Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Pokemon Go: SKMM Garis Sepuluh Panduan Keselamatan Umum

on Thursday, 11 August 2016


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan garis panduan keselamatan umum kepada orang ramai berkaitan permainan Pokemon Go dengan menggesa pemain supaya sentiasa peka dengan keselamatan sekeliling dan sensitiviti masyarakat setempat.  

Dalam kenyataan pada Rabu, SKMM berkata keputusan mengeluarkan garis panduan keselamatan umum itu juga bertujuan mengelak kejadian tidak diingini seperti rompakan, kecurian atau kecederaan. 

Menurutnya, pengeluaran garis panduan itu dibuat selepas timbul kebimbangan pelbagai pihak dan berlaku beberapa insiden tidak diingini gara-gara bermain aplikasi permainan berasaskan realiti tambahan itu yang sudah melanda lebih 70 negara di seluruh dunia. 

SKMM berkata langkah itu juga seiring dengan panduan keselamatan yang telah dikeluarkan beberapa negara lain bagi permainan berkenaan. 

Garis panduan keselamatan itu mengandungi beberapa panduan atau 'tip' kepada pemain antaranya mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi, menghormati sensitiviti tempat ibadat, peringatan untuk tidak memasuki ke kawasan larangan yang berbahaya dan keperluan berwaspada terhadap individu tidak dikenali. 

Turut ditekankan dalam garis panduan keselamatan itu ialah keperluan bagipemain untuk berwaspada dengan penipuan yang boleh berlaku baik secara dalam talian mahupun di luar talian. 

Ini kerana, sebarang penggunaan aplikasi untuk memuat naik permainan Pokemon Go mungkin mendedahkan pemain kepada serangan penggodam atau 'malware'.   

"Dalam hal ini, SKMM ingin menegaskan bahawa pilihan untuk bermain PokemonGo terletak di tangan pemain sendiri. Namun, semua pemain harus sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka," kata suruhanjaya itu. 

Berikut ialah 10 perkara yang digariskan dalam panduan keselamatan berkenaan: 

1. Lindungi maklumat peribadi anda Permainan ini menghendaki anda untuk mendaftar dan berkongsi maklumatperibadi selain menggunakan lokasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS). Pertimbangkansama ada anda sanggup mendedahkan maklumat peribadi anda. Ibu bapa juga harussedar bahawa data anak-anak mereka diambil ketika bermain Pokemon Go. 

2. Waspada akan penipuan dalam talian dan luar talian Berhati-hati dengan aplikasi mudah alih palsu dan peralatan mencurigakanyang berada dalam talian dan ditawarkan kepada anda. Ini kerana aplikasi sedemikian mungkin mendedahkan anda kepada ancaman penggodam atau 'malware'. 

3. Pantau jumlah wang yang anda belanjakan ketika melakukan pembelianmelalui aplikasi mudah alih, ia mungkin menelan belanja yang tinggi. Terdapat pembelian yang boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih dan insentif-insentif lain yang harganya boleh mencecah US$99.99 atau RM403.86(untuk 14,500 syilingPoke). Justeru, sentiasa sedar apa yang anda belanjakan.        

4. Sambungan data Pokemon Go akan menggunakan GPS dan sambungan data (Wifi atau data mudah alih, sama ada 3G atau 4G) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaansekitar anda dan ini berkemungkinan menjejaskan kuota data mudah alih anda.            

5. Bawa bersama bateri tambahan untuk telefon anda Pokemon Go akan memakan banyak bateri telefon anda. Oleh yang demikian,bawalah bersama cas bateri atau sumber kuasa dan bersedia untuk menghubungi anggota keluarga jika berlaku kecemasan.     

6. Jangan masuk ke kawasan berbahaya atau kawasan larangan atau tempat beribadat, hormati privasi kawasan-kawasan berkenaan. Jangan merayau atau memasuki kawasan berbahaya dan kawasan-kawasan larangan atau tempat-tempat beribadat dalam usaha anda untuk menangkapPokemon.     

7. Waspada dengan individu yang ingin berjumpa dengan anda. Jangan bermain secara bersendirian atau bersetuju untuk bertemu dengan individu yang tidak dikenali ketika bermain permainan tersebut.     

8. Berhati-hati semasa bermain dan jangan menunggang basikal mahupunmotosikal atau memandu kereta ketika menggunakan telefon anda. Berhati-hati semasa menggunakan telefon anda dan jangan menunggang basikal atau motosikal, mahupun ketika memandu kereta, termasuk ketika bermain Pokemon Go atau menghantar teks pesanan kepada rakan dan anggota keluarga anda.     

9. Mana-mana pihak yang mempunyai kebimbangan mengenai isu keselamatan dansensitiviti permainan Pokemon Go harus menghubungi pihak yang membangunkan permainan berkenaan di alamat: Niantic ,Inc. 2 Bryant Street Suite 220, San Francisco, CA 94105 Amerika Syarikat. (Laman sesawang): http://www.nianticlabs.com         
10. Melaporkan isu melibatkan PokeStop atau Gym https://support.pokemongo.nianticlabs.com/hc/en-us/articles/221968408Reporting-PokeStop-orGym-Issues. -Bernama

Kanak-kanak putus kepala di taman tema


KANSAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut selepas menaiki gelongsor air tertinggi di dunia di taman air Schlitterbahn, Ahad lepas.

Laporan Metro UK mengatakan saksi, Kelsey Friedrichsen ternampak Caleb Thomas Schwab tercampak dari gelongsor berkenaan dan jatuh pada ketinggian 50 kaki.

Gelongsor tersebut yang dinamakan Verruckt mempunyai ketinggian 168 kaki dengan 264 anak tangga.

Seorang lagi saksi, Kobey Lyons mengatakan permainan tersebut tidak berfungsi dengan betul pada hari kejadian.

Kejadian berkenaan memaksa operasi taman air tersebut dihentikan sehingga siasatan polis selesai.

10 sebab mengapa bisnes anda boleh tutup sebelum 6 bulan


1. Bisnes ikut-ikutan
Dengar dengar bisnes itu banyak untung, join. Tapi bila dah masuk baru tahu lebih sudu dari kuah. Jangan....banyak stok je bawah katil nanti.
.
2. Modal tak cukup
Ada 10 ribu buat bisnes yang bernilai 10 ribu, bila nak pusing duit dah tak boleh, duit dah habis. Kalau boleh ada 30 ribu buat bisnes yang nilainya 10 ribu je.
.
3. Kurang perancangan yang teliti
Ini kes tak ada ilmu main hentam keromo je. Tak tahu untung berapa rugi berapa. Belajar BMC .
.
4. Kurang kawalan
Mungkin masalah pekerja, kurang penyeliaan, jauh dari kawalan sendiri. Bisnes baru macam tanam pokok, baru tanam pokok kena selalu siram, selalu kena baja. Faham kan.
.
5. Masalah pengurusan kewangan
Disamakan antara pendapatan bisnes dengan pendapatan sendiri. Tak boleh tu...bisnes ambil gaji je lah.
.
6. Ilmu seni bisnes yang kurang.
Bisnes bukan sekadar semangat. Ramai yang buat bisnes nak kaya, tak boleh. Buat bisnes macam kerja je, ambil upah je dulu.
.
7. Tak pandai menjual.
Ramai orang kita pandai buat gudang, tanam berekar ekar ladang. Tapi barang tak pandai dijual. Belajarlah ilmu menjual.
.
8. Jati diri tak kuat.
Nak berniaga tak boleh cuba-cuba. Bisnes ada dua je, satu hidup satu mati. Jangan ikut cakap orang lain, perlu belajar berdegil.
.
9. Bekerja sendiri.
Semua nak dibuat sendiri. Kita ada dua tangan dua kaki. 24 jam sehari 7 hari seminggu. Kita tak boleh buat semua sendiri. Ramai tak pandai mengurus.
.
10. Tamak
Bisnes perlu fokus.bersabarlah kalau nak terbang pun tunggu kepak tumbuh bulu.
.
Ini hanya sebahagian punca dan sebab anda tidak boleh lama dalam satu satu bisnes yang anda jalankan. Ubahlah sebelum terlambat .


Sumber

Pandelela-Jun Hoong Sumbang Pingat Pertama Di Rio

on Wednesday, 10 August 2016


RIO DE JANEIRO: Gandingan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menceriakan kontinjen negara apabila menyumbang pingat pertama di temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro ini.

Pasangan itu menyumbang pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama yang diadakan pada Selasa (awal pagi Rabu waktu Malaysia).

Pandelela, pemenang pingat gangsa acara 10m platform individu di Sukan Olimpik London 2012, yang berganding buat kali ketiga dengan Jun Hoong dalam kejohanan antarabangsa, mengumpulkan 344.34 mata menerusi lima terjunan mereka di Pusat Akuatik Maria Lenk di sini.

Catatan itu membolehkan mereka berada di belakang gandingan pilihan, Chen Ruolin dan Liu Huxia dari China yang mendapat 354 mata.

Pasangan Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion, yang berkongsi kedudukan kedua dengan Malaysia selepas dua terjunan awal, mendapat pingat gangsa selepas mengumpulkan 336.18 mata.

Pandelela-Jun Hoong memulakan aksi dengan mengutip 52.8 mata dengan terjunan reverse pike, untuk terikat bersama Kanada selepas terjunan pertama.

Gandingan China itu jelas unggul apabila berada di kedudukan teratas sejak terjunan pertama manakala Kanada dan Malaysia terikat di tempat kedua sehingga aksi kedua.

Pada terjunan ketiga, gandingan Malaysia tercicir satu tangga sebelum melonjak ke tangga kedua dalam dua terjunan terakhir.

Pandelela, dalam penampilan keduanya di temasya Olimpik, berkata pingat perak itu mampu menyuntik moral kontinjen negara yang terdiri daripada 32 atlet.

"Kami berdua bangga dapat menyumbang pingat pertama Malaysia di Rio," kata Pandelela, 23, yang berasal dari Bau, Sarawak.

Jun Hoong, 26, pula berkata pingat perak itu menebus kekecewaannya setelah terlepas pingat dalam acara 3m papal anjal seirama berganding dengan Nur Dhabitah Sabri pada Ahad lepas.

"Saya mengingatkan diri untuk melupakan apa yang berlaku dalam acara 3m papan anjal seirama itu dan memberikan tumpuan kepada acara 10m platform.

"Setiap hari adalah hari yang baharu dan saya dapat memberikan tumpuan kepada acara 10m platform ini," katanya.

Pingat perak tersebut pasti menyuntik semangat tambahan buat kedua-dua atlet itu untuk memburu pingat seterusnya dengan Pandelela akan beraksi dalam acara kegemarannya 10m platform individu pada 17 Ogos manakala Jun Hoong akan kembali ke kolam terjun pada Jumaat ini.

Sumber

Jangan Amal 5 Perkara Ini Kalau Sayang Pasangan


Sibuk dengan kerjaya, kehadiran anak-anak dan kerja-kerja rumah menjadi alasan utama ramai wanita mengabaikan hubungan intim. Tapi yang ada yang memenuhi keperluan ini bagai melepaskan ‘batuk di tangga’.
 
 
Tambah pula hidup zaman IT yang dijamu dengan pelbagai kemudahan teknologi siber sehingga waktu senggang sebelum tidur dipenuhi dengan aktiviti WhatApps atau Facebook. Tanpa disedari kebiasaan ini boleh menghancurkan rutin 'bermanja' anda bersama pasangan.
 
 
Percaya atau tidak, ini antara kebiasaan yang sering  para isteri  lakukan:
 
 
1. Sibuk dengan gajet
Taksub sangat dengan kemudahan gajet boleh ganggu hubungan manja dengan pasangan. Kalau dah setiap jam sibuk dengan media sosial seperti Facebook, WhatApps, Instagram mahupun You Tube, memanglah pasangan boleh hilang mood.  
 
Ya, mungkin juga anda berdua-dua mempunyai tabiat sama tapi alangkah ruginya. Rugi kesempatan bersama itu tidak digunakan untuk menikmati hubungan intim.
 
 
2. Lewat atau banyak makan
Ramai isteri mengatakan stres dan jadual padat menyebabkan mereka  makan makan lambat waktu malam. Bukan hanya tidak sihat malah boleh buat anda tidak selesa masuk ke bilik tidur, sedangkan suami  sudah menunggu di kamar. Ubah tabiat ini dan tukar persepsi dengan menjadikan 'hubungan manja' sebagai hidangan akhir anda nikmati sebelum tidur. Jangan terlalu banyak makan dan makan lebih awal agar anda ada lebih tenaga untuk melayani pasangan.
 
 
3. Baju tidur ikut selesa
Jangan tutup selera suami anda dengan pakaian besar. Pakaian tidur sangat mempengaruhi keinginan anda dan pasangan. Baju tidur yang seksi boleh bangkitkan sensual yang lebih hangat sehingga sang suami tak sabar menunggu anda memberikan reaksi.
 
 
4. Tak hargai tubuh sendiri
Selalu mengeluh depan cermin? Jangan, buangkan prasangka negatif dan banggalah dengan susuk tubuh. Semua ini bukan penentu kepuasan tapi bergantung kepada keyakinan dan kreativiti anda berkomunikasi dan layanan sepanjang aktiviti seksual bersama pasangan.'bermanja'.
 
 
5. Masa 'bersama' selalu berubah
Cuba tetapkan sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk anda dan pasangan menikmati hubungan 'manja' dan keintiman sebagai pasangan suami isteri. Curi masa atau tetapkan rutin seks sebagai salah satu kerja yang perlu anda lakukan seperti mana pekerjaan lain. Manusia perlukan perhatian, kerelaan, dan keikhlasan kerana hanya anda dan pasangan sahaja dapat tafsirkan kenikmatan batin pasangan yang bergelar suami isteri.
 
 
Mudahkan nak bahagia? Bukan pada harta saja, tapi kalau lima perkara ini terjaga anda dan pasangan pasti lebih harmoni sekali gus boleh tepis tekanan hidup setiap hari.

Hati Berbolak-Balik Sebab Dapat Suami Panas Baran

on Tuesday, 9 August 2016


Saya sudah berkahwin hampir 20 tahun. Punya anak enam orang dan alhamdulillah, rumah tangga yang dibina masih utuh sehingga ke hari ini. Suami bekerja di syarikat swasta dan bila di campur dengan pendapatan yang saya peroleh, ianya cukup-cukup sahaja untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Hendak kata terlalu mewah tidak juga tetapi biasa-biasa saja ditambah hidup di ibu kota, serba-serbinya memerlukan wang yang banyak. Lebih menambah belanja apabila anak sulung juga sudah memasuki universiti.

Sepanjang berumah tangga, ada kalanya hati saya terusik dengan sikap suami. Dia suka cakap lepas dan banyak kata-katanya saya simpan di dalam hati. Sikap marah suami ada kalanya tidak bertempat, kadang hanya salah anak sikit tetapi dia memaki hamun sesuka hati. Namun bila fikirkan hal anak-anak, saya hanya mampu bersabar saja kerana malas hendak panjang-panjangkan cerita.

Hendak dijadikan cerita, di tempat kerja saya, ada seorang teman sekerja yang lebih kurang sebaya umur saya. Kami hanya berbual biasa sahaja kerana saya langsung tidak pernah terfikir untuk mencari masalah dalam rumah tangga. Ada juga sesekali dia mengajak saya makan tengah hari atau minum dengannya tetapi saya tolak secara baik. Suatu hari, kebetulan rakan biasa yang saya ajak makan demam dan saya tiada teman untuk diajak keluar makan. Dia pantas mengajak dan saya bersetuju dan kami berbual seperti biasa.

Mulai dari itu, hubungan kami menjadi baik, dia selalu mengajak saya keluar. Dengan sikapnya yang agak gentleman bahkan begitu menghormati wanita, saya berasa selesa dengannya. Sejak kami mulai rapat, dia banyak bercerita tentang isterinya. Isterinya begitu, isterinya begini. Katanya dia hanya bertahan dalam rumah tangga demi anak-anak. Isterinya suka marah-marah dan kurang menghormatinya sebagai seorang suami.

Isterinya juga suka melakukan sesuatu tanpa berbincang dengannya dan sebagai suami, dia berasa tiada erti peranannya di rumah. Dia juga memaklumkan, dia pernah menangkap isterinya keluar dengan lelaki lain malah hubungan mereka sudah jauh mesra.

Bila saya tanyakan tindakannya, katanya, hendak pukul pun tiada guna kerana isterinya memang tidak menghormati katanya. Isterinya kerap meminta cerai darinya kerana mahu hidup bebas.

Mereka pernah bercerai, bukan sekali tetapi dua kali dan isterinya yang minta rujuk kembali selepas teman lelakinya meninggalkan dia. Saya memang kasihan tatkala mendengar ceritanya kata saya, sebagai lelaki dia harus membuat satu keputusan terbaik dalam kehidupannya.

Dia terus terang menyukai saya. Berkali-kali meminta agar hati saya dapat menerimanya tetapi saya menolak permintaannya itu. Saya tidak mahu curang dengan suami biarpun saya tidak menyukai sikap kasar suami. Di sebalik sikap kasarnya itu, suami rajin membantu di rumah tetapi bila mengenangkan sikap panas barannya, saya jadi menyampah.

Baru-baru ini, saya dan suami bertengkar lagi dan dia naik tangan ke muka saya. Hati saya memang terluka kerana dari awal kahwin sampailah sekarang, sikapnya tidak pernah berubah. Saya memang terkesan dengan cara layanan suami tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu curang kepadanya.

Jujurnya hati saya juga menyukai teman sepejabat kerana dia bijak mengambil hati ini. Apa yang harus saya lakukan? Patutkah saya menyambung huluran tangannya dan curang kepada suami? Biarpun tahu bersalah tetapi kadang kala bila menyentuh tentang hati, ia sesuatu yang sangat sukar diperkatakan. Bantulah saya!

Padah curi telefon bimbit, penganggur dipenjara lima hari


KUALA LUMPUR - Padah mencuri sebuah telefon bimbit, seorang penganggur dihukum penjara lima hari dan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Cheah Kok Keong, 38, selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang wanita, Soo Jia Wei yang bernilai RM1,888 di Pusat CMC, Jalan Cerdas, Taman Connaught, Cheras pada 8 malam, 18 April lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Cheah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan isterinya akan melahirkan anak pada bulan ini dan dia tidak mampu membayar denda. - Bernama

Akhirnya derita enam tahun didera ibu terbongkar


KUALA TERENGGANU - Penderitaan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibunya sendiri selama hampir enam tahun, akhirnya terbongkar setelah berjaya diselamatkan abangnya.

Mangsa adalah anak ketiga daripada empat beradik itu berasal dari Kampung Wakaf Dua, Marang, turut dipercayai menjadi mangsa dera bapa tirinya.

Menurut saudara terdekatnya, penderitaan mangsa terbongkar apabila abangnya yang berusia 18 tahun telah menceritakan perbuatan ibu dan bapa tiri mereka kepada salah seorang rakannya.

Abang mangsa kemudiannya bertindak membawa adiknya itu ke sebuah klinik di Chendering, Kuala Terengganu setelah melihat keadaan adiknya yang semakin teruk, sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kira-kira jam 4.20 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa mengalami kesan kecederaan di seluruh badan dan remaja itu memaklumkan dia sering didera ibu dan ayah tirinya.

"Pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan, ada menerima laporan berhubung kejadian itu.


Jelasnya, ibu dan ayah tiri remaja berkenaan yang masing-masing berusia 35 dan 46 tahun telah ditahan pagi tadi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Ada 10 Sebab Jadikan Wanita Tak Kisah Kalau Lelaki 'Buat Hal' Dalam Rumah Tangga


Bukan mudah untuk melepaskan atau melupakan orang yang kita sayang. Apa lagi jika sudah berpuluh tahun berkongsi hidup, malah sudah punya anak-anak. 
 
Namun andai suatu ketika anda tengok sikap wanita mula berubah dan seolah-olah mampu redha walau berpisah, ini petanda wanita yang anda sayang sudah perit dan tak mampu nak bertahan dengan lelaki yang mempunyai beberapa sikap ini...
 
1. Selalu dimarah dan ditengking depan orang ramai.
 
2. Suka mengarah buat itu ini sedangkan wanita juga bekerja.
 
3. Berdepan dengan lelaki yang abaikan soal nafkah.
 
4. Berkongsi hidup dengan lelaki yang malas usaha mencari rezeki. Tahu nak senang, harapkan duit bini.
 
5. Lelaki yang suka naik tangan dan baran tidak bertempat.
 
6. Puas bersabar dengan lelaki yang tidak pandai bergaul dengan keluarga dan adik beradik yang lain.
 
7. Tidak pernah berubah dan abaikan soal agama.
 
8. Berkira kongsi rezeki dengan anak-anak dan tahu enjoy di luar.
 
9. Gatal dan suka pandang perempuan lain.
 
10. Tidak pandai memujuk dan lebihkan kawan di luar, lepak sampai ke pagi. Nampak biasa tapi kalau bertahun tak pernah ubah ini yang jadi perempuan hilang perasaan.
 
Mungkin nampak satu sisi sikap ini biasa tetapi inilah hakikat, lama-lama hati wanita kuat dengan air mata dan memilih untuk dilepaskan. Jadi kaum Adam, sila berhati-hati dan siramlah kasih sayang kepada pasangan tanpa jemu hingga ke tua