Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Hati Berbolak-Balik Sebab Dapat Suami Panas Baran

on Tuesday 9 August 2016


Saya sudah berkahwin hampir 20 tahun. Punya anak enam orang dan alhamdulillah, rumah tangga yang dibina masih utuh sehingga ke hari ini. Suami bekerja di syarikat swasta dan bila di campur dengan pendapatan yang saya peroleh, ianya cukup-cukup sahaja untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Hendak kata terlalu mewah tidak juga tetapi biasa-biasa saja ditambah hidup di ibu kota, serba-serbinya memerlukan wang yang banyak. Lebih menambah belanja apabila anak sulung juga sudah memasuki universiti.

Sepanjang berumah tangga, ada kalanya hati saya terusik dengan sikap suami. Dia suka cakap lepas dan banyak kata-katanya saya simpan di dalam hati. Sikap marah suami ada kalanya tidak bertempat, kadang hanya salah anak sikit tetapi dia memaki hamun sesuka hati. Namun bila fikirkan hal anak-anak, saya hanya mampu bersabar saja kerana malas hendak panjang-panjangkan cerita.

Hendak dijadikan cerita, di tempat kerja saya, ada seorang teman sekerja yang lebih kurang sebaya umur saya. Kami hanya berbual biasa sahaja kerana saya langsung tidak pernah terfikir untuk mencari masalah dalam rumah tangga. Ada juga sesekali dia mengajak saya makan tengah hari atau minum dengannya tetapi saya tolak secara baik. Suatu hari, kebetulan rakan biasa yang saya ajak makan demam dan saya tiada teman untuk diajak keluar makan. Dia pantas mengajak dan saya bersetuju dan kami berbual seperti biasa.

Mulai dari itu, hubungan kami menjadi baik, dia selalu mengajak saya keluar. Dengan sikapnya yang agak gentleman bahkan begitu menghormati wanita, saya berasa selesa dengannya. Sejak kami mulai rapat, dia banyak bercerita tentang isterinya. Isterinya begitu, isterinya begini. Katanya dia hanya bertahan dalam rumah tangga demi anak-anak. Isterinya suka marah-marah dan kurang menghormatinya sebagai seorang suami.

Isterinya juga suka melakukan sesuatu tanpa berbincang dengannya dan sebagai suami, dia berasa tiada erti peranannya di rumah. Dia juga memaklumkan, dia pernah menangkap isterinya keluar dengan lelaki lain malah hubungan mereka sudah jauh mesra.

Bila saya tanyakan tindakannya, katanya, hendak pukul pun tiada guna kerana isterinya memang tidak menghormati katanya. Isterinya kerap meminta cerai darinya kerana mahu hidup bebas.

Mereka pernah bercerai, bukan sekali tetapi dua kali dan isterinya yang minta rujuk kembali selepas teman lelakinya meninggalkan dia. Saya memang kasihan tatkala mendengar ceritanya kata saya, sebagai lelaki dia harus membuat satu keputusan terbaik dalam kehidupannya.

Dia terus terang menyukai saya. Berkali-kali meminta agar hati saya dapat menerimanya tetapi saya menolak permintaannya itu. Saya tidak mahu curang dengan suami biarpun saya tidak menyukai sikap kasar suami. Di sebalik sikap kasarnya itu, suami rajin membantu di rumah tetapi bila mengenangkan sikap panas barannya, saya jadi menyampah.

Baru-baru ini, saya dan suami bertengkar lagi dan dia naik tangan ke muka saya. Hati saya memang terluka kerana dari awal kahwin sampailah sekarang, sikapnya tidak pernah berubah. Saya memang terkesan dengan cara layanan suami tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu curang kepadanya.

Jujurnya hati saya juga menyukai teman sepejabat kerana dia bijak mengambil hati ini. Apa yang harus saya lakukan? Patutkah saya menyambung huluran tangannya dan curang kepada suami? Biarpun tahu bersalah tetapi kadang kala bila menyentuh tentang hati, ia sesuatu yang sangat sukar diperkatakan. Bantulah saya!

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment