Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

'Industri Muzik Tempatan Semakin Tenat' - Ujar Saari Amri

on Tuesday, 6 September 2016


KUALA LUMPUR: Industri muzik tempatan ketika ini berada pada tahap kritikal berikutan kemunculan laman web yang menyediakan pautan muat turun lagu atau album secara percuma kepada orang ramai.

Komposer dan penulis lirik, Saari Amri menyifatkan ledakan teknologi menerusi lambakan laman web yang memberi kemudahan kepada orang ramai memuat turun karya pemuzik tempatan itu menyebabkan jualan album pada masa kini mengalami kemerosotan mendadak.

Katanya, jualan album di pasaran kini hanya mencecah jualan tidak kurang 10,000 unit berbanding pada era 90-an dengan kebanyakan album mampu terjual sebanyak ratusan ribu unit.

Bercakap kepada Bernama, Saari berkata situasi itu ternyata memberi impak buruk kepada industri muzik tempatan dan mendorong kebanyakan syarikat rakaman hanya menerbitkan single kerana tidak berani melabur untuk menghasilkan album baharu untuk penyanyi tempatan.

"Jika dahulu, album yang diterbitkan saya untuk kumpulan Ukays bertajuk Bisa Berbisa mampu merekodkan jualan tertinggi sebanyak 400,000 unit namun realitinya berubah pada masa sekarang.

"Dulu kalau album itu hanya mencatat jualan 10,000 unit, dianggap gagal,  namun sekarang nak cecah jualan sebanyak itu pun 'sakit', malah banyak kedai muzik terpaksa menutup premis mereka kerana orang ramai tidak berminat lagi membeli album di pasaran," kata Saari.

Pencipta lagu Gerimis Mengundang oleh kumpulan Slam, pada tahun 1996 itu berkata lebih menyedihkan, perkembangan itu juga menghimpit pemuzik tempatan yang tidak menerima sebarang royalti bagi karya mereka apabila dimuat turun orang ramai melalui laman web yang menawarkan muat turun lagu secara percuma.

Oleh itu, beliau yang pernah terbabit menghasilkan lagu untuk penyanyi dan band terkenal seperti Ziana Zain, Nike Ardilla dan Umbrella berharap pihak berwajib perlu memperkenalkan lesen kepada laman web itu dalam memastikan pemuzik, komposer dan penulis lirik menerima ganjaran berkenaan.

"Saya lihat Pihak Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) masih lagi 'fight' bagi memastikan kami (karyawan muzik) memperoleh royalti hasil daripada lagu atau album dimuat turun menerusi laman web dan berharap bayaran dikenakan kepada orang ramai yang memuat turun karya kami pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai trend penghasilan lagu tempatan terkini yang dilihat cenderung kepada jalur muzik era 90-an, Saari yang masih aktif menghasilkan lagu berkata orang ramai masih menganggap melodi berkenaan sebagai sesuatu yang dekat dalam diri mereka.

Katanya, kebanyakan muzik pada masa kini tidak mempunyai penghayatan yang kuat berbanding pada era kegemilangan muzik 90-an yang mampu menangkap jiwa pendengar dan masih lagi diterima baik sehingga kini.

"Lagu Sudahku Tahu oleh kumpulan Projector Band merupakan contoh terbaik lagu terkini yang diterima ramai kerana kisah yang terkandung dalam lagu itu serta melodinya yang berunsurkan muzik lama mungkin dekat dengan ramai pendengar sehingga menerima sambutan hebat dan menjadi viral di media sosial," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau yang pernah menghasilkan lagu Bahasa Melayu buat penyanyi terkenal dari Hong Kong, Andy Lau pada tahun 2001 berkata pemuzik baharu perlu berani untuk bereksperimentasi dengan karya mereka bagi memastikan ia diterima ramai dan kekal diingati buat tempoh lama.

Saari yang amat mengagumi bakat dimiliki Yuna sehingga mampu mengembangkan sayap ke persada muzik antarabangsa berharap ramai pemuzik mengikut jejak langkah penyanyi itu untuk menembusi pasaran muzik ke tahap lebih tinggi.

"Pemuzik baharu tidak harus putus asa dalam memperjuangkan karya mereka dan apa yang penting mereka harus kreatif serta tidak menciplak karya orang lain," katanya. -BERNAMA

Syatilla Sedang Belajar Memasak, Masih Belum Berhasrat Tinggalkan Dunia Seni


PETALING JAYA: Tujuh bulan berehat, pelakon Syatilla Melvin memberitahu dia belum berhasrat untuk berhenti secara drastik daripada industri lakonan selepas berumah tangga dengan aktor Shaheizy Sam.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 25, bagaimanapun berkata, dia mula perlahankan kerjaya lakonanya bagi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga yang baharu tujuh bulan dibina itu.

"Sejak berkahwin Februari lalu saya masih berehat lagi, bukan kerana Sam tidak beri saya berlakon, dia pun faham kalau saya nak meninggalkan industri, ia perlu ambil masa kerana akan ada fasa rindu.

"Cuma saya akui akan memperlahankan kerjaya lakonan selepas ini," ujarnya kepada mStar Online.

Pasangan selebriti ini berkahwin pada 8 Februari lalu di Pulau Pinang.

Bercerita tentang kehidupannya sejak bergelar isteri, aktres Surah Buat Maisarah ini berkata, banyak perkara baharu yang dilalui dalam mengalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Tambahnya, salah satunya ialah dia banyak belajar masak makanan kegemaran Shaheizy daripada ibu mertuanya Khaty Fauziah.

"Kalau nak diikutkan banyak perkara baru yang saya belajar selepas berkahwin, boleh dikatakan ia adalah proses kami untuk lebih mengenali antara satu saya lain. 

"Selain itu, saya juga habiskan masa terluang untuk belajar masak makanan kegemaran Sam iaitu asam pedas daripada mummy," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang cahaya mata, Syatilla berkata, dia dan suaminya masih lagi belum dikurniakan rezeki untuk mendapat zuriat.

Bagaimanapun, Syatilla berkata, dia dan suaminya sudah bersedia jika dikurniakan anak dalam masa terdekat.

"Kalau boleh memang nak cepat dapat anak, tapi Allah lebih mengetahui tentang rezeki itu.

"Insya-Allah kalau tiada tahun ini, kami harap tahun depan. Kalau ada berita gembira itu saya akan kongsi dengan semua," ujarnya.

‘Penat Jadi Baik’ Safiey Ilias Mengaku Kembali Jadi Pondan Semula


SEBELUM ini, usahawan muda, Safiey Ilias pernah menjadi perhatian netizen apabila membuat keputusan untuk berubah dari seorang pondan kepada seorang lelaki.
Bukan senang kan nak tengok seorang mak nyah kembali kepada jantina asalnya? Tetapi ketika itu, Safiey nekad untuk menjalani kehidupan sebagai seorang lelaki tulen.
Perubahan Safiey telah mendapat liputan yang sangat meluas sehingga menjadi tetamu untuk ditemuramah di stesen televisyen, termasuklah TV AlHijrah.

Namun, Malaysia dikejutkan sekali lagi apabila Safiey membuat keputusan untuk menjadi Sofea Iliyas, seorang mak nyah.
Pada mulanya, Safiey memuat naik gambarnya berpakaian wanita di akaun Instagramnya dan posting tersebut telah menjadi buah mulut ramai.
Rata-rata netizen mengecam keputusan yang dibuat Safiey malah menggangapnya mempermainkan agama untuk meraih perhatian demi perniagaannya.
Selepas menerima kritikan dan ada pihak yang meminta penjelasan Safiey, dia mengambil keputusan untuk membuat kenyataan pengesahan di Facebooknya sendiri bagi menjelaskan perkara sebenar.
Menurut Safie, penghijrahannya tidak dibantu oleh orang sekeliling kerana sering mencemuh sehingga menyebabkan dia berputus asa untuk terus kembali kepada fitrahnya, menjadi seorang lelaki.
Tulisnya di Facebook;

Selepas itu, Safiey juga memuat naik printscreen whatsapp yang dihantar oleh kakaknya yang meluahkan rasa sedih tentang keputusan yang dibuat olehnya.

Emm, siapa yang tak sedih kalau ada ahli keluarga yang membuat keputusan seperti ini kan… Memang susah untuk berubah ke arah kebaikan, tetapi itu merupakan ujian yang diberikan supaya terus kuat dan tidak berputus asa.
Mungkin ada hikmah disebalik perkara yang terjadi ini. Semoga satu hari nanti Safiey akan kembali kepada fitrahnya dan menjalani kehidupan yang normal, sama seperti  lelaki lain.
Credit - MYNEWSHUB.CC


Takut Dengan Fitnah Melanda, Ibu Jadi Peneman Ruhainies


KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies tidak pernah terkongkong apabila ditemani oleh ibu atau ahli keluarganya selepas dihimpit kontroversi kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan suami kepada penyanyi Adira iaitu  Datuk Seri Adnan Abu.

Ruhainies atau Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, sebaliknya berkata, dia berasa lebih selamat selain ia dapat mengelak daripada timbulnya fitnah seperti mana berlaku sebelum ini.

"Saya sebenarnya boleh menjaga diri sendiri tetapi sedar sebagai selebriti gerak-geri kita sentiasa diperhatikan oleh orang lain.

"Kehadiran ibu, ahli keluarga atau pun pembantu peribadi ke mana sahaja saya pergi sebenarnya membuatkan saya berasa lebih selamat tambah lagi dengan kejadian berlaku sebelum ini.

"Kerjaya saya banyak bertemu dengan orang dan jika ada teman ia boleh mengelakkan fitnah," katanya kepada mStar Online.

Ruhainies ditemui pada pertunjukan fesyen jenama Siti Buhari yang diadakan di Zebra Square di sini, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Ruhainies berkata, dia berharap selepas ini tiada lagi kontroversi melanda kariernya kerana dia enggan dikenali hanya kerana cerita-cerita negatif.

Katanya, fokus dia kini adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelakon baharu selain menimba lebih banyak pengalaman.

"Tidak sampai setahun saya bergelar pelakon, pelbagai gosip dan kontroversi berlaku dan harap-harap selepas ini tiada lagi.

"Kalau boleh biarlah saya dikenali kerana lakonan saya selain pencapaian seperti memenangi anugerah dan bukannya kontroversi," ujarnya.

Sementara itu, Ruhainies berkata, dia bersyukur walaupun dilanda kontroversi ia tidak menggangu karier lakonannya.

Sebaliknya, jadual dia padat dengan pelbagai aktiviti seni dan bersyukur rezekinya tidak putus-putus.

"Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar kerana saya ingin menjadi seorang pelakon versatil.

"Alhamdulillah walaupun tidak sampai setahun saya banyak menerima tawaran berbeza dan ia memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki mutu lakonan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ruhainies berkata, dia bakal memasuki set penggambaran dua drama selain muncul sebagai model dalam muzik video terbaharu kumpulan Hyper Act.

Sumber : Mstar

Apabila isteri dan perempuan simpanan datang melawat serentak di hospital, Ini Jadinya


SEORANG suami mendapat pengajaran dengan cara paling memalukan apabila isteri dan perempuan simpanannya melawatnya serentak di hospital.
Seorang pelayar laman sosial yang mendakwa dirinya seorang jururawat telah memuat naik rakaman tersebut ke YouTube semalam.
Dalam video berdurasi 2 minit itu, dua wanita dilihat saling menarik rambut dan bergelut.
Seorang lelaki yang memakai pakaian pesakit hospital dipercayai suami salah seorang wanita terbabit kemudian cuba meleraikan pergaduhan itu.
Walaupun pergelutan berjaya dileraikan, salah seorang wanita itu mula mengambil peralatan dan barangan hospital untuk dibaling ke arah wanita yang didakwa perempuan simpanan suaminya.
Video tersebut yang telah ditonton berpuluh ribu pelayar bagaimanapun hanya menimbulkan rasa geli hati di kalangan mereka yang menonton.
Lokasi sebenar kejadian gagal diketahui.
Sumber – Sinarharian

"Saya Tidak Kenal Rapat Fattah Amin" - Mira Filzah, Mengaku hanya teman biasa sebagai rakan artis

on Monday, 5 September 2016


KUALA LUMPUR: Pelakon Mira Filzah menyifatkan dakwaan mengaitkannya sebagai punca aktor Fattah Amin dan bekas teman wanitanya, Sherry Ibrahim berpisah sebagai gosip yang tidak mempunyai asas.

Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 23, sebaliknya menegaskan dia tidak mengenali rapat pelakon itu dan hubungan mereka hanya sekadar rakan artis.

"Tidak benar dakwaan berkenaan kerana kami bukannya rapat seperti disangkakan sesetengah pihak.

"Hubungan yang wujud di antara kami hanya sekadar teman artis sahaja, tidak lebih daripada itu," katanya kepada mStar Online.

Mira ditemui pada pertunjukan fesyen jenama Siti Buhari yang diadakan di Zebra Square di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Mira berkata, dia tidak terkejut dengan gosip terbaharu itu kerana sebelum ini dia sering dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa artis lelaki lain.

Katanya, perkara itu terjadi mungkin disebabkan oleh statusnya yang masih solo dan pernah bekerjasama dengan lelaki dikaitkan dengannya. 

"Kalau dikutkan ada beberapa yang dikaitkan dengan saya tetapi gosip itu berlalu begitu sahaja.

"Walaupun tiada apa-apa berlaku di antara kami tetapi orang tetap kaitkan kerana mungkin status saya yang masih solo," ujarnya.

Mengulas kewujudan profil Instagram yang mengumpulkan gambar-gambarnya bersama Fattah, Mira berkata, ia dilakukan oleh peminat ketika drama lakonan mereka iaituKetupat Palas disiarkan sebelum ini.

Kata Mira, ia bukan perkara baharu sebaliknya terdapat beberapa lagi akaun seumpamanya wujud setiap kali ada drama lakonannya ditayangkan.

"Setiap kali ada drama lakonan saya muncul pasti akan wujud Instagram sama ada nama drama tersebut atau pun nama saya dan hero.

"Gambar-gambar yang dimuat naik adalah daripada babak dalam drama atau pun mereka edit," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mira berkata, selain sibuk berlakon dia bakal mengendalikan sebuah program realiti yang akan diumumkan kemudian.

Akibat Selalu Bersikap Kurang Matang, Nabila Huda Dedikasikan Kemenangan FFM28 Kepada Bapanya Amy Search


KUALA LUMPUR: Pelakon Nabil Huda mendedikasikan trofi kemenangannya menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM28) kepada bapanya iaitu penyanyi rock terkenal Amy Search.

Nabila, 32, berkata, dia ingin bapanya berasa bangga dengan kejayaan itu kerana sebelum ini dia banyak menimbulkan masalah gara-gara sikapnya yang tidak matang.

"Kejayaan ini saya dedikasikan untuk papa saya serta keluarga kerana selama berada dalam industri sejak berusia 16 tahun banyak tindakan yang kurang matang saya lakukan.

"Saya mahu papa berasa bangga dengan kejayaan saya ini dan ia adalah hadiah istimewa dari saya buatnya," katanya kepada mStar Online.

Nabila ditemui pada sidang media FFM28 yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam Sabtu lalu.

Aktres ini memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM28 menerusi filem Munafik.

Dalam pada itu, Nabila berkata, ia merupakan kemenangan pertamanya menerusi kategori utama sejak 15 tahun berkecimpung dalam industri lakonan.

Bagaimanapun kata Nabila, dia sebenarnya langsung tidak mengjangkakan kemenangan tersebut kerana sedar saingan sengit daripada calon yang turut bertanding.

"Saya langsung tidak jangka akan menang kerana saingan terlalu sengit terutama daripada pelakon-pelakon yang sudah biasa berlakon filem.

"Saya tidak banyak berlakon filem dan kemenangan ini juga yang pertama buat saya, sebelum ini saya hanya menang Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Akulah Balqis," ujarnya.

Sementara itu, Nabila berkata, dia tidak pernah memilih genre dan skrip untuk melakonkan sesuatu filem atau drama namun bersyukur kerana sentiasa diberi peluang memainkan peranan yang dapat meninggalkan kesan kepada penonton.

Katanya, perkara itu juga memberi kekuatan dalam menzahirkan sesuatu peranan diberikan dengan baik sama ada menerusi filem atau pun drama.

"Saya bukan jenis memilih tetapi Alhamdulillah sering diberi kepercayaan membawakan watak berat malah kebiasaannya saya sering dapat bekerjasama dengan pengarah, krew produksi yang banyak membantu.

"Perkara itu juga membantu saya memberi tahap lakonan terbaik dan seratus peratus," katanya.

Sumber : Mstar

Hubungan Kamal Adli dengan Emma Maembong Mekar Kembali?



PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli menjelaskan kehadirannya bersama aktres Emma Maembong di karpet merah Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada malam Sabtu lalu atas undangannya.

Kamal juga menjelaskan hubungannya dengan wanita berkenaan masih lagi baik namun enggan mengulas lanjut tentang hubungan sebenar mereka selepas dilaporkan sudah berpisah sebelum ini.

"Kebetulan Emma tiada teman untuk ke FFM dan saya mengajaknya untuk melalui karpet merah itu bersama-sama.

"Hubungan kami masih baik dan sedang cuba memperbaiki kekurangan yang ada sebelum ini.

"Selebihnya doakan yang baik-baik untuk kami berdua," katanya kepada mStar Onlineketika ditemui pada acara berkenaan yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu lalu.

Sebelum ini, hubungan pasangan itu sebelum ini dikatakan sudah berakhir apabila masing-masing jarang memuat naik gambar bersama di laman sosial.

Malah Emma dalam satu kenyataan meminta diberi ruang untuk berbincang tentang hala tuju hubungan mereka sebelum memberi sebarang respons.

Sementara itu, Emma pula berkata, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Kamal dan kehadirannya adalah atas undangan pelakon itu.

"Hubungan kami masih baik dan saya datang bersama dia malam ini pun kerana Kamal yang ajak. Saya okey sahaja," katanya.

Ditanya adakah mereka putus cinta sebelum ini Emma dalam nada bergurau berkata, dia tidak pernah memberi kenyataan bercinta.

"Siapa kata kami bercinta? Saya tak pernah pun cakap bercinta... Kami kawan biasa saja," katanya.

Menakutkan Kes Cikgu Sekolah cabul murid darjah 3 dalam stor sukan Sekolah

Tertuduh Menutup Kepala
KOTA BHARU – Seorang guru mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mencabul murid tahun tiga, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Bakri Ibrahim, 51, didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan meraba kemaluan mangsa yang berusia sembilan tahun di dalam stor sukan di sebuah sekolah di Wakaf Bharu, Tumpat.
Kejadian didakwa berlaku antara jam 7 dan 9 pagi, pada 7 April 2016.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Firli Fairulyzan Arias, manakala tertuduh diwakili peguam, Nasriq Nazman.
Pada prosiding itu, Firli mencadangkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun Nasriq memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira tanggungan keluarga tertuduh.
“Tertuduh berpendapatan RM4,000 dan ada anak yang bersekolah. Jika dibenarkan jamin, tertuduh berjanji tidak akan mengganggu mangsa,” katanya.
Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 September depan untuk pengurusan. 
Sumber : Sinarharian