Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Kamal, Emma lerai teka-teki

on Wednesday 27 May 2015

 
 
SEJAK kisah perpisahan aktres Emma Maembong dan Zizan Razak heboh diperkatakan, nama Kamal Adli dikatakan menjadi punca keretakan tersebut.

Bukan itu sahaja, beberapa dakwaan seperti Kamal menjemput Emma di lapangan terbang dan seterusnya Kamal dikatakan membawa Emma berjumpa dan mengenali keluarganya turut bertebaran.

Lebih menguatkan dakwaan bahawa mereka kini menjalinkan hubungan cinta, foto-foto mesra mereka keluar bersama turut bertebaran di laman sosial.

Namun, jika sebelum ini kedua-duanya lebih selesa memberi jawapan selamat, Kamal yang ditemui media kelmarin pada acara pertunjukan koleksi Raya Melinda Looi di Kota Damansara, akhirnya meleraikan teka-teki yang bermain sejak penghujung tahun lalu.

Mengakui dalam proses mengenali hati budi gadis berusia 23 tahun itu, Kamal berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang harapan dalam perhubungan baharu ini.

"Apa yang boleh Kamal katakan, dia adalah wanita paling rapat dengan Kamal buat masa ini. Kami banyak kongsi masalah dan situasi yang sama.

"Kamal faham isu yang dilalui dan begitu juga dengannya. Jadi banyak perkara dibincangkan bersama, mungkin itu yang membuatkan kami rapat.

"Tapi Kamal tak berani nak cakap lebih-lebih kerana hubungan ini masih baru lagi dan apa yang berlaku pada masa akan datang Kamal tidak berani untuk berkata apa-apa lagi.

"Sebelum ini pun Kamal dah lalui benda yang amat menyakitkan dan begitu juga dengan dia (Emma)," jelasnya.

Bagaimanapun tegas Kamal, dia tidak menjadi punca keretakan hubungan Emma dan Zizan kerana mereka mula rapat apabila Emma mula sendiri.

Kamal akui agak risau untuk bercerita mengenai hubungan kami kerana ramai yang hentam Kamal dan tuduh Kamal menjadi punca.

"Tetapi ia sama sekali tidak benar kerana kami mula rapat setelah masing-masing sendiri,” ujarnya.

Sama seperti Kamal, Emma juga mengakui selesa berkawan dengan aktor yang mula dikenali menerusi drama Bionik itu.

Meminta peminat memahami situasi yang berlaku kini, Emma berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran dalam hubungan kali ini.

"Ya, Emma mengaku rapat dengan dia, tapi buat masa sekarang dalam sesebuah hubungan itu kita kenal orang itu terlebih dahulu.

"Tapi Emma tak nak cakap banyakbanyak mengenai perkara ini kerana kalau tak jadi orang akan cakap apa pula. Jadi biarlah masa menentukan.

"Cuma yang Emma minta, peminat tidak hentam kami dan faham dengan situasi yang berlaku kerana Emma baharu dalam proses mengenali,” jelasnya.

Ditanya mengapa dia senang bersama Kamal, Emma berkata, Kamal seorang yang gila-gila dan mereka juga sekepala dalam beberapa perkara.

"Emma bukan jenis yang control ayu dan kalau kami bosan, kami sama-sama suka main games. Malah adakalanya kami suka meluangkan masa di arked untuk bermain games di sana," katanya yang kini sibuk berlakon bersama Kamal menerusi drama Jodoh Sebelah Pintu.


Terkena buatan orang?

Dalam pada itu, ditanya berita yang mengatakan dia terkena buatan orang, Emma berkata, dia tidak mahu memikir secara negatif biarpun kini dalam proses berubat.

"Ya saya akui kulit muka saya bermasalah sehinggakan saya buat ujian darah, doktor kata darah saya bersih. Tapi saya fikir positif lagi mungkin perubahan hormon.

"Cuma beberapa perkara lain yang berlaku seperti tidur malam terganggu dan saya sering nampak benda-benda pelik membuatkan saya rasa tak selesa. "Mula-mula saya fikir saya penat, tapi lepas berubat, memang ustaz tersebut beritahu ada yang tak puas hati dengan saya.

"Jadi kini saya cuma banyak berdoa, solat dan berubat. Harap masalah ini tidak akan berlanjutan," jelasnya.
 

Isu bauksit: Enam langkah serta-merta



KUANTAN - Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pengusaha lombong yang gagal mematuhi syarat yang dikenakan bagi menjalankan aktiviti mengangkut bauksit di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kumpulan itu kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan.

Justeru,  kerajaan negeri akan melaksanakan enam langkah bagi mengatasi masalah berkaitan bijih besi dan bauksit di negeri ini yang menimbulkan rungutan pelbagai pihak termasuk penduduk yang terjejas akibat perlombongan mineral berkenaan.

“Langkah yang akan dikuatkuasakan serta-merta ini adalah susulan cadangan pelbagai pihak menerusi mesyuarat khas yang dipengerusikan sebelum ini.

“Antara langkah yang akan diambil adalah Pintu A ke Pelabuhan Kuantan tidak lagi dibenarkan untuk digunakan oleh lori membawa muatan bahan berkenaan selain mengosongkan ‘stockpile’ (timbunan) mineral di kawasan pelabuhan berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Adnan berkata, agensi penguatkuasaan pula akan memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi menyita peralatan lombong haram di samping meneruskan sekatan jalan raya bagi mengesan lori yang tidak memiliki permit untuk membawa mineral berkenaan.

“Langkah lain yang turut diambil termasuk membatalkan pengeluaran lesen melombong dan permit 4C terhadap pihak yang menyalahgunakannya untuk mengeksport mineral itu ke luar negara menerusi Pelabuhan Kuantan.

“Saya memberi kata dua kepada pengusaha lombong bauksit dan bijih besi supaya mengikuti peraturan itu jika tidak mahu lesen mereka dibatalkan,” tegasnya.

Adnan berkata, kerajaan tiada pilihan selain bertegas menangani masalah pencemaran bauksit ini dan  terpulang kepada syarikat pelombong sama ada untuk mengikuti peraturan ini atau tidak.

“Jika mahu beroperasi dalam tempoh yang lama, sila patuhi arahan yang dikeluarkan. Langkah ini diambil kerana mengambil kira perbincangan dengan semua pihak termasuk penduduk di kawasan yang terjejas teruk akibat aktiviti perlombongan mineral itu.

“Dalam masa sama, saya melihat aktiviti mencuci lori membawa muatan itu di kawasan Pelabuhan Kuantan mencemarkan air sungai sehingga menyebabkan fenomena laut merah di negeri ini,” katanya.

Adnan dalam pada itu, mahu orang ramai tidak panik dan mengalu-alukan sebarang aduan  dikemukakan kepada pihak berkuasa.

“Saya juga berharap supaya pihak industri di kawasan Gebeng tidak gawat, kerajaan akan berusaha untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.

Sumber

FOUZIAH GOUS HAMIL ANAK PERTAMA


Tahniah diucapkan kepada pelakon Fouziah Gous yang bakal bergelar ibu apabila disahkan hamil dua bulan setengah. Selepas beberapa tahun mengharap kehadiran cahaya mata, berita ini pastinya menggembirakan Fouziah dan suami, Zhafran.

Memetik laporan Harian Metro, Fouziah mengetahui berita ini setelah pulang dari menjalani penggambaran program Nona sambil berbulan madu bersama suami di Jepun, Mac lalu.

“Mulanya saya tidak jangka hamil kerana saya memang mengalami masalah haid yang tidak menentu tetapi apabila merasakan ada perubahan pada hormon badan saya jadi tak sedap badan. Lantas, saya membuat ujian kehamilan sendiri sebanyak dua kali dan kedua-duanya memberi bacaan positif.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu gembira lagi dan minggu berikutnya barulah saya pergi membuat pemeriksaan di klinik biasa. Hasilnya juga sama iaitu positif. Sekali lagi saya masih tidak puas hati dan mengajak suami untuk malakukan ujian di pusat perubatan swasta.

“Apabila diberitahu kandungan saya sudah berusia tujuh minggu, barulah saya yakin sepenuhnya,” katanya yang tidak kisah dengan jantina anak yang bakal dilahirkan.

Media Hiburan Online mendoakan agar Fouziah dapat menjalani tempoh kehamilan dengan lancar dan melahirkan bayi yang comel dan sihat kelak!

Sumber

Pelakon Mia Ahmad jadi punca penceraian?



SEBELUM ini, pelakon cantik, Mia Ahmad dikatakan terlibat dalam cinta lokasi apabila tersebarnya khabar angin mengenai dirinya dengan pasangan pelakon drama bersiri, Hati Perempuan, Syarul Ridzwan.

Walaupun drama itu telah melabuhkan tirainya, namun masih ada yang mengaitkan mereka meskipun Mia telah menafikannya.

Namun, baru-baru ini, nama bintang ini sekali lagi diheret dalam kancah kontroversi apabila dia dikatakan menjadi punca kepada keretakan hubungan suami isteri sehingga terjadinya penceraian.

Menerusi ruangan blog tempatan, dilaporkan seorang wanita telah mengunjungi pejabat agama dan meminta kepada hakim untuk bercerai dengan suaminya.

Wanita itu dikatakan berang apabila suaminya sering menyebut nama, Yuhanis iaitu watak yang dilakonkan Mia Ahmad dalam drama Hati Perempuan, ketika sedang tidur.

Kata wanita berkenaan, sejak menonton drama berkenaan, suaminya mula menunjukkan perubahan sedangkan selama ini mereka tidak mengalami apa-apa masalah.

Bertanya mengenai perkara itu kepada Mia, kedengaran ketawa kecil daripada pelakon ini dan memberitahu bahawa gosip ini sebenarnya sudah lama tersebar.

"Saya sudah lama dengar mengenai perkara ini namun tidak pasti pula adakah ianya cerita benar atau sengaja dicipta untuk tujuan blog itu mendapatkan perhatian.

"Lagipun, ia disebarkan oleh blog yang diragui kesahihannya. Namun, jauh di sudut hati saya mengharapkan agar cerita itu tidak benar sama sekali kerana ianya tidak patut berlaku.

"Sekiranya berita itu benar, saya sangat sedih dan dukacita. Saya sendiri tidak tahu apa yang membuatkan Yuhanis menjadi impak sebegitu. Saya hanya mengharapkan yang baik-baik sahaja kerana ia hanyalah lakonan semata-mata," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon ini memberitahu bahawa dia bakal terlibat dalam satu penggambaran telefilem untuk TV3 bermula minggu depan.

Menariknya, telefilem raya ini juga turut menggandingkan dirinya bersama pelakon kacak, Syarul Ridzwan.

Sumber

Nabil Ahmad Jawab Isu Tayang Badan Sasa


PETALING JAYA: Pelawak Nabil Ahmad berkata dia tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk tubuh badannya yang semakin sasa di laman sosial sehingga ia menjadi bualan ramai.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 31, memberitahu foto imej barunya telah dimuat naik oleh jurulatih peribadinya iaitu Cash Razak di Instagram.

"Saya bukan sengaja nak tayang badan, cuma foto itu tersebar kerana ia dimuat naik oleh jurularih peribadi saya. Sedangkan sebelum ini saya tidak pernah memuat naik foto seperti itu.

"Apa-apapun saya tidak akan topless (tidak berbaju) dengan sengaja untuk menayang badan seperti kebanyakan lelaki lain melainkan ada sebab-sebab tertentu," katanya kepada mStar Online.
Nabil diminta mengulas mengenai fotonya tidak berbaju menunjukkan tubuh badannya yang sasa bersama dua lagi rakan pelawak itu yang disebarkan di laman-laman sosial.

Foto tersebut membuatkan ramai yang terkejut dengan perubahan ketara Nabil. Malah pelawak itu mendapat pujian daripada peminat-peminatnya. Bagaimanapun ada juga pihak yang memberi pandangan negatif terhadap penampilan itu.

Sementara itu, Nabil berkata dia telah menghabiskan wang kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua bulan demi mendapatkan tubuh sasa itu.

Katanya, kebanyakan wangnya itu digunakan bagi membeli barangan penjagaan pemakanan hariannya.

"Nampak besar jumlahnya tetapi ia sangat berbaloi apabila melihat hasilnya. Jika dahulu berat saya 74 kilogram (kg), kini sudah naik kepada 88 kg.

"Tujuan saya mahu mengubah imej adalah untuk meningkatkan keyakinan diri dalam bekerja di luar mahupun di pentas hiburan selain atas sebab perniagaan. Alhamdulillah, isteri saya turut memberi sokongan untuk melihat perubahan ini.

"Isteri saya juga mula bersenam selepas habis pantang bersalin. Kalau boleh, saya ingin menjadi contoh kepada masyarakat sebagai keluarga yang mengamalkan kehidupan yang sihat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabil kini dilantik menjadi hos terbaharu HBO Sentral musim kedua menggantikan pengacara asal iaitu Lisa Surihani. Program tersebut disiarkan bermula pada 26 April 2015 pukul 3 petang menerusi saluran Astro, HBO (411) dan HBO HD (431) yang akan disiarkan sebanyak 12 episod. 


Sumber