Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Syura cerai bukan mahu jadi popular

on Wednesday, 4 March 2015


Sejak kebelakangan ini nama penyanyi Syura kembali hangat gara-gara kes perceraian dan rujuk dengan bekas suami, Mohd. Fadhly Md. Yassin, 34, yang tidak berpenghujung.
Bagaimanapun, kemelut rumah tangga pasangan yang telah bercerai talak satu pada September 2014 itu telah berakhir pada Selasa lalu apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur membenarkan Mohd. Fadhly menarik semula permohonan pengesahan lafaz rujuk yang telah dibuat secara lisan pada 10 November tahun lalu.
Disebabkan keengganan Syura atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron, 29, merujuk semula dengan bekas suaminya, masyarakat telah meletakkan kesalahan kepadanya dan mendakwa penglibatan semulanya dalam bidang seni selepas bergelar juara program Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua pada 2013 sebagai punca kepada keretakan rumah tangganya yang dibina pada 29 Mac 2006.
Ibu kepada tiga orang anak itu menafikan penglibatan semulanya dalam bidang seni sebagai punca perceraiannya, namun enggan berkongsi sebab utama dia berpisah dengan enggan kembali rujuk bersama bekas suami.
Katanya, memadai hanya dia dan keluarga yang mengetahui kisah sebenarnya.
KOSMO!: Apakah pandangan Syura apabila masyarakat seolah-olah meletakkan kesalahan kepada anda kerana perceraian berlaku selepas anda kembali aktif dalam bidang seni?
Syura: Selama ini saya berdiam diri kerana banyak hati yang perlu dijaga. Bekas suami merupakan sepupu saya sendiri tetapi tidak adil untuk masyarakat meletakkan hukum kepada saya apabila perceraian berlaku kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku.
Tuduhan seperti saya lupa diri selepas popular dan kembali aktif dalam dunia seni merupakan punca utama perceraian adalah suatu fitnah yang melampau. Ingin saya tegaskan, perceraian yang berlaku tidak ada kena-mengena dengan penglibatan semula saya dalam dunia seni.
Jika begitu, apakah sebabnya anda bercerai dan enggan kembali rujuk bersama bekas suami?
Tidak manis untuk saya berkongsi punca perceraian dan sebab saya nekad untuk tidak kembali rujuk bersama bekas suami dengan orang ramai. Cukuplah hanya saya dan keluarga yang tahu cerita sebenar. Sebenarnya, kami berdua telah berbincang soal rujuk itu sebelum hadir ke mahkamah dan kami berdua bersetuju dengan keputusan yang dibuat. Saya dan bekas suami berkahwin dengan cara baik dan kami mahu berpisah juga dengan cara yang sama.
Bagaimanakah dengan hak penjagaan anak-anak?
Walaupun telah bercerai tetapi kami tidak mendaftar kes hak penjagaan anak-anak. Bagi saya dan bekas suami tidak perlu untuk berebut walaupun anak-anak berada dalam jagaan saya buat masa sekarang. Sebagai bapa, dia bebas untuk berjumpa anak dan saya tidak ada masalah jika pada masa hadapan dia pula ingin menjaga anak. Saya tidak mahu masalah kami berdua menjejaskan anak yang masih kecil.
Apakah perasaan anda apabila mahkamah meluluskan bekas suami untuk menarik kembali permohonan pengesahan lafaz rujuk tersebut?
Saya dan bekas suami berasa lega kerana selepas ini kami tidak perlu ke mahkamah lagi. Ini bermakna semuanya telah berakhir dan kami akan menjalani kehidupan masing-masing. Saya reda dengan apa yang berlaku kerana dalam kehidupan sentiasa ada dugaan dan cabaran yang harus dilalui.
Selepas bercerai apakah perubahan ketara dalam kehidupan anda?
Bohonglah jika saya kata kehidupan tidak berubah. Jika sebelum ini semua dilakukan berdua dan apabila balik rumah ada suami tetapi sekarang semua itu tidak ada. Saya harus berpijak pada kaki sendiri untuk meneruskan kehidupan. Namun, saya tidak terlalu kekok kerana sejak dahulu saya sudah biasa berdikari.
Adakah anda serik dengan perkahwinan?
Tidak serik kerana jodoh itu datangnya daripada Allah. Cuma buat masa sekarang fokus saya hanyalah untuk membesarkan ketiga-tiga anak sahaja. Merekalah orang yang paling penting dalam kehidupan saya buat masa ini.
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?
Buat masa ini saya masih lagi sibuk sebagai pelajar semester lima peringkat diploma dalam jurusan Seni Kulinari di Universiti Antarabangsa UNITAR dan juga bakal menjadi hos untuk sebuah program masakan. Selain itu, kehidupan saya berjalan seperti biasa. Perceraian ini menjadikan saya wanita yang lebih kuat, biarlah orang kata apa pun, saya hanya memandang ke hadapan sahaja.
Sumber
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment