Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Hidup bersendirian mudah untuk mengalami kemurungan?

on Thursday, 7 November 2013


Penyelidik di Institut Kesihatan Pekerjaan, Finland, Dr. Laura Pulkki-Raback menjelaskan, golongan yang tinggal bersendirian mempunyai risiko besar mengalami kemurungan. Bagaimanapun secara keseluruhannya, belum terdapat kaitan yang ketara antara masalah peningkatan risiko kemurungan dengan hidup bersendirian, baik untuk lelaki atau wanita.

tiada kawan atau bersendirian mudah menyebabkan seseorang mengalami kemurungan

Bilangan orang yang hidup sendirian telah bertambah dua kali ganda sejak tiga dekad yang lalu di Amerika Syarikat. Penyelidikan baru yang diterbitkan dalam akses terbuka BioMed Central (BMC) menunjukkan bahawa hampir 80% mereka yang mengambil ubat antikemurungan adalah mereka yang tinggal bersendirian berbanding mereka yang tinggal dengan kawan dan keluarga.

Laporan itu juga menyatakan tentang keadaan perumahan miskin (terutama bagi wanita) dan kekurangan sokongan sosial ( terutama bagi lelaki) adalah faktor utama yang menyumbang kepada risiko peningkatan masalah ini.

 Walaupun kajian ini dengan jelas menyatakan  beberapa faktor yang meningkat risiko kemurungan, tetapi awas,  faktor utama yang dikenalpasti adalah HIDUP BERSENDIRIAN.

'Suami' sahkan Intan Azura isteri pertama beliau


LAMA tidak mendengar perkhabaran terbaharu tentang Intan Azura, dramatis yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Namun, baru-baru ini pihak Kosmo! secara eksklusif perkhabaran yang dramatis berusia 35 tahun ini baru sahaja melangsungkan perkahwinannya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada minggu lalu dengan seorang lelaki bernama Rashdan.

Kosmo! turut menerima sekeping gambar perkahwinan mereka yang bertarikh 2 November 2013. Intan dan suaminya memakai busana pengantin berwarna merah jambu.

Lelaki yang didakwa menjadi suami kepada Intan merupakan seorang pengurus operasi sebuah kilang telekomunikasi di Hulu Kelang, Selangor.

Apa yang menjadi tanda tanya, Intan dikatakan berkahwin sebagai isteri kedua, bahkan majlis tersebut juga disembunyikan daripada kakitangan tempat lelaki itu bekerja.

Bagi mendapatkan pengesahan lanjut, Kosmo! menghubungi suami Intan. Ketika menghubunginya, Rashdan kedengaran terkejut dan cuba mengelak daripada memberi sebarang jawapan dengan alasan dia bukannya artis.

Disoal adakah benar dia telah berkahwin dengan Intan, jawapan yang diberikan: “Saya tidak mahu memberi sekarang komen ,tetapi saya tidak menafikan atau mengiyakan berita itu. Rasanya saya tidak sesuai untuk menjawab soalan itu kerana saya bukannya artis.”

Meskipun mengelak daripada memberi pengesahan tentang perkahwinannya, Rashdan menafikan yang Intan berkahwin sebagai isteri kedua.

“Kalau dia berkahwin, apa yang pasti bukan sebagai isteri kedua, sebaliknya isteri pertama,” katanya.

Tambah Rashdan, dia meminta andai ingin sebarang kenyataan berhubung perkahwinan tersebut, tanyalah kepada pihak Intan.

“Apa-apa pun tanyalah kepada tuan punya badan, bukannya saya,” tuturnya sambil menyatakan, pihak Intan akan memberi kenyataan kepada pihak media dalam masa terdekat.

Sumber

Pak Guard Azman jadi pelakon pula sekarang


PENGAWAL keselamatan, Azman Md Nayan sekali lagi menjadi bualan ramai di alam maya apabila fotonya bersama aktres jelita, Izara Aishah dan pelakon meningkat naik, Dazrin Kamarudin di kawasan parkir di sebuah lapangan terbang tersebar luas.

Difahamkan, mereka sedang menjalani penggambaran untuk drama TV9, Cinta Pandang Ke-2 arahan pengarah berbakat besar M Nazir Juhan atau Jet Lee.

Penampilan pengawal keselamatan itu yang sebelum ini terlibat kontroversi kerana insiden maki hamun oleh isteri kepada pemain bola sepak terkenal negara ternyata mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Selain ada yang memuji, ada juga menyifatkan bahawa produksi drama tersebut sengaja mencari publisiti di atas kontroversi yang melanda pengawal keselamatan itu.

Bagaimanapun, pengarah drama berkenaan, Jet Lee memberitahu, penglibatan Azman dalam drama arahannya itu hanya satu kebetulan.

"Ketika itu, kami sedang buat penggambaran di kawasan parkir, sebuah lapangan terbang.

"Oleh kerana melibatkan tempat parkir, kami memerlukan seseorang yang beruniform, jadi pengurus produksi panggil Azman untuk menjadi pelakon tambahan sebagai pengawal keselamatan yang juga memang tugasnya.

"Kebetulan pula, waktu itu dia sedang berehat makan tengah hari," katanya pada Zass.

Mengulas mengenai babak berkenaan yang dikatakan sama seperti pernah dialami oleh pengawal keselamatan itu, kata Jet Lee, dia tidak berniat untuk menyindir apatah lagi menyinggung perasaan orang lain dengan watak yang diberikan kepada Azman itu.

"Dia bawa watak sebenar, jadi saya hanya suruh dia berkelakuan seperti dia sedang bekerja.

"Jadi, sebagai seorang pengawal keselamatan di kawasan parkir dia berhak untuk menegur apa yang betul atau tidak," katanya sambil memberitahu babak lakonan Azman hanya mengambil masa selama dua minit.

Drama adaptasi novel Karangkraf

Bercerita lebih lanjut mengenai drama rantaian terbarunya, Cinta Pandang Ke-2, Jet Lee berkata ia adalah drama adaptasi novel berjudul sama karya Laila Kamilia yang diterbitkan oleh Kumpulan Media Karangkraf.

Drama 13 episod ini diterbitkan oleh ZK Creative Production Sdn. Bhd dan akan ditayangkan di slot Aurora di TV9 dan bakal menemui penonton Disember nanti.

"Selain Izara dan Dazrin, drama bersiri ini turut dibintangi Maria Farida, Ridzuan Hashim, Norman Hakim, Erynne Erynna, Along Eyzendy, Amira Rosli, Abby Nour dan ramai lagi," katanya.

Ketika ditanya mengenai cabarannya, Jet Lee menjelaskan dugaan utamanya adalah faktor cuaca yang kini tidak menentu menyebabkan terdapat sedikit gangguan perubahan jadual.

Drama bersiri Cinta Pandang Ke-2 berkisar mengenai seorang rakan lama Zairul lakonan Dazrin dan Ainnur Azleen (Izara) yang tidak pernah sebulu walaupun mereka berdua sekelas.

Tindakan Zairul yang sering menyakitkan hati Ainnur menyebabkan wanita itu berasa hati lalu bertukar sekolah. Mereka terpisah bertahun lamanya sehingga dipertemukan semula di tempat kerja sehingga membuatkan Zairul jatuh cinta dengannya.

Sumber

Ular tedong seluar mengamok selama 10 minit

on Wednesday, 6 November 2013


TANAH MERAH - Cubaan mengusir keluar seekor tedung selar yang masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Sokor, dekat sini, cemas seketika apabila reptilia berbisa itu bertukar ganas dan cuba menyerang penduduk.

Seorang penduduk, Ahmad Faizal Dollah, 28, berkata, kejadian cemas itu berlaku ketika dia bersama beberapa penduduk cuba mengusir ular yang masuk ke rumah kakaknya menggunakan buluh.

Katanya, cubaan itu gagal dan dia terpaksa meminta bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) apabila tedung selar sepanjang lebih tiga meter itu mula bertindak agresif.

“Saya cuba usik-usik dengan buluh supaya ular ketika itu bersembunyi di belakang pintu dapur keluar tetapi saya mula rasa bahaya bila ular itu beberapa kali cuba menerkam ke arah kami,” katanya, semalam.

Ahmad Faizal berkata, sebelum kejadian, tidak ada orang di rumah itu kerana kakak dan isterinya berada di rumah ibu mereka yang terletak bersebelahan.

“Masa bersembang depan rumah emak, mereka nampak seekor ular tedung menyusur tebing jalan sebelum menyusup masuk dalam rumah kakak melalui pintu depan.

“Bila saya masuk ke dalam rumah kakak dengan beberapa anggota Rela, kami temui ular itu sedang bersembunyi di belakang pintu dapur dan cuba usirnya keluar tetapi gagal,” katanya yang menghubungi JPAM untuk bantuan.

Haiwan berbisa itu akhirnya berjaya dijinakkan sepasukan empat anggota JPAM daerah ini termasuk seorang anggota yang berkebolehan menangkap ular, Mohd Fauzi Sarwani Seman.

Mohd Fauzi Sarwani berkata, ular itu bertindak agresif ketika cuba ditangkap dan dia mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum dapat menjinakkannya.

Sumber

Cristina Suzanne Kahwin Bukan Sebab Bront Palarae


PETALING JAYA: Pelakon Cristina Suzanne menolak dakwaan keputusan untuk dia berkahwin dengan lelaki pilihan ibu disebabkan kerana kecewa apabila aktor Bront Palarae yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini menikahi wanita lain.

Cristina, 28, menjelaskan tanggapan itu adalah mengarut kerana keputusan tersebut adalah atas kehendak dirinya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan pelakon itu.

"Saya sendiri sebelum ini tidak tahu dari mana datangnya cerita kami dikatakan bercinta dan tidak benar sama sekali saya ingin berkahwin kerana kecewa dia (Bront) sudah berumah tangga.

"Keputusan saya untuk menamatkan zaman bujang bukan dipaksa oleh sesiapa atau atas apa-apa situasi tetapi ia adalah keputusan saya sendiri," katanya kepada mStar Online.

Cristina bakal bernikah 22 Januari 2014 iaitu pada hari jadinya yang ke 29 dan majlis akan diadakan di kampung halamannya, Kuantan, Pahang.

Pelakon filem KIL itu sebelum itu mengikat tali pertunangan dengan lelaki tersebut pada 13 Oktober lalu.


Cristina dan bakal suami bakal melangsungkan perkahwinan pada 22 Januari tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, Cristina berkata, dia tidak melihat jodohnya yang ditentukan oleh keluarga sebagai perkara kolot tetapi ia sesuatu yang baik untuknya.

Tambah Cristina, hubungan yang direstui oleh keluarga akan lebih membawa berkat dan paling penting dia dapat menerima lelaki berkenaan sebagai suaminya.

"Jika orang melihat saya dari segi luaran mereka tentu tidak menyangka bahawa saya seorang yang konvensional dan akan berkahwin dengan pilihan keluarga.

"Tetapi saya tidak pernah melihat ia sebagai masalah kerana yakin dengan restu keluarga dan paling penting saya dapat menerima bakal suami dengan hati terbuka dan bukannya kerana terpaksa," jelasnya.

Sementara itu, Cristina berkata, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan mengenai bakal suaminya kepada umum dan berharap peminat memahami kehendaknya itu.

Jelas Cristina, rumah tangga yang bakal dibina adalah kehidupan peribadinya dan merasakan berhak untuk menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.

"Bakal suami hanya orang biasa dan tiada kena mengena dalam bidang ini dan saya lebih selesa untuk tidak bercerita mengenai soal peribadi kepada umum," jelasnya yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem KIL di Anugerah Skrin 2013.

Dalam perkembangan lain, Cristina berkata, selain sibuk dengan persiapan perkahwinannya, dia baharu sahaja tamat menjalani penggambaran tiga filem iaitu CEO, Tujuh dan Wanita.

Sumber

Dengarlah kepada keluhan para guru


Dua minggu lagi cuti sekolah bermula.

Biasanya guru-guru cukup gembira dengan percutian ini kerana mereka mempunyai masa untuk berehat dan bercuti bersama keluarga.

Tapi kali ini kegembiraan tersebut suram kerana ramai dari mereka tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Betul sistem ini diperkenalkan oleh Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat diadakan.

Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan setelah mengambil kira kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem pendidikan negara.

Betul tujuan sistem ini baik untuk transformasi sistem pendidikan negara, iaitu “untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.”

Tetapi apakah sistem ini betul-betul baik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara? Apakah sistem ini betul-betul boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan ini perlu diteliti sebelum mendapat jawapannya.

Saya sudah mendengar lama rungutan para guru tentang hal in sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun lepas bagi peringkat sekolah menengah.

Ada yang menulis secara peribadi meminta saya membangkitkan hal ini.

Tetapi saya diam sehinggalah saya dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin ketara.

Apa yang lemahnya dengan sistem ini?

Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang baik:

(i) untuk menilai potensi murid,
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid; dan
(iii) membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada penggunaan sistem memasukkan datanya yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban data semasa.

Sistem Pangkalan Data PBS Lemah Justeru lemahnya sistem data PBS ini, maka guru perlu memasukkan data pada waktu lewat malam.

Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah, sekali gus menjejas mutu pengajaran dan pembelajaran.

Akibatnya, murid tidak mendapat pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana selain sibuk memasukkan data, guru juga sibuk mengemaskan rekod.

Aduh!!! Apa lagi? Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan.

Selepas itu, guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.

Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.

Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam sistem.

Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang?

Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan?

Maka dari sinilah, guru selalu bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?

Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru?

Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.

Saya pernah menceritakan kelemahan sistem ini kepada kawan saya, seorang pegawai di PPD.

Beliau kata kepada saya guru yang merungut dengan sistem PBS ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat untuk berjaya dalam bidang keguruan.

Maka beliau pun mulalah bercerita kepada saya tentang kejayaan sistem ini di negara-negara lain.

Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini di negara lain, tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana sistemnya selalu 'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan.

Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.

Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands.

Akhirnya, setelah mendengar keluhan para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru yang mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching’. Tapi mereka mengeluh kerana sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna.

Oleh itu, jika kerajaan mahu juga meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra pengguna.

Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Maka, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya.

PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF
Sumber

Shaheizy Sam sedang 'tunggu pinangan'!


Lazimnya, wanita menunggu pinangan, namun berbeza pula dengan aktor popular, Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abd Samad, 31, mengakui menunggu pinangan daripada kaum Hawa itu.

“Saya masih menunggu calon wanita yang sesuai untuk meminang saya!,” katanya sambil berseloroh.

"Setakat ini, saya tidak mempunyai sesiapa. Walaupun berkawan dengan ramai orang. Saya bukan seorang yang memilih. Tetapi belum jumpa wanita yang tepat, sebab saya sendiri tidak mencari. Saya seorang yang menunggu!,” katanya yang tidak terlalu memikirkan kesempurnaan seseorang wanita, cukup sekadar comel dan memiliki ciri-ciri kewanitaan.

Menurutnya, sekiranya dia berjumpa dengan seorang wanita yang sederhana dan berjaya menyentuh hatinya, dia akan segera memberitahu kepada rakan media berhubung kisah cintanya walaupun mungkin sesetengah orang berpendapat dia seorang perahsia.

Sam berkata, walaupun dia seorang yang hidup dalam dunia sendiri tapi itu tak bermakna tidak mahu berkongsi cerita dengan sesiapa lebih-lebih lagi peminatnya.

"Sebenarnya apa yang menghantui saya, saya rasa, saya ni seorang yang sangat membosankan!,” katanya yang enggan mengulas mengenai hubungan mesranya dengan aktres Fazura seperti yang digemburkan sebelum ini.

Baginya,  dia sering kali dikaitkan dengan hubungan cinta bersama aktres wanita, namun perkara itu tidak benar kerana hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan seorang kawan.


Janji Sam buat peminat

Lupakan berkenaan kisah peribadinya, adik kepada aktres jelita, Zizie Ezete ini tetap optimis mengembangkan karier seninya.

Pernah merangkul gelaran Bintang Paling Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP), sebanyak dua kali, Sam kembali melakar kejayaan sendiri bila tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem (SAM) menerusi Anugerah Skrin 2013 yang bakal berlangsung pada 27 November ini.

Tidak pernah meletakan harapan tinggi bagi setiap pencalonan yang diterima, Sam berkata, dia akan terus berusaha keras memberikan yang terbaik pada masa akan datang sekali gus mahu meninggalkan kesan melalui lakonannya.

Katanya, minatnya yang mendalam terhadap bidang seni, membuatkan dia sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik daripada apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Sekarang, saya mahu tingkatkan lagi kebolehan lakonan dengan watak yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Melalui cara itu, mungkin pada masa akan datang, orang akan membuat penilaian terhadap lakonan saya dan apa yang saya berikan kepada masyarakat.

“Saya sangat idam watak filem sejarah seperti Leftanen Adnan di mana untuk saya terokai suasana dan menjiwai watak orang-orang yang berkaitan dengan watak penting yang berperanan dalam filem tersebut.

“Bagi saya ia sesuatu yang penting untuk dinilai, apatah lagi membabitkan kepentingan sesebuah negara, masyarakat dan rakyatnya,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbarunya, Kisah Paling Gengster, November ini.


Lancar single baharu

Selain lakonan, Sam yang pernah menubuhkan band sendiri, M.O.B, di awal kemunculannya dulu, kini tetap meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian.

Menurut Sam, dia kini sibuk dengan rakaman single pertamanya yang ditaja oleh Nescafe. Turut berduet dengan Liyana Jasmay, projek #NescafeOnSam itu akan dilancarkan pada pertengahan November ini.

Sam berkata, dengan munculnya single tersebut, dia berharap peluangnya untuk bergelar penyanyi akan terus bersinar.

"Memang rezeki saya lebih menyerlah dalam lakonan, tetapi minat saya dalam nyanyian tak pernah padam.

"Disebabkan terlalu banyak tawaran lakonan, saya terpaksa tangguhkan minat dalam nyanyian. Tapi sekiranya ada peluang, saya akan cuba dengan sebaik mungkin untuk memenuhinya," katanya.

Dalam pada itu, Sam memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem ‘Adnan Sempit Sawadeekap’ di Bangkok.

“Saya bersyukur kerana Adnan Sempit punya pengikutnya sendiri. Dan sejujurnya saya sangat teruja dengan sekuel terbaru filem ini.

"Bukan saja memaparkan jalan cerita yang lebih menarik, ia turut menampilkan lebih banyak aksi yang mana saya sendiri melakukannya," katanya.


Duta Peraduan Fuelled By Fans

Seiring popularitinya, anak emas Metrowealth International Group (MIG) ini turut dilamar menjadi duta untuk beberapa syarikat serta produk terkenal.

Terbaru, Sam dipilih sebagai duta untuk mempromosikan Peraduan Fuelled By Fans Powered By Primax yang dianjurkan oleh Petronas.

“Saya rasa inilah masanya untuk saya bersama peminat, sekali gus mereka dapat memenangi wang tunai dan mengharungi cabaran sebenar pemanduan bersama saya di satu destinasi yang ditetapkan bersama Kad Mesra yang telah siap diisi dengan minyak Primax dan juga telefon pintar bersama plan data tanpa mempunyai wang dan telefon bimbit.

“Kami akan bermula dari stesen Petronas Solaris, Serdang dan berakhir di stesen Petronas Kulim, Kedah,” katanya yang tidak sabar menimba pengalaman pemanduan yang jauh bersama peminatnya.

Peraduan yang akan berakhir pada 24 November ini akan mengumpulkan lima kumpulan yang mana setiap kumpulan perlu membantu setiap selebriti dengan menggunakan platform sosial media untuk menang dalam perlumbaan ini.

Antara selebriti lain yang turut sama bertanding dalam peraduan ini termasuklah  Maya Karin, DJ Yoon, pelakon dari Hong Kong iaitu Him Law dan selebriti popular dari Taiwan iaitu Bii.

Mengulas mengenai kontraknya bersama MIG, Sam yang merupakan antara artis yang paling lama bertahan di produksi itu berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan produksi milik Mejar (K) David Teo itu.

“Saya tidak pernah melihat kandungan kontrak MIG sebagai satu masalah besar. Dan saya sangat jelas bahawa ' jangan sesekali bawa masalah peribadi' ketika bekerja.

"Jadi saya tidak ada masalah untuk terus bersama Metrowealth,” katanya.

Sumber

Adab Masuk Ke Rumah Baru

on Monday, 4 November 2013


Soalan: Assalamuaikum, apakah perkara-perkara sunnah masuk rumah baru? Adakah azan di 4 penjuru termasuk dalam sunnah?

Jawapan:

Waalaikumusalam,

Menurut buku rawatan Islam yang disusun oleh Dato’Dr Harun Din, cara untuk memasuki rumah baharu ialah seperti berikut:

1) Baca Bismillahirrahmanirrahim.

Adab Masuk Rumah Baru

2) Tepuk daun pintu 3 kali.

3) Beri salam sebelum masuk ke dalam rumah.

4) Jika tiada reaksi dengan apa-apa bunyi (sama ada cicak dan seumpamanya) maka rumah itu belum ada berpenghuni. Rumah tersebut selamat didiami untuk anda sekeluarga.

5) Sekiranya semasa/selepas beri salam terdengar bunyi cicak, itu bermakna rumah tersebut telah ada penghuni yang anda tidak nampak. Sebagai jalan penyelesaian anda kena buka pintu depan dan belakang sewaktu hampir maghrib dan azanlah tiga (3) petang di ruang tengah rumah. Habis azan tutup kedua-dua pintu, lakukan selama tiga petang semasa maghrib.

SHARE JIKA BERMANFAAT…

Wallahuaklam (Adab Masuk Rumah Baru).

Sumber

Sasha akan lebih berhati-hati pilih pasangan kelak


DUA kali gagal berumah tangga, membuatkan model dan pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Sasha Mohamad Saidin atau lebih dikenali dengan panggilan Sasha Saidin, 36, enggan lagi memikirkan soal berteman hidup. 

Bukannya serik untuk berkahwin, jauh sekali menutup pintu hati kepada kaum Adam, tetapi buat masa ini, Sasha lebih selesa hidup solo meskipun keinginan untuk berumah tangga masih ada dalam hatinya.

“Saya dah hidup solo hampir dua tahun. Bukan tiada lelaki yang cuba mendekati saya tetapi saya yang tidak mahu rapat. Cukuplah sekadar berkawan saja.

“Bukan saya tak nak kahwin tapi biarlah jodoh yang tentukan segala-galanya. Saya lebih senang berserah kepada ALLAH SWT,” ujarnya pada Zass.

Sasha berkata, pengalaman lalu benar-benar mengajarnya agar lebih berhati-hati dalam memilih lelaki untuk dijadikan sebagai suami.

“Saya lebih selektif kali ini. Biarlah lelaki itu nanti boleh membimbing saya dan anak saya kelak selain stabil dari segi kewangan.

“Lagipun, bukan senang untuk mencari pasangan yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam setiap hubungan yang terjalin,” katanya.

Bagaimanapun, bekas anggota kumpulan Elite ini memberitahu, dia tidak menetapkan sebarang sasaran untuk berkahwin lagi.

“Jika boleh saya tak nak terlalu lewat untuk berkahwin semula sebab saya teringin untuk dapat anak lagi,” katanya yang hanya berkawan rapat dengan Awi Rafael.


Arya jadi keutamaan

Selepas lima tahun membina rumah tangganya bersama bekas penyanyi rock kumpulan Rebek yang juga warga Indonesia, Salyo Priyanto Notosoemarsono, 37, Sasha akhirnya sah bercerai talak satu pada 10 Julai 2012 lalu.

Dia bagaimanapun, mengakui bahawa punca penceraiannya itu adalah kerana masalah kesempitan duit selain sering berjauhan di antara satu sama lain.

Lupakan seketika mengenai perkara itu, kini, fokus Sasha adalah untuk bekerja keras demi membesarkan anak tunggal kesayangan mereka, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 4, atau lebih senang dipanggil sebagai Arya dengan sempurna seperti ibu bapa lain.

“Arya adalah segala-galanya bagi saya. Impian saya adalah untuk memberikan yang terbaik buat Arya.

“Sejak umur dia dua tahun lagi saya telah menghantarnya ke tadika kerana ingin memberi pendidikan awal kepadanya,” katanya.

Tambah ibu tunggal ini lagi, walau sesibuk manapun dia, dia cuba meluangkan masa demi anaknya itu.

“Arya adalah kanak-kanak yang lasak dan aktif. Saya perlu memberi sepenuh tumpuan padanya.

“Lagipun saya tidak pernah mengambil pembantu rumah sepanjang membesarkan Arya. Kalau saya sibuk, ibu yang akan jaga Arya.

“Tapi, sesibuk manapun saya, saya akan cuba hantar dan ambil Arya dari tadika,” katanya.

Sasha turut memberitahu, Arya dijaga sepenuhnya olehnya kerana bekas suaminya itu sudah pulang ke Indonesia.

“Kami tidak berjumpa tapi kami sering berhubung melalui Skype,” katanya.

Sebelum itu, Sasha pernah berkahwin kali pertama dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.


Puji Che Ta

Dalam pada itu, kakak kepada Zain Saidin ini juga mendoakan kebahagiaan adiknya itu dengan pilihan hatinya, Rozita Che Wan atau yang lebih mesra dipanggil Che Ta.

Seperti mana peminat lain, jelas Sasha, dia juga tidak tahu apa-apa tentang persiapan perkahwinan pasangan sejoli itu.
“Saya tak tahu apa-apa. Semuanya telah diuruskan oleh mereka sendiri.

“Lagipun mereka mempunyai perancang perkahwinan mereka sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan bakal adik iparnya itu, Sasha memberitahu dia baru bertemu dua kali dengan Che Ta.

“Baru dua kali kami berjumpa. Ketika sambutan majlis hari jadi Zain dan hari mengundi. Itu pun secara beramai-ramai.
“Tapi apa yang saya lihat Che Ta seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun. Saya senang dengannya,” katanya.

Sasha memberitahu dia tidak kisah akan perbezaan jarak usia yang jauh di antara Zain dan Che Ta.

“Yang nak berkahwin dengan Che Ta ialah Zain, bukannya saya.

“Sebenarnya, Zain agak tegas dengan pilihannya. Jika dia cakap ‘ya’, ‘ya’ lah jawapannya. Begitu juga sebaliknya.
“Tapi yang penting adalah lelaki itu matang dan dapat memimpin keluarga, itu sudah memadai,” jelasnya.

Kembali aktif

Selepas bercerai, kehidupan Sasha lebih sibuk berbanding dulu apabila aktiviti seninya kembali rancak.

Selain memenuhi undangan memperagakan busana Muslimah, dia juga dilamar berlakon.

“Saya baru saja pulang dari Sydney, juga kerana terlibat dengan kerja-kerja peragaan di sana,” katanya.

Menurutnya, dia bakal muncul menerusi telemovie terbaru terbitan Astro, berjudul Amy Amelina.

“Saya akui sedikit sibuk dengan bidang peragaan, sebab itu saya kurang berlakon.

“Saya bukanlah memilih watak sebaliknya terdapat pertembungan jadual di antara bidang peragaan dan aktiviti lakonan,” akhirinya.

Sumber