Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Sharifah Sakinah : ‘Asalkan suami memahami, cukuplah’

on Sunday 8 February 2015


LAKARAN kisah perhubungan mereka tidak seperti mana-mana kisah dongeng sering didambakan oleh dua insan yang sedang bercinta.
Tanpa sebarang ungkapan romantis mahupun kejutan buat yang teristimewa sepanjang tempoh mengenali hati budi masing-masing sejak setahun lepas, perasaan berbunga aktres berbakat, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar terhadap tunangnya, Aliff Adha Jamil semakin mekar mewangi menjelang tarikh penyatuan mereka penghujung bulan depan.
Bakal diijabkabulkan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur tanggal 28 Mac depan, Sakinah, 26, berkongsi debar seandainya majlis itu tidak berlangsung seperti dirancang.
“Majlis itu cuma sekali seumur hidup, sudah tentu kami mahu segala-galanya sempurna. Risau juga jika ada yang kurang pada majlis itu nanti,” katanya kepada Sensasi Bintang.
Tidak romantik
Menempuh fasa ‘berdarah manis’ bukan alasan untuk mereka sentiasa bertikam lidah dalam menentukan sesuatu perkara.
Ungkap Sakinah, komunikasi sentiasa memainkan peranan utama bagi menjamin hubungannya bersama Aliff, 27, sentiasa diwarnai momen-momen terindah menjelang tarikh pernikahan kelak.
“Berselisih faham itu perkara biasa, tetapi tidaklah sampai membaling barang sesama sendiri. Ia masih boleh diselesaikan dengan baik.
“Mungkin dugaan akan datang selepas kami berkahwin, mudah-mudahan ia dijauhkan. Kami tidak meminta untuk diduga, namun diharapkan sentiasa bersedia menempuh alam rumah tangga,” ujarnya tertawa.
Usai meraikan pesta bujang di Bali, Indonesia bersama teman-teman rapat pada 18 Januari lepas juga mengujakan adik pelawak terkenal, Sharifah Shahirah ini.
“Ramai yang turut serta antaranya Masha Milan, Elfira Loy, Nad Zainal, Nabila Huda, Tasha Shilla, Kaka dan ramai lagi. Ia sesuatu yang menyeronokkan, cuma aktiviti kami biarlah menjadi rahsia,” tuturnya jujur.
Sakinah juga mengakui selesa dengan kisah cinta mereka yang barang kali dianggap biasa-biasa saja oleh mereka yang menilai.
“Sejak dahulu, saya memang tidak suka jiwang ataupun romantik. Jika Aliff mahu melakukan kejutan pun biasanya saya sudah tahu terlebih dulu.
“Dia seorang yang ringkas, sebab itu saya cukup senang dengannya,” getusnya.
Menjadi sasaran mudah pengkritik, terutamanya apabila busana perkahwinannya dikatakan terlalu seksi baru-baru ini juga tidak menjejaskan fokus Sakinah dalam memastikan segala-galanya berjalan lancar.
“Saya milik Aliff selepas bernikah. Selepas ini, dia boleh menegur kerana itu hak dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Cuma jika diminta berubah, perlu diperjelaskan mengapa saya perlu berubah.
“Setakat ini segala-galanya okey dan tidak terlalu rumit, asalkan suami memahami, ia sudah cukup buat saya,” ceritanya lagi.
Biarpun segala tindak-tanduknya dikecam pengkritik selama ini, Sakinah menzahirkan rasa syukur apabila ia tidak mengundang perasaan tidak selesa Aliff.
“Menjadi sebaik-baik manusia pun orang akan mengata, jadi baik saya tidak ambil peduli. Mungkin, orang tidak memahami selain saya juga tidak mahu menjadi manusia yang hipokrit.
“Aliff sentiasa tenang selain menegur mengapa saya membaca blog-blog sedemikian,” jelas Artis Lawak Wanita Paling Popular Anugerah Lawak Warna 2014 itu.
Sakinah tidak berdrama
– Aliff
Tidak lengkap rasanya jika tidak menyelami perasaan Aliff sebagai raja sehari terutamanya bagaimana hatinya boleh terpaut dengan sikap gila-gila Sakinah.
“Sakinah tidak bermain wayang. Dia seorang yang tidak suka berdrama. Sakinah akan memberitahu apa yang dia mahukan, sebab itu saya senang dengannya,” jelas Aliff.
Berkongsi hidup bersama selebriti seperti Sakinah juga tidak menerbitkan sebarang kegusaran di hati Aliff.
“Saya sudah bersedia dan yakin boleh menghadapi sebarang dugaan selepas ini,” ungkap juruterbang sebuah syarikat penerbangan tempatan itu.
Sakinah pula mencelah, mereka tidak pernah menyembunyikan sesuatu sepanjang tempoh perkenalan selama ini.
“Tiada istilah ‘ada udang di sebalik batu’. Seandainya merajuk, kami tidak akan membuat mimik muka dan sebagainya. Saya juga cukup selesa dengan keprihatinan Aliff yang memandang saya sebagai orang biasa dan bukannya artis,” jelas Sakinah.
Pindah rumah baharu
Lumrah pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, mereka juga tidak terkecuali untuk cuba hidup berdikari selepas ini.
Cerita Sakinah, buat masa ini, mereka sedang mencari kediaman baharu bagi mengecap kehidupan sebagai suami isteri.
“Kami masih mencari-cari rumah yang sesuai, setakat ini masih belum jumpa lagi. Kami harap dapat menemui kediaman yang sesuai dalam masa terdekat, jadi bolehlah terus masuk rumah baharu selepas berkahwin,” katanya.
Tidak begitu mahir memasak juga bukan alasan buat Sakinah untuk fobia tatkala menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri yang sempurna.
“Tugas sebagai seorang isteri termasuk memasak masih boleh dipelajari sepanjang kami berkahwin. Ia bukan satu masalah besar, lagipun Aliff menggemari makanan bersup seperti bihun sup. Jadi, ia tidaklah begitu sukar,” ujarnya.
Antara komitmen,
katak dan nasi
Di sebalik kontroversi yang menyelubunginya sepanjang mencipta nama dalam lapangan seni, Sakinah menyifatkan dirinya cukup komited menggalas amanah sepanjang mencari rezeki sebagai pelakon.
“Saya cukup serius dan tidak berkira berkenaan bab kerja. Sebut saja watak yang tidak pernah saya lakukan setakat ini, jadi pelacur dan badut pun pernah.
“Saya juga sebenarnya cukup cerewet dalam banyak perkara, namun tidak terlalu berkira ketika berbelanja,” ceritanya yang mengakui, dia seorang yang cukup manja.
“Kalau nak tahu, Sakinah sebenarnya cukup fobia dengan cicak dan katak, selain perlu menjamah nasi sekurang-kurangnya sekali sehari.
“Jika tiada nasi, boleh menggigil satu badan dibuatnya. Saya juga pernah menangis disebabkan katak dalam program #Havoc Warna tidak lama dulu,” ujarnya.
Bagi yang ingin mengikuti perkembangan karier Sakinah bolehlah melayari laman Twitter di @shsakinah ataupun Instagram @sharifah_sakinah.
Sumber
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment