Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Keputusan awal siasatan jenayah nahas pesawat MH17 diumumkan bulan depan

on Saturday 20 August 2016


THE HAGUE, Belanda 19 Ogos - Keputusan awal penyiasatan ke atas nahas pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine dua tahun lalu akan didedahkan bulan depan, kata pendakwa Belanda, hari ini.

Keputusan itu dijangka turut mendedahkan tentang jenis peluru berpandu yang digunakan menembak jatuh pesawat berkenaan pada 17 Julai, 2014, sehingga mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya, dan di mana kedudukan sebenar pesawat itu ditembak jatuh.

“Kami telah memaklumkan kepada keluarga mangsa bahawa kami akan mengadakan mesyuarat terbaharu pada 28 September ini dan sekali gus mendedahkan hasil siasatan awal itu,” kata Wim de Bruin, jurucakap pejabat Pendakwa Raya Belanda.

Maklumat berkenaan secara spesifik mengaitkan “jenis senjata yang digunakan dan di mana tembakan dilepaskan,” kata De Bruin.

Pejabat Pendakwa Raya Belanda mengetuai pasukan penyiasat antarabangsa menyiasat nahas tersebut.

Mesyuarat bulan depan, akan diadakan di Nieuwegein di luar Utrecht di tengah Belanda, akan dibuka kepada keluarga mangsa hanya pada sebelah pagi, diikuti dengan sidang akhbar pada sebelah petang, kata De Bruin.

Keluarga mangsa memperingati ulang tahun kedua tragedi pesawat Boeing 777 pada bulan lalu, yang ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Majoriti penumpang pesawat itu adalah rakyat Belanda.

Inkuiri antarabangsa memutuskan pada Oktober lalu bahawa pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia di zon perang yang dikuasai pemberontak pro-Rusia, tetapi tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan itu.

Pihak berkuasa kumpulan pemberontak menafikan bertanggungjawab melakukan serangan itu, sebaliknya menyatakan tentera Ukraine bertanggungjawab melepaskan tembakan peluru berpandu itu.

Kesatuan Eropah awal Julai lalu secara rasmi mengenakan sekatan ekonomi ke atas Rusia selama enam bulan berikutan kekurangan kemajuan bagi membantu menyelesaikan konflik di timur Ukraine. - AFP

Sumber
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment