Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

PM Malaysia : Empat unsur kekalkan kestabilan, perpaduan negara

on Saturday 31 August 2013


MELAKA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengariskan empat unsur bagi mengekalkan kestabilan dan perpaduan di negara ini iaitu sikap toleransi, hormat menghormati, menjaga sensitiviti dan saling mempercayai antara satu sama lain.
  
Beliau berkata rakyat yang mempunyai sikap toleransi akan menjurus kepada penerimaan dan meraikan kepelbagaian kaum, adat serta budaya masyarakat di negara ini.
  
Sikap saling menghormati antara satu sama lain pula, katanya akan memberi ruang kepada setiap kaum di negara ini mengamalkan adat dan budaya masing-masing.
  
"Saling menghormati antara kumpulan etnik walaupun minoriti adalah satu nilai baik..,umpamanya kita tidak tindas masyarakat Portugis sebaliknya memberi  tempat yang baik kepada mereka di Melaka," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Merdeka Raya 2013 di sini, malam ini.
  
Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
  
Najib berkata rakyat juga tidak seharusnya menyentuh sensitiviti kaum lain sebaliknya mencari jalan atau cara sewajarnya supaya tidak menyakiti perasaan sesuatu kaum.
  
Beliau berkata unsur yang terakhir ialah perlunya ada sikap untuk saling mempercayai antara satu sama lain yang membolehkan masyarakat di negara ini hidup aman dan bahagia.
  
Katanya Malaysia yang menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 esok bertuah kerana mempunyai kemerdekaan yang menjurus kepada negara maju dan berjaya.  

Justeru, Perdana Menteri berkata rakyat perlu bersyukur dan mengambil iktibar daripada sejarah agar keamanan yang dikecapi hari ini terus berkekalan.
  
"Kalau kita buta sejarah kita akan menjadi warga negara yang tidak punyai jati diri yang kukuh, nilai kemerdekaan amat bermakna bukan sahaja kita melaungkan merdeka tetapi memahami pengertian merdeka," katanya.

Sementara itu, Najib memuji penganjuran majlis anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu yang disifatkan berjaya memperlihatkan kebolehan menteri dan ketua menteri yang baru dilantik ke jawatan tersebut.
  
"Kedua-dua mereka ini Idris dan Mohamed Nazri baru dilantik ke jawatan masing-masing ... malam ini antara ujian pertama bagi kedua-dua pemimpin kita dan ini sebahagian daripada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mereka, saya rumuskan kedua-dua capai KPI cemerlang," katanya.
  
Beliau berkata pemilihan Melaka bagi penganjuran majlis itu bertepatan kerana negeri itu mempunyai nilai budaya dan sejarah selain merupakan kawasan tarikan pelancong.
  
Katanya penganjuran majlis itu juga merupakan persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2014.- Bernama
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment