Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Henti kaitkan saya dengan Shila Amzah - Sharnaaz Ahmad

on Monday 2 December 2013


EKORAN fitnah yang diterima bertubi-tubi tanpa henti, pelakon Sharnaaz Ahmad, 26, telah membuat keputusan nekad untuk bersara daripada dunia hiburan dan meneruskan kehidupan dengan pekerjaannya sebelum ini.

Tindakannya itu kata Sharnaaz dibuat demi membahagiakan individu lain yang enggan melihatnya berada di pentas seni, selain ingin menjaga hati keluarganya daripada terus dilukai.

Kesempatan bertemu pelakon itu sempena majlis pelancaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta gandingannya bersama pelakon jelita, Nelydia Senrose di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! segera mendapatkan kepastian lanjut mengenai hal tersebut.

Sharnaaz turut mengulas perkembangan kisah bekas kekasihnya, Shila Amzah yang telah berpisah dengan Johan As’ari baru-baru ini. Ikuti sedutan temu bual tersebut.

Kosmo!: Keputusan Sharnaaz untuk bersara daripada dunia seni mengejutkan ramai. Adakah anda terkilan dengan tindakan itu memandangkan anda masih muda dan hijau dalam industri dan berbakat besar?

SHARNAAZ: Saya sangat terkilan sebab saya sangat sayangkan karier lakonan saya. Ada juga beberapa pengarah dan produser yang memujuk saya tapi saya sudah tidak mampu bertahan dengan fitnah dan cacian tanpa henti. Selama ini saya berdiam diri tapi sudah sampai masanya untuk saya bertindak bagi menggembirakan hati pihak yang mahu saya berundur.

Apabila membuat keputusan itu, apakah reaksi pihak yang selama ini sering melemparkan kata-kata negatif terhadap anda?

Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Selama ini, saya duduk diam pun tetap kena hentam. Namun, selepas saya memberitahu akan berundur pun tetap saya kena maki.

Apakah reaksi keluarga anda apabila mengumumkan untuk bersara?

Mereka menyokong tindakan saya dan mereka mengenali saya sejak daripada kecil. Malah, saya tidak pernah berbohong dengan kedua-dua ibu bapa saya. Asalkan jangan sentuh (libatkan) keluarga saya, itu sudah memadai. Cukuplah mengutuk saya seorang. Saya tidak mahu mulakan perang!

SHARNAAZ sudah nekad untuk bersara daripada berlakon.

Adakah drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta adalah lakonan terakhir anda?

Saya masih dalam perbincangan dengan produksi drama bersiri Cinta Ramadan yang sepatutnya membabitkan saya bersama Elfaeza Ul-Haq. Saya telah berjanji untuk terbabit dalam penggambaran siri terbaharu drama itu, biarpun mereka tidak memaksa tapi rasa kurang manis pula kalau saya tidak tepati janji saya. Keputusan ini pun perlu dibincangkan bersama keluarga saya, kalau mereka tidak bersetuju pun susah juga nanti. Ikutkan hati memang nak bersara.

Adakah anda sudah mempunyai perancangan lanjut sekiranya bersara daripada dunia seni kelak?

Saya akan kembali semula bekerja dalam bidang hartanah atau industri minyak dan gas. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang sukan permotoran dan insya-Allah akan menyertai Malaysian Super Sport Motor Series tahun depan. Sekarang masih dalam proses pembelajaran sejak bulan Ogos lalu. Alhamdulillah dari segi teori, kelajuan dan kedudukan badan sudah boleh kuasai sedikit sebanyak.

Mengejutkan umum apabila hubungan mesra Johan As’ari dan Shila Amzah putus di tengah jalan setelah Johan mengambil keputusan bakal berkahwin dengan Lana Nodin. Apakah komen anda?

Saya tidak tahu, tidak mahu mengulas lanjut. Saya tidak mahu komen apa-apa, mungkin hari ini hari dia, esok lusa mungkin hari saya. Jodoh itu Tuhan tentukan. Saya tiada masalah dengan Johan, sebelum ini pun saya pernah mengucapkan good luck untuk filem terbaharunya, Balada Pencinta.

Melalui Twitter anda kelmarin, anda dilihat begitu marah dengan menulis kata-kata yang kurang enak seperti mahu memukul orang yang masih mengaitkan anda dengan kes Johan-Lana-Shila. Apa komen anda?

Memang saya yang menulis kenyataan tersebut. Tentang pernyataan berbunyi ‘Hammer boleh berbicara’, itu bukan bermaksud saya nak pergi pukul orang dengan tukul besi, sebaliknya ia adalah metafora kemarahan saya kepada orang yang asyik mengaitkan saya dengan ‘cinta’ mereka. Sebenarnya, saya tak marah pada Shila atau Johan, sebaliknya kepada pihak yang cuba menjodohkan saya kembali dengan Shila. Saya mohon kepada semua, beri saya peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri dan henti kaitkan saya dengan Shila.

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment