Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Didik anak tunai solat sejak kecil

on Tuesday 24 December 2013


“AJARLAH anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur sepuluh tahun.” Begitulah pesan Rasulullah SAW.

Ada dua makna besar dalam pesanan ini. Pertama, baginda secara spesifik menyebut tentang solat. Ia tentunya bersebab. Solat tiang agama lalu logiknya manusia beragama perlu kuat asasnya.

Maka solat perlu diberi penekanan utama dan menjadi asas didikan seawal usia. Ia perlu dilihat di atas segala kegiatan kehidupan lain.

Ukuran pelajar cemerlang secara teknikalnya bermula dengan ujian harian solat lima waktu sehari semalam. Bagi anak lelaki ia perlu bertambah satu tahap iaitu solat berjemaah di masjid.

Anak perempuan pula, didiklah supaya solat pada awal waktu. Jika tidak kesusahan bawalah mereka bersama ke masjid untuk menimba ilmu yang ditawarkan di sana.

Mereka terutamanya anak-anak yang solat lima waktu sehari semalam mempunyai satu sifat luar biasa iaitu kepatuhan kepada Pencipta. Di sinilah peranan ibu bapa membentuk anak-anak menjadi pelajar cemerlang dengan asas yang betul dan tepat.

Solat ibarat satu ujian kehidupan buat ibu bapa dan anak-anak. Ia ujian yang tiada markah segera dan keputusan peperiksaan harian tidak membawa hadiah nyata, misalnya dalam konteks melanjutkan pelajaran ke universiti ternama atau program terbaik.

Lalu anak-anak berusia tujuh tahun, bila dia mula bersekolah utama selepas mengikuti prapersekolahan, apakah yang dirisaukan dengan solat lima waktu ini?

Perasaan belum akil baligh barangkali menjadi pendinding kepada kedua-dua ibu bapa untuk menyatakan tidak mengapa anak-anak ini belum perlu bersolat sepenuhnya.

Keliru

Ia jadi sukar jika ibu bapa menyerahkan segalanya kepada guru atau ustaz dan ustazah di sekolah. Prinsip melentur buluh dari rebungnya tidak akan terpakai. Maka yang terbentuk, bapa borek anak rintik.

Anak-anak menjadi keliru dalam soal didikan di rumah yang kelihatan bercanggah dengan didikan di sekolah.

Bagi mereka yang memahami, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada amalan solat lima waktu sehari semalam yang diamalkan oleh anak-anak. Bayangkanlah bagaimana sukarnya anak-anak perlu dibangunkan pada dinihari.

Hampir kesemua perkara bermula dengan kesukaran. Insya-Allah, anak-anak yang melaksanakan solat Subuh selepas beberapa ketika tidak akan menganggap ia sebagai satu beban. Cuma anak-anak tetap perlu diawasi dan diberi peringatan.

Insya-Allah pelajar cemerlang bermula dengan solat. Bayangkan bagaimana keputusan kajian rambang yang telah dilakukan terhadap 150 siswa baru mendaftar di salah sebuah universiti di Malaysia. Hanya lapan siswa menunaikan solat Subuh pada hari tersebut. Ia hanya lebih kurang lima peratus.

Marilah kita melakukan sedikit perbandingan kecemerlangan di sisi Allah SWT. Solat Subuh berjemaah di masjid misalnya, menjadi tanda aras antara mereka yang munafik dengan mereka yang tidak. Bagaimanakah mereka setara dengan sifat munafik boleh dianggap cemerlang?

Pemikiran ibu bapa perlu menjadi luar biasa bagi mendidik kecemerlangan. Ada antara kita yang melihat soal ibadat sebagai satu beban tambahan kepada sistem persekolahan anak-anak.

Sudahlah begnya perlu digalas berat, kini mahu dibeban pula dengan bangun terlebih awal dan dengan solat yang bakal meletihkan anak-anak.

Mudah-mudahan solat lima waktu yang terjaga akan membentuk anak-anak ini menjadi manusia bertanggungjawab terhadap amanah, disiplin dan kekuatan dalaman dalam menghadapi silibus pelajaran yang tenat dan mencabar semenjak mereka di prapersekolahan.

Kedua, Baginda SAW menyebut dengan jelas...ajarlah anak-anakmu... memberi gambaran tentang peranan ibu bapa terhadap perkembangan kehidupan anak-anak. Asasnya bermula dengan ibu bapa.

Sekolah kecemerlangan bermula di rumah. Berapa ramai dalam kalangan bapa yang menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid tetapi gelisah dan takut mengejutkan anak-anak kerana risaukan mereka mengantuk di sekolah?

Bagi pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga dan belum mempunyai cahaya mata, marilah kita menjadi ibu bapa cemerlang sebelum anak-anak dilahirkan.

Pelajar cemerlang

Kita merangka bagaimana mahu membentuk anak-anak ini menjadi pelajar cemerlang dalam suasana berbeza seperti yang telah kita lalui. Ibu bapa merancang dan berdoa supaya Allah membenarkan segala perancangan yang telah kita lakukan.

Hadis yang disebut di atas menyatakan tentang solat dan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak secara spesifik. Hakikatnya, solat itu tiang agama. Ia perlu diperluas dan dilanjutkan dalam soal lain yang mencakupi soal asas membentuk anak-anak ini menjadi pelajar cemerlang. Misalnya, ada ibu-ibu yang menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah agama tidak menutup aurat dengan sempurna. Ia menjadikan anak-anak tambah keliru.

Akhirnya, menutup aurat hanya di sekolah dan tidak perlu apabila keluar membeli-belah. Benar, jauh di sudut hati kita mahu anak-anak menjadi lebih baik daripada kita tetapi sikap dan amalan sendiri tidak membantu.

Jika kita sudi menerima konsep pelajar cemerlang melangkaui keputusan peperiksaan, maka secara hakikatnya ia mengajak kedua-dua ibu bapa berhijrah dengan skala besar. Ia membawa kebaikan kepada mereka sendiri.

Kita mohon keampunan Allah.

Sumber
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment