Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Konsert Search 35 Tahun Dapat Tajaan RM2 Juta

on Thursday, 11 February 2016



SUBANG: Kumpulan rock legenda Search bakal mengadakan konsert sempena 35 tahun mereka dalam dunia seni di Stadium Merdeka dekat sini, pada 9 April depan.

Menurut vokalis utamanya Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, penganjuran konsert itu adalah untuk menghargai para peminat yang setia menyokong mereka selama lebih tiga dekad.

"Konsert ini merupakan salah satu konsert yang tidak pernah kami bayangkan sebelum ini dan sudah pasti ia berbeza daripada konsert yang pernah kita jayakan sebelum ini. 

"Rancangan ini sudah dilakukan sejak empat bulan lalu dan sudah pasti kami akan buat yang terbaik untuk konsert yang dijangka terbesar pernah dianjurkan di negara ini," ujarnya. 

Beliau ditemui pada sidang media Konsert Search 35 Tahun yang diadakan di Redland Terminal Centre & Hangar Complex, di sini, pada malam Rabu. 


Dalam pada itu, Amy berkata, susunan lagu yang akan dinyanyikan pada konsert tersebut juga berbeza daripada konsert sebelum ini iaitu dengan menampilkan beberapa lagu yang jarang mereka nyanyikan.

Jelasnya, lagu-lagu yang dinyanyian malam konsert itu juga akan menceritakan perjalanan selama 35 tahun kumpulan tersebut dalam industri seni tanah air.

"Kami masih lagi berbincang dan mencari lagu yang terbaik untuk dinyanyikan pada malam tersebut, sememangnya susunan lagu itu menceritakan perjalanan kami selama 35 tahun dalam industri.

"Kita sudah biasa bawa lagu-lagu yang sama pada setiap konsert, kali ini kita akan cuba bawa lagu yang jarang dibawa pula," ujarnya. 

Search dianggotai oleh Amy (vokalis),Yazid (dram), Nasir (bes), Nordin (gitaris) dan Kidd (gitaris).  

Majlis sidang media turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Bunkface, Hazama, Pita Hati dan Akim & The Majistret. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Sdn Bhd., Amrul Nizar Anuar selaku penaja berkata, lebih RM 2 juta bakal dibelanjakan bagi menjayakan konsert istimewa tersebut.

Tambahnya, beberapa kejutan bakal diadakan pada malam itu yang semestinya memberikan sesuatu di luar jangkaan untuk diingati oleh peminat-peminat Search.

"Berlainan daripada konsert-konsert sebelumnya, diharapkan peminat-peminat bersabar dalam menantikan kejutan tersebut.

"Beberapa aktiviti yang berbentuk tribute flashback bersama peminat Search juga telah dirancangkan beserta hadiah-hadiah menarik bagi tujuan promosi untuk menjayakan konsert tersebut," ujarnya.

Pihaknya juga akan memastikan keselamatan berjalan lancar di bawah pengawasan ketat pihak polis sepanjang ia berlangsung.

Tiket dijual dengan harga RM135, RM288, dan RM899. Ia boleh dibeli mulai 11 Februari  ini dengan melayari www.tiketpro.com.my

Sumber

Shaheizy Sam & Syatilla Melvin Sah Bergelar Suami Isteri

on Wednesday, 10 February 2016


PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, pasangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin sah bergelar suami isteri kira-kira pukul 9 malam pada Isnin.
Upacara pernikahan itu berlangsung di Bukit Jawi Golf Club Pulau Pinang dengan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak termasuk teman rapat dan rakan artis.
Ijab kabul itu disempurnakan oleh Pengarah Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Datuk Prof Madya Ellias Zakaria berwakil walikan bapa pengantin perempuan iaitu Amirul Melvin Abdullah.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 34, menyerahkan wang tunai berjumlah RM10,082 sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Terdahulu, Sam menarik perhatian hadirin apabila tampil berjalan memimpin tangan ibunya, aktres Khaty Fauziah sebelum mendakap wanita berkenaan untuk menari dan mencium pipi ibunya sebagai meminta tanda restu.
Khaty yang tidak dapat menahan sebak memeluk anaknya itu sambil menitiskan air mata.
Sam dan Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 25, sebelum itu mengikat tali pertunangan sehari sebelum mereka dinikahkan dalam sebuah majlis sederhana tetapi meriah.
Pasangan itu mula berkenalan sejak enam tahun lalu sebelum keluarga pelakon filem Polis Evo itu menghantar rombongan merisik Syatilla pada 13 Disember tahun lalu di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Syatilla turut menerima tujuh dulang hantaran daripada Sam manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.
Perkahwinan Sam dan Syatilla menjadi sebutan sebagai 'wedding of the year' selepas mendapat jumlah tajaan berjumlah RM25 juta.
Sementara itu, pasangan itu bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada Selasa di lokasi sama manakala pihak lelaki akan mengadakan acara sama pada 14 Februari ini di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

Nad Zainal Lebih Feminin Atas Permintaan Suami


PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal mengakui lebih feminin sejak mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember tahun lalu.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, berkata, perubahan tersebut dibuat atas permintaan suaminya yang mahu melihat sifat kewanitaannya memandangkan sebelum ini dia agak lasak.

"Alhamdulillah kehidupan selepas berkahwin semakin baik dan paling penting saya kini lebih feminin terutamanya dari segi penampilan dan imej.

"Faliq yang minta saya ubah gaya kerana sebelum berkahwin saya agak lasak dan demi suami saya perlahan-lahan mengubah gaya lebih kewanitaan," katanya.

Nad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra pelancaran produk kecantikan dan penjagaan kesihatan miliknya iaitu Audela di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya soal cahaya mata, Nad berkata, buat masa ini masih belum ada sebarang berita baik tentang perkara itu dan meletakkan ia kepada rezeki.

Bagaimanapun kata Nad, sebagai wanita dia berharap akan segera hamil kerana kehadiran anak dalam sesebuah perkahwinan adalah pelengkap kepada kehidupan mereka suami isteri.

"Saya berharap sebenarnya agar segera hamil kerana memang mahukan anak tetapi belum rezeki saya lagi.
"Saya berharap sebenarnya agar segera hamil kerana memang mahukan anak tetapi belum rezeki saya lagi.
"Tetapi tidak mengapa kami pun baharu sahaja berkahwin dan punya banyak masa lagi. Insya-Allah ada rezeki kami nanti," ujarnya.

Sementara itu, Nad berkata, walaupun sudah berumah tangga karier lakonannya tetap berjalan seperti biasa.

Malah kata Nad, dia tidak merancang untuk memperlahankan aktiviti seni buat masa ini malah mendapat sokongan daripada suami.

"Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan masih ada malah saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran beberapa buah drama dan sebuah filem.

"Buat masa ini tiada perancangan untuk perlahankan karier dan ia akan berjalan seperti biasa," katanya.

Nad bakal muncul dalam telefilem bertajuk Auta bersama Syukri Yahya di TV3 manakala filem Soul Mate menggandingkannya bersama Erra Fazira dan Raja Ilya.

Bercakap mengenai Audela, Nad berkata, idea mengeluarkan jenama miliknya tercetus selepas dia ingin mengurangkan berat badan namun produk jenama lain tidak bersesuaian dengannya.

Atas dasar itu, dia bersama rakan kongsi menghasilkan Audela yang ternyata memberi kesan positif kepadanya hanya dalam masa sebulan.

"Dalam menghasilkan produk ini saya meletakkan diri sebagai pengguna dan apa yang mereka mahukan dalam sesuatu produk.

"Audela bukan sahaja bertindak sebagai agen detox malah mengurangkan berat badan dan memutihkan kulit," katanya.

Tambah Nad, produk berkenaan akan dilancarkan dan dijual pada Mac depan.

Nad Zainal Perjelas Isu Sombong Dengan Peminat

on Thursday, 20 August 2015


PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah peminat sehingga ada segelintir daripada mereka membuat permintaan yang tidak mampu ditunaikannya.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 25, berkata, disebabkan perkara itu dia dituduh bersikap sombong dan tidak mesra dengan peminat.

"Kadang-kadang permintaan ada di antara mereka agak melampau dan saya tidak boleh toleransi dengan karenah sebegitu.

"Saya bukan seorang yang tidak mesra dan sombong dengan peminat sekiranya mereka mendekati secara baik, saya juga akan layan dengan biasa," katanya kepada mStar Online.

Pelakon itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama calon lima terbaik Festival Filem Malaysia Ke 27 di Menara Kuala Lumpur dekat sini, Selasa lalu.
 Nad tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita menerusi filem Kami Histeria.

Calon lain turut bertanding dalam kategori sama adalah Dawn Cheong (Cuak), Adiba Yunus (Nasi Tangas), Aisya Hasnaa (Dollah Superstar) dan Izara Aisyah (Sejoli).

Tambah Nad, isu peminat yang betindak diluar kawalan bukan suatu isu baharu kerana sepanjang bergelar artis dia sudah berhadapan dengan pelbagai situasi.

"Mereka mengharapkan sesuatu yang lebih daripada seseorang artis dan saya sendiri tidak mampu untuk memberi perhatian tertentu kepada kerenah segelintir peminat ini.

"Malah sebelum ini ada yang berkeras mahu saya bercinta dengan Remy Ishak sehingga saya berasa segan untuk bertemunya kerana permintaan bukan-bukan daripada peminat," jelasnya.

Usaha Rujuk Gagal, Bekas Suami Terkejut Raja Farah Bakal Kahwin

on Monday, 10 August 2015


PETALING JAYA: Hasrat bekas suami Raja Farah iaitu Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, mahu memulihkan rumah tangga mereka dengan rujuk semula tidak kesampaian apabila aktres itu mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Megat, 30, berkata, walaupun dia mahu berbaik dengan bekas isterinya itu, dia tetap menerima berita tersebut selain menyifatkan mungkin sudah tiada jodoh  antara mereka.

"Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Mula-mula terkejut juga dengan berita (Raja Farah bakal berkahwin) tersebut, tetapi itu hak dia.

"Kita hanya merancang dan berusaha, selebihnya Allah yang mentukan. Jodoh pertemuan, rezeki kesejahteraan, ajal maut semua sudah ditentukan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 27, membuat pengumuman bakal menamatkan zaman jandanya dengan seorang ahli perniagaan yang berusia 33 tahun tidak lama lagi menerusi satu sidang media khas yang berlangsung di kediamannya di Shah Alam dekat sini pada petang Ahad.

Aktres itu telah melangsungkan majlis pertunangannya pada sebelah pagi di kediamannya yang hanya dihadiri keluarga terdekat sahaja.

Bagaimanapun, Raja Farah enggan mendedahkan identiti bakal suaminya sehinggalah pada hari pernikahan mereka iaitu pada satu tarikh yang akan akan diberitahu kemudian.

Sementara itu, Megat turut menasihatkan kepada orang ramai terutamanya netizen untuk tidak berprasangka buruk terhadap aktres itu.

"Jodoh dan pertemuan sudah ditentukan. Saya ambil yang positif. Diharap orang ramai juga berprasangka baik dan mendoakan untuknya dan bakal suami. Hormat keputusannya," ujarnya.

Terdahulu, Raja Farah dan Megat telah bercerai pada 25 Mei lalu selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Pelakon itu kini melalui tempoh edah selama tiga bulan.


Sumber 

Terkini : Anime Naruto Versi Hollywood Bakal Dibikin

on Thursday, 6 August 2015


ANIME Jepun popular iaitu Naruto bakal difilem semula di Hollywood dalam masa terdekat ini.

Menurut laporan Screenrant, produksi Lionsgate yang popular dengan terbitan filemThe Hunger Games telah mendapatkan hak cipta daripada francais komik Manga dan Anime daripada syarikat penerbitan Naruto.

Lionsgate dikhabarkan sedang menawarkan seorang pakar efek visual iaitu Michael Gracey untuk menjadi pengarah bagi filem Naruto tersebut.

Naruto merupakan satu siri manga yang dihasilkan oleh seorang kartunis bernama Masashi Kishimoto yang turut mempunyai rancangan anime atau animasi televisyen tersendiri dengan judul yang sama.

Manga ini membuat kemunculan sulungnya pada tahun 1999 dan telah diterbitkan oleh Shueisha di dalam majalah Shōnen Jump isu ke-43.

Versi Bahasa Inggeris pula telah diterbitkan oleh Viz Media dalam Shōnen Jump versi Amerika Syarikat di mana ia menjadi jualan siri manga tertinggi syarikat tersebut.

Di Malaysia, siri manga Naruto versi Bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Comics House yang telah mengeluarkan 70 buah jilid pada Oktober 2014.

Siri komik manga Naruto telah tamat sehingga bab 700 pada 3 November 2014 dan keluaran terakhir, jilid 72 pada Februari 2015.

Sumber

Mia Sara Masih Mampu Sabar Dibuli Rakan Sekolah


KUALA LUMPUR: Pelakon kanak-kanak Mia Sara mendedahkan dia sering dibuli rakan-rakan sekolah termasuk diejek dek kerana popularitinya sebagai seorang artis.

Mia, 10, berkata,  terdapat juga rakan-rakan yang memukul malah pernah membaling batu ke arahnya namun dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu sensitif dengan sikap mereka itu.

Ini kerana perbuatan itu tidak mendatangkan kecederaan.

"Mereka buli saya, mengejek, baling batu dan pernah juga pukul saya. Saya sedih juga dan kadang-kala rasa geram. Tetapi ayah pesan, biar orang buat kita, tetapi jangan kita buat orang," katanya kepada mStar Online.
Mia ditemui pada majlis rumah terbuka TV3 di Hotel Hilton di sini pada Rabu.

Sementara itu, bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berkata, walaupun dia tahu anaknya mengalami nasib sedemikian namun dia enggan masuk campur mengenainya kerana ingin Mia melalui proses berdikari.

"Bagi saya apa-apa yang berlaku di sekolah, biar cikgu yang uruskan, saya tak mahu masuk campur.

"Saya nak Mia melalui proses seperti kanak-kanak lain. Lagipun dia seorang selebriti dan bukan mudah untuknya melalui pengalaman itu. Biarlah dia berdikari dan belajar selesaikan masalahnya sendiri.

"Jangan sampai anak saya cedera teruk kena belasah, sudahlah. Bagaimanapun saya akan pastikan dia mendapat nasihat dan motivasi setiap hari. Saya tak mahu dia pulang ke rumah dengan emosi terganggu," ujarnya.

Muhammad Ridhuan bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan nama sekolah tempat Mia belajar.

Dalam perkembangan lain, Mia bakal terlibat dengan penggambaran drama Super Game Boy, untuk siaran Astro Ceria.

Sumber