Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Altimet Sindir Mentaliti Negatif Orang Melayu Dalam Lagu

on Wednesday 27 July 2016


PETALING JAYA: Penyanyi rap Altimet memilih untuk menegur sikap negatif sesetengah masyarakat Melayu menerusi beberapa lagu ciptaannya yang bakal dimuatkan dalam album terbaharunya nanti.
Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 38, bagaimanapun berkata, teguran itu tidak dilakukan secara jelas sebaliknya menerusi sindiran dan kiasan bagi dalam menyampaikan mesej kepada pendengar.

“Saya sengaja mencipta beberapa lagu berbentuk sindiran kerana merasakan perlu menegur sikap dan mentaliti masyarakat kita dalam perkara tertentu.

"Tetapi saya bukannya ingin menghentam secara terang-terangan sebaliknya secara sindiran dan kiasan yang lebih halus.

"Harapan saya agar mesej yang ingin disampaikan diterima sekaligus memberi impak positif," katanya kepada mStar Online.

Altimet ditemui pada majlis pelancaran siri terbaharu Oh My English! After School di Yellow Apron di sini, Isnin.

Bercerita lanjut tentang album terbaharunya itu, Altimet berkata, dia telah pun menyiapkan sembilan buah lagu yang memperlihatkan karyanya itu bebas daripada sebarang konsep dan genre tertentu.

Katanya, dia memilih untuk melancarkan album berkenaan pada 27 November depan kerana ia juga bersempena dengan hari jadinya.

Sementara itu, Altimet mendedahkan dia sering mendapat ilham untuk mencipta lagu baharu apabila mendengar lagu ketika sedang memandu.

Altimet berkata, ilham menghasilkan melodi kebiasaannya datang secara spontan sehingga adakalanya terpaksa memberhentikan kereta di bahu jalan bagi merakamkan idea yang hadir.

“Sebenarnya saya tiada waktu tertentu untuk mencipta lagu namun ilham selalu datang secara spontan ketika saya sedang memandu.

“Pernah beberapa kali ketika idea datang saya berpusing beberapa kali di bulatan jalan raya selain memberhentikan kereta dibahu jalan kerana mendapat ilham dan berjaya menyiapkan sebuah lagu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Altimet berkata, dia berbesar hati apabila diberi tanggungjawab untuk menggubah lagu tema siri Oh My English! After School yang bakal bersiaran bermula 31 Julai ini.

Malah katanya, dia juga turut membuat kemunculan dalam siri popular berkenaan.

“Saya diberi watak sebagai Altimet iaitu watak diri sendiri di mana pada saya ia tidaklah memberi cabaran yang besar untuk melakukannya.

“Saya seronok dengan pengalaman ini dan sekiranya ada tawaran berlakon selepas ini, saya boleh pertimbangkannya,” katanya.

Oh My English! After School kali ini membawa kisah cabaran tiga watak utamanya iaitu Zack (Juzzthin), See Yew Soon (Roax Tan) dan Jibam (Akhmal Nazri) membangunkan sebuah perniagaan Kafe Hipster.

Ia bakal disiarkan menerusi saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135) setiap Ahad, jam 6.30 petang.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment