Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Aeril dan Wawa sudah berkahwin?

on Monday, 7 October 2013


KONTROVERSI mengenai  dua pelakon popular Wawa Zainal dan aktor  drama bersiri Cinta Jannah, Aeril Zafrel berhubung  tentang pernikahan mereka masih menjadi tanda tanya.

Walaupun khabar angin sudah bertiup kencang di dalam laman sosial dan portal berita hiburan, Aeril hari ini cuba menafikan perkara tersebut.

Menerusi laman Twitter, Aeril berkata, jika mahu mendapat kepastian mengenai perkara tersebut perlu menghubungi penulis artikel berkenaan kontroversi perkahwinan itu.


“Yang rasa mahu mendapatkan kepastian atau tidak, rasanya boleh hubungi penulis artikel berkenaan rajamawar@bh.com.my. Terima Kasih kak Raja. Sayang akak.

“Sampai masanya nanti saya akan dedahkan siapa dan tujuan sebenar 'mereka' itu. Hasbunallah Wani'malwaqil,” tulisnya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pennjelasan daripada empunya badan melalui panggilan telefon tidak berjaya, apabila Aeril tidak menyambut panggilan tersebut.

Sebelum ini, pasangan tersebut  pernah menafikan hubungan cinta mereka dan hanya mengeluarkan kenyataan “kami hanya berkawan sejak 2011”.

Isu ini menjadi panas apabila, pasangan ini dikatakan telah mempunyai cahaya mata lelaki yang kini berusia 6 minggu seperti yang dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Mereka juga, dikatakan telah mendaftar pernikahan di Pejabat Agama Daerah Petaling pada 4 Februari lalu.

Sumber : Sinarharian

Amalan Pada 10 Hari Pertama Zulhijjah

on Sunday, 6 October 2013


BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.
Rasulullah SAW menyebut:
Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu. (Riwayat al-Bazzar: Albani)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya:

Demi Fajar dan hari-hari yang 10. (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)

Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya:

Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini. (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir. 

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya:

Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa. 

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya:

Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah. (Riwayat Muslim)

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. 

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban. 

Allah SWT berfirman:

dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati. (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya:

"Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan. (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

"Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain. Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT:

"Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya:

Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir, (Al-Haj, 28)

Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya. (Al-Haj, 36)

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal). Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

"Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Sumber

Rahsia kecantikan Kampung Girl Nad Zainal


Kehadiran figura bernama Nad Zainal dalam lapangan seni barang kali tidak perlu diperkenalkan lagi.

Biarpun menceburi bidang seni pada tahun 2007, namun bakat lakonan Nad mula mendapat perhatian selepas membintangi drama bersiri Bukan Bidadari  di samping Sharnaaz dan Azlee Khairi tahun lalu.

Bagaimanapun apabila bergelar pelakon, bukan sahaja bakat lakonannya yang menjadi perhatian, bahkan setiap gerak geri, cara berpakaian dan penjagaan diri juga turut menjadi perhatian dan ikutan.

Menyedari perkara itu, jelas gadis bermata bundar berusia 23 tahun ini, dia tidak mengamalkan rahsia khusus untuk menjaga penampilan dan kecantikan. Ikuti cerita Nad Zainal mengenai penjagaan kecantikan dan kesihatan yang diamalkannya.


Wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Bagaimana dengan anda?

Bagi saya cantik itu adalah satu perkara yang universal. Namun apa yang penting kita perlulah sentiasa nampak kemas, bersih dan mempunyai hati yang baik. Secara tidak langsung ia akan menampakkan kecantikan kita secara semula jadi. Kalau cantik muka sahaja tidak guna juga jika dalaman tidak cantik.


Sebagai selebriti pastinya anda sentiasa menjadi perhatian, jadi bagaimana anda menjaga kecantikan dan penampilan supaya sentiasa kelihatan menarik?

Sejujurnya saya tiada rahsia khusus untuk menjaga kecantikan tetapi saya amalkan tidur yang cukup untuk diri sendiri. Kalau tidur tak cukup, mata kita akan sembap dan ia akan menampakkan kita tua sebelum umur. Selain itu pemakanan yang seimbang juga amat penting, jika anda sedang berdiet pastikan berdisiplin dan jangan diet seperti yo-yo (ada naik dan turun). Tentang penampilan pula, saya tak suka terlalu menonjol. Biarlah ringkas dan kemas.


Pernah alami masalah berat badan?

Ya, pernah. Ketika saya berumur 17 tahun, berat saya naik sehingga 55 kilogram (kg) kerana selepas sekolah saya tidak buat banyak aktiviti. Memandangkan saya rendah, jadi memang tidak sesuai berat tersebut dengan tubuh saya. Sehinggalah saya berusia 19 tahun, saya nekad untuk mengurangkan berat badan saya sebanyak 15 kg dan kini saya masih mengekalkan berat badan ideal saya.


Bagaimanakah cara anda mengatasi masalah itu?

Saya tinggalkan nasi untuk seketika tetapi selalunya saya akan ambil makanan yang berat pada waktu tengah hari. Kebetulan ketika itu saya sibuk dengan pementasan teater, dan sebelum sesi latihan kami akan buat senaman ringan dan ia banyak membantu mengurangkan berat badan saya. Sekarang pun, kalau ada masa saya akan cuba luangkan masa untuk berjoging. Tapi saya jarang ke gimnasium kerana kekangan masa bekerja.


Bagaimana pula dengan penjagaan wajah?

Saya ada cara yang kurang betul menjaga wajah dan kalau boleh jangan ikutlah (ketawa). Kulit muka saya sangat sensitif dan saya tak boleh guna produk yang mahal. Jadi semua produk saya cuba kerana saya mahu lihat ia sesuai dengan kulit saya atau tidak.


Jika ramai selebriti gemar mengunjungi spa dan salun, anda pula bagaimana ?

Saya lebih gemar urut badan. Jadi dalam sebulan saya akan ke spa untuk urut dan rehatkan badan. Saya juga kerap ke salun untuk memastikan rambut saya sihat selepas menjalani banyak dandanan rambut ketika dalam penggambaran.

Namun saya tak suka melakukan facial kerana wajah saya sangat sensitif. Pernah cuba sekali dan sampai sekarang saya tak percaya dengan rawatan tersebut.


Berapa pula kos yang anda peruntukan untuk penjagaan tubuh dan wajah dalam sebulan?

Saya hanya belanjakan RM500-RM700 sebulan untuk produk wajah, rambut dan beberapa suplemen untuk penjagaan dalaman.


Jika berhadapan dengan tekanan, bagaimana anda mengatasinya?

Bila saya tertekan, saya akan pergi buat sesuatu yang saya suka seperti menonton wayang, pergi ke salun dan makan makanan manis seperti aiskrim dan 'ice blended'. Selain itu saya juga gemar melayari Internet dan meluangkan masa bermain dengan kucing dan biasanya selepas itu tekanan saya akan reda sedikit demi sedikit.


Akhir sekali, apa perkembangan anda sekarang?

Saya baru sahaja selesai menjalani pementasan Maduku.. Kalut. Selepas ini saya akan berehat seketika sebelum menerima apa-apa tawaran. Saya ini jenis fokus pada satu kerja pada satu masa sahaja.


5 PERKARA MENGENAI NAD ZAINAL

1. Peminat setia Shahrukh Khan.
2. Membela lima ekor kucing.
3. Ketinggian Nad hanya 155cm.
4. Anak tunggal.
5. Mengimpikan ke New York untuk membeli-belah.

AQMAR MUSTAZA
Sinarharian

Azharina Akui Lelaki Takut Hampirinya Sejak Bergelar Janda


PETALING JAYA: Penyanyi lagu Elegi Sepi iaitu Azharina mengakui lelaki takut mendekatinya selepas bergelar janda sejak enam tahun lalu.

Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar, 28, berkata, disebabkan perkara itu juga dia masih solo namun mengakui selesa dengan statusnya itu.

"Orang akan ingat saya jenis yang memilih atau sudah serik untuk berumah tangga tetapi sebenarnya lelaki takut hendak dekat dengan saya selepas bergelar janda,' katanya kepada mStar Online.

Bagiamanapun kata Azharina atau lebih mesra dengan sapaan Nina, ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya sebelum ini namun hubungan tersebut tidak kekal lama.

Jelas Nina, lelaki yang cuba rapat dengannya itu tidak dapat memahami kariernya sebagai seorang penyanyi tambahan pula jadualnya padat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Bukan tidak ada yang cuba tetapi hubungan itu tak dapat bertahan kerana saya sangat mengutamakan karier berbanding percintaan tetapi saya tidak kisah kerana menganggap jodoh belum sampai," jelasnya.

Tambah Nina, walaupun keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri menembal dalam dirinya namun selepas enam tahun hidup bersendirian dia tidak melihat perkahwinan sebagai keutamaan pada masa ini.

"Apabila tengok adik-beradik yang telah berkahwin dan mempunyai anak rasa cemburu juga tetapi saya tidak tertekan hidup menjanda malah lebih berdikari," ujarnya.

Dalam pada itu, Nina berkata, dia sebelum ini tidak berniat untuk merahsiakan status perkahwinannya daripada pengetahuan umum sebaliknya memberitahu dia tidak mempunyai pilihan.

Jelas Nina, bekas suaminya tidak mahu perkahwinan mereka diketahui umum dan dia telah berjanji untuk tidak membocorkan mengenai perkara itu kepada pihak lain.

"Saya buat begitu kerana diberi kata dua oleh bekas suami dan sebagai isteri saya perlu taat kepadanya. Jika perkara itu terbongkar saya akan diceraikan dengan talak tiga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nina berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya iaitu Pergilah Cinta dan akan melakukan strategi pemasaran berbeza bagi mempromosikan lagu itu.

Sumber : Mstar

7 Tanda Kekasih Anda Inginkan Hubungan Yang Serius

on Saturday, 5 October 2013


Adakah teman lelaki anda serius tentang anda? Adakah dia mahu hubungan jangka panjang dengan anda? Berikut merupakan beberapa tanda bahawa kekasih anda inginkan hubungan yang serius dengan anda.

1. Anda adalah keutamaan beliau

Jika anda adalah keutamaannya yang pertama, maka pastikan dia benar-benar mencintai anda. Jika dia meluangkan masa walaupun dia sibuk semata-mata untuk menghabiskan masa dengan anda, maka dia memang serius tentang anda.

2. Dia berkongsi sesuatu dengan anda
Lelaki biasanya tidak berkongsi hari-hari mereka terutamanya mengenai aktiviti harian mereka dengan semua orang. Jika teman lelaki anda memberitahu anda segala-galanya yang berkaitan dengan hidupnya, maka anda benar-benar istimewa dimatanya. Dia selesa dengan anda kerana dia mungkin mencari hubungan jangka panjang dengan anda.

3. Dia menyokong anda
Jika dia menangis di hadapan anda, maka ini adalah serius. Lelaki jarang menangis atau berkongsi kesakitan mereka dengan seseorang dengan begitu mudah. Tetapi apabila mereka lakukan perkara ini, maka anda telah menjadi seseorang yang istimewa. Jika dia mahukan sokongan emosi dalam diri anda, maka dia serius tentang hubungan ini.

4. Dia bercakap tentang mempunyai keluarga
Melainkan jika dia serius, tidak ada sebab dia akan bercakap tentang keluarga dan anak-anak. Jika  teman lelaki anda bercakap tentang perancangan keluarga dan anak-anak, maka dia melihat hubungan anda berdua sebagai hubungan jangka panjang. Jika dia menyebut tentang anak-anak , maka dia mempunyai gambaran lengkap mengenai anda dan dia bersedia bersama selama-lamanya.

5. Dia bertindak bertanggungjawab di sekeliling anda
Jika anda tiba-tiba mendapati dia bertanggungjawab dalam menguruskan kerja dan wang, maka ini mungkin disebabkan oleh salah satu sebab, dia suka anda, dan itu adalah sebab mengapa dia bertanggungjawab dalam kehidupan. Dia cintakan anda, dan mahu anda tahu bahawa anda boleh bergantung kepadanya dengan kehidupan anda.

6. Bersikap penyayang
Jika dia telah mula menjaga anda, maka dia adalah serius tentang anda dan hubungan anda berdua. Beliau juga mungkin mula menjadi pelindung anda, kerana dia tidak mahu kehilangan anda.

7. Dia memperkenalkan anda kepada keluarga dan rakan-rakannya
Jika teman lelaki anda rela memperkenalkan anda kepada keluarga dan kawan-kawannya, maka dia serius tentang anda. Dia pasti mencari hubungan jangka panjang dengan anda. InsyaAllah.


Bila serious relationship baru boleh plan kahwin!

Sumber

Izzue Islam Risau Diserang Asma Ketika Rakaman Rancangan Fear Factor


PETALING JAYA: Pelakon dan ahli kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam risau diserang penyakit asma ketika menjalani penggambaran program Fear Factor di Cape Town, Afrika Selatan bermula 9 Oktober ini.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, berkata, jika penyakit itu menyerang dia bimbang akan menyusahkan pihak produksi selain mengganggu penggambaran yang dijangka selesai dalam masa dua minggu.

"Insya-Allah untuk menghadapi cabaran seperti berada di tempat tinggi atau dikurung bersama binatang berbisa mungkin tiada masalah tetapi saya cuma bimbang akan diserang asma.

"Bagaimanapun saya harap penggambaran itu nanti akan berjalan lancar dan dapat menyelesaikan semua cabaran dengan baik," jelasnya kepada mStar Online.

Dalam perkembangan sama, Izzue berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti seni dia tetap mencuri masa untuk melakukan senaman sebagai persediaan menyertai program tersebut.

Jelas Izzue, dia banyak melakukan senaman di pusat kecergasan dan berjoging bagi patkan stamina sebelum menyertai Fear Factor.

"Ini adalah satu cabaran untuk saya dan walaupun sedikit gementar ia tidak mematahkan semangat untuk menyertai program tersebut dan persediaan fizikal amat penting," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tuduhan kononnya dia menipu wang peminat dengan menjual telefon bimbit sebelum ini, Izzue menjelaskan dia tidak teragak-agak membuat laporan polis kepada pihak yang menggunakan namanya atas tujuan berkenaan.

"Saya masih boleh bersabar dan telah menjelaskan kepada peminat keadaan sebenar supaya mereka tidak tertipu dengan penjualan telefon bimbit yang menggunakan nama saya itu.

"Setakat ini tiada mangsa terbaharu yang tampil membuat aduan selepas tiga orang berbuat demikian sebelum ini dan jika ada saya sendiri akan membuat laporan polis," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izzue akan kembali sibuk dengan aktiviti seninya dan selepas pulang dari Cape Town nanti.

Sumber : Mstar

Apakah Pak Menteri di Malaysia sedar?


SEBAGAI rakyat Malaysia saya pernah menghadapi ;

1. Kereta kena tarik sebab kehabisan minyak

2. Beli minyak RON95 dengan duit syiling

3. Beli susu anak dengan berhutang

4. Tidurkan anak di atas plastik kerana lampin kehabisan

5. Terpaksa makan makanan hampir basi kerana kelaparan.

6. Berjalan kaki ke tempat kerja kerana kenderaan rosak

7. Tidak dapat pulang berhari-raya kerana  kekurangan wang dalam perjalanan

8. Bekalan air kena potong sebab bil tertangguh…

9. Pinjam telepon kawan kerana tiada top-up

Apakah pak-pak menteri sedar?

Semua yang tertera di atas adalah sedikit daripada masalah yang saya hadapi kerana kekurangan sumber kewangan walaupun kerja macam mahu mati, saya kira pelbagai masalah lagi yang serius dihadapi oleh sebahagian rakyat negara ini kerana tekanan hidup disebabkan tidak cukup duit dan kenaikan harga barang.

Setiap kali Laporan Ketua Audit didedahkan, setiapkali itu juga kami sebagai rakyat menangis tetapi sebaliknya pak-pak menteri yang diamanahkan jaga wang negara lain pula hujah mereka… Menteri boleh kata “tiada pembaziran berlaku”…

Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku, apakah pak-pak menteri sedar?

Saya tidak mampu berkata apa-apa lagi melainkan berdoa, berdoa dan berdoa…



Coretan oleh:

Ahmad Nazri Khamis

Batu Pahat. 4 Oktober 2013

Sumber : Sinarharian

Elfira Loy Bukan Lagi Artis Eksklusif Astro

on Friday, 4 October 2013


PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy bukan lagi artis eksklusif stesen televisyen Astro selepas kontraknya tamat pada Disember tahun lalu.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy, 19, berkata, dia telah bernaung di bawah stesen itu sejak dua tahun lalu dan merasakan sudah tiba masanya untuk berdikari dengan menguruskan kerjaya sendiri.
"Saya dah nak masuk umur 20 tahun dan sudah tiba masanya saya menguruskan kerjaya sendiri.
“Lagipun kontrak saya sudah tamat pada hujung tahun lalu di mana pihak Astro memberikan saya buat pilihan sama ada mahu sambung atau tidak," katanya kepada mStar Online.
Elfira ditemui pada majlis pelancaran produk syampu anti kelemumur terbaharu jenama Sunsilk Hair Fall Solution di Sunway Piramid di sini pada Khamis.
Tambah Elfira, dia juga bersyukur, walaupun tidak menyambung kontrak dengan Astro, dia masih lagi menerima pelbagai tawaran drama daripada stesen berkenaan.
Sementara itu, Elfira menghadiri majlis pelancaran Sunsilk itu sebagai tanda sokongan terhadap produk terbabit.
Lebih-lebih lagi kata Elfira, dia seorang penggemar produk berkenaan sejak dulu kerana ia dapat mengatasi masalah keguguran rambut.
"Saya seorang yang sangat peka berkaitan kecantikan diri terutamanya rambut. Sebelum ini saya sering mengamalkan penjagaan rambut cara tradisional dengan menggunakan santan dan bunga raya.
"Bagaimanapun, apabila dah dewasa dan sibuk dengan kerja-kerja lakonan, saya akan ke salon untuk mendapatkan rawatan rambut sekurang-kurangnya sekali salam tiga hari dan selebihnya saya menggunakan syampu Sunsilk di rumah," tuturnya.
Selain Elfira, aktres Liyana Jasmay turut hadir ke palancaran produk syampu berkenaan.
Dalam pada itu, pengurus jenama Sunsilk iaitu Phoenix Ho berkata, pihaknya turut mengadakan peraduan buat pengguna jenama itu dengan menghantar sekeping gambar bersama kapsyen yang menarik ke laman sosial ‘Facebook Sunsilk Malaysia’.
"Seramai 25 orang akan dipilih melalui sistem undian di Facebook untuk memenangi sebuah Ipad Mini serta menghadiri parti akhir tahun Sunsilk.
"Peraduan akan bermula pada Oktober dan saya percaya di zaman teknologi ini, pelbagai gambar dan kapsyen menarik boleh dilakukan dan semestinya saingan pasti akan sengit," kata Phoenix.
Sumber : Mstar

Nurul selamat melahirkan bayi lelaki bergelar 'Z'


TAHNIAH! Penyanyi dan pelakon terkenal tanah air, Nurul Huda Abdul Wahab atau Nurul, 31 telah selamat melahirkan bayi  lelaki yang digelarnya sebagai "Z" pada jam 10.28 pagi, hari ini.

Nurul yang dipetik di laman blognya, menyatakan bayinya itu dilahirkan secara normal dan seberat 3.03 kilogram.

Menurutnya, yang telah menjadi isteri kepada Eric Daniel Depp pada Jun tahun lalu, pengalaman kedua melahirkan bayi itu terasa mudah.

"Syukur Alhamdulillah aku dah selamat melahirkan bayi ‘Z’ jam 10.28 pagi tadi.

"Bayi sihat dan begitu juga aku. "... Aku sakit tak lama, bermula jam 10.30 malam, semalam, 1 jam sekali sakitnya, jam 3 pagi langsung ke hospital.

"Syukur Alhamdulillah berkat doa semua, pengalaman kedua ini amat mudah bagi aku," katanya yang sempat menulis berita itu, selepas melahirkan bayinya pagi tadi.

Bagaimanapun buat masa ini Nurul masih belum ingin mengumumkan siapakah nama sebenar bayi lelakinya.

Untuk makluman, bayi ini merupakan anak pertama hasil daripada perkahwinan Nurul dan Eric Deep.

Sebelum ini, Nurul pernah mempunyai seorang anak, Ayu Nazirah, 15, bersama hasil perkahwinannya dengan Mohd Faizal Maas atau Ajai.

JAMILAH HAMZAH
Sumber : Sinarharian