Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Kamal Adli Reda Belum Ada Rezeki Untuk Popular

on Monday, 27 January 2014


PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli mengakui belum mempunyai rezeki untuk popular biarpun sudah hampir lima tahun berada dalam industri seni tanah air.
Kamal, 27, berkata, walaupun pelbagai watak dan karekter yang telah dilakonkan namun dia belum bertuah untuk mendapat drama atau filem yang benar-benar mampu mengangkat namanya.
"Itu semua tuah atau rezeki masing-masing, jika seseorang pelakon tersebut mendapat drama yang betul-betul popular dia juga secara tidak langsung akan popular.
"Saya sudah cuba banyak karakter termasuk komedi, aksi dan serius namun mungkin belum ada rezeki lagi," katanya kepada mStar Online.
Kamal berkata demikian ketika ditanya tentang kerjaya lakonannya yang masih belum mencapai satu tahap populariti setanding dengan pelakon-pelakon yang seangkatan dengannya.
Bagaimanpun, Kamal berkata, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh produser dan stesen televisyen tempatan untuk terus berada dalam industri.
Tambahnya, apa yang lebih penting, dia berjaya menunjukan bakat lakonannya kepada penonton.
"Saya tidak pernah memilih drama atau filem yang memnag sudah dijangka akan hit, sebaliknya saya hanya berlakon sahaja ikut tawaran yang datang.
"Tapi saya bersyukur dengan pelbagai karekter yang telah saya bawa ini, penonton sendiri dapat menilainya," katanya.

Farish Aziz Kini Telah Bergelar Bapa


Tahniah diucapkan kepada pelakon Farish Aziz yang kini bergelar bapa apabila isterinya, Zahrah Fowzi telah selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 9.23 pagi, Sabtu lalu.
 
Menerusi status yang dikongsi di Facebook milik Farish, bayi lelaki seberat 2.9 kilogram ini masih belum lagi diberikan nama.
 
"Salaam, _____________ bin Mohd Farish. Born this morning at 9.23am.Berat 2.9kg.  wuhooo! Sleepless night bermula sekarang! #ggmu #inmilowetrust #alhamdullilah," tulisnya. 
 
Untuk rekod, Farish dan isteri telah selamat diijabkabulkan di Resort Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 18 Februari 2011.

Mizz Nina hanya nyanyi depan penonton wanita sahaja


PENYANYI Shazrina Azman atau Mizz Nina membuat keputusan untuk mengadakan persembahan nyanyian di hadapan penonton wanita sahaja.

Isteri kepada vokalis kumpulan Hujan itu, memutuskan perkara itu sekembalinya selepas mengerjakan haji pada November lalu.

Katanya, keputusan untuk tidak melibatkan penonton lelaki ketika mengadakan persembahan dibuat atas kesedaran sendiri.

“Saya akan menyanyi di hadapan penonton wanita saja. Keputusan itu saya buat selepas berhijrah.

“Suami menyokong keputusan saya. Saya tidak menyesal meninggalkan bidang muzik kerana sudah puas mengecapinya.

“Kini, saya ingin memberikan perhatian kepada butik dan juga syarikat produksi yang ditubuhkan sejak setahun lalu,” katanya yang dipetik dalam satu portal berita hari ini.

Sumber

Hafiz pemenang AJL ke 28


BAHAGIAMU Deritaku muncul sebagai Juara Lagu ke-28 menewaskan 11 pesaing lain.

Lagu ciptaan LY dan lirik Baiduri itu disampaikan oleh penyanyi, Hafiz dalam persembahan yang begitu menyentuh perasaan.

Naib juara milik lagu Hanya Aku hasil ciptaan dan disampaikan sendiri kumpulan Hyper Act.

Lagu Kalau Aku Kaya nyanyian Awi Rafael dan Altimet yang dicipta komposer Omar K dan Audi Mok di tempat ketiga.

Sementara itu, Jaclyn Victor diumumkan pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Ikut Rentakku bagi AJL28 ini.

Persembahan Hafiz dengan lagu Bahagiamu Deritaku dipilih penonton sebagai Persembahan Terbaik.

Sumber

Uqasha Senrose pasang badan persediaan untuk kahwin

on Sunday, 26 January 2014


PASANGAN bahagia, Pekin Ibrahim dan Uqasha Senrose mendedahkan sudah mula membuat persiapan perkahwinan mereka yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Walaupun masih merahsiakan tarikh perkahwinan mereka, pasangan ini mengharapkan apa yang dirancang akan berjalan lancar.

Uqasha berkata, selain persiapan perkahwinannya yang sudah hampir suku peratus, dia turut mengakui kerap ke gimnasium dan mengurangkan pengambilan nasi dalam amalan diet hariannya bagi mengurangkan berat badan.

“Alhamdulillah, persiapan kahwin sudah 30 peratus selesai, sekarang ini saya juga sedang menurunkan berat badan memandangkan dah naik satu kilogram.

“Saya bukanlah nak nampak terlalu kurus sebab badan saya bukanlah besar sangat, cuma nak kelihatan ‘just nice’ saja,” katanya.

Memilih konsep perkahwinan dalam taman, pelakon Paku Pontianak ini berkata, dia bersetuju dengan idea bakal suaminya untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka secara lebih santai dan sederhana.

Menurutnya, dia juga tidak menolak untuk terima tajaan daripada mana mana pihak untuk majlis perkahwinan mereka namun semuanya tertakluk kepada hasil perbincangan dan kesesuaian majlis mereka.

“Saya bersetuju dengan Pekin, kami akan melakukannya secara sederhana tak mahu terlalu meriah.

“Kami juga sedang berbincang dengan penaja yang sesuai sahaja dengan konsep taman secara santai ini,” katanya.


Resepsi kedua di kawasan pantai

Bagi memastikan majlis yang dirancang berjalan lancar, Pekin mengambil pengurusan dan memilih lokasi manakala bakal isterinya, lebih kepada rekaan baju dan dekorasi.

“Walaupun sekarang ini sudah mula buat persiapan,  kami memilih untuk lebih santai dan sederhana, namun agak rumit juga. Banyak juga perkara yang perlukan perhatian lebih.

“Pada mulanya, kami ingin memilih konsep di pantai, namun bila difikirkan orang tua kami, tidak sanggup rasanya, kesian mereka nak ke sana nanti. Bagaimanapun, kami akan melakukannya juga dan hanya menjemput media atau rakan-rakan saja nanti,” katanya yang mahu melakukan resepsi kedua bersama rakan.

Pasangan ini mengakui kesibukan dengan kerjaya masing-masing melambatkan proses persiapan menjelang hari bahagia mereka namun ahli keluarga banyak membantu.
“Alhamdulillah, keluarga memahami kesibukan dan turut membantu kami dalam menyempurnakan persiapan ini,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya pasangan ini, mereka baharu sahaja selesai menjalani drama cerekarama berjudul Hitam yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi.

Sumber

Awie : Isteri Tidak Mahu Dengar Gosip Dengan Wanita Lain


Jika difikir balik, pastinya ia bukan sesuatu yang mudah untuk membenarkan suami kembali bercinta dengan bekas kekasih lama.  Tapi, itulah yang dilakukan oleh Rozana Misbun, isteri kepada Awie.
 
Menurut Rozana, dia tidak berfikir panjang untuk menyatakan persetujuan apabila suaminya meminta izin untuk berlakon kembali dengan Erra Fazira di dalam Konsert Teaterikal Suara Kita pada Mac akan datang.
 
"Mula-mula agak terperanjat juga bila Awie nyatakan hal itu.  Saya ada tanya tidakkah nanti akan terdetik atau terimbau kisah lama.  Tapi, bila saya fikir balik masing-masing sudah punya kehidupan sendiri.
 
"Jadi, saya terus kata OK dan tidak menghalang pun.  Saya tidak mahu fikir benda lain, kerana percayakan suami.  Lagi pula, itu kan urusan kerja.  Selama ini pun, saya menyokong setiap apa yang dilakukannya," ujar Rozana yang ditemui di sidang media konsert itu semalam.
 
Namun, satu perkara yang tidak diingini berlaku dalam perhubungan mereka ialah gosip dengan wanita lain.
 
"Sepanjang kami bersama, saya tidak pernah kacau kerja dia.  Gosip lain saya tidak kisah, tapi jangan gosip fasal perempuan.  Dari mula kahwin lagi saya sudah cakap tentang hal itu," kongsinya.
 
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga menambah, dia tidak meletakkan syarat tertentu untuk suaminya kembali bergandingan bersama Erra.
 
"Saya kenal siapa suami saya dan saya percayakannya 100 peratus.  Lagi pun, saya juga merupakan peminat Erra Fazira," ujarnya lagi.
 
Ditanyakan tentang penerimaan ahli keluarganya, Rozana berkata;
 
"Keluarga saya semua OK.  Ibu saya tak banyak cakap, cuma kakak sulung sahaja yang sedikit provok.  Tapi, macam yang saya katakan saya lebih percayakan suami."
 
Untuk rekod, sejak mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu, Awie dan Rozana sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata masing-masing berusia tujuh, enam dan empat tahun.  Selain itu, dua anak hasil pekahwinan terdahulu Awie juga tinggal bersama mereka.

Nina Iskandar diminati anak Datuk K

on Saturday, 25 January 2014


MEMILIKI paras rupa cantik sudah tentu menjadi pakej paling berharga buat pelakon Nur Akmalina Iskandar atau lebih dikenali dengan panggilan Nina Iskandar untuk terjun ke dunia seni.

Ternyata, keputusannya untuk cuba menembusi dunia lakonan di Malaysia merupakan satu langkah yang tepat, tambahan pula dilamar untuk bernaung di bawah syarikat Metrowealth (MIG).

Bagaimanapun, sudah lumrah menjadi seorang artis apabila tidak dapat lari daripada dilanda dengan gosip hangat. Hakikatnya, itulah cabaran yang perlu dilalui terutamanya membabitkan pelakon-pelakon baharu.

Gadis jelita berusia 23 tahun yang ditemui pada majlis kesyukuran dan sambutan Tahun Baru Cina anjuran MIG yang berlangsung di N'Dah Catering & Services, Shah Alam, Selangor baru-baru ini berkata, dia mengakui agak takut apabila berhadapan dengan gosip.

"Kalau boleh saya tidak mahu terlibat dengan cerita yang negatif, terutamanya membabitkan tentang peribadi serta gosip yang yang kurang baik sehingga menjejaskan matlamat asal untuk mencipta nama sebagai pelakon.

"Apabila saya memilih lakonan sebagai karier utama dan berhijrah ke Malaysia, saya mahu dikenali dengan nama yang bersih dan ingin peminat lebih menilai bakat yang saya miliki ini berbanding cerita peribadi," jelasnya yang baru sahaja tampil dalam filem sulung berjudul Muka Surat Cinta.

Ujarnya, gosip juga sebenarnya merupakan sesuatu yang cukup asing buat dirinya memandangkan di negara kelahirannya, tidak ramai artis yang dikaitkan dengan gosip lantaran industri hiburan di sana yang tidak besar.

FIGURA jelita ini cuba mengelakkan diri daripada terbabit dengan gosip negatif.

Berhubung dengan gosip yang melanda dirinya berkenaan hubungan yang terjalin dengan salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu Muhammad Adib, 24, ujar Nina, mereka berdua tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan istimewa.

Jelasnya, perkenalan mereka hanya bermula ketika dia bersama Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo menghadiri majlis ulang tahun ke-35 Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung di Restoran Marini's On 57, Menara Petronas, Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu.

"Saya hanya diberitahu (untuk ke sana) oleh David pada saat-saat terakhir sebelum majlis itu berlangsung dan kehadiran kami adalah bagi memenuhi undangan yang diterima oleh pihak MIG.

"David turut mengajak saya kerana ia merupakan permintaan daripada Adib yang meminta saya agar turut hadir.

"Lagipun, saya sendiri tidak tahu mengenai perkara berkenaan sehinggalah saya hadir ke majlis itu dan diberitahu yang Adib ini merupakan peminat saya," luahnya.

Dalam pada itu, Nina meminta supaya peminat tidak terus membuat andaian yang dia mempunyai hubungan istimewa dengan Adib, biarpun mereka duduk bersebelahan pada majlis pratonton filem Muka Surat Cinta di TGV Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

"Saya anggap ia merupakan gosip semata-mata dan selepas majlis pratonton itu kami tidak berhubungan lagi antara satu sama lain.

"Mengenai maklum balas daripada keluarga saya di Brunei pula berkenaan gosip ini, mereka sekadar berpesan agar dapat membiasakan diri untuk berhadapan dengan sebarang gosip yang akan dilalui saya pada masa akan datang," tuturnya lagi.

Mengulas mengenai status Twitter milik Adib yang dilihat yang seolah-olah menafikan dirinya merupakan peminat Nina seperti yang laporkan oleh beberapa portal sebelum ini, pelakon itu enggan mengulas lanjut.

Ini kerana dia tidak membaca apa yang ditulis memandangkan dirinya tiada dalam senarai rakan Twitter kepada jejaka kacak tersebut.

Cabaran

Mengulas lanjut mengenai situasi yang melanda dirinya sekarang ini apabila terpalit dengan gosip cinta, Nina menyatakan bahawa ia merupakan satu cabaran yang terpaksa ditempuhi sebagai seorang pelakon.

Ujarnya, perjalanan yang perlu ditempuhi untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya masih lagi panjang dan apa yang menimpa dirinya sekarang ini langsung tidak mematahkan semangatnya.

"Setiap orang ada pandangan dan persepsi masing-masing terhadap sesuatu perkara itu dan saya tidak boleh menutup mulut mereka yang memperkatakan tentang diri saya.

"Dalam keadaan sekarang ini, saya berasa sangat lega kerana bernaung di bawah sebuah syarikat seperti MIG yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan para pelakon, selain peluang yang diberikan untuk mengembangkan lagi karier lakonan saya," ujarnya.

Berkenaan dengan karier lakonannya pula, ujar Nina, selepas Muka Surat Cinta, terdapat beberapa buah lagi filem lakonannya yang akan ditayangkan pada tahun ini seperti Pengantin Malam, Sniper dan Lu Gua Bro.

Sumber

Uqasha Senrose Sedia Terima Tajaan Untuk Majlis Kahwinnya


PETALING JAYA: Pelakon Uqasha Senrose sudi menerima apa juga tajaan mana-mana pihak untuk majlis perkahwinannya dengan aktor Pekin Ibrahim yang dijadualkan pada tahun ini.

Uqasha, 21, berkata, sejak berita perkahwinan mereka diketahui umum ada beberapa pihak telah tampil untuk memberikan tajaan namun dia masih belum membuat sebarang keputusan.

"Alhamdulillah ia adalah satu rezeki apabila ada pihak yang sudi untuk menaja perkahwinan kami tetapi perbincangan secara serius perlu dibuat terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah pada kemudian hari," katanya kepada mStar Online.

Uqasha bagaimanapun memberitahu dia masih belum dapat memberitahu tarikh sebenar perkahwinannya dengan Pekin buat masa ini.

Dalam pada itu, Uqasha berkata, dia berhasrat untuk mengadakan majlis resepsinya berkonsepkan dalam taman tetapi dalam suasana sederhana sahaja.
Pasangan ini masih belum bersedia untuk mengumumkan tarikh pernikahan mereka kepada umum buat masa ini.

Jelas Uqasha, dia dan bakal suaminya telah mula membuat persiapan untuk perkahwinan mereka kerana mahu memastikan majlis yang bakal diadakan itu berjalan lancar tanpa masalah.

"Persiapan kena mula daripada awal kerana tidak mahu kelam kabut nanti. Malah keluarga juga banyak membantu menguruskan perkahwinan kami.

"Jadi tidaklah rasa tertekan sangat kerana ketika ini kami berdua sibuk dengan aktiviti masing-masing," katanya.

Tambah Uqasha, walaupun berasa bimbang untuk menempuh alam perkahwinan nanti namun dia telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu itu nanti.

Dalam perkembangan lain, Uqasha berkata, dia kini lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri selepas kontrak bersama syarikat Metrowealth International Group (MIG) tamat.

Kata Uqasha, walaupun tidak mempunyai syarikat pengurusan namun dia mengambil peluang ini untuk mempelajari menguruskan kariernya sendiri dan menjadi lebih matang.

Sumber

Yusof Haslam : 'Resepsi Perkahwinan Syamsul & Syafiq Serentak'

on Wednesday, 22 January 2014


KUALA LUMPUR: Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam merancang untuk mengadakan majlis resepsi persandingan anak-anaknya Syamsul dan Syafiq secara serentak iaitu pada Jun depan, beberapa bulan selepas kedua-dua mereka sah bernikah.

Yusof, 60, berkata, majlis resepsi berkenaan dirancang untuk diadakan dalam suasana sederhana bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran.

"Setelah berbincang, kami bersetuju untuk mengadakan sebuah majlis sahaja melibatkan perkahwinan Syamsul dan adiknya Syafiq. Itu pun cukuplah sekadar secara sederhana agar tidak membazir.

“Bagaimanapun hasrat ini belum dibincangkan lagi dengan Syamsul,” katanya ketika ditemui pada pelancaran drama Gerak Khas musim baharu, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Selasa.

Syamsul bakal bernikah dengan pelakon Puteri Sarah pada penghujung Mac ini, manakala adiknya Syafiq pada sekitar April iaitu sebulan kemudian.

Sementara itu, bercakap tentang bakal menantunya, Yusof berkata kedua-duanya adalah berasal daripada keluarga yang ‘baik-baik’ dan berpendidikan tinggi.

"Alhamdulillah kedua-dua pilihan mereka daripada keluarga yang bagus. Puteri Sarah pun seorang yang baik dan sentiasa ingin berubah ke arah menjadi lebih baik.

"Pilihan Syafiq pula daripada keluarga yang mempunyai pendidikan agama yang tinggi, bagus juga untuk dia, saya hanya doa yang terbaik," katanya.

Walaupun sentiasa berasa bimbang melepaskan anak-anaknya untuk membina keluarga, namun dia yakin mereka mampu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua rumah tangga dengan baik.

"Saya harap lepas ini kehidupan mereka lebih terurus, kalau nak kata bimbang itu ada juga, tapi kalau fikir balik dalam hubungan suami isteri tidak semua indah sahaja.

"Apa yang penting mereka akan berubah menjadi orang yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, selepas berkahwin Syamsul akan tinggal di rumah berasingan, sementara Syafiq memilih untuk menetap bersama keluarga di Taman Melawati di sini.

Pada 12 Januari lalu, Syamsul telah merisik Puteri Sarah dalam satu majlis yang diadakan di kediamannya di Sri Damansara, dekat sini.

Sumber