Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Johan As'ari Tidak Pernah Benci Pada Shila Amzah

on Monday, 23 December 2013


PETALING JAYA: Pelakon Johan As’ari berkata dia tidak membenci Shila Amzah dan pernah menelefonnya untuk bertanya khabar tetapi wanita itu dipercayai telah menukar nombor telefon.

Johan, 27, berkata, tiada sebab untuk dia membenci Shila kerana keluarga mereka sememangnya saling kenal mengenali di antara satu sama lain.

“Saya akui sayangkan Shila. Saya sayangkan dia sebagai seorang sahabat. Apabila saya hubungi dia untuk tanya khabar, rupa-rupanya dia sudah tukar nombor telefon.

“Saya tahu dia mungkin terguris hati dengan apa yang telah berlaku,” katanya kepada mStar Online.

Johan sebelum ini pernah dikaitkan dengan Shila Amzah tetapi tidak lama kemudian dia membuat pengakuan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Lana Nordin.

Sikap Johan itu dipercayai membuatkan Shila kecewa.

Dalam pada itu Johan mengakui masih sayangkan Shila walaupun wanita itu tidak mahu lagi dikaitkan dengannya.

Bagaimanapun kata Johan, perasaan itu tidak lebih daripada seorang sahabat selain dia menganggap Shila sebagai seorang rakan yang sentiasa mengambil berat.

"Shila adalah seorang wanita yang baik dan merendah diri walaupun telah berjaya di peringkat antarabangsa dan saya sentiasa mendoakan kejayaannya.

"Saya masih menyayanginya sebagai seorang sahabat walaupun dia tidak lagi menganggap saya sebagai kawan seperti sebelum ini.

"Saya harap semua salah faham yang berlaku tidak berpanjangan," katanya.

Sementara itu, Johan berkata, dia tidak akan mengubah sikapnya yang sentiasa jujur dalam berbicara walaupun ada yang mengatakan dia terlalu ‘lurus’ dalam berkongsi sesuatu rahsia.

"Saya tidak mahu menipu kerana itu akan lebih menjerat saya ke dalam masalah yang lebih rumit. Mungkin ada kata saya lurus kerana terlalu jujur tetapi itu adalah pendirian saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Johan menjelaskan masih belum membawa Lana untuk berjumpa keluarganya kerana komitmen kerja.

Kata Johan, hubungan mereka berjalan dengan baik selain masing-masing sedang cuba memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna.

"Sebagai manusia biasa kita hanya mampu merancang dan selebihnya saya serahkan perkara itu kepada jodoh," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Johan bakal muncul dengan filem Tokan arahan Ghaz Abu Bakar pada 26 Disember ini di samping Pekin Ibrahim, Sofi Jikan dan Liyana Jasmay.

Sumber

Lana Nordin Serahkan Bulat - Bulat Pada Johan As'ari


Sebagai perempuan, tidak manis kalau banyak sangat dia memberi kenyataan mengenai hubungan cintanya. Bagi aktres Lana Nordin cukuplah satu Malaysia sudah maklum akan pengakuan sekaligus mengenai pendedahan kekasihnya Johan As'ari, bahwa mereka sedang hangat menjalin cinta. Malah aktor itu turut mengakui sudah pun melamar Lana.
Namun timbul cerita yang kurang sedap di dengar, hubungan mereka dikatakan tidak direstui oleh ibu Johan yang dikenali sebagai Datin Firdaus.
"Hubungan saya dengan Johan macam biasa. Soal itu (jumpa keluarga Johan) saya serah pada Johan. Dalam hal ni, Johan yang patut mencorakkan semuanya.
"Saya ni perempuan. Tak manis rasanya kalau saya cakap lebih-lebih. Saya takut nanti disalah tafsir oleh keluarga dia. Biarlah dia selesaikan dengan keluarga dia dulu. Lagipun sekarang, Johan sibuk dengan teater Bahayanya Wanita dan promosi filemnya, Tokan.
"Pada saya, kalau kami ada jodoh, ada lah. Kalau tak ada, saya tak kisah. Bukan saya tak yakin dengan hubungan ni, tapi kami masing-masing baru kenal. Saya pun perlu sedikit masa untuk betul-betul kenal dengan Johan dan kemudian baru lah dengan keluarganya", kata Lana Nordin ketika diminta mengulas mengenai perkembangan hubungan Lana dan keluarga Johan setakat ini.
Mengimbas saat bagaimana dia boleh berkenalan dengan Johan, Lana berkata, dia sebenarnya rapat dengan pelakon Lisdawati. Tidak lama dulu, ketika Lisdawati pergi menunaikan umrah dia ada berpesan pada aktres supaya mendoakan agar dia bertemu dengan lelaki dan jodoh yang baik. Dan dia bersyukur apabila diketemukan dengan Johan.
"Saya pernah pesan pada Lisdawati sewaktu beliau nak menunaikan umrah, saya minta dia doakan supaya saya mudah dipertemukan dengan lelaki yang baik dan beriman. Alhamdulillah, mungkin ini juga berkat doa beliau, saya berkenalan dengan Johan. Saya selesa dengan Johan. Dia juga banyak membimbing saya", katanya.
Kerana itu juga tambah Lana lagi, dia merancang mahu menunaikan ibadah umrah bersama-sama Lisdawwati dan sekaligus ditemani Johan.
Dalam pada itu, beritahu pelakon yang terkenal dengan jolokan Pamela Anderson Malaysia ini, sejak dia berkawan dengan Johan, dia menerima banyak komen positif, bukan sahaja dari para peminatnya malah dari peminat Johan sendiri.
"Saya tak selalu sangat masuk laaman sosial. Saya tak terlalu bertwitter tapi kalau ada pun, hanya di Instagram. Sejak kawan dengan Johan, banyak komen-komen positif dari peminat. Mereka tanya saya betul ker saya nak bertudung dan mereka galakkan dan doakan saya.
"Bagi saya, saya jadi diri saya sendiri. Perlahan-lahan. InsyaAllah bila tiba masanya nanti, InsyaAllah...", ujarnya sambil tersenyum.
Perkembangan lain, Lana yang baru saja menjayakan teater muzikal 'Bahayanya Wanita' pada Jumaat lalu. Lana menggantikan watak yang sepatutnya dipegang oleh Nora Danish kerana pada hari itu Nora terlibat sebagai juri program Maharaja Lawak Mega.
MD berkesempatan menyaksikan Lana beraksi di Panggung Sari di Istana Budaya, pada malam itu. Sebagai seorang yang pertama kali berlakon teater, Lana memberikan saatu lakonan yaang cukup baik dan berkesan. Tak hairan lah pada malam itu, ramai yang memberi pujian kepadanya.
"Dah lama sebenarnya saya nak berlakon teater. Kak Ellie Suriaty juga galakkan saya berlakon teater sebab katanya, suara saya lantang. Tahun lalu aada tawaran tapi masa tu jadual saya bercanggah jadi saya terpaksa tolak.
"Kebetulan Kak Eirma tawarkan saya untuk teater ni. Mulanya saya ingat, saya hanya berlakon satu dua babak saja. Tak sangka pula saya kena gantikan Nora, dan babak saya banyak. Saya sangat gementar. Tapi untuk percubaan pertama ni saya rasa saya dah mula jatuh cinta pada lakonan teater", katanya yang menanti sekiranya adaa tawaran untuknya berlakon teater lagi pada masa akan datang.
Perkembangan lain, Lana bakal menjalani penggambaran drama bersiri arahan Rashid Sibir mulai Februari depan.

Ekin AF3 dan Yazer telah putus cinta


SETELAH lapan tahun menyulam cinta, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin Rahman atau Ekin AF3 mendedahkan hubungan cintanya dengan penyanyi Yazer sudah putus awal Disember lalu.

Masih berasa sedih dengan perpisahan tersebut, Ekin mengakui ingin memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya nyanyiannya dan menganggap 2014 sebagai tahun untuknya bangkit dan menyinar sama seperti rakan seangkatannya dalam AF3 seperti Mawi dan Marsha.

Kepada Kosmo! Ekin melanjutkan perbualan mengenai perpisahan dengan Yazer selain bercerita mengenai perancangannya dalam bidang nyanyian pada masa hadapan.

Kosmo!: Kenapa hubungan Ekin dan Yazer boleh putus sedangkan kalian sudah bercinta selama lapan tahun?

EKIN: Ya. Saya bercinta dengan dia selepas keluar Akademi Fantasia pada tahun 2005 lagi. Selama lapan tahun kami bercinta pernah juga putus tetapi sambung kembali. Tetapi kali ini hubungan kami benar-benar sudah putus.

Bila kalian putus cinta dan apa puncanya?

Kami putus awal Disember lalu. Puncanya biarlah kami sahaja yang tahu. Tetapi kami putus secara baik.

Apakah perasaan Ekin bila hubungan dengan Yazer tidak berpanjangan?

Memang sedih sebab kami sudah bercinta selama lapan tahun. Tetapi hendak buat macam mana, jodoh kami sampai setakat ini sahaja.

Apakah perancangan Ekin selepas ini?

Selepas ini saya hanya fokus pada nyanyian. Lebih baik saya solo. Buat masa ini saya tidak fikir ingin bercinta. EKIN enggan mendedahkan punca perpisahan dia dengan bekas kekasihnya, Yazer.

Adakah Ekin kurang menyerlah selama ini berbanding rakan-rakan AF yang lain kerana larut dalam percintaan bersama Yazer?

Tidak. Kerjaya nyanyian saya okey. Saya sentiasa menerima undangan menyanyi.

Apakah perkembangan terbaharu anda dalam bidang nyanyian?

Saya baru menghasilkan album pertama berjudul Ekin Rahman: Satu Percaturan pada awal Januari lalu. Selepas mempromosikan single pertama, Ceritaku dan Dia, saya bakal muncul dengan single kedua pula. Selain itu, saya juga terlibat dengan projek Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam menyampaikan lagu Zapin Budi. Projek itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Kenapakah Ekin berani muncul dengan album terlebih dahulu sebelum tampilkan single?

Syarikat rakaman saya iaitu Stadium First yang merancang untuk keluarkan album dahulu.

Setakat ini bagaimana sambutan album pertama Ekin itu?

Alhamdulillah, sambutan menggalakkan terutama sekali di Sabah. Ramai peminat di Sabah yang bertanya mengenai album tersebut.

Berapa buah lagu yang dimuatkan dalam album itu dan siapa barisan komposer yang terbabit?

Album saya itu memuatkan tujuh buah lagu yang mendapat sentuhan sepenuhnya komposer tempatan seperti Anjang, Rosli Ahmad, Ajak, Amir Syawal dan ramai lagi.

Khabarnya anda juga kini terlibat dalam bidang lakonan. Benarkah?

Ya. Saya bakal muncul menerusi drama lakonan pertama saya untuk RTM1 berjudul Jimmy Sompoton.

Sumber

Keluarga Tidak Benar Pekin Dedah Tarikh Kahwin Dengan Uqasha


PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim sudah menetapkan tarikh perkahwinan dengan Uqasha Senrose yang dijangka diadakan pada tahun 2014.

Pekin, 32, bagaimanapun tidak dapat mendedahkan tarikh bahagianya itu buat masa ini kepada umum atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Insya Allah kami akan berkahwin pada tahun hadapan dan tarikhnya juga telah ditetapkan bagaimanapun keluarga tidak membernarkan kami mengumumkannya buat masa ini.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan kami akan berkahwin pada tahun hadapan dan setelah semuanya selesai kami akan memberitahu kepada semua," katanya kepada mStar Online.

Pekin bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Tokan bersama Sofi Jikan, Johan As'ari dan Liyana Jasmay.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu akan ditayangkan pada 26 Disember ini.


Pekin dan Uqasha telah menetapkan tarikh perkahwinan mereka namun terpaksa merahsiakannya terlebih dahulu atas permintaan keluarga.
Dalam perkembangan sama, Pekin menolak tanggapan bahawa dia ingin mempercepatkan perkahwinannya kerana bimbang kontroversi yang melanda mereka akan berulang.

Jelas Pekin, keputusannya untuk berkahwin adalah datang daripada hatinya dan bukannya kerana faktor-faktor lain.

"Jika diikutkan sejak hari pertama saya kenal dia saya sudah ajak kahwin kerana hubungan yang saya bina ini bukan atas dasar suka-suka tetapi memang ingin ke arah perkahwinan.

"Soal saya bimbang tentang kontroversi dan sebagainya langsung tidak timbul kerana ini adalah keputusan yang lahir dari hati untuk memperisterikannya," ujarnya.

Pekin dan Uqasha mula menjalinkan cinta sejak awal tahun ini sebelum mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.

Bagaimanapun hubungan tersebut mula goyah apabila Pekin mendakwa tunangnya itu mempunyai hubungan sulit dengan pelakon Sharnaaz Ahmad sehingga menyebabkan ikatan mereka hampir berakhir.

Sementara itu, Pekin memberitahu dia bersyukur kerana kelibatnya sebagai pelakon semakin mendapat perhatian walaupun sudah hampir 15 tahun dia berkecimpung dalam bidang tersebut.

"Alhamdulillah usaha keras selama ini semakin menampakkan hasilnya dan apa yang ingin saya lakukan adalah terus berkongsi bakat yang ada untuk menaikkan lagi industri," katanya.

Selain Tokan, Pekin bakal muncul dengan beberapa buah filem lagi seperti Apokalips, Rentas dan Tujuh pada tahun hadapan.

Sumber

Neelofa Luah Rasa Bimbang Tinggal Sendirian Di AS

on Friday, 20 December 2013


KUALA LUMPUR: Pelakon Neelofa meluahkan rasa debar untuk ke Amerika Syarikat pada 27 Disember ini bagi mengikuti kursus jangka pendek di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi Filem New York, Los Angeles (NYFA).

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, berkata, sepanjang sebulan lebih berada di negara itu, dia risau dengan situasi kehidupannya bersendirian tanpa ditemani kenalan dari Malaysia.

"Dalam rasa teruja untuk mengikuti kursus di NYFA, saya sebenarnya gementar dengan suasana yang bakal dilalui.

"Ini kerana saya ke sana tanpa teman dan bilik yang disewa hanya saya seorang yang tinggal. Dan kalau nak tahu saya ini penakut orangnya. Tak boleh duduk seorang diri," selorohnya.

Neelofa ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Meletop Era di Hotel Double Tree di sini pada Khamis.

Tambah pelakon filem Lemak Kampung Santan, perasaan takut tinggal bersendirian wujud kerana dia sering mendengar pelbagai kisah berkaitan makhluk halus sejak zaman sekolah menengah.

Malah rasa ketakutan itu membuatkan Neelofa telah membeli sebuah kamera mini yang disambungkan ke komputer dan diletakkan di bilik bagi membolehkan keluarga memantau keadaannya menerusi Internet.

Dalam pada itu, Neelofa yang sedang menuntut di Kolej Universiti Sunway dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran berkata, tujuan dia mengambil kursus di NYFA adalah untuk menambah pengetahuannya di bidang seni lakonan.

"Insya-Allah, ilmu yang dipelajari di sana dapat diaplikasikan dalam kerjaya lakonan saya. Dan sekarang ini saya tidak mengambil sebarang tawaran lakonan sehinggalah kursus selesai.

"Kemudiannya saya akan terlibat dengan penggambaran filem berjudul Sinaran selepas pulang ke tanah air," tuturnya.

Sumber

Belalai air bukan puting beliung di Johor

on Thursday, 19 December 2013


JOHOR BAHRU - Pusaran angin yang dikenali sebagai belalai air yang muncul di Selat Tebrau sekitar jam 4 petang semalam, menarik perhatian orang ramai terutamanya di kalangan pengguna di Jalan Skudai, di sini.

Seorang saksi, Hasliana Mohamed, 33, berkata, dia terlihat kepulan angin seakan puting beliung ketika keluar dari pejabat kira-kira jam 4.40 petang.

“Saya ternampak pusaran awan diikuti angin. Tanpa berlengah saya terus masuk ke dalam kereta dan pulang ke rumah.

"Saya juga bimbang jika ia mendatangkan sesuatu yang buruk kerana ia berdekatan laut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Manakala, Mohd Aqil Mohd Faiz, 17, menyedari kejadian itu buat pertama kalinya ketika melalui Pantai Lido.

“Kira-kira jam 4 petang, saya ternampak pusaran angin dan ia berwarna gelap.

“Saya memberhentikan kenderaan dan merakamkan beberapa gambar dan terus bergerak kerana risau jika ia puting beliung,” katanya.

Dalam kejadian itu, orang ramai berjaya merakamkan fenomena berkenaan dan ada antaranya memuat turun ke laman sosial di internet, sehingga menarik perhatian ramai.

Tidak kurang juga, ada di antaranya terkeliru dengan fenomena itu apabila ada yang beranggapan belalai air itu adalah puting beliung.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, kejadian tersebut dipanggil belalai air dan ia selalunya berlaku di permukaan air.

“Ia kejadian lazim apabila hendak hujan kerana kedudukan tengah laut angin bertembung mewujudkan belalai air. Ia kejadian biasa di Johor.

“Belalai air ini bukan puting beliung. Ia tidak menyebabkan angin kencang dan akan lenyap tidak seperti puting beliung. Malah kita tidak dapat kesan angin tersebut menerusi satelit,” katanya.

Sumber

Linda Onn Sahkan Bakal Berkahwin dengan Kerabat Diraja


PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn mengesahkan bakal mengakhiri zaman solonya dengan seorang kerabat diraja pada 27 Disember ini.

Linda atau nama sebenarnya, Rozlinda Onn, 36, bagaimanapun berkata, majlis pernikahan itu akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.

"Ya, tarikh itu benar dan dia seorang kerabat (seperti dilaporkan). Maaf, saya tak boleh bercerita lanjut buat masa ini.

"Sekarang apa yang penting buat yang wajib (nikah) dulu. Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang resepsi akan menyusul selepas majlis nikah," katanya ketika ditemui di stesen radio Suria FM di sini pada Rabu.

Linda diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Rabu mengenai khabar angin pernikahannya dengan seorang kerabat diraja pada 27 Disember depan yang akan diadakan di kampung halamannya di Johor Baharu.

Pasangan itu juga dilaporkan sudah mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama Islam daerah itu.

Linda dikatakan akan mengadakan majlis bersejarah tersebut secara sederhana dan hanya menjemput sahabat handai dan ahli keluarga terdekat sahaja bagi menghadirinya manakala majlis resepsinya pula akan diadakan di Kuala Lumpur.

Dia juga enggan memberitahu dari negeri manakah kerabat tersebut berasal.

Dalam perkembangan sama, Linda berkata, dia akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat ini.

Sumber

Siti Saleha : 'Masih Awal Cakap Soal Kahwin'


PETALING JAYA: Pelakon Siti Saleha menganggap masih terlalu awal untuk dia bercakap soal perkahwinan selepas kesediaannya mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki Inggeris sejak empat bulan lalu.

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 23, berkata, dia tidak pernah terfikir mengenai soal perkahwinan memandangkan usianya masih muda selain masih mengenali hati budi teman lelakinya itu.

"Usia saya baru 23 tahun dan belum terfikir untuk berkahwin malah saya sendiri tidak tahu adakah teman lelaki saya calon paling sesuai untuk dijadikan suami kerana kami masih terlalu baru menjalinkan cinta," katanya kepada mStar Online.

Saleha ditemui selepas pelancaran drama bersiri Aku Ada Wali di Pusat Pelancongan Korea di sini, Rabu.

Drama yang menggandingkannya dengan Zahiril Adzim itu bakal menemui penonton TV Al-Hijrah bermula 14 Januari depan pada setiap hari Selasa pukul 10 malam.

Dalam perkembangan sama, Saleha berkata, buat masa ini dia selesa berkawan dengan teman lelakinya dan menyifatkan pemuda tersebut sangat memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

"Dia jarang bertanya mengenai kerja saya dan mengapa saya sering lambat balik kerana dia memahami kerjaya sebagai pelakon.

"Saya selesa berkawan dengannya dan setakat ini Alhamdulillah ia menuju ke arah yang baik," jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai lakonannya dalam drama Aku Ada Wali, Saleha berkata, dia jatuh cinta dengan wataknya sebagai Syumaila yang sangat berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Jelas Saleha, menerusi wataknya itu dia perlu menghafal pelbagai fakta seperti Sunnah Rasulullah, terjemahan Al-Quran yang menurutnya menambahkan fahamannya terhadap agama itu.

"Saya bukan sekadar berlakon dalam drama ini tetapi mempelajari banyak tentang Islam dan menguatkan lagi iman saya sebagai seorang Muslim.

"Ia adalah sebuah drama yang sarat dengan ilmu dan pada masa sama elemen biasa dalam sesebuah drama tetap diselitkan," katanya.

Dalam pada itu, Saleha berkata, tahun hadapan dia bakal sibuk dengan beberapa penggambaran filem namun tidak mahu mengabaikan tawaran drama bersiri ataupun telefilem yang ditawarkan kepadanya.

"Saya bukan tamak tetapi tidak mahu melupakan tapak yang telah memperkenalkan saya sebagai pelakon dan sebab itu jika lapang saya akan tetap terima tawaran berlakon drama bersiri atau pun telefilem," ujarnya.

Sumber

Rita Rudaini : 'Tak Terkejut Aidil Nak Kahwin, Nafkah Anak Jangan Lupa'


KUALA LUMPUR: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar tidak terkejut mendengar berita bekas suaminya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang bakal berkahwin dengan wanita dikenali sebagai Zarema Zainal.

Rita, 37, berkata, gosip mengenai perhubungan Aidil serta Zarema sudah lama diperkatakan sebelum dia bercerai dan berita perkahwinan itu sekali gus membuktikan bahawa khabar angin percintaan pasangan itu sememangnya benar.

"Saya memang dah jangka dia (Aidil) akan berkahwin dengan wanita itu (Zarema) dan tidak terkejut dengan berita perkahwinan mereka.

"Malah gosip jalinan cinta mereka sebelum ini sudah menunjukkan siapa diri Aidil yang sebenar," katanya.

Minggu lalu, sebuah portal melaporkan Aidil, 26, yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan Zarema bakal mendirikan rumah tangga pada Mac tahun depan.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Aidil yang mengaku terhadap khabar angin tersebut.

Tambah Rita, dia enggan mencampuri urusan perkahwinan pasangan berkenaan namun berharap agar Aidil tidak lupa memberikan nafkah kepada dua orang anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

"Sekarang ini saya telah membuat tuntutan nafkah sebanyak RM5,000 di mahkamah dan kes ini masih lagi belum selesai.

"Pelik juga bila dia bangkitkan tuntutan saya itu tidak munasabah. Bukankah wang itu untuk anak-anaknya juga?

"Biarlah dia nak kahwin dengan sesiapapun, yang penting kebajikan anak-anak tidak dilupakan. Kalau nak diikutkan, saya mampu menyara anak-anak tetapi saya tidak mahu dia mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa," tegasnya.

Rita dan Aidil telah sah bercerai talak satu pada 5 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.

Ikatan perkahwinan pasangan itu terlerai selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Aidil kepada Rita menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 4 Ogos lepas.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.

Sumber