Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Empat finalis PU sedia berentap Malam Ini

on Thursday 9 January 2014


BERSAING selama tujuh minggu melalui program realiti TV Islamik, Pencetus Ummah (PU), empat peserta yang berjaya ke peringkat akhir kini sudah bersedia mendepani dua tugasan peringkat akhir program yang bakal disiarkan pada hari ini, pukul 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135).
Dua cabaran yang bakal diharungi empat finalis Pencetus Ummah iaitu dikenali PU Rahmat, PU Yeop, PU Shahul dan PU Hafiz adalah merujuk kepada dua tajuk yang diberikan juri iaitu Cinta Rasul dan juga empat tajuk tugasan yang diperoleh peserta melalui cabutan undian.
Bersyukur kerana terpilih untuk bertanding ke peringkat akhir daripada 12 peserta, menurut PU Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, dia mendapat tajuk Pendakwah Untung Dunia dan Akhirat serta tajuk Cinta Rasul yang diberikan kepada keempat-empat peserta akhir.
“Untuk tajuk Cinta Rasul, saya akan bercerita mengenai pengalaman duduk di Madinah selama empat tahun. Saya akan tonjolkan sesuatu yang luar biasa seperti jasad Nabi Muhammad yang terdapat di sana,” ungkap peserta berusia 32 tahun berasal dari Klang, Selangor itu.
Bertugas sebagai pensyarah Qiraati dan merupakan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang, Hafiz juga akan bercerita mengenai Bukit Uhud yang menjadi saksi kepada peperangan paling dahsyat dalam sejarah agama Islam.
Shahul gementar
Sementara itu, bagi Shahul atau nama sebenarnya Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Md., biarpun dia mempunyai lebih banyak pengalaman dakwah daripada tiga lagi peserta, namun dia mengakui tidak mudah untuk mengalahkan ketiga-tiga peserta lain kerana semua mempunyai kelebihan masing-masing.
“Dalam pertandingan, lain cabarannya. Mungkin dari segi isi saya tidak ada masalah sebab ada kitab sebagai rujukan tetapi dari segi penyampaian kita tidak tahu apa kehendak masyarakat dan juga juri,” ujarnya jujur.
Sedikit lega kerana pada peringkat akhir Shahul mulai nampak apa yang dikehendaki oleh juri. Bagaimanapun, peserta berusia 38 tahun itu sedikit gementar dengan tajuk yang diperoleh menerusi undian iaitu Ibu Bapa Hebat, Anak Keparat dan juga masa singkat yang diberi.
Namun begitu, melalui tajuk kedua iaitu Cinta Rasul, Shahul yang juga merupakan jurusan Sarjana Hadith (Al-Quran dan Sunnah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu akan mengangkat kisah keunggulan dan kehebatan Nabi Muhammad dari sudut yang belum pernah diketahui masyarakat.
“Sebenarnya isi untuk Cinta Rasul itu saya sudah ada lama tetapi untuk tugasan lagi satu iaitu Ibu Bapa Hebat, Anak Keparat itu sedikit sukar. Sebabnya, saya sudah dapat tajuk yang lebih kurang sama seperti ini sebelum ini.
“Saya juga risau dari segi masa yang diberi. Biasa mengajar atau beri ceramah selama tiga jam. Untuk tugasan ini saya cuma diberi masa selama tiga minit,” luahnya yang mempunyai pengalaman mengajar agama selama 15 tahun.
Mengulas lebih lanjut mengenai tugasan akhir yang bakal dilunaskan, peserta yang terkenal dengan dakwah humor iaitu Mohd. Zinudin Mohamed Zaini atau PU Yeop memberitahu dia akan memfokuskan mengenai Rasulullah menggembala kambing ketika di usia kanak-kanak untuk tugasan kedua iaitu Cinta Rasul.
“Saya lebih selesa mengangkat kisah Nabi ketika kecil. Sebabnya, sebelum ini saya sentiasa beri ceramah mengenai kisah tersebut. Saya juga akan selitkan sedikit humor ke dalam cerita tersebut,” jelasnya yang memberitahu akan tampil cerita yang lebih menghiburkan di akhir Pencetus Ummah nanti.
Yeop yang mempunyai pengalaman selama hampir lima tahun sebagai tenaga pengajar kursus praperkahwinan di Jabatan Agama Islam Perak menegaskan, tugasan yang diperoleh menerusi undian pula adalah bertajuk Kenapa Doa Aku Tidak Makbul.
Pengisian eksklusif Rahmat
Peserta akhir yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir Pencetus Ummah yang juga merupakan peserta paling popular dalam kalangan penonton iaitu PU Rahmat pula mendedahkan dia akan cuba tampilkan pengisian dakwah secara eksklusif melalui tajuk yang diperoleh iaitu Mencari Cinta Kekasih Sehingga Lupa Cinta Maha Pengasih.
“Saya sedar cabaran dari segi ilmu dan kematangan saya sangat berbeza daripada peserta-peserta lain. Disebabkan itu, saya akan cuba tampilkan pengisian lebih eksklusif seperti yang ditampilkan oleh penceramah dari Eropah,” ulas peserta berusia 20 tahun itu.
Sedar ilmu agama sedikit kurang berbanding tiga peserta lain, pelajar jurusan Sains Persekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyusun strategi untuk menarik perhatian pengundi melalui laman sosial Facebook.
Bagaimanapun, peserta berasal dari Segambut, Kuala Lumpur itu juga tidak membelakangkan para juri yang memberi markah 70 peratus daripada 100 peratus itu.
Pencetus Ummah menggunakan sistem pemarkahan iaitu sebanyak 70 peratus undian juri manakala 30 peratus pula melalui undian penonton.
Program realiti Islamik terbaharu di Astro Oasis yang membawa para peserta menggunakan pelbagai cara kreatif dalam menyampaikan dakwah itu mula ditayangkan pada 21 November lalu.
Seramai 12 orang peserta telah dipilih dan empat orang yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir. Peserta yang tidak berjaya ialah PU Thowi, PU Fakhrul, PU Razi, PU Fidz, PU Hissam, PU Izzat, PU Sufian dan PU Salman.
Juara Pencetus Ummah bakal memenangi hadiah utama iaitu wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta. Naib juara pula akan menerima wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga dan keempat bakal membawa pulang wang sagu hati RM10,000 setiap seorang.
Sumber
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment