Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Tadahan air di empangan utama masih mencukupi

on Thursday, 5 March 2015


KUALA LUMPUR - Empangan utama di seluruh negara dilaporkan masih merekodkan tadahan air yang mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa,  meskipun cuaca panas dan kering dialami negara ketika ini.  

Di SELANGOR, lapan empangan di negeri itu dilaporkan berada pada tahap konsisten.

Menurut statistik laman web Lembaga Urus Air Selangor (Luas), setakat 8 pagi tadi paras air di empangan Tasik Subang mencatatkan jumlah takungan tertinggi iaitu 97.61 peratus diikuti Langat (95.09 peratus).

Enam empangan lain melepasi paras minimum dengan empangan Semenyih mencatatkan jumlah takungan 95 peratus, diikuti Batu (89.07 peratus), Klang Gates (87.24 peratus), Sungai Selangor (75.56 peratus), Kolam Takungan Sungai Labu (74.44 peratus) dan Sungai Tinggi (69.50 peratus).   

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata Melaka pada masa ini mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk rakyat negeri itu walaupun terdapat sedikit penurunan paras air di empangan negeri. 

Beliau berkata semua empangan di Melaka masih berada di tahap selamat iaitu empangan Jus pada 55 peratus, Durian Tunggal pada 70 peratus dan Asahan pada 90 peratus.

Katanya sekiranya tiada hujan dan musim kering pada masa ini berterusan, bekalan tersebut mampu bertahan sehingga awal bulan depan.

"Kemungkinan untuk bekalan tidak mencukupi itu ada sekiranya keadaan sekarang (tiada hujan dan musim kering) berterusan hingga awal bulan depan.

Bagaimanapun kerajaan negeri tidak berdiam diri dan telah merancang pelbagai pelan bagi memastikan rakyat Melaka mempunyai bekalan air yang mencukupi,"  katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di KOTA BAHARU, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Shahimi Sharif berkata paras air di kawasan tadahan air Tasik Bukit Kwong, Rantau Panjang di Pasir Mas masih berada di paras normal iaitu melebihi 15 meter. 

"Paras air tasik itu kini berada pada tahap 16.1 meter, iaitu dikategori sebagai paras biasa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Shahimi berkata Tasik Bukit Kwong adalah satu-satunya tasik di Kelantan yang berfungsi menyalurkan bekalan air bagi penduduk sekitar Rantau Panjang sementara bekalan air di jajahan lain di negeri itu diperoleh dari loji air melalui sumber sungai Kelantan. 

"Empangan Pergau yang kita ada di Jeli tidak membekalkan air tetapi berfungsi menjana tenaga elektrik sahaja. Jadi ia tidak mempunyai kaitan atau kesan kepada sumber bekalan air di negeri ini," katanya sambil menambah Kelantan tidak mempunyai empangan khusus bagi tadahan air.

Sementara itu Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Hanafi Mahmud berkata pihaknya mula mengambil tindakan menempatkan sebuah pam terus ke sungai bagi menyedut air ke Loji Kelar, Pasir Mas berikutan paras air mulai susut sejak beberapa hari lepas.

Hanafi berkata langkah itu diambil selepas paras kemasukan air pada saluran masuk ke loji susut ke paras 500 milimeter berbanding 1 meter sebelum ini.

"Kita mengambil keputusan menempatkan pam terus di dasar sungai bagi pengambilan air mentah ke loji bagi menjamin bekalan air mencukupi," katanya.

Katanya, sebuah lagi pam akan ditempatkan di loji sama bagi tujuan berkenaan sekiranya paras air semakin susut.

Loji Air Kelar antara loji rawatan air terbesar di Kelantan yang membekalkan air kepada 125,000 penduduk negeri itu dengan 25,000 akaun. - Bernama
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment