Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

'Industri Muzik Tempatan Semakin Tenat' - Ujar Saari Amri

on Tuesday 6 September 2016


KUALA LUMPUR: Industri muzik tempatan ketika ini berada pada tahap kritikal berikutan kemunculan laman web yang menyediakan pautan muat turun lagu atau album secara percuma kepada orang ramai.

Komposer dan penulis lirik, Saari Amri menyifatkan ledakan teknologi menerusi lambakan laman web yang memberi kemudahan kepada orang ramai memuat turun karya pemuzik tempatan itu menyebabkan jualan album pada masa kini mengalami kemerosotan mendadak.

Katanya, jualan album di pasaran kini hanya mencecah jualan tidak kurang 10,000 unit berbanding pada era 90-an dengan kebanyakan album mampu terjual sebanyak ratusan ribu unit.

Bercakap kepada Bernama, Saari berkata situasi itu ternyata memberi impak buruk kepada industri muzik tempatan dan mendorong kebanyakan syarikat rakaman hanya menerbitkan single kerana tidak berani melabur untuk menghasilkan album baharu untuk penyanyi tempatan.

"Jika dahulu, album yang diterbitkan saya untuk kumpulan Ukays bertajuk Bisa Berbisa mampu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 400,000 unit namun realitinya berubah pada masa sekarang.

"Dulu kalau album itu hanya mencatat jualan 10,000 unit, dianggap gagal,  namun sekarang nak cecah jualan sebanyak itu pun 'sakit', malah banyak kedai muzik terpaksa menutup premis mereka kerana orang ramai tidak berminat lagi membeli album di pasaran," kata Saari.

Pencipta lagu Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam, pada tahun 1996 itu berkata lebih menyedihkan, perkembangan itu juga menghimpit pemuzik tempatan yang tidak menerima sebarang royalti bagi karya mereka apabila dimuat turun orang ramai melalui laman web yang menawarkan muat turun lagu secara percuma.

Oleh itu, beliau yang pernah terbabit menghasilkan lagu untuk penyanyi dan band terkenal seperti Ziana Zain, Nike Ardilla dan Umbrella berharap pihak berwajib perlu memperkenalkan lesen kepada laman web itu dalam memastikan pemuzik, komposer dan penulis lirik menerima ganjaran berkenaan.

"Saya lihat Pihak Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) masih lagi 'fight' bagi memastikan kami (karyawan muzik) memperoleh royalti hasil daripada lagu atau album dimuat turun menerusi laman web dan berharap bayaran dikenakan kepada orang ramai yang memuat turun karya kami pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai trend penghasilan lagu tempatan terkini yang dilihat cenderung kepada jalur muzik era 90-an, Saari yang masih aktif menghasilkan lagu berkata orang ramai masih menganggap melodi berkenaan sebagai sesuatu yang dekat dalam diri mereka.

Katanya, kebanyakan muzik pada masa kini tidak mempunyai penghayatan yang kuat berbanding pada era kegemilangan muzik 90-an yang mampu menangkap jiwa pendengar dan masih lagi diterima baik sehingga kini.

"Lagu Sudahku Tahu oleh kumpulan Projector Band merupakan contoh terbaik lagu terkini yang diterima ramai kerana kisah yang terkandung dalam lagu itu serta melodinya yang berunsurkan muzik lama mungkin dekat dengan ramai pendengar sehingga menerima sambutan hebat dan menjadi viral di media sosial," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau yang pernah menghasilkan lagu Bahasa Melayu buat penyanyi terkenal dari Hong Kong, Andy Lau pada tahun 2001 berkata pemuzik baharu perlu berani untuk bereksperimentasi dengan karya mereka bagi memastikan ia diterima ramai dan kekal diingati buat tempoh lama.

Saari yang amat mengagumi bakat dimiliki Yuna sehingga mampu mengembangkan sayap ke persada muzik antarabangsa berharap ramai pemuzik mengikut jejak langkah penyanyi itu untuk menembusi pasaran muzik ke tahap lebih tinggi.

"Pemuzik baharu tidak harus putus asa dalam memperjuangkan karya mereka dan apa yang penting mereka harus kreatif serta tidak menciplak karya orang lain," katanya. -BERNAMA
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment