NEGARA semakin maju. Pembangungan semakin rancak. Manusia pula semakin lama semakin bijak. Ilmu dan pencapaian akademik menjadi keperluan penting untuk meletakkan diri seiring evolusi zaman.
Dalam meniti arus kemodenan pada hari ini, sebahagian besar ibu bapa perlu bekerja sehingga waktu mereka bersama-sama anak-anak sangat terhad bagi merangsang pendidikan mereka di rumah.
Oleh yang demikian mereka berlumba-lumba mencari tempat pendidikan terbaik buat anak-anak semenjak dari kecil lagi. Ada yang memilih pra sekolah, ada yang memilih taska, tadika, nurseri, program pengkhususan Islamik dan kaedah montessori.
Semua senarai ini dikaji ibu bapa agar dapat memberi perkhidmatan dan teknik penyampaian berkesan dalam membantu pencapaian anak-anak mereka.
Ibu bapa daripada keluarga kurang bernasib baik kurang memerhatikan tentang pentingnya stimulasi pada usia awal ini. Namun, bagi ibu bapa yang berkemampuan, wang ringgit bukan halangan.
Ada sesetengah nurseri, yuran pendaftarannya sama mahal dengan institusi pengajian tinggi tetapi mereka sanggup membayarnya. Permintaan daripada kelompok ibu bapa inilah yang menjadikan fenomena pusat asuhan dan didikan dengan pelbagai kaedah pendidikan, tumbuh melata bak cendawan muncul selepas hujan.
Asas penting
Taska dan tabika adalah pendidikan asas yang penting dan ia telah mendapat perhatian di semua peringkat masyarakat. Ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup seseorang individu selain daripada pendidikan yang diterimanya di rumah.
Setiap kali tiba musim persekolahan dan awal tahun, ibu bapa sibuk membuat persediaan mencari tabika atau taska untuk anak kecil mereka.
Tidak hanya membuat carian di internet, ibu bapa turut berkunjung dari satu tadika ke tadika yang lain untuk mencari persekitaran yang kondusif serta teknik pembelajaran berkesan dalam membantu perkembangan anak.
Kecenderungan ibu bapa dalam memerhati dan mengikuti perkembangan pembelajaran anak-anak seterusnya akan membantu menanam nilai positif dalam hati mereka.
Dalam masa sama, kanak-kanak akan memahami betapa ilmu dan pelajaran itu penting dan mereka perlu berusaha untuk mencapai yang terbaik untuk diri sendiri. Sekali gus ibu bapa telah membantu membimbing anak-anak mereka memenuhi impian semenjak dari kecil.
Maksimumkan potensi anak
Bagi ibu bapa yang belum tersedar akan hakikat ini, ketahuilah pendidikan awal kanak-kanak sememangnya mempunyai pengaruh paling besar ke atas semua aspek perkembangan kanak-kanak.
Pendidikan awal yang baik dapat membantu memaksimumkan potensi penguasaan anak-anak terhadap pelajaran. Sebaik mereka melangkah ke pra sekolah dan sekolah rendah, mereka semakin faham dan jelas akan tujuan menimba ilmu.
Anak-anak kecil kita merupakan khazanah sumber manusia yang cukup penting kepada pembangunan dan masa depan bangsa dan negara. Ilmu yang baik akan membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu.
Masa kita yang terhad di rumah menuntut kita untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak kita semenjak dari awal. Maju dan mundurnya sesebuah negara banyak bergantung kepada modal insan yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek anak-anak kita.
Merekalah yang bakal memikul tanggungjawab dan iltizam untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Sumber
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment