Blog yang mengandungi berbagai berita dan informasi terkini yang hangat dan panas..

Permainan Pokemon Go Makin Kurang Popular Lepas Sebulan Dilancarkan

on Saturday 27 August 2016


LONDON – Apabila mula dilancarkan pada 6 Julai lalu, populariti permainan peranti Pokemon Go naik mendadak di seluruh dunia, sehingga mengatasi Tinder malah memintas Twitter hanya dalam masa beberapa hari sahaja.

Buat seketika, pemainan ‘berhantu’ Pokemon Go kelihatan seperti akan menakluki seantero dunia dengan popularitinya sejak pertama kali ia dilancarkan bulan lepas. Bagaimanapun, demam kegilaan dan ketagihan terhadap permainan itu tanpa disedari kini semakin merosot.
Menurut kajian dijalankan firma Axiom Capital Management, sekitar 15 juta pemain aktif sudahpun ‘hilang’ daripada permainan tersebut sejak bulan lalu, penurunannya termasuk dari segi muat turun, pengguna aktif dan waktu yang dihabiskan untuk bermain setiap hari.
Berdasarkan pemantauan menerusi tinjauan Sensor Tower, SurveyMonkey dan Apptopia, jumlah paling tinggi pemain aktif direkodkan ialah sekitar 18 Julai, apabila ia mencatat kira-kira 45 juta pemain, lapor laman teknologi maklumat antarabangsa terkenal, Digital Trends.
Sebagai perbandingan, pada bulan Ogos, jumlah pengguna aktif hariannya berkurangan drastik apabila tinggal sekitar 30 juta sahaja. Ini lebih-lebih lagi setelah syarikat yang mengeluarkan permainan itu, Niantic, memperkenalkan semula sistem pengesanan pemain.
Namun, penurunan agak banyak itu memang boleh dijangkakan, memandangkan permainan yang boleh popular dengan begitu cepat seperti Pokemon Go, lazimnya bakal kehilangan ramai pengguna tegar dalam tempoh terdekat, lapor laman tersebut lagi.
Bloomberg melaporkan data baharu menunjukkan penurunan dalam bilangan pemain di samping kejatuhan ketara dalam masa yang dihabiskan untuk bermain, sekali gus membolehkan banyak syarikat pesaing lain kini boleh tersenyum dan menarik ‘nafas lega.’
Meskipun ia menggambarkan khabar tidak begitu menggembirakan bagi pihak Pokemon Go, ia mungkin melegakan pentadbir Facebook, Instagram, Tinder, Twitter, Snapchat dan aplikasi lain yang sebelum ini agak terancam dengan populariti mendadak Pokemon Go.
Data tinjauan menunjukkan pemain yang bermain Pokemon Go menurun pada awal Ogos, jatuh daripada 100 peratus kepada 40 peratus pada 4 Ogos lalu termasuk dari segi trend memuat turun, bermain dan jumlah masa sanggup dihabiskan untuk aplikasi itu dalam sehari.
Ramai pemain juga berkemungkinan akan berhenti bermain apabila menyedari Pokemon Go memerlukan mereka terpaksa berjalan dan terus berjalan, selain beberapa isu setelah dilancarkan seperti gangguanserver, aduan tentang urus niaga mikro dan banyak penipuan.
Juga halangan luaran antaranya larangan tegas pihak berkuasa untuk pemain memasuki kawasan tertentu atas faktor keselamatan, risiko jenayah, bahaya ancaman kemalangan di samping pewartaan hukum bersifat keagamaan dan sekatan capaian oleh penyedia jalur lebar.
Meskipun begitu, Digital Trends menjangkakan bahawa jika Pokemon Go masih lagi dapat mengekalkan beberapa juta jumlah pemain yang aktif, ia sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk terus mengembangkan permainan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment