KUALA LUMPUR - Ramai pesakit asma meletakkan masa depan mereka dalam
keadaan bahaya sehingga boleh 'mengancam nyawa' ekoran mengabaikan
rawatan dan nasihat doktor.
Ini kerana, mereka beranggapan bahawa penyakit asma atau lelah yang
dihidapi berada pada tahap terkawal tanpa memerlukan pengambilan ubat
dan rawatan sepertimana disyor para doktor.
Walhal, hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.
Pada masa sama, sikap segelintir pesakit asma yang suka
melengah-lengahkan rawatan biarpun mengetahui ia adalah penyakit
paru-paru kronik, turut menyumbang kepada risiko itu.
Asma, adalah penyakit paru-paru kronik yang disebabkan keradangan di
saluran udara paru-paru. Apabila terdedah kepada bahan yang boleh
mencetuskan keradangan, dinding saluran udara ke paru-paru menjadi tebal
dan membuatkan saluran ini menjadi semput.
Implikasinya, akan membuatkan pesakit asma mengalami gejala seperti
batuk, berdesit (nafas berbunyi seperti wisel), susah bernafas dan dada
rasa ketat (seperti ditekan).
Menurut pakar, batuk sering berlaku pada malam atau awal pagi.
Asma
Asma boleh dihidapi oleh semua peringkat umur namun ia sering bermula semasa zaman kanak-kanak.
Di Malaysia, dianggarkan 4.5 peratus daripada golongan dewasa adalah
penghidap asma manakala kanak-kanak adalah golongan dominan pesakit ini
iaitu sebanyak 7.1 peratus.
"Kesedaran dan pengetahuan mereka mengenai penyakit ini masih lagi
rendah malahan ada yang tidak tahu mengguna alat sedutan (inhaler)
dengan betul. Ini boleh menyebabkan fungsi paru-paru menjadi semakin
teruk.
"Amat penting, setiap pesakit asma mengetahui teknik penggunaan ubat
sedutan dengan betul", kata Pengarah dan Pakar Perunding Kanan
Perubatan/Respiratori, Institut Perubatan Respiratori Datuk Dr Abdul
Razak Muttalif kepada Bernama.
Tiada Penawar
Menurut Dr Abdul Razak, penyakit ini sehingga kini tiada penawar dan
adakalanya pesakit akan mengalami 'serangan akut' asma pada bila-bila
masa sahaja.
Apakah itu serangan akut?
Ia adalah serangan asma yang teruk dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera supaya penat dan lelah berkurangan.
Biarpun tiada penawar, penyakit yang puncanya sukar dikenalpasti
berikutan disumbangkan oleh beberapa faktor seperti genetik dan
persekitaran ini masih boleh dirawat secara berkesan melalui proses
perubatan yang teratur.
Yang penting, pesakit perlu mengawal asma dari peringkat awal supaya tidak menjadi lebih teruk sehingga mengakibatkan kematian.
Mereka disarankan tidak melengah-lengahkan rawatan, perlu mengikut
nasihat doktor dan berpengetahuan akan cara menggunakan ubat sedutan
dengan betul.
Dalam merawat penyakit asma, kebiasaannya ubat berbentuk sedutan lebih
berkesan kerana ubat akan terus memasuki saluran udara dalam paru-paru
iaitu tempat yang paling dikehendaki.
Terdapat dua jenis ubat sedutan iaitu ubat pencegahan (khususnya
anti-keradangan seperti glukokortikosteroid) dan perlu diambil setiap
hari dalam jangka masa panjang untuk mengelak serangan asma.
Manakala, ubat kedua ialah 'pelega' (bronkodilator). Ia memberi
kelegaan segera apabila pesakit mendapat serangan asma dan perlu dibawa
setiap masa bagi menghilangkan gejala asma dalam masa singkat.
Ke Hospital
Walaupun penekanan mengenai kepentingan membawa alat sedutan ini ke
mana sahaja mereka pergi disebarkan, namun masih ada lagi segelintir
penghidap asmamengambil mudah akan perkara itu.
Dr Abdul Razak ketika menyentuh perihal berkenaan berkata tidak kira
sama ada tahap asma mereka dalam keadaan sederhana atau teruk, alat
sedutan itu perlu sentiasa dibawa bersama.
Namun, disebabkan oleh kepelbagaian 'kepercayaan' atau mitos mengekang
amalan demikian. Antaranya, penyakit ini jangan dimanjakan sangat.
Apabila datang serangan asma, duduk, tenangkan diri dan bernafas
perlahan-lahan, lama-kelamaan ia akan hilang sendiri.
"Sebenarnya, ini hanya akan mengurangkan penat mereka sahaja. Tetapi,
asma mereka masih ada lagi. (Kepercayaan begini) bahaya. Mereka kena
bawa 'inhaler' setiap masa.
"Jadi, apabila dapat tanda-tanda serangan asma, mereka perlu pakai ubat
itu dengan cepat. Jangan tunggu sampai terlambat kerana kebanyakan
kematian asma ini disebabkan rawatan tidak diberi dengan cepat",
katanya.
Kumpulan berisiko tinggi ialah yang tidak menerima rawatan cukup dan
sempurna atau yang melengahkan rawatan apabila mengalami serangan asma
akut.
Walaupun demikian, ada juga pesakit yang kerap mendapat serangan asma
(tahap tidak terkawal) sengaja tidak mendapatkan rawatan atau tidak
bergantung dengan alat sedutan kerana beranggapan jika terdapat serangan
boleh terus ke hospital atau klinik.
Bagaimanapun, Pakar Runding Perubatan dan Respiratori, Hospital Pakar
KPJ Damansara, Datuk Dr Zainudin Md. Zin mempersoalkan sikap itu kerana
terdapat beberapa kes pesakit asma meninggal dunia kerana tidak sempat
ke hospital.'
Kawal Asma
Rutin terapi kawalan asma bukan sahaja dapat membantu menghalang
serangan asma yang serius tetapi juga mengetahui langkah-langkah
pencegahan serta cara mengatasi serangan asma di rumah.
Malah, ini membolehkan mereka untuk bergiat produktif serta aktif
termasuklah dalam aktiviti sukan. Dan, ini bukanlah satu keadaan
mustahil kerana Amy Van Dyken, perenang yang merangkul empat ingat emas
pada Sukan Olimpik Athens dan dua pingat emas pada kejohanan sama di
Sydney adalah penghidap asma.
Begitu juga dengan pemegang rekod maraton dunia, Paula Radcliffe.
Asma terkawal, bermaksud pesakit dapat menjalani kehidupan dengan baik,
tiada serangan asma, tidak lagi terjaga pada tengah malam akibat
simptom asma, tidak perlu menggunakan ubat pelega (hanya digunakan
sekali-sekala) dan mampu bergiat aktif.
Malangnya, apa yang berlaku ialah ramai golongan kanak-kanak dan dewasa
penghidap asma terpaksa tidak hadir ke sekolah dan tempat kerja
masing-masing akibat penyakit asma mereka tidak terkawal.
Dr Zainudin berkata senario ini mungkin berpunca daripada sikap ibu
bapa yang tidak menggalakkan ataupun mengelakkan anak mereka penghidap
asma daripada aktif bersukan.
Walhal, asma yang dikawal dengan rawatan sewajarnya diikuti pengamalan
hidup aktif mengikut kemampuan masing-masing mampu meningkatkan
keupayaan paru-paru.
Pendidikan Asma Penting
Persepsi mengekang kehidupan aktif, melengah-lengahkan rawatan, salah
prosedur penggunaan ubat sedutan dan kepercayaan tidak betul mungkin
berakar umbi daripada kurangnya fahaman mengenai penyakit asma.
Justeru, Dr Abdul Razak menyarankan penghidap asma bekerjasama dengan
doktor mereka, apa yang perlu dilakukan, menjauhi pencetus-pencetus yang
boleh mengakibatkan serangan asma.
Pencetus adalah bahan-bahan atau keadaan tertentu yang saluran udara
penghidap asma adalah sangat sensitif terhadapnya dan boleh
mengakibatkan serangan asma.
Antara pencetus ialah asap ekzos kereta, asap rokok, jerebu, cuaca yang
terlalu panas atau sejuk dan tekanan perasaan atau terlalu gembira.
"Kalau asma boleh dikawal, ubat sedutan boleh dikurangkan. Doktor perlu
didik pesakit cara menggunakan ubat dengan betul dan jangan sekadar
deskripsi sahaja. Disyorkan setiap klinik atau hospital menjalankan
kaunseling rawatan asma," katanya.
Dengan itu, pesakit akan memperoleh pengetahuan dan pendidikan asma
yang berkesan dan membantu menghindari serangan akut. - Bernama