayar sebahagian daripada wang tersebut?
Puan WP: Selepas perkhidmatan saya ditamatkan saya tidak ada berjumpa dengan Black, apatah lagi memulangkan duit kepadanya.

Namun setahu saya pihak katering telah memulangkan duit tersebut kepada Black dan saya tidak bercadang untuk memulangkan duit Black kerana ingin saya tegaskan di sini, saya sudah teraniaya dan saya tidak bersalah!

Jadi, bagaimana boleh timbul isu 'melesapkan' duit Black?
Puan WP: Sekali lagi saya tegaskan saya tidak pernah melesapkan duitnya dan saya sebenarnya adalah orang yang teraniaya. Tiga bulan sebelum majlis Black, saya diberhentikan tanpa sebab dan Black bersama pihak pengurusan memaksa saya memulangkan semula wang tersebut.

Bagaimana saya mahu memulangkan wang tersebut sedangkan ia sudah dibayar kepada mereka yang terlibat. Saya juga kesal dengan pihak pengurusan Black tidak cuba menasihatkan Black dan saya rasa Black dipengaruhi oleh yang tidak profesional semasa membuat keputusan itu.

Mengapa pula anda rasa teraniaya?
Puan WP: Ya saya memang teraniaya kerana sejak awal lagi Black tidak mahu menandatangani kontrak yang sudah diberikan kepadanya. Oleh kerana itu, ia memudahkan Black untuk menamatkan perkhidmatan saya sesuka hati dan menuntut kembali wang daripada saya walaupun wang tersebut telah digunakan dalam urusan persiapannya.

Pernahkah anda berselisih faham dengan Black sebelum ini?
Puan WP: Saya tidak ada berselisih faham dengannya sebelum ini. Bayangkan ketika bapa saya tenat, saya dihubungi bertalu-talu daripada pihak Black, sehinggakan bapa saya meninggal dan ketika urusan pengebumian mereka masih menghubungi saya.

Tiga hari kemudian saya datang untuk berbincang bersama Black dan pihak pengurusan. Ketika itu mereka layan saya seperti sampah dan saya sudah dapat merasakan perkhidmatan saya akan ditamatkan.

Black bercadang membawa perkara ini ke mahkamah. Bagaimana pula dengan anda?
Puan WP: Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya, jika dia mahu membawa perkara ini ke mahkamah saya sedia berhadapan dengannya kerana saya ada segala bukti.

Selepas perkara ini berlaku, adakah perniagaan dan reputasi anda terjejas?
Puan WP: Alhamdulillah rezeki saya tidak pernah putus dan perniagaan serta reputasi saya tidak pernah terjejas dengan isu ini. Saya tidak bersalah dan bila pelanggan tanya saya sudah jelaskan. Malah mereka juga faham dan mempercayai saya.

Apa nasihat anda untuk Black?
Puan WP: Nasihat saya, sudah-sudahlah membuat cerita buruk mengenai orang lain. Lagi banyak kita bercerita ia seolah-olah membuka pekung di dada. Saya harap Black fikirkan perkara yang positif dan tumpu pada perkahwinannya. Dia pun mahu mendirikan masjid.

Sumber : Sinar harian

Panas!! Pasal 'cap ayam' Deejay Era FM diarah mohon maaf..

Deejay Era FM

MIRI - Deejay Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif akan memohon maaf kepada juara Liga Perdana Sarawak berhubung komen 'cap ayam' dalam rancangan Johara Pagi Era minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd (Astro Radio) Dr Jake Abdullah berkata beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

"Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM, hitz FM dan MY fm ke Bandar Miri hari ini.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

"Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham," katanya sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sejak 2010.

Kenyataan negatif itu dikeluarkan apabila Sarawak kalah 1-2 kepada Perak pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru ini, dan deejay berkenaan didakwa memberi komen Sarawak menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah kerana pasukan itu bermain dalam liga yang mana semua pasukannya adalah 'cap ayam' atau tidak berkualiti.

Deejay berkenaan juga didakwa menyifatkan Sarawak sebagai pasukan yang tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di peringkat Liga Perdana.

Komen itu menimbulkan kemarahan peminat tempatan serta ahli politik di sini dan kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter serta menggesa program Astro itu diboikot selain timbul ancaman bunuh terhadap Johan dan Ray, jika mereka berkunjung ke Sarawak.

Pemantauan Bernama mendapati kebanyakan blog memulakan kempen bagi memboikot Era FM sebagai tanda protes jika deejay berkenaan enggan memohon maaf ketika mereka ke udara.

Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili berkata deejay berkenaan adalah personaliti yang dikenali ramai dan mereka sepatutnya mengetahui etika ketika bersiaran di radio.

"Pemuda PBB mendesak satu permohonan maaf dibuat secara terbuka, jika mereka bergurau, maka mereka sudah melampaui batasan, perlu ada had, mereka harus memahami sensitiviti komuniti tempatan," katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Jake berkata peluasan itu sebahagian rancangan jangka panjang Astro Radio bagi memperkukuh kedudukannya dalam industri penyiaran di negara ini.

"Visi kami ialah memiliki operasi sendiri yang bebas di Sabah dan Sarawak, mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan dalam tempoh 24 hingga 36 bulan akan datang," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, sesetengah program yang bersiaran adalah dari Semenanjung, dan selepas beroperasi sepenuhnya di sini, pendengar di Sarawak serta Sabah boleh menikmati kandungan tempatan 24 jam sehari.

Ketika ini, dianggar lebih 500,000 pendengar Era FM, hitz fm serta My FM di Sarawak dan Sabah. - Bernama

Kisah Malam Pertama Perkahwinan dengan kapal terbang !

Sekadar Hiasan
 
Tersebutlah kisah satu pasangan yg baru berkahwin. Sehari sebelum upacara akad nikah….
Emak pengantin lelaki menasihati anaknya…
“Nak apabila menghampiri isteri mu pada malam pertama, maka kamu harus kata, “Kapal terbang ingin mendarat””.
 
Emak pengantin perempuan pula menasihati naknya…
“Nak, bila suami mu berkata kapal terbang ingin mendarat, maka jawabnya, “Lapangan terbang sudah sedia””.
 
Hari yg ditunggu-tunggu pun tiba…
Si suami tak sabar-sabar dan pabila malam tiba hatinya berdebar-debar.
Dia mendekati si isteri lalu mengatakan “Kapal terbang ingin mendarat”
Si isteri seperti tidak faham dan berkata “Saya penat bang …mari kita tidur.”
Si suami hampa, namun dalam hatinya berkata “Tak apa mungkin isteri aku malu….beri dia peluang kedua”
 
Tiba malam kedua…
Si suami mendekati si isteri dan bertanya lagi “Kapal terbang ingin mendarat.”
Malangnya si isteri masih tidak faham. Kerana suaminya ketika itu memegang surat khabar dalam hatinya berkata..
“Berita apa pula ini.. Ah pedulilah kapal terbang mana nak mendarat pun,
tak ada kena mengena dengan saya.”
Kemudian dia berkata kepada si suami “Sudah lah tu bang, janganlah baca surat khabar lagi, mari kita tidur”
Si suami hampa lagi…
Tetapi dalam hatinya berkata “Tak apalah esok masih ada.”
 
Tiba malam ketiga…
Si suami sekali lagi dengan penuh harapan dan begitu pasti malam ini pasti aku dapat.
Lalu mendekati si isteri dan bertanya lagi “Kapal terbang ingin mendarat.”
Si isteri menjenguk ke arah luar jendela dan menggelengkan kepala sambil dalam hati
berkata “Mana ada kapal terbang !!”
Melihatkan si isteri menggelengkan kepala ….
Si suami hampa dan berkata dalam hati
“Kejamnya isteriku, membiarkan aku menunggu selama 3 hari tapi masih enggan memberikannya kepada ku.”
Si suami dengan muka yg masam terus tidur tanpa mengajak si isteri.
 
Keesokan harinya si isteri bertanya kepada ibunya
“Ibu kenapa suami saya setiap malam berkata, “kapal terbang ingin mendarat??”
Si ibu pun berkata “Apa yg kamu jawab nak ?
Si anak berkata
“Saya tidak jawab apa-apa”
Si ibu berkata lagi
“Apa anak sudah lupa apa yg ibu nasihatkan tentang malam pertama, sepatunya anak menjawab
“Lapangan Terbang sudah sedia”, sebagai tanda bersetuju”
“Oh saya lupa lah ibu….tak apa malam ini saya pasti akan menjawab dengan betul”
 
Maka tiba malam keempat…
si suami seperti tidak menunjukkan apa-apa tanda dia akan
bertanya soalan yg sama.
Malam kian larut…
Si isteri tertanya-tanya bilakah gerangan si suami akan bertanya.
Si isteri akhirnya berkata dalam hati “Mengapa harus aku tunggu lagi,
apa salahnya aku sendiri meng`offer’ kan diri Lalu si isteri pun mendekati si suami dan
terus berkata “Lapangan terbang sudah sedia”,
Si suami kerana terlalu geram dengan si isteri, dengan muka yg masam menjawab “KAPAL TERBANG ROSAK””