Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

31 Ogos : Kemeriahan berganda Dayang Nurfaizah

on Thursday 1 September 2016


SABAN tahun, tarikh keramat 31 Ogos membawa pengertian yang sangat bermakna buat penyanyi hitam manis, Dayang Nurfaizah.

Tidak hanya meraikan Hari Kemerdekaan, anak jati Bumi Kenyalang ini turut menyambut ulang tahun kelahiran bapanya, Awang Dowty Awang Fauzi.

"Alhamdulillah. Ayah sambut hari jadi yang ke-67 tahun ini.

"Walaupun ayah lahir sebelum merdeka, tetapi ia tetap merupakan hari yang istimewa," katanya kepada Zass.

Tambahnya, situasi itu sekali gus menyebabkan kemeriahan yang dialami lebih terasa manakala kegembiraan pula berganda.

"Pastinya, setiap tahun, dua acara ini disambut sekali gus bahkan tidak sesekali akan dilupakan.

"Lagi pula, kedua-dua acara ini ada makna tersendiri dalam hidup saya," katanya.

Dalam kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan ke-59, penyanyi berusia 36 tahun ini mengakui berbangga menjadi anak Malaysia.

"Hari ini merupakan hari sangat istimewa dan sepatutnya diraikan serta dihargai apatah lagi bukanlah mudah untuk mendapatkannya.

"Semangat merdeka harus ada dalam diri semua masyarakat bukan sahaja pada Hari Kemerdekaan tetapi pada bila-bila masa kerana setiap hari kita berpijak dan bernafas atas bumi bernama Malaysia,” katanya.

Bahkan, pelantun lagu Di Pintu Syurga ini menyifatkan selebriti juga mempunyai peranannya tersendiri dalam melunaskan tanggungjawab kepada masyarakat sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

"Biasanya, saya  kerap kali dijemput memeriahkan pelbagai konsert kemerdekaan. Dalam konsert itu, saya akan menyanyikan lagu bertemakan patriotik dan juga lagu popular semasa untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan.

"Apa yang penting, konsert seumpama itu bukanlah bersifat kosong semata-mata, sebaliknya lebih kepada pengisian kemerdekaan itu sendiri terutamanya penghayatan dan erti merdeka dalam diri," katanya.

Pelantun lagu Langit Cinta ini baru sahaja memeriahkan sambutan malam Hari Kemerdekaan menerusi Konsert Sehati Sejiwa di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Konsert itu turut dimeriahkan barisan artis terkenal seperti Faizal Tahir, Ella, Tomok, Yasin, Fareez, Qody, Wanie, Azmil serta Sandra dan dihoskan oleh AG KoolFM, Fiza Sabjahan dan Marsha.

Tidak pilih komposer

Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya seninya, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini mengakui sedang sibuk sibuk mengumpul material untuk album ke-11.

Pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini memberitahu, album terbarunya itu bakal memuatkan 10 lagu.

"Sebenarnya, saya perlu merakamkan beberapa lagu lagi. Saya tidak mahu terburu-buru dalam mengeluarkan album.

"Biarlah ia lambat asalkan saya dapat beri yang terbaik, kalau boleh setiap lagu dapat menjadi single hit dan bukan sekadar tangkap muat.

"Lagi pula, saya juga tidak begitu risau kerana bagaikan sudah menjadi trend apabila ramai penyanyi menghasilkan single demi single terlebih dahulu," katanya.

Tambahnya, album baharunya itu menggunakan khidmat sepenuhnya daripada komposer tempatan.
"Selalunya apabila diberi sesebuah lagu, saya akan mendengarnya terlebih dahulu dan kemudian barulah bertanya siapa yang buat lagu tersebut.

"Saya lebih mementingkan lagu itu sendiri dan bukan hanya akan bekerja dengan orang yang saya kenal.
"Baik popular atau tidak, baharu atau lama, saya tidak kisah asalkan melodi lagu tersebut bagus dan sesuai dengan saya. Saya juga senang dan suka bekerja dengan orang yang mudah berbincang," katanya.

Bakal ke AJL?

Kini, Dayang Nurfaizah turut sibuk mempromosikan single terbarunya, Lelaki Teragung yang dihasilkan komposer baharu, Natasyah dan penulis liriknya, Iman Imran.
Lebih tiga minggu menduduki Carta 20 Muzik-Muzik, ramai yang meramalkan Lelaki Teragung bakal ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), tidak lama lagi.

Pun begitu, Dayang tidak meletakkan harapan yang besar tetapi mengakui situasi tersebut memberinya satu tekanan.

"Ya, ia memang ia satu tekanan apabila orang selalu memberi harapan. Saya takut jika tidak berjaya menunaikan impian tersebut.

"Pada masa sama, keadaan itu menyebabkan saya akan terus mencuba seterusnya berusaha dan berjuang buat yang terbaik. Doa-doakan sahaja.

"Kalau benar ada peluang untuk ke pentas AJL, alhamdulillah. Saya seronok bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga buat peminat. Kalau tidak berjaya pun, saya masih tetap rasa gembira kerana saya sudah berusaha yang terbaik," katanya.

Sumber : Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment