Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

'Sharnaaz buanglah perangai Gangster' : Fauzi

on Thursday, 27 February 2014


NAMPAKNYA perang dingin antara pasangan suami isteri, Fauzi Nawawi, Lisdawati bersama aktor Sharnaaz Ahmad, masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menerusi sebuah akhbar (bukan Sinar Harian), Sharnaaz telah memberi kata dua agar Lisda dan Fauzi memohon maaf dalam tempoh seminggu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika pasangan itu gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, Fauzi tetap dengan pendiriannya dan tidak akan akur dengan permintaan pelakon Juvana itu.

“Kenapa saya perlu minta maaf, ada sebab saya keluarkan kata seperti itu, tahap kesabaran saya pun ada batasnya. Tetapi saya tak pernah memaki hamun serta mengaitkan keluarganya,” kata Fauzi.

Tegasnya, Sharnaaz juga sepatutnya berhenti mengugutnya dan membawa kes tersebut ke muka pengadilan. Jelasnya, Sharnaaz yang terlebih dahulu memulakan persengketaan dengan memaki serta memarahi isterinya di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta, minggu lalu.

Kata Fauzi, dia tidak menghalang sekiranya Sharnaaz berkeras membawa kes ini ke mahkamah.

“Jika dia mahu teruskan juga, silakanlah, sebab saya rasa saya tak buat salah, untuk apa dia nak saman? Saman malu atau apa?," soal Fauzi kembali.

Tegas Fauzi, dia juga tidak pernah melibatkan keluarga Sharnaaz dalam perseteruan mereka, apatah lagi untuk memaki hamun mereka yang tidak bersalah.

“Saya cuma cakap, apa perasaan dia jika saya tengking ibu dia seperti mana dia tengking isteri saya. Itu sahaja. SMS (khidmat pesanan ringkas) itu saya boleh ‘print’ sebagai bukti. Saya pun waras juga, takkanlah saya nak maki hamun keluarga dia,” katanya.

Ditanya, tidakkah ada jalan damai antara mereka, Fauzi berkata, dia pernah menghubungi Sharnaaz untuk berbincang dan menyelesaikan perseteruan mereka, namun tidak diendahkan Sharnaaz.

"Saya bagi tempoh sehari untuk dia minta maaf pada 20 Februari lalu, namun dia tak minta maaf. Saya ambil keputusan maafkan sahaja tindakannya, tapi dia macam tak puas hati.

"Saya minta dia jumpa untuk berdamai tapi dia tak mahu dan abaikan panggilan saya. Kalaulah dia nak minta maaf, saya boleh maafkan. Tapi saya minta lepas ni dia tinggalkan sikap gangster dia.

"Saya tak nafikan peminat Sharnaaz ramai, tapi rasa dia tak perlu kekalkan sikap gangster yang ada dalam diri dia kerana ia tiada jalan penyelesaian," kata Fauzi.

Lisda jatuh sakit

Fauzi, berkongsi keadaan Lisda yang dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat pergaduhan ini.

"Dia mengalami tekanan darah tinggi dan saya sangat risau dengan keadaannya yang hamil. Jika berterusan saya tak teragak-agak ambil tindakan lebih tegas selepas ini," katanya.
Sebelum ini, Fauzi dan Lisdawati membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas mendakwa Sharnaaz menghantar satu SMS berbaur ugutan terhadapnya.

Katanya, kiriman SMS diterima 21 Februari lalu, kira-kira jam 9.42 pagi dan dia percaya ia berkaitan insiden Sharnaaz mengamuk serta cuba menyerang isterinya, Lisdawati Nazaruddin, 35.

Tegas Fauzi, keputusan membuat laporan polis bukanlah kerana mahu mencari publisiti murahan atau kontroversi. Sebaliknya kerana mahu melindungi Lisda selepas ditengking dan diserang Sharnaaz.

Sementara itu, Ziela Jalil yang merupakan penerbit drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, mengaku akan cuba bertanggungjawab mendamaikan pertelingkahan antara Lisda dan Sharnaaz Ahmad.

Ziela Jalil berkata, dia pasti apa yang berlaku hanya salah faham kecil kerana sebelum ini selama lebih 3 bulan penggambaran, kedua-dua pelakon itu tidak menunjukkan sebarang masalah.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta, turut dibintangi Nelydia Senrose dan kini sedang ditayangkan di Astro Mustika HD.

Sumber

Kes Serang: 'Tuduhan Lisdawati, Suami Mengarut' - Sharnaaz

on Tuesday, 25 February 2014


PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad menganggap kenyataan Lisdawati yang mendakwa diserang sehingga menyebabkannya mengalami tekanan darah tinggi adalah tuduhan mengarut.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 29, berkata, dia enggan mengulas panjang berhubung perkara tersebut namun menganggap Lisdawati bersama suaminya, Fauzi Nawawi sengaja memanipulasi keadaan apabila mengeluarkan tuduhan sedemikian.

"Mereka memang sengaja memanipulasikan keadaan. Biarlah apa mereka nak cakap... cakaplah.

"Buat masa ini saya tidak mahu beritahu apa-apa. Tunggulah... bila saya bersedia untuk menjawab persoalan semua," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini petang Isnin.

Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan Sharnaaz telah menyerang Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.

Peristiwa itu menjadi tegang apabila suami Lisdawati iaitu Fauzi Nawawi, 40, dikatakan menerima khidmat ringkas (SMS) daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan.

Lisda mendakwa mengalami darah tinggi akibat kejadian itu. Dia dan suami turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu lalu sebagai langkah keselamatan diri.

Sementara itu, Shaarnaz menambah, dia tidak gentar dengan laporan polis dibuat mereka kerana dia percaya berada di pihak yang benar.

"Senang saja. Kalau dia main cara polis, kita pun main cara polis," ujarnya dalam nada tegas.

Lisdawati yang dihubungi mStar Online pada Isnin pula berkata, sebagai ibu mengandung, dia tidak mungkin akan memanipulasikan keadaan kerana dirinya sememangnya diserang Sharnaaz secara mengejut.

"Buat apa saya nak manipulasikan keadaan. Dia yang mula dulu. Saya pun terkejut. Kalau tak percaya, tanyalah pelakon-pelakon yang ada pada kejadian itu. Saya tak sangka dia berperwatakan begitu," tuturnya yang mengandung lapan bulan.

Sumber

Julia Ziegler nanti lamaran

on Monday, 24 February 2014


SETIAP manusia yang hidup, pasti mengimpikan mempunyai pasangan. Lebih-lebih lagi bagi kaum Hawa, tiada apa lagi yang diinginkan selain mempunyai satu keluarga yang sempurna.

Begitu jugalah yang dirasai oleh aktres tinggi lampai, Julia Ziegler tatkala diasak mengenai kehidupan peribadinya kini.

Akui Julia, apatah lagi dalam usia yang menginjak ke angka 30, tidak lama lagi, dia memang berharapkan untuk mendirikan rumah tangga secepat mungkin.

“Tipulah kalau saya kata tiada keinginan untuk berkahwin. Bahkan kawan-kawan, keluarga dan wartawan sendiri selalu bertanya bila saya mahu mendirikan rumah tangga.

“Tapi sebagai wanita apalah yang boleh saya buat. Takkan saya pula yang kena melamar lelaki tersebut, “ katanya kepada media, baru-baru ini.

Ditebak soal pasangan, akui pemilik nama sebenar, Julia Bob Fauzi Ziegler ini, dia kini sedang menjalinkan hubungan yang serius dengan sahabat lamanya sendiri.

“Kami dah bercinta lebih kurang setahun. Tapi sebenarnya saya dah kenal dia lama sebelum saya masuk industri lagi. Kiranya, dia bukan nak saya sebab saya glamor atau saya artis. Saya nampak keikhlasan dan sangat mengenali sikap dia.

“Namun buat masa ini, biarlah kami berkawan dahulu dan tak perlulah saya perkenalkan dia kepada umum. Saya tak mahulah nampak beria-ia sangat, kerana andai hubungan itu tidak menjadi nanti, yang ia akan memalukan saya dan keluarga juga.

"Saya berharap semua pihak doakanlah yang terbaik untuk saya,” ujarnya.

Masih aktif

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Julia berkata, dia kini kembali aktif di pentas peragaan dan akan muncul dalam filem berjudul ‘Aku Akan Muncul’ yang akan ditayangkan di pawagam mulai 27 Februari ini.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Amerika ini juga akan berangkat ke Indonesia bagi menjalani penggambaran filem seram popular Indonesia berjudul Kuntilanak.

“Saya akui sejak kebelakangan ini kelibat saya jarang dilihat. Tapi saya masih aktif, ada kalanya saya menghadiri majlis hiburan dan kalau tak dijemput saya tak datanglah (ketawa).
“Cuma orang macam tak tahu saya masih aktif dan ada saya dengar takut ambil saya berlakon kerana saya sibuklah. Apa pun saya berharap tahun 2014 ini tuah yang baik untuk saya.

“Apatah lagi saya akan ke Indonesia tidak lama lagi selepas mendapat tawaran berlakon di bawah produksi negara tersebut,” katanya.

Rindu dunia peragaan

Sementara itu, kelangsingan tubuh Julia baru-baru ini membuatkan teman media tertanya-tanya adakah Julia dalam proses berdiet atau tidak sihat.

Akui Julia, dia sememangnya mengamalkan diet sejak kebelakangan ini dan tidak mengambil nasi kerana rindu dengan dunia peragaan.

“Alhamdulillah sekarang ini saya sedang berusaha untuk mendapatkan bentuk badan saya seperti mana ketika saya aktif dalam dunia peragaan dulu. Saya dah mula berdiet dan melakukan senaman.

“Saya juga dah beberapa bulan tidak ambil nasi dan hanya makan lauk. Tetapi jika teringin, saya hanya makan dalam kuantiti yang sedikit.

“Apatah lagi saya rindu nak beraksi di pentas peragaan. Lebih gembira dan teruja baru-baru ini saya telah mendapat satu tawaran untuk catwalk di satu acara fesyen di Kuching, Sarawak,” katanya.

Sumber

'Kerana Badan Besarlah Saya Dikenali' - Abam (Bocey)


PETALING JAYA: Pelawak Abam (Bocey) memberitahu ada beberapa pihak meminta dia menguruskan badan sebagai langkah untuk kekal lama dalam industri hiburan tempatan.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, bagaimanapun berkata, dia enggan berbuat demikian kerana menganggap tubuh badannya yang besar itu telah memberi rezeki dalam kerjayanya sebagai seorang pelawak.

"Ada pihak yang meminta saya untuk kuruskan badan, kononnya agar saya dapat bertahan lama dalam industri.

"Tetapi buat masa ini saya enggan mengubah imej saya kerana badan besar inilah membuatkan saya dikenali ramai," katanya kepada mStar Online.

Abam bagaimanapun tidak bersedia berkongsi berapakah berat badannya sekarang.

Dalam pada itu tambah Abam, dia juga tidak sangka, sejak memenangi tempat ketiga Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro Warna, dia bersama ahli-ahli kumpulannya iaitu Acey dan Fard tidak putus-putus menerima tawaran lakonan.

Malah, dia dan ahli-ahli Bocey juga telah berbincang tidak akan menyekat rezeki anggota kumpulannya yang lain jika salah seorang daripada mereka sahaja menerima tawaran berlakon.

"Kami tidak menghalang jika salah seorang daripada Bocey ditawarkan berlakon tanpa memerlukan ahli-ahli lain kerana ia juga sebagai salah satu cara untuk mempromosikan kumpulan Bocey.

"Bagaimanapun Bocey bakal muncul dengan filem terbitan MIG (Metrowealth International Group) berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa," ujar Abam.

Dalam perkembangan lain, lakonan Abam juga dapat ditonton menerusi filem terbaharu arahan Roy Krishnan iaitu Aku Akan Muncul, yang akan ditayangkan pada 27 Februari ini.

Antara pelakon-pelakon lain yang terlibat ialah Julia Ziegler, Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Abdullah.

Sumber

Makhluk Halus Merupa Julia Ziegler - Pengarah


PETALING JAYA: Pengarah filem Aku Akan Muncul iaitu Roy Krishnan berkata, dia dan kru produksi diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem tersebut di sebuah hutan di Kota Tinggi, Johor pada Oktober 2012.

Roy berkata, atas faktor keselamatan, pihak produksi telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil seorang ustaz untuk menghalau makhluk-makhluk halus itu agar penggambaran dapat dijalankan dengan lancar.

"Bayangkan, ketika mula-mula menjalani penggambaran, ada saja benda pelik yang kami lihat sehingga menimbulkan rasa seram.

"Malah ada kru produksi melihat kelibat pelakon kami iaitu Julia Ziegler pada pukul 3 pagi sedangkan ketika itu dia sudah pun pulang ke hotel. Tanpa membuang masa kami terus memanggil seorang ustaz memasang 'pagar' agar kami tidak diganggu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Roy, dia juga bersyukur walaupun melihat kelibat makhluk tersebut, namun pelakon-pelakon yang terlibat tidak diganggu termasuklah dirasuk ataupun mengalami histeria.

Selain Julia Ziegler, filem seram terbitan RM Vision Film Production Sdn. Bhd itu turut dibarisi pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Mutalib (Allahtyarham), Liza Abdullah, Zulkifli Ismail, Noor Akma, Zaibo dan Musly Ramly.

Barisan pelakon-pelakon baharu pula terdiri daripada Abam (Bochey), Syafiq, Megat Samsuddin, Alfie, Firah, Shairah dan Azura.

Ia mengisahkan tentang Kesuma (Julia) yang memiliki raut wajah yang cantik, tetapi gemar membandingkan kecantikannya itu dengan rakannya Mawar sehingga membuatkan rakan-rakannya yang lain seperti bosan dengan tingkah lakunya.

Bagaimanapun, kecantikan yang dimiliki Kesuma tidak bertahan lama apabila dia terlibat dengan kemalangan ketika mencari inai.

Akibatnya, wajah Kesuma telah menjadi buruk dan untuk memulihkan wajahnya itu, Kesuma meminta bantuan Mak Yam (Maimon) yang cukup terkenal sebagai seorang dukun yang hebat.

Dalam pada itu Beritahu Roy, karyanya akan dilihat berbeza berbanding filem lain di mana kesemua babak yang melibatkan hantu telah disunting dalam bentuk teknik pengimejan berkomputer (CGI) oleh pakar penyunting di India.

"Saya tampilkan filem ini dengan pengarahan yang sangat lain daripada yang lain. Bukan setakat CGI yang kami fokuskan tetapi juga penggunaan teknik kamera dan sinematografi supaya filem ini nampak lebih cantik," ujarnya.

Aku Akan Muncul bakal ditayangkan bermula 27 Februari 2014.

Sumber

Isu Kahwin : Nora Danish beri penjelasan

on Sunday, 23 February 2014


“MANA semua dapat cerita ini? Saya kan dah kata, kalau saya nak kahwin, saya akan beritahu. Cerita ini semua tak betul dan jangan cepat percaya pada khabar-khabar angin ini,” jelas aktres, Nora Danish tatkala ditebak mengenai khabar angin yang mengatakan dia dan kekasihnya, Nadim Nazri sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 31, berkata, dia dan Nadim tidak pernah membuat apa-apa persiapan waima berbincang hal perkahwinan.

“Buat masa ini kami hanya selesa berkawan baik.

"Jodoh adalah sesuatu yang baik dan siapa kita untuk menolak. Tapi jodoh kami belum tiba tahun ini.

"Malah kami tidak pernah bercerita lagi soal perkahwinan dan fokus kami kini adalah untuk kerjaya dan anak masing-masing,” katanya.

Apatah lagi ujar Nora, sekiranya dia mahu berkahwin kelak, dia mahu majlis pernikahan diadakan seringkas mungkin tanpa barangan hantaran.

“Saya sudah pernah berkahwin, jadi tak perlu lagi barang-barang hantaran. Cukuplah dengan majlis akad nikah sahaja,” katanya.

Bagaimanapun akui Nora, selepas majlis akad nikah, dia mengimpikan majlis resepsi secara sederhana di mana-mana pulau di luar negara seperti Phuket atau Bali untuk meraikan hari bahagianya itu bersama keluarga tercinta.

“Lagipun saya memang dah lama teringin nak buat majlis ala ‘beach wedding’.

"Saya suka berkunjung ke Bali malah ia dah seperti rumah kedua saya.

"Saya sukakan tempat-tempatnya dan makanan di sana sedap-sedap,” katanya yang ditemui pada majlis Doa Selamat sempena penggambaran filem terbaharu terbitan MIG, ‘Hantu Bungkus Ikat Tepi’, bertempat di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, kelmarin.


Fikir positif

Dalam pada itu, ditanya mengenai kekerapannya berkongsi gambar bersama Nedim di laman Instagram dan penerimaan dirinya andai suatu hari nanti hubungan mereka tidak berkekalan, Nora menjawab;

“Saya cumalah manusia biasa seperti orang lain yang suka kongsi momen-momen indah yang dilalui.

“Namun seandainya hubungan kami tidak berkekalan, saya sudah dewasa, dia juga sudah dewasa, jadi pastinya kami berdua akan dapat menerima semua itu.

"Saya harap semua dapat doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Berkongsi mengenai hubungannya dengan anak Nadim, Nora berkata Nedre baharu berusia dua tahun dan anak kecil itu tidak mempunyai masalah untuk rapat dengan sesiapa pun.

“Begitu juga dengan hubungan Rayqal dan yang lain-lain.

"Dia amat penyayang dan kadangkala bila jumpa kanak-kanak yang lebih kecil, dia akan peluk dan menciumnya,” katanya.

Letak syarat

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Nora berkata, dia bakal sibuk di lokasi penggambaran filem komedi seram berjudul Hantu Bonceng Ikat Tepi.

Filem arahan Hashim Rejab itu, akan memulakan penggambaran di sekitar lembah Klang pada 23 Februari ini.

Selain Nora, antara barisan pelakon lain yang turut menjayakan filem ini seperti kumpulan Jambu iaitu Taukeh dan Yus, Abam (Bocey), Farid Kamil, Kartina Aziz, Zalif Sidek, Atikah Suhaime, Ruminah Sidek, Niezam Zaidi dan ramai lagi.

“Selepas selesai penggambaran ini saya akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri dan memang target saya untuk buat drama bersiri setahun sekali,” katanya.

Nora berkata, dia baharu sahaja pulang dari bercuti di Bali bersama anaknya susulan mempunyai masa yang begitu lapang untuk dia bersama Rayqal.

“Saya sepatutnya terlibat dengan penggambaran bersama produksi luar dan saya telah blok bulan Februari dan Mac kerana mereka.

"Apatah lagi mereka telah meminta saya berbuat demikian semenjak akhir tahun lepas.

“Tapi alih-alih kini pelbagai alasan diberikan dan saya juga terpaksa ambil projek lain.

"Tapi agak rugi juga kerana pendapatan saya untuk bulan ini tiada setelah saya blok bulan ini untuk mereka.

“Dulu saya selalu dengar keluh kesah artis lain, kini ia terjadi pula pada saya.

"Jadi sekiranya selepas ini ada yang menawarkan saya berlakon, termasuk produksi terbabit, selepas mereka beri deposit baharu saya blok tarikh.

“Kalau blok sekadar dari mulut sahaja agak susah untuk saya terima,” katanya kesal.

Puteri Sarah terkilan

on Thursday, 20 February 2014


BIARPUN sedang membuat persiapan perkahwinan, namun Puteri Sarah Liyana, bagaimanapun masih lagi dihimpit dengan cerita kontroversi dengan bekas teman lelakinya, Ammar Alfian.

Ammar menerusi sebuah portal hiburan bukan sengaja masih tidak berpuas hati dengan hubungan mereka yang tidak kesampaian, bahkan turut membuat dakwaan keterlaluan dan boleh menjejaskan imej pelakon Kawan ini.

Terkilan dengan dakwaan yang tidak berasas itu, Puteri Sarah menerusi Twitternya, menepis dakwaan itu sekeras-kerasnya. Malah dia turut menegaskan, tidak pernah memberi kenyataan kepada mana-mana media berhubung isu tersebut. Apa lagi membuat
kenyataan bahawa dia tidak ambil kisah terhadap tuduhan yang dilemparkan bekas kekasihnya itu.

Enggan terus terpalit dengan kontroversi tersebut, pelakon yang sudah hampir setahun berhijab ini lebih selesa berdiam diri dan menguruskan persiapan majlis perkahwinannya nanti.

Malah menerusi Twitternya, juga jelas menunjukkan bakal isteri Syamsul Yusof ini sudah tidak sabar untuk melangkah ke alam perkahwinan yang hanya tinggal lebih kurang 16 hari sahaja lagi.

Sarah dan Syamsul bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada pagi 8 Mac 2014 di Masjid Sri Damansara. Majlis resepsi pula diadakan pada sebelah malam hari yang sama dengan bertemakan Islamik Arabian Night.

Sumber

Norish Karman Halang Anak Bongsu Jumpa Bapa Kandung


KUALA LUMPUR: Pelakon Norish Karman tidak akan membenarkan bapa kepada anak bongsunya iaitu Haq Lutfie Alexander yang berusia dua tahun bertemu dengan kanak-kanak itu.
Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 39, berkata, dia tidak melihat sebarang keperluan untuk mereka ditemukan kerana sejak awal lagi keluarga bekas suaminya itu tidak menerima kehadiran kanak-kanak berkenaan.
"Mereka pernah memberitahu saya anak saya itu tiada kena mengena dengan mereka jadi saya tidak melihat Haq Lutfie perlu berjumpa dengan bapa kandungnya," katanya kepadamStar Online.
Bagaimanapun Norish masih dengan pendirian enggan mendedahkan identiti bekas suaminya itu kerana lebih senang ia dirahsiakan namun mengakui lelaki berkenaan lebih muda daripadanya.
Dalam pada itu, Norish berakta, hubungannya dengan bekas suami pertama, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir tidak mempunyai masalah malah mereka akrab sebagai sahabat.
Jelas Norish, bekas suaminya itu sangat mengutamakan keperluan tiga anak-anak mereka yang lain iaitu Muhammad Haqiem Armany, 14, Muhammad Hardy Amieran, 10, dan Putri Hany Amanda, 9.
"Sejak bercerai kami tiada masalah dan saya tidak pernah menghalang bekas suami untuk berjumpa dengan anak-anak kerana beliau menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya.
Pasangan itu berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini pada 15 Julai 2008.
Sementara itu, Norish berkata, buat masa ini dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti walaupun ada lelaki yang cuba mendekatinya kerana ingin memberi tumpuan kepada anak-anak dan perniagaan.
Kata Norish, dia bagaimanapun mengakui kadang-kala berasa sunyi tanpa seseorang di sisinya namun dia kini lebih bahagia.
"Ada yang menghantar rombongan meminang tetapi saya tolak dengan cara baik kerana buat masa ini saya sibuk dengan kerjaya dan anak-anak.
"Sunyi itu menang ada tetapi kesibukan dengan pelbagai aktiviti membuatkan saya lupa mengenai perkara itu dan saya lebih bahagia sekarang," katanya.
Pun begitu kata Norish, jika ditakdirkan bertemu jodoh, dia mahu mencari seorang lelaki yang bukan sahaja boleh menerimanya tetapi keempat-empat anakya dengan penuh kasih sayang.
Malah kata Norish, dia juga tidak mahu bergantung harap kepada bakal suaminya nanti dan ingin berjaya terlebih dahulu dalam bidang perniagaan.
"Saya pernah berkahwin dengan lelaki berusia dan muda yang mana kedua-duanya tidak kekal lama. Kini apa lebih penting calon itu nanti mestilah dapat menerima anak-anak saya dengan sepenuh hati.
"Jika ada lelaki yang dapat berbuat demikian mungkin saya akan terbuka hati untuk berkahwin semula," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Norish berkata, dia kini semakin aktif dalam bidang nyanyian selain berlakon serta memberikan tumpuan kepada perniagaan katering yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

Erra Fazira pasrah


SETIAP pasangan yang berkahwin, pasti tidak pernah mengimpikan perkahwinan yang di bina, lebih-lebih lagi atas dasar cinta akan berakhir dengan penceraian.

Dan mungkin itu jugalah yang dirasai oleh Primadona Filem Malaysia, Erra Fazira, 40 yang telah sah bercerai dengan Engku Emran Engku Zainal Abidil, 39, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, kelmarin.

Apatah lagi, perkahwinan Erra bersama Emran merupakan perkahwinan keduanya selepas bercerai dengan Yusry Abdul Halim pada 2006.

Menerusi akaun Facebook miliknya, Erra tampak pasrah dan meninggalkan komen ringkas mengenai penceraiannya itu.

"Jodoh, ajal, maut di tangan ALLAH. Alhamdulillah. Semuanya sudah selesai. Amin"

Pelakon yang terkenal menerusi filem Sembilu itu diwakili oleh peguam, Ahmad Nazib Johari, memfailkan permohonan penceraian dan hak penjagaan anak pada 17 Februari 2013.

Ketika prosiding, Erra dan Emran mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung selama setahun enam bulan.

Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, lima tahun yang kini hak jagaan diberikan kepada Emran.

Sumber