Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Diana Rafar Tepis Rumah Tangganya Bergoyang

on Thursday, 3 October 2013


PETALING JAYA: Pelakon Diana Rafar menepis tuduhan rumah tangga yang dibinanya bersama aktor Zamarul Hsiham, 42, menghadapi krisis sehingga menyebabkan mereka jarang dilihat keluar bersama.
Diana atau nama sebenarnya Adriana Abd. Rafar, 31, berkata, hubungan mereka tidak menghadapi sebarang masalah sebaliknya Zamarul terlalu sibuk di lokasi penggambaran mengakibatkan pelbagai andaian timbul.
"Hubungan kami memang ‘renggang’ kerana kesibukan Zamarul di mana jadualnya penuh dengan penggambaran drama.
"Saya pun tak tahu bila masanya tidak sibuk tetapi macam mana pun kami masih lagi bersama," katanya yang dihubungi mStar Online.
Diana mengakui ada kalanya dia berasa hati terhadap Zamarul yang jarang mempunyai masa untuk bersama dan mereka pernah membincangkan perkara tersebut.
Bagaimanapun kata Diana, dia harus memahami kesibukan suaminya itu merupakan satu pengorbanan terhadap keluarga.
"Biasalah bila pergi ke majlis tanpa suami, orang mulalah bertanya dan memberi pelbagai andaian. Malah wajah Zamarul tiada dalam Instagram saya pun orang tertanya-tanya kenapa?
"Tapi nak buat macam mana, nak ambil gambar bersama pun tak sempat," tuturnya.
Hasil perkahwinan Diana dan Zamarul pada 16 Mei 2009, pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki iaitu Kashfi Haikal yang kini berusia tiga tahun.
Zamarul pula mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Izzat Haikal, 14.
Dalam pada itu Diana berkata dia berhasrat untuk membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas spa yang dimilikinya di Shah Alam sejak tujuh tahun lalu ditutup kerana kekurangan pelanggan.
"Sekarang ini saya sibuk dengan mempromosikan produk kecantikan saya Maixara selain menjadi duta kepada produk Sumber Ayu,” jelasnya.
Sumber : Mstar

Iqram Dinzly : Masa untuk berubah


SEMPENA menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-32, pelakon, model dan pengacara, Iqram Dinzly atau nama sebenar Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, berazam melakukan perubahan pada diri khasnya dari sudut lakonan.

Walaupun sudah berada dalam kelasnya sendiri, namun pelakon Dunia Baru dan Cinta Medik ini nekad menggilap lagi mutu lakonan agar sebaris bintang handalan seperti Eman Manan, Rosyam Nor dan Faizal Hussien.

“Sempena hari kelahiran, banyak perubahan yang mahu dilakukan, terutama yang melibatkan lakonan saya.

“Saya kosong dari segi pengisian. Namun, saya dapat satu kesedaran dan saya melihat dengan permulaan ini ia merupakan satu langkah kematangan saya," katanya.

Menurut Iqram, dia kini tidak mahu lagi terikat dengan watak kebiasaan dengan meneliti setiap tawaran lakonan yang mampu memberikan kepuasan untuknya. Dulu saya agak takut untuk menerima watak-watak antagonis, namun, sejak genap usia 32 tahun ini, saya sudah bersedia mencabar diri untuk menerima watak antagonis.

“Watak sedemikian akan menjadikan saya sebagai seorang artis yang versatil,” ujarnya yang sudah tujuh tahun bergiat dalam bidang lakonan.

Menurut Iqram, dia kini sedang menghayati naskhah terbaik dan bakal muncul melalui drama terbaru yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

“Sekarang, saya sedang dalam ‘mood’ menghayati watak dari naskhah yang diberi. Tunggu sahaja apa yang bakal saya lakukan.Saya berharap peminat dapat menerima dan berpuas hati dengan hasil kerja keras saya.

"Sudah tiba masanya pelakon senior seperti saya membawa karakter yang berbeza untuk kekal dalam dunia seni,” katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 13 episod iaitu ‘Lara Ameera’ arahan Nurhalim.

Tunggu calon sesuai

Mengulas mengenai hal percintaannya, Iqram mengakui sejak beberapa bulan lalu dia menyendiri dan menegaskan dia kini lebih berhati-hati dalam perkara itu.

“Jika tanya saya dengan siapa saya berkawan, saya hanya dapat menjawab saya berkawan dengan ramai orang. Tapi belum ada yang dapat membuka pintu hati saya,” ujar pelakon yang pernah dikaitkan dengan Fouziah Gous ini.

Katanya, sekiranya sudah bertemu calon yang sesuai, dia tidak menolak bahkan mahu terus mengahwini gadis yang berjaya menawan hatinya.

Sumber : Sinarharian

Masalah Malas Mandi

on Wednesday, 2 October 2013


Tidak kiralah jejaka atau gadis, sikap malas akan wujud dalam diri setiap insan. Malas juga akan buatkan kehidupan seharian kucar-kacir. Lebih teruk apabila ia berkaitan kebersihan tubuh badan yang sepatutnya diberi lebih perhatian. Rutin mandi seharian yang dipandang remeh segelintir individu menjadi kupasan isu hari ini.

Ramai yang tidak mengambil serius hal ini, apa yang penting bagi mereka adalah penampilan dinilai di mata, bukannya hidung.

Jika kita melepak di pusat beli-belah, datang ke pejabat atau keluar bersiar bersama rakan, apa yang dapat dilihat hanyalah penampilan luaran. Semua orang mahu kelihatan bergaya, pandai berfesyen tetapi pernahkah anda terfikir adakah penjagaan kebersihan badan dititikberat setaraf dengan gayanya?

Hanya sekali sehari

Tak dinafikan, rutin harian yang sibuk dan jadual padat sedikit sebanyak mendorong kepada sikap malas. Seharian penat menyiapkan kerja bertimbun di pejabat atau letih dengan kuliah membuatkan kita akan terbaring lesu ketika pulang ke rumah. Dalam proses menenangkan otak dengan bermalas-malasan di depan televisyen itu, selalunya ia akan berakhir dengan tertidur hingga ke pagi.

Tubuh menjadi lesu kerana dibiarkan melekit dengan peluh dan akan menyebabkan kita menjadi lemah dan malas untuk bangun pagi. Itulah situasi sebenar yang diakui beberapa geng Gen Y yang ditemui penulis, baru-baru ini.

Rata-rata mereka mengakui hanya mandi sekali sehari iaitu sebelum keluar rumah sama ada mahu ke tempat kerja atau ke kuliah. Lebih mengejutkan apabila ada yang terus terang memberitahu hanya mandi sekali dalam dua hari apatah lagi pada cuti hujung minggu.

Benarlah, mata hanya dapat melihat apa yang terhidang depan mata. Walaupun sekali pandang luaran nampak kemas tetapi apabila diteliti, rambut dan muka si malas mandi akan kelihatan berminyak. Jangan mudah tertipu dengan pandangan mata. Inilah ‘penyakit’ sebenar yang menghantui remaja masa kini.


Mandi tak sabun

Kebiasaannya, kita akan mandi dua kali sehari iaitu sebelum dan selepas pulang kerja. Bagi mereka yang rajin, mungkin akan menjadi tiga kali atau lebih. Bagi mereka yang ‘takutkan’ air pula, mandi satu kali sehari sudah memadai.

Apabila ditanya, kebanyakan mereka memberitahu hanya akan mandi ketika pagi. Ia boleh dikatakan ‘wajib’ hanya kerana tidak mahu diejek rakan sepejabat atau ditertawakan kerana kelihatan kusut dan ‘serabai’.

Sebilangan yang ‘elak’ mandi pagi, akan cuba memaksa diri untuk segarkan tubuh badan pada waktu tengah hari sama ada selepas kuliah atau sengaja mandi lewat. Mereka berpendapat, sekali sehari sudah memadai untuk buang daki di badan. Lebih teruk apabila ada yang hanya mandi sekadar basahkan badan dengan air tanpa sabun. Mandi sekadar ‘cukup syarat’ untuk buatkan rambut basah tanpa syampu kemudiannya dialas dengan minyak wangi sebelum keluar antara taktik golongan pemalas ini.

Tabiat ini bukan hanya sinonim dengan golongan lelaki tetapi sikap malas membuatkan ia turut membabitkan wanita. Meskipun wanita sering dilabel pembersih berbanding lelaki, tetapi tidak bermakna secara keseluruhannya dijaga rapi.


Pencemaran bau

Bau badan selalunya dikaitkan dengan orang yang berbadan besar apatah lagi jika si dia malas mandi. Bukan rakan saja yang menjauhi tetapi orang sekeliling juga akan beri pandangan penuh makna kerana bau badan yang tengik dapat dihidu dengan jelas.

Si pemalas mandi tidak akan merasai apa yang dialami orang sekeliling kerana dia berada di zon selesa. Jarang sekali mereka akan bau badan sendiri, oleh sebab itulah masalah ini tidak selesai sekiranya tidak ditegur.

Penyiksaan hidung akan lebih teruk apabila kita terpaksa berdepan dengan si pemalas mandi yang badannya mudah berpeluh. Secara tak langsung, bau badan akan menjadi makin kuat sehingga ada kes menyebabkan mereka hilang kawan. Siapa yang sanggup berdiri sambil tersenyum apabila dibiarkan sendirian di loji kumbahan? Mungkin ada yang sabar tetapi akan wujud batasnya. Itulah perumpamaan untuk menggambarkan situasi ini.


Pasangan boleh lari

Memang benar, kita kena terima seadanya pasangan kita. Tapi ada sesetengah perempuan yang pembersih dan menjaga penampilan amat prihatin terhadap penjagaan tubuh badan. Mandi adalah elemen utama yang harus diutamakan.

Walaupun rupa pasangan sekacak Aaron Aziz atau secantik Maya Karin, apa gunanya gah paras rupa tetapi bau badan boleh hancurkan kebahagiaan? Jadi, kepada si pemalas mandi, paksa diri untuk ubah rutin harian anda supaya pasangan akan tetap setia dan tidak cari pengganti baru. Berubah ke arah kebaikan tak salah walaupun ia dugaan terhebat pada permulaannya.


Tak bahaya mandi malam

Ramai yang berpendapat, mandi malam boleh mendatangkan penyakit kronik. Sejauh mana kebenarannya?

Pada 2012, seorang doktor perubatan di hospital swasta, Dr Anies Tan berkata, kajian menunjukkan mandi bukan saja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya, kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit ini.

“Negara mempunyai iklim tropika di mana cuacanya panas dan lembab, oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan. Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia (jangkitan dari satu atau dua paru-paru yang biasanya disebabkan bakteria dan virus) dan tinggal di negara yang beriklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus,” katanya.

Jelas, ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam.

Shuhada Mansor
HMETRO

Jualan gudang Karangkraf kembali lagi untuk tahun ini


SHAH ALAM - Penggemar buku, novel dan majalah dialu-alukan datang beramai-ramai Jualan Gudang Karangkraf yang berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober bagi menikmati harga istimewa serendah RM5 dengan diskaun sehingga 80 peratus.

Pengurus Besar Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin berkata, selain menawarkan potongan harga menarik, acara tahunan ini juga turut menampilkan beberapa penulis terkenal sepanjang jualan gudang berlangsung.

"Pada hari Jumaat jam 3 petang, kami akan membuat pelancaran buku bertajuk 'Memacu Transformasi' oleh bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan pada keesokan harinya, pada jam 2 petang, novel Magis hasil karya Ramlee Awang Murshid turut akan dilancarkan oleh pengarah filem, Nasir Jani.

"Sepanjang jualan ini berlangsung, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati tawaran harga yang rendah malah berpeluang untuk bertemu mesra dengan penulis-penulis terkenal kami," katanya.

Jualan Gudang Karangkraf bermula jam 9 pagi hingga 7 petang itu, akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

NINA FARZUIN MD SHAROM
Mstar

Amar Baharin : ‘Gosip Saya Dengan Erra Fazira Sangat Lucu’


PETALING JAYA: Aktor Amar Baharin menganggap gosip hangat yang mengaitkan dia mempunyai hubungan dengan pelakon Erra Fazira merupakan satu cerita kelakar yang tidak sepatutnya timbul.

Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 28, berkata, dia tidak layak untuk digosipkan dengan pelakon hebat seperti Erra kerana status mereka yang berbeza.

"Sungguh pun ia hanya gosip tetapi nama saya tidak layak untuk disebut sebaris dengan pelakon terkenal seperti Erra dan saya sebagai pendatang baru dalam industri sangat menghormatinya.

"Kadang-kala apabila difikirkan, gosip itu sebenarnya kelakar dan saya tidak faham mengapa ada pihak yang ingin timbulkan isu yang tidak pernah terjadi," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, Amar didakwa menjalinkan hubungan istimewa dengan Erra dan dituduh menjadi orang ketiga kepada konflik rumah tangga aktres popular itu.

Bekas finalis program Anak Wayang (2009) ini berkata, walaupun gosip berkenaan sedikit menjejaskan karier lakonannya namun hidup perlu diteruskan kerana dia sedar ia adalah perkara yang harus dilaluinya sebagai seorang artis.

Bagaimanapun jelas Amar, dia tidak mahu dilabel sebagai artis yang ingin mengejar populariti apabila timbul gosip berkenaan.

"Gosip itu tidak benar sama sekali dan saya sendiri tidak tahu siapa yang menyebarkannya dan bimbang juga orang ingat saya pula yang reka-reka cerita sebab nak kejar populariti," tuturnya.

Dalam pada itu, Amar berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergandingan dengan pelakon itu malah baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Shopaholic arahan Erma Fatima.

Kata Amar, gosip itu langsung tidak memberi kesan kepada kerjasama mereka malah dia sangat menghormati sikap profesional pelakon itu.

"Cerita yang tersebar bukan benar dan tiada masalah untuk kami berlakon bersama dan ia tidak memberi kesan dan perasaan janggal langsung tidak wujud ekoran gosip itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amar berkata, selain Shopaholic dia juga bakal tampil dalam dua buah lagi drama arahan pengarah sama iaitu Ketika Cinta Merintih dan Mat Kental yang menjalani penggambaran di sekitar Eropah.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
MSTAR

Keluarga Tunang Terima Semula Shahrizal Jaszle


PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle bersyukur apabila keluarga tunangnya, Redzwani Puteri yang sebelum ini memutuskan tali pertunangan gara-gara kontroversi tangkap khalwat sudah menerimanya kemabli.

Shahrizal berkata, dia tidak sangka akan diterima semula oleh keluarga Redzwani dalam jangka masa yang singkat iaitu pada pertemuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

"Saya faham situasi keluarga Redzwani yang mesti risau adakah saya layak untuk menjadi suami Redzwani selepas kontroversi tercetus. Dan ia semestinya mengambil masa yang lama untuk mereka percaya kepada saya.

"Tetapi, Alhamdulillah mereka sudah terima saya semula pada Hari Raya lalu dan hubungan saya dan Redzwani sendiri semakin kukuh. Syukur," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.

Pada 16 Mei lalu, Shahrizal ditahan bersama Farah Nurizzati Salleh, 21, atas kesalahan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, pada pukul 3.30 pagi oleh unit penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hasil aduan orang ramai.

Perhubungan cinta antara Shahrizal dan Redzwani lebih kukuh sejak melalui pelbagai dugaan.
Walaupun aktor tersebut menyifatkan penangkapan itu sebagai satu perangkap namun Farah berkata mereka sebenarnya mempunyai hubungan istimewa.

Kontroversi itu membuatkan keluarga Redzwani memutuskan pertunangan pada 10 Jun 2013 dengan memulangkan semula dua bentuk cincin iaitu cincin belah rotan dan cincin berlian.

Sementara itu, Shahrizal berkata, dia sudah bersedia dengan segala kemungkinan untuk berhadapan dengan kes tersebut yang akan disebut di mahkamah syariah pada 12 November depan.

"Saya bersedia untuk berhadapan dengan kes itu dan sedang mengumpul bukti yang saya tidak bersalah. Kita lihat saja nanti. Insya-Allah semua akan berjalan lancar," ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrizal kini bekerja keras untuk mengumpul wang sebelum mengahwini Redzw dan berhasrat mengadakan majlis selepas kes mahkamah berkenaan selesai.

Malah pelakon drama Iman Nabila itu juga bersyukur kerana kontroversi tersebut langsung tidak menjejaskan perjalanan kariernya selain turut mendapat tawaran daripada pihak produksi Zeel Production.

"Memang sekarang ini saya tengah mengumpul duit untuk mengahwini Redzwani. Dan buat masa ini saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama Dendam Lima Beradik arahan Along Kamaludin dan beberapa drama daripada pihak produksi Zeel. Selain itu adik saya, Shahid Jaszle kini menjadi pengurus saya," ujarnya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
MSTAR

Polis selam cari pistol tembak Hussain

on Tuesday, 1 October 2013


SERI KEMBANGAN – Polis kini giat menjalankan operasi mencari pistol yang digunakan untuk membunuh Pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (Ambank), Hussain Ahmad Najadi di tasik The Mines, dekat sini.

Operasi masuk hari kedua, semalam bagaimanapun gagal menemui pistol yang digunakan untuk menembak Hussain dalam  kejadian 29 Julai lalu.

Suspek utama berusia 44 tahun itu dibawa sekali lagi ke lokasi berkenaan yang terletak di Lebuhraya Besraya kira-kira jam 1.20 petang semalam bagi membantu polis mengesan pistol yang dibuang ke dalam tasik bertujuan untuk melupuskan bukti.

Sumber polis memaklumkan 10 penyelam dari Unit Skuba Forensik PDRM bersama 20 lagi anggota polis dari Unit Jenayah Berat (D9) IPK Kuala Lumpur diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairy Ahrasa terlibat dalam operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 4 petang.

Difahamkan, unit skuba menyelam pada kedalaman 10 meter di lokasi dikenal pasti namun masih belum menemui pistol yang digunakan suspek.  

Hasil siasatan sebelum ini,  polis percaya senjata yang digunakan untuk membunuh Hussain adalah pistol automatik 9mm, berdasarkan peluru yang ditemui pada si mati.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan operasi dan memaklumkan  operasi mencari senjata berkenaan akan disambung hari ini.

Pada 23 September lalu, suspek utama yang dikenali sebagai ‘Sei Ngan Cai’ bersama dua rakannya ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah Larut Tin Tambahan, Taiping Perak.
 
Suspek disambung reman sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan.

IZWAN ROZLIN
Sumber : Sinarharian

Kamal Adli, Intan Ladyana Sudah Sedia Berkahwin


PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan aktres Intan Ladyana kerana merasakan kedudukannya lebih stabil untuk membina keluarga.

Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 27, berkata, setakat ini dia sudah pun memiliki aset seperti rumah sendiri dan kereta namun ingin melunaskan satu lagi hasrat iaitu membuka gelanggang futsal sebelum membuat keputusan menyunting kekasihnya itu.

"Saya dah bersedia untuk kahwin dan kami (dengan Intan) ada berbincang mengenai perkahwinan.

"Alhamdulillah saya sudah memiliki rumah dan kereta untuk keselesaan Intan nanti. Cuma tinggal satu perkara sahaja lagi iaitu saya mahu membuka tempat bermain futsal sebelum kami mendirikan rumah tangga," katanya kepada mStar Online.

Tambah Kamal, dia merancang akan membuka gelanggang futsal tersebut di sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) pada akhir tahun ini atau awal tahun 2014 bersama seorang rakan kongsinya.

Dalam pada itu, dia juga gembira apabila pihak media semakin kurang bertanyakan mengenai kisah cintanya.

"Saya seronok sangat apabila kami dah tak lagi dikaitkan dalam mana-mana berita mahupun gosip. Yalah... lagipun semua orang dah tahu mengenai perhubungan ini.

"Orang mesti kata 'dia orang tunggu masa nak kahwin saja'... Itu yang mereka dah tak banyak cakap fasal kami. Tetapi macam mana pun kami tetap tidak boleh lari daripada persoalan, 'bila nak kahwin?'," selorohnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kerjaya, Kamal baharu saja selesai penggambaran drama Terukir Di Bintang bersama pelakon Tasha Shilla dan Wan Ilyas bagi tayang slot Samarinda TV3 tidak lama lagi serta drama Bulan Tiada Madu bagi siaran TV9.

Selain itu, Kamal turut menyertai sebuah pertandingan program Liga Lawak Superstar terbitan Vision Works Sdn. Bhd untuk siaran TV3 pada Oktober ini.

"Saya bersyukur juga sejak tawaran kerja tidak pernah putus dan Alhamdulillah saya masih lagi berada di landasan yang betul dalam ingin menjadi pelakon yang baik." ujarnya.


Oleh FERIDE HIKMET ATAK
Sumber : Mstar

Isu Keracunan Di Kenduri : Tetamu sebelah petang ramai terkena


SUNGAI PETANI – Mangsa terbaru keracunan makanan, Ibrahim Mohamad, 62, disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 6.30 petang tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Jenazah yang dituntut keluarga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu sebaik sahaja selesai bedah siasat di HSAH.

 Anak mangsa, Zulkifli, 31, berkata, bapanya dikatakan mengalami cirit-birit sejak pagi Ahad lalu akibat dipercayai keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri majlis perkahwinan berdekatan rumahnya di Kampung Huma, Tanjung Dawai, jam 6 petang Sabtu lalu.

“Pagi itu (Ahad), ayah dah mengalami cirit-birit serta beberapa kali masuk ke tandas, bagaimanapun keadaannya masih baik serta boleh bercakap seperti biasa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HSAH hari ini.

Menurut Zulkifli, keadaan Ibrahim dilihat semakin tidak bermaya beberapa jam selepas itu menyebabkan ahli keluarga membawanya ke Hospital Daerah Yan tengah hari semalam bagi mendapatkan rawatan.

“Walaupun dibenarkan pulang selepas ditambah air dalam badan, keadaan ayah semakin lemah serta tidak mampu berjalan menyebabkan ayah terus ditahan wad.

 “Disebabkan makin kritikal, ayah kemudian dirujuk ke HSAH lebih kurang jam 2 petang tadi,” katanya.

 Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang.

 Sementara itu, penduduk, Puan Md Noor, 55, berkata, anaknya yang berusia 25 tahun juga menerima rawatan di HSAH akibat keracunan selepas menghadiri kenduri yang sama.

 “Anak kelima saya, Mohd Nazri Deraman, turut mengalami loya dan muntah serta cirit-birit dipercayai selepas makan kenduri.

 “Nazri terlebih dahulu menerima rawatan di sebuah klinik di Semeling pada jam 9 malam semalam.

“Tetapi, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan keluarga membawanya ke HSAH pada jam 2 petang tadi,” katanya.

Mohd Nazri dikatakan makan kenduri pada jam 3 petang Sabtu lalu dan mula mengadu sakit pada jam 7 pagi keesokan hari.

“Tetapi Alhamdulillah selepas dimasukkan air dalam badan, dia dibenarkan pulang jam 7 malam tadi,” katanya.

Puan berkata, dia juga menghadiri majlis kenduri yang sama tetapi makan masakan yang disediakan lebih awal pada tengah hari.

“Saya juga ada cubit sikit ayam yang dimasak itu tetapi mujur tidak sakit,” katanya.

Difahamkan, majlis kenduri yang diadakan Sabtu lalu disediakan secara bergotong-royong tetapi dikatakan hanya tetamu yang menghadiri jamuan sebelah petang mengalami keracunan.

Sumber mengatakan, lebih ramai mangsa yang telah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran serta hospital berdekatan, namun jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan berikutan tiada pengesahan dari mana-mana pihak.

 Kejadian turut dipercayai meragut dua nyawa lain termasuk Mohd Noor Rahmat, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan dan Nor Syazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Merbok.

Sumber : Sinarharian