Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

KSN pula saran pegawainya ada FB, Twitter

on Saturday, 15 June 2013


PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyarankan semua Ketua Setiausaha dan timbalannya serta ketua pengarah membuka akaun laman sosial seperti Facebook dan Twitter masing-masing untuk berinteraksi dengan rakyat.
 
Beliau berkata langkah itu juga membolehkan usaha menangkis fitnah berhubung perkhidmatan awam dapat dilakukan dengan segera.
 
Kebelakangan ini, katanya segelintir pihak menggunakan laman sosial untuk menyebar fitnah tentang kerajaan terutamanya perkhidmatan awam dan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai laman sosial pasti boleh menangkisnya.
 
"Saya minta agar pegawai kerajaan terutamanya pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) yang aktif dalam laman sosial dapat memberikan fakta dan maklumat yang tepat dan benar bagi 'counter-attack' sebarang fitnah tersebut.
 
"Jika kita tidak membantu keadaan ini dengan fakta sebenar, rakyat akan terus percaya serta sebarkan fitnah itu dan ia hanya akan memburukkan lagi situasi semasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berinteraksi bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini hari ini.

Ali berkata pelbagai evolusi berlaku dalam perkhidmatan awam terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lepas dan sebagai penjawat awam, PTD seharusnya memainkan peranan lebih penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksana dengan jayanya.
 
Bagi menjadikan peranan PTD sentiasa relevan dengan perubahan semasa, beliau berkata mereka juga perlu mengambil langkah proaktif dengan sentiasa turun padang.
 
"Menjadi tanggungjawab PTD untuk mendekati serta membantu masyarakat yang memerlukan dan bukan sekadar duduk di pejabat. Jika di luar bidang kuasa, rujuklah kepada pihak yang berkenaan," katanya.
 
Beliau berkata semua PTD, pegawai kerajaan dan penjawat awam perlu bersedia berdepan evolusi semasa untuk memastikan kerjaya perkhidmatan awam mampu menjadi pilihan generasi akan datang.
 
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pegawai kerajaan dan PTD supaya menyegerakan pelaksanaan dasar-dasar yang diluluskan kerajaan. - Bernama

Sumber
Ranking: 5

{ 2 comments... read them below or add one }

Tedi said...

Mereka dh bg maklumat tepat pun sebelum ni. :)


15 June 2013 at 09:02
Nasarudin Ismail said...

Tulah..ade tempat yang block pegawai atau penjawat awam menggunakan 2 site tersebut. namun nampaknya pihak atasan pula menggalakkan penggunaanya.


15 June 2013 at 21:05

Post a Comment